hasbunallah

hasbunallah

Saturday, November 13, 2010

Hujung minggu bersama ulama


Hujung minggu ini saya rasakan terlalu bertuah kerana Allah SWT telah mentaqdirkan seorang ulama nusantara yang hebat, al-Alim al-Allamah as-Syeikh Muhammad Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki telah datang ke Kelantan, Negeri Serambi Mekah ini.

Sempena kedatangan ulama besar itu, beberapa majlis ilmu telah dijadualkan bagi memenuhi kesempatan yang terbuka ini bermula dengan kuliyah subuh di Masjid Muhammadi, Kota Bharu, kuliyah Maghrib di Masjid al-Karomah Baung dan kuliyah Maghrib di Masjid Langgar. Paling utama sekali ialah talaqqi kitab hadis لا تحقن من المعروف شيئا  yang dikarang oleh beliau sendiri menghimpunkan sejumlah hadis terpilih.  Talaqqi kitab hadis tersebut telah diadakan di Pondok Pasir Tumboh selama dua hari.

Alhamdulillah, saya telah berpeluang untuk mengikuti program tersebut dengan jaya. Memang berbaloi kerana kupasan mengenai hadis dan isu-isu berkaitan begitu jelas sekali disertakan contoh serta cerita-cerita yang menarik. Sambutan para pencinta ilmu begitu hebat sekali dengan memenuhi ruangan masjid.

Semoga Allah swt memberikan peluang diwaktu yang lain pula untuk menimba khazanah ilmu yang sangat luas dari ulama besar nusantara itu InsyaