hasbunallah

hasbunallah

Wednesday, August 14, 2013

Lagi Bantahan Awal Bagi Petisyen Parlimen Bachok Dan DUN Jelawat

KOTA BAHARU, 12 Ogos (Bernama) -- PAS Isnin sekali lagi mengemukakan bantahan awal terhadap petisyen yang difailkan Barisan Nasional (BN) bagi membatalkan keputusan pilihan raya umum ke-13 Parlimen Bachok dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelawat yang dimenangi PAS.

Bantahan awal itu dikemukakan oleh peguam Mohamed Hanipa Maidin sebelum bermulanya perbicaraan serentak kedua-dua petisyen itu yang ditetapkan selama sembilan hari bermula hari ini di hadapan Hakim Datuk Zamani Abdul Rahim.

Mohamed Hanipa dalam hujahnya berkata pihaknya mengemukakan sekali lagi bantahan awal berikutan terdapat isu baharu yang tidak dibangkitkan pada bantahan awal 10 Julai lepas.

Pada prosiding 10 Julai lepas, Zamani menolak bantahan awal yang difailkan defendan-defendan daripada PAS bagi membatalkan kedua-dua petisyen tersebut dengan kos RM30,000 bagi setiap bantahan awal yang ditolak itu.

Mohamed Hanipa berkata responden pertama bagi petisyen Parlimen Bachok dan DUN Jelawat mempertikaikan locus standi barisan peguambela yang mewakili pempetisyen kerana gagal mematuhi peruntukan keperluan mandatori Kaedah 9 dibaca bersama Kaedah 34 Kaedah-kaedah Petisyen Pilihan Raya 1954.

Peguambela tersebut ialah Datuk Mohd Hafarizam Harun, Abu Bakar As-sidek Mohd Sidek, Raihanah Ashriqin Ariffin, Nor Azli Ahamed, Syed Faisal Syed Abdullah dan Badrul Hisham Abd Wahap.

Antara isu lain yang dibangkitkan ialah pempetisyen tidak mempunyai kapasiti untuk memfailkan petisyen tersebut di bawah Seksyen 34(b) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan pempetisyen gagal mendeposkan afidavit penyampaian mengikut kaedah 15(4) Kaedah-kaedah Petisyen Pilihan Raya 1954.

Calon BN Parlimen Bachok Datuk Dr Awang Adek Hussin tewas kepada calon PAS Ahmad Marzuk Shaary dengan majoriti 201 undi manakala bagi kerusi DUN Jelawat, calon BN Datuk Ilias Husain kalah kepada calon PAS Abdul Aziz Kadir dengan majoriti 102 undi. Awang Adek memfailkan petisyen bagi Parlimen Bachok manakala Ilias memfailkan petisyen untuk DUN Jelawat.

Peguam Mohd Ilias Mohd Noor yang mewakili pempetisyen dalam hujah balasnya berkata isu yang dibangkitkan oleh pihak responden telah dibangkitkan pada bantahan awal dahulu dan memohon mahkamah membatalkan bantahan awal kali kedua itu dengan kos RM80,000.

Hakim Zamani mentetapkan 18 Ogos ini untuk mengumumkan keputusannya bagi bantahan awal tersebut.


-- BERNAMA