hasbunallah

hasbunallah

Tuesday, February 10, 2015

Menjawab Datuk Noor Farida Ariffin




Satu pandangan telah dilontarkan oleh Datuk Noor Farida Arifin yang dikatakan sebagai jurucakap  kumpulan 25 Melayu profesional G25 berkenaan hudud yang akan dilaksanakan di Kelantan. Ketika forum “Malaysia, Kebebasan Ekonomi, dan Globalisasi” anjuran Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) bersempena kelahiran Tunku Abdul Rahman ke-112 di Kuala Lumpur beliau berkata dengan mengambil contoh kesalahan zina,  undang-undang hudud Kelantan menolak penggunaan bukti saintifik seperti sampel DNA dan cap jari, sebaliknya hanya menerima bukti 4 saksi mata kejadian zina tersebut. Oleh yang demikian, beliau membuat kesimpulan bahawa jika hudud dilaksanakan di Kelantan, pesalah laku seksual kanak-kanak sudah pasti akan berkerumun di Kelantan. Di sana mereka boleh rogol kanak-kanak atau orang dewasa, inilah dia hudud PAS.

Kesilapan besar Datuk Noor Farida adalah beliau tidak tahu bahawa  Kanun Jenayah Syariah Kelantan tidak memasukkan kesalahan rogol sebagai satu jenayah hudud malah mengekalkan kesalahan rogol tersebut dibawah kuasa Mahkamah Sivil berdasarkan seksyen 375 Kanun Keseksaan. Sudah tentu kaedah pembuktian di Mahkamah Sivil berlainan dengan hukuman hudud yang di bicarakan di Mahkamah Syariah. Mungkin Datuk Noor Farida tidak tahu atau tidak perasan bahawa jenayah rogol tidak dimasukkan dalam Kanun Jenayah Syariah sehinggakan beliau membuat contoh hukuman hudud Kelantan dengan kes rogol. Maka sekiranya keputusan siasatan menunjukkan bahawa seorang perempuan telah dirogol, maka pendakwaan kes terus akan terus dibuat di Mahkamah Sivil berdasarkan peruntukan Kanun Keseksaan dan bukannya di bawah kesalahan hudud. Maka kesimpulan yang dibuat beliau bahawa “pesalah laku seksual kanak-kanak sudah pasti akan berkerumun di Kelantan” adalah bersifat pandangan yang naïf.

Walaupun beliau memberitahu bahawa beliau seorang Islam dan memperaktik Islam tetapi saya percaya banyak perkara yang beliau tidak tahu mengenai hukum Islam. Ayat al-Quran yang menjadi sandaran kepada masalah saksi zina ini adalah bersifat qatie dilalah. Ayat 4 surah an-Nur:

وَٱلَّذِينَ يَرۡمُونَ ٱلۡمُحۡصَنَـٰتِ ثُمَّ لَمۡ يَأۡتُواْ بِأَرۡبَعَةِ شُہَدَآءَ فَٱجۡلِدُوهُمۡ ثَمَـٰنِينَ جَلۡدَةً۬ وَلَا تَقۡبَلُواْ لَهُمۡ شَہَـٰدَةً أَبَدً۬ا‌ۚ وَأُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمُ ٱلۡفَـٰسِقُونَ (٤(

Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka lapan puluh kali sebat dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasik.

Perlu di ingat bahawa DNA juga boleh di manipulasi dalam banyak keadaan. Contohnya air mani boleh sahaja di masukkan dalam kemaluan perempuan tanpa mengadakan hubungan seks. Ia boleh dimasukkan dengan menggunakan alat-alat tertentu. Oleh yang demikian, DNA pemilik air mani tersebut akan dituduh sama ada berzina atau merogol perempuan tersebut berdasarkan DNA yang ada pada air mani tersebut walaupun pemiliknya tidak berbuat demikian.

Sebab itulah al-Quran menetapkan bahawa pendakwa perlu mendatangkan 4 orang saksi yang melihat sendiri berlakunya perzinaan tersebut. Ulama pula menggariskan syarat-syarat khusus seorang saksi bagi membolehkan keterangannya diambil kira dan dipertimbangkan oleh Mahkamah dalam membuat keputusan.

Mungkin beliau tidak faham antara konsep baiyinah, syahadah dan qarinah dalam pembuktian kes. Mengatakan bahawa hudud menolak bukti saintifik seperti DNA dan cap jari adalah satu kekeliruan yang jelas. Walaupun DNA atau pun jari tidak diterima sebagai ‘syahadah’ dalam kes hudud tetapi ia masih boleh digunakan sebagai baiyinah dan qarinah bagi menyokong syahadah yang dikemukakan.

Beliau juga tidak faham konsep pendakwaan dalam Islam. Pihak yang mengendalikan pendakwaan bukanlah calang-calang orang untuk diberikan tanggungjawab. Ia mestilah daripada kalangan yang mahir serta berwibawa. Sebelum melakukan pendakwaan, kajian mesti dibuat dari pelbagai sudut termasuklah saksi serta pembuktian. Contoh yang selalu dibawa oleh golongan seperti ini adalah dalam kes rogol. Sekiranya seorang perempuan menuduh seorang lelaki telah merogolnya tetapi tidak mengemukakan bukti dengan 4 orang saksi, maka perempuan tersebut akan dikenakan hukuman had sebanyak 80 rotan. Adakah mereka fikir semudah itu hakim atau Mahkamah akan menjatuhkan hukuman tersebut. Adakah mereka fikir begitu hukum Islam? Sekiranya mereka fikir begitu, memang jelas sekali bahawa mereka sebenarnya memang tidak faham konsep pendakwaan dalam Islam.

Dalam Perundangan Islam, terdapat tiga kaedah untuk mensabitkan seseorang itu melakukan jenayah zina iaitu:

Kaedah Pertama: Ikrar atau Pengakuan. Seseorang yang telah melakukan pengakuan bahawa telah berzina maka hukuman ke atasnya ialah Hukum Hudud. Ulama berbeza pandangan dalam pemasalahan bilangan pengakuan yang perlu dilakukan oleh penzina sama ada memadai dengan sekali atau memerlukan kepada empat kali pengakuan.

Kaedah Kedua: Penyaksian oleh empat orang saksi yang adil, tidak fasiq dan melihat kejadian zina berlaku betul-betul dihadapannya. Sekiranya perkara ini berlaku maka hukuman ke atas tertuduh ialah Hukum Hudud.

Kaedah Ketiga: Qarinah. Ia bermaksud pembuktian terhadap perlakuan zina selain daripada kaedah pengakuan dan empat orang saksi. Hukuman yang dijatuhkan ke atas orang yang disabitkan zina melalui kaedah qarinah ialah Takzir bukan Hudud. Dalam Mazhab Maliki kaedah menggunakan qarinah digunapakai dalam pensabitan kes zina manakala Mazhab Hanafi, Syafie dan Hambali qarinah boleh digunakan tetapi hendaklah disiasat secara menyeluruh.

Sekiranya pembuktian berlaku mengikut kaedah pertama dan kedua, maka Mahkamah boleh mensabitkan tertuduh dengan hukuman hudud. Manakala perempuan tersebut akan dibebaskan tanpa sebarang hukuman kerana dia adalah seorang mangsa. Namun sekiranya pembuktian berlaku hanya melalui kaedah yang ketiga, Mahkamah masih boleh mensabitkan jenayah rogol tersebut tetapi tertuduh tidak dikenakan hukuman had. Hakim atau Mahkamah boleh mengenakan hukuman takzir keatas tertuduh atau pesalah rogol. Bukan bermakna sekiranya pihak pendakwaan tidak dapat mengemukakan 4 orang saksi, maka penjenayah rogol akan dibebaskan begitu sahaja. Itu adalah kefahaman yang salah!!
  



Monday, February 9, 2015

Nilai sebuah Surat Akuan Berkanun / Statutory Declaration (SD)



1.        Surat Akuan Berkanun atau Statutory Declaration atau lebih dimaklumi dengan nama SD adalah dikawal selia di bawah Akta Akuan Berkanun 1960 (Akta 13). Ada juga orang memanggilnya dengan nama Surat Sumpah atau Surat Akuan Bersumpah. Apakah nilai sebuah surat akuan  atau SD ini. Bolehkah ianya dijadikan bukti? Bolehkah ianya dijadikan asas untuk memulakan siasatan? Apakah hukuman yang dikenakan jika surat akuan itu mengemukakan fakta yang tidak tepat?

2.       Surat akuan lazim digunakan dalam proses perundangan. Banyak pejabat kerajaan menggunakan surat akuan dalam memproses permohonan tertentu daripada orang ramai. Antaranya seperti permohonan untuk memasukkan kaveat mesti dilampirkan dengan surat akuan pengkaveat yang menyatakan bahawa beliau mempunyai kepentingan yang boleh dikaveatkan di atas tanah tersebut. Pejabat Tanah juga menggunakan kaedah surat akuan dan laporan polis dalam memproses permohonan untuk mendapatkan geran hilang. Amanah Raya Berhad, misalnya menggunakan kaedah surat akuan ini yang mana mereka akan meminta pemohon yang memohon menggunakan khidmat ARB untuk membuat surat akuan dalam urusan pentadbiran harta sebelum mereka memulakan urusan pentadbiran harta pusaka si mati. Begitu juga, permohonan bagi mendapatkan surat kuasa mentadbir daripada Pejabat Pembahagian Pusaka Kecil juga menggunakan kaedah yang sama.

3.      Akta Akuan Berkanun 1960 tidak menyatakan apakah kelebihan atau manfaat yang terhasil daripada sesebuah surat akuan. Ianya hanya menyatakan kaedah atau format yang perlu digunakan dalam membuat surat akuan. Sesuatu surat akuan yang tidak mengikut formatnya boleh dicabar dan ditolak daripada digunakan. Akta tersebut juga menyatakan bahawa akuan yang dibuat menurut akta tersebut akan disifatkan sebagai akuan yang dibuat di bawah S. 199 dan 200 Kanun Keseksaan (Akta 574).

4.     S. 199 menyatakan bahawa sesiapa yang membuat kenyataan yang tidak benar kepada Mahkamah atau penjawat awam boleh diseksa sama seperti jika beliau memberikan keterangan palsu. S. 200 pula menyatakan bahawa sesiapa yang membuat keterangan atau akuan palsu secara tidak jujur boleh diseksa sama seperti seolah-olah ia telah memberikan keterangan palsu. Di bahagian Huraian S. 200 menyatakan - "Sesuatu akuan yang tidak boleh diterima sebagai keterangan semata-mata oleh sebab sesuatu yang tidak menurut peraturan, ialah akuan dalam erti seksyen 199 dan 200." Ini bermakna, surat akuan yang tidak benar mempunyai implikasi serius di sisi undang-undang.  Hukuman bagi sesiapa memberikan keterangan palsu adalah terkandung dalam S. 193 Kanun Keseksaan iaitu jika keterangan itu diberikan dalam peringkat perbicaraan kehakiman boleh dipenjara sehingga 7 tahun dan denda, manakala dalam hal-hal lain boleh dipenjara sehingga 3 tahun dan denda.

5.     Pejabat kerajaan lazimnya menggunakan kaedah surat akuan ini sebagai kaedah untuk memastikan orang awam yang berurusan dengan mereka hanya akan mengemukakan fakta yang benar. Jika ada fakta yang tidak tepat diberikan, maka orang tersebut boleh didakwa atas kesalahan jenayah atas sebab mengemukakan fakta yang tidak betul. Jika perkara tersebut diketahui, maka pegawai kerajaan itu akan membuat laporan polis dan polis akan menyiasat samada fakta yang dinyatakan di dalam surat akuan tersebut adalah benar atau palsu. Setelah itu, pegawai polis itu akan menyerahkan kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya untuk memutuskan sama ada akan mendakwa orang tersebut.

6.     Oleh sebab itu, fakta yang terkandung dalam sesuatu surat akuan itu dianggap mempunyai nilai yang lebih kuat daripada penyataan biasa kerana ianya dikawal selia oleh undang-undang. Bagi pembuat surat akuan, beliau harus berhati-hati dalam membuat surat akuan kerana jika beliau mengemukakan fakta palsu, beliau boleh direman dan seterusnya didakwa di Mahkamah kerana memberikan pengakuan palsu.

7.     Namun, ramai juga yang teraniaya dengan surat akuan palsu ini. Antaranya seperti yang dinyatakan dalam kes Boonsoom Boonyanit vs Adorna Properties Sdn Bhd yang mana dalam kes itu ada seseorang telah menyamar sebagai Boonsoom dan telah membuat pengakuan palsu bahawa geran tanahnya hilang. Bertindak atas surat akuan itu, pejabat tanah telah mengeluarkan geran tanah yang baharu dan penyamar itu telah menjual tanah itu kepada pihak ketiga. Akhirnya Boonsoom telah kehilangan tanahnya itu. Begitu juga, jika kita masih ingat kes sodomi 1 yang mana pemandu DSAI iaitu Azizan telah membuat surat akuan yang didraf oleh Umi Hafilda yang mengatakan beliau telah diliwat oleh DSAI. Semua orang telah tahu DSAI telah dibebaskan daripada kes sodomi 1 tetapi surat akuan itu telah menyebabkan kehidupan dan karier politik DSAI kucar-kacir. Dalam kes surat akuan Altantuya yang dibuat oleh PI Bala, sehingga beliau mati, tiada siasatan konkrit yang dibuat terhadap kebenaran fakta yang dibuat oleh PI Bala itu, tetapi surat akuan PI Bala itu telah mencetuskan polemik besar kepada Perdana Menteri. Kita sendiri tidak pasti kenapakah pihak polis tidak menyiasat surat akuan PI Bala ini. Dalam kes, Danaharta Managers Sdn Bhd vs Samaworld (Asia) Sdn Bhd [2006] 2 MLRH 882, Hakim Dato' Noor Azian Shaari telah menolak surat akuan yang dibuat bagi memasukkan kaveat kerana surat akuan itu tidak mendedahkan apa-apa kepentingan yang boleh dikaveatkan dan akhirnya kaveat itu dibatalkan.

