hasbunallah

hasbunallah

Wednesday, April 22, 2009

Mencari Barakah


Semalam (21/04/2009) seusai memberikan kuliyah maghrib di Masjid at-Tawwabeen Kg. Tanjung Kuala, Tumpat adik saya telah memberitahu akan kedatangan al-Alim al-Allamah Habib Ali bin Muhammad al-Jufri ke Bandar Tumpat ini.

Lalu saya merebut peluang yang jarang diperolehi ini dengan menghadiri majlis pertemuan dengan ulama Indonesia itu yang telah diadakan di Rumah Tamu Baitul Jamil, Kastam Di Raja Malaysia. Dalam majlis tersebut turut diadakan bacaan qasidah, burdah serta maulid nabi Khairul Anam.

Sebagai penutupnya, Habib Ali telah berbesar hati menyampaikan maui’zah al-hasanah buat kami. Beliau menekankan supaya para hadirin mengikuti jejak langkah dalam kehidupan Rasulullah s.a.w. Tidak ada sebaik-baik contoh ikutan selain Rasulullah s.a.w. Beliau juga turut berpesan supaya terus berpegang dengan aqidah ahlu sunnah wal jamaah.

Walaupun majlis tersebut tamat lewat tengah malam, namun ia cukup menguja jiwa saya tatkala berpeluang untuk bertemu dengan ulama yang hebat itu. Semoga Allah memberkati kami dengan ulama-ulama pewaris nabi tersebut.

Sunday, April 19, 2009

Mesyuarat Agung Pas Kawasan Tumpat Ke 52


Semalam (18/04/2009) Pas Kawasan Tumpat telah mengadakan mesyuarat agungnya untuk kali ke 52 bertempat di Dewan Bunga Raya, Pantai Sri Tujuh Tumpat. Saya sebagai perwakilan Dewan Pemuda Pas Kawasan Tumpat turut hadir bagi menunaikan tanggungjawab yang telah diamanahkan itu. Perasmian mesyuarat agung ini telah disempurnakan oleh YB Dato Mohd Amar Nik Abdullah, Exco Kerajaan Negeri Kelantan.

Walaupun mesyuarat kali ini mempunyai pemilihan ahli jawatankuasa Pas yang baru, namun Pas Kawasan Tumpat telah membuat syura dab menetapkan bahawa 3 jawatan tertinggi iaitu Yang Di Pertua, Timbalan Yang Di Pertua dan Naib Yang Di Pertua adalah tidak dipertandingkan. Jadi syura telah menetapkan bahawa YB Dato' Hj. Ahmad Yaacob (TMB) adalah YDP Pas Kawasan Tumpat, YB Mohd Zaki Hj Ibrahim (Adun Kelaboran) sebagai Timbalan YDP dan YB Che Abdullah Mat Nawi (Adun Wakaf Bharu) sebagai Naib YDP.

Saya amat bersyukur kerana jawatan tertinggi itu telah diputuskan melalui syura. Saya juga mengucapkan tahniah kepada ketiga-tiga YB tersebut diatas pemilihan mereka yang pada pandangan saya cukup tepat serta gandingan yang mantap bagi meneruskan aspirasi Allahyarham Hj. Wan Mohd Jamil Wan Mahmood.

Nama saya juga turut mendapat pencalonan untuk bertanding sebagai ajk Pas Kawasan Tumpat, namun saya menarik diri dari pencalonan kerana memikirkan saya tidak mampu untuk memikul tanggungjawab yang sedia ada ini. Jadi saya beri laluan kepada mereka yang lebih layak untuk mengisi jawatan tersebut.

Saya doa dan harapkan dengan kepimpinan baru ini, Pas Kawasan Tumpat akan terus bergerak maju dalam menongkah arus politik negara ini.

Takbir!!!!!!!!!

Saturday, April 11, 2009

AGM DPPKT KE 32


Semalam (10/04/2009) Dewan Pemuda Pas Kawasan Tumpat (DPPKT) telah mengadakan mesyuarat agung tahunan kali ke 32 yang telah dirasmikan oleh exco Kerajaan Negeri Kelantan, YB Che Abdullah Mat Nawi. Walaupun diserang demam yang agak teruk, saya tetap gagahkan diri untuk hadir bagi menunaikan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada saya.

Saya juga sempat menjawab beberapa persoalan yang diajukan oleh perwakilan yang hadir serta turut membahaskan usul-usul yang dikemukakan oleh pemuda cawangan kepada Dewan Pemuda Pas Kawasan Tumpat. Alhamdulillah, saya telah diberikan Allah kemampuan untuk bertahan sehingga mesyuarat tersebut tamat. Sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Pas, DPPKT telah mengadakan pemilihan ajk baru bagi sesi 2009/2011 dan saya juga turut terpilih untuk menganggotai saf kepimpinan baru tersebut.

Thursday, April 9, 2009

Bila Rakyat Membuat Pilihan

Berita kemenangan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dalam Pilihan Raya Kecil P059 Bukit Gantang membuatkan semua rasa penat dan letih telah terbayar kesemuanya. Hampir dua minggu saya dan pasukan peguam Jabatan Undang-Undang & Hak Asasi Manusia (JUHAM) Pas Pusat berkampung di Bukit Gantang bagi memantau perjalanan pilihan raya kecil di sana serta memberikan nasihat perundangan kepada parti.