8.     Oleh itu, bagi saya surat akuan bukanlah boleh dianggap sebagai bahan bukti kecuali ianya termasuk dalam pengecualian yang dibenarkan oleh undang-undang seperti 'dying declaration'. Surat akuan itu hanyalah perspektif daripada pembuatnya bahawa penegasan fakta yang terkandung di dalam surat akuan itu sebagai mempunyai merit dan beliau sanggup dihadapkan dengan pendakwaan jenayah jika fakta itu tidak benar. Sesuatu surat akuan juga bukanlah suatu justifkasi untuk memulakan apa-apa tindakan undang-undang seperti untuk memecat atau mendakwa seseorang. Tindakan pemecatan atau pendakwaan hanya akan dimulakan jika kertas siasatan dibuka. Bagi sebuah syarikat misalnya jika ada pekerja syarikat yang membuat surat akuan, maka ianya harus diteruskan dengan aduan rasmi kepada pihak HR syarikat tersebut. Pihak HR akan memanggil pengadu dan yang diadu untuk mendapatkan keterangan lanjut. Jika perlu, suatu siasatan dalaman akan dibuat untuk memanggil saksi-saksi dan untuk pengemukaaan dokumen. Bagi tindakan jenayah, selain surat akuan, suatu laporan polis atau 'first information report' perlu dibuat.

9.     Manakala, bagi yang berasa diri mereka teraniaya dengan fakta sesuatu surat akuan harus membuat laporan polis supaya pihak polis boleh membuka kertas siasatan dan seterusnya mendakwa orang itu. Selain itu, orang yang teraniaya itu juga boleh memulakan tindakan guaman seperti tindakan guaman fitnah ke atas pembuat surat akuan tersebut [Lihat PANG FEE YOON v. PIONG KIEN SIONG & ORS  [1999] 8 CLJ 383; [1999] 3 AMR 3464; Dalam kes ini, Hakim Suriyadi Halim Omar telah mengawardkan sejumlah lebih RM900,000-00 terhadap defendan-defendan kerana fitnah yang berbangkit daripada surat akuan tersebut]
  
10.    Seperkara lagi, dalam Islam, kaedah surat akuan ini tidak ada. Dalam Islam, kaedah yang digunakan adalah kaedah iqrar atau pengakuan. S. 17 Akta Keterangan Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 561) menyatakan bahawa Iqrar ialah suatu pengakuan yang dibuat oleh seseorang, secara bertulis atau lisan atau dengan isyarat, menyatakan bahawa dia mempunyai obligasi atau tanggungan terhadap seseorang lain berkenaan dengan sesuatu hak. Sesuatu iqrar hendaklah dibuat - di dalam Mahkamah, di hadapan Hakim; atau jika di luar Mahkamah, di hadapan dua orang saksi lelaki yang 'aqil, baligh dan 'adil.

11.    Bagi seseorang Islam, lebih baik jika beliau menurut kaedah yang ditetapkan dalam Hukum Syarak kerana itu lebih adil dan lebih amanah. Kaedah pembuktian dalam Hukum Syarak lebih ketat daripada kaedah undang-undang sivil. Ada hikmah yang besar daripada kaedah pembuktian yang ketat di dalam Hukum Syarak. Bagi sesuatu tuntutan yang dibuat di Mahkamah Syariah, semuanya mesti melalui proses perbicaraan supaya hakim dapat menilai bukti yang dikemukakan itu. Jika bukti itu samar-samar atau hanya bukti cakap dengar maka ianya akan ditolak oleh Mahkamah meskipun ada surat akuan.

Sekian. Wallahualam.
Dr. Zulqarnain Lukman.
Peguambela & Peguamcara
9 Februari 2015 / 19 Rabiul Akhir 1436H

Dipetik dari blog Peguam Muda