Sepanjang keterlibatan saya dalam pilihan raya, ini adalah pilihan raya yang dapat mengumpulkan hampir 30 orang peguam dari Kelantan, Selangor, Johor, Terengganu dan Perak sendiri. Biasanya pasukan peguam dari Kelantan akan mendominasi, namun kali ini Selangor turut menghantar pasukan peguam yang hampir sama banyak dengan Kelantan.

Sepanjang tempoh berkempen bermula dari hari penamaan calon hinggalah hari pengundian, pasukan peguam telah mengendali serta menguruskan pelbagai kes yang melibatkan hal-hal perundangan terutamanya dengan pihak polis. Satu kes menjadi tumpuan media semasa kempen ialah kes ‘londeh’ seluar.

Pihak kami telah mendapat panggilan telefon dari Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang mengatakan mereka memerlukan bantuan kami untuk membuat satu laporan polis di Balai Polis Simpang. Saya, Nik Bahrum (my boss) dan Nurul Huda terus bergegas ke sana bagi membantu mereka.

Apabila sampai di sana, pihak kami di maklumkan bahawa salah seorang Srikandi PKR cuba dilondehkan seluarnya oleh penyokong BN sewaktu dia dan beberapa orang yang lain sedang menyebarkan risalah kempen.

Satu kenyataan yang perlu diterima oleh semua orang terutamanya BN/ UMNO bahawa rakyat Perak terutamanya penduduk Bukit Gantang masih menaruh kepercayaan kepada Datuk Seri Nizar. Buktinya ialah beliau telah diisytiharkan sebagai memenangi pilihan raya Bukit Gantang tersebut dengan majoriti 2,789 undi berbanding 1,566 yang diperolehi oleh Allahyarham Roslan Shaharum dalam pilihan raya umum ke 12 yang lalu.

Peningkatan undi tersebut sendiri sebagai jawapan terhadap semua tuduhan dan tohmahan yang dilemparkan oleh BN/ UMNO terhadap Datuk Seri Nizar. Oleh itu saya cadangkan BN/ UMNO supaya bermuhasabah diri dalam menerima kekalahan ini. Terlalu banyak tuduhan dan tohmahan yang dilemparkan UMNO terhadap Datuk Seri Nizar, terutamanya mengenai isu penderhaka kepada raja. Padahal UMNO yang bodoh sombong untuk tidak mahu menerima makna sebenar ‘mohon sembah derhaka’ Datuk Seri Nizar.

Kalau diteliti sejarah Malaysia, UMNO adalah parti yang telah menderhakai raja atau sultan sejak dulu lagi. Banyak keratan-keratan akhbar tersebut didedahkan semasa kempen pilihan raya Bukit Gantang yang lalu mengenai pencabulan UMNO terhadap institusi raja perlembagaan di Malaysia. Entahlah, penat saya mahu mengulas isu tersebut apatah lagi fikiran saya masih lagi penat kerana sampai di Kota Bharu dari Perak pukul 2.30 pagi semalam.

Sebelum bertolak balik, semua peguam yang terlibat dalam PRK Bukit Gantang telah mengadakan mesyuarat terakhir untuk memberikan laporan sepanjang kempen kepada Aminuddin Zulkipli selalu penasihat undang-undang dalam PRK Bukit Gantang ini. Kami diberikan penghormatan apabila Datuk Seri Nizar sudi meluangkan masa untuk bersama kami serta merakamkam ucapan terima kasih diatas bantuan yang kami berikan.

Betapa manisnya apabila segala penat lelah selama ini dibayar Allah s.w.t dengan sebuah kemenangan. ALLAHU AKBAR!!!!!



Monday, April 6, 2009

Gelombang 3 di Bukit Gantang

Saya bertolak ke Bukit Gantang sejak hari Jumaat yang lalu bagi menyertai Gelombang 3, Jabatan Undang-Undang & Hak Asasi Manusia (JUHAM), Dewan Pemuda Pas Pusat. Saya akan berada di Bukit Gantang sehingga hari pengundian bagi memastikan undang-undang pilihan raya tidak dicabuli. Lebih kurang 6 hari juga berada disini dan sepanjang tempoh tersebut, saya terpaksa tinggalkan isteri tersayang sendirian di rumah. Apa boleh buat, inilah adat orang berjuang. Namun begitu, terima kasih saya ucapkan buat isteri saya itu kerana memahami situasi saya ketika ini dan merelakannya.


Banyak juga tugas yang perlu diselesaikan disini terutamanya dalam aspek undang-undang. JUHAM telah membekalkan peguam-peguam yang berpengalaman dalam undang-undang pilihan raya untuk memantau setiap tempat pembuangan undi. Ini bagi memberikan nasihat dalam segi perundangan kepada petugas PAS.

Gerak kerja pilihan raya dalam PRK Bukit Gantang ini agak mengujakan saya kerana terdapat wakil Juham dari Selangor, Johor dan Terengganu yang turut saya turun memberikan bantuan. Sebelum ini selalunya Juham pusat dan Luham Kelantan sahaja yang selalu menguasai keadaan. Semoga kebersatuan hati kita dalam gerak kerja kali ini akan berterusan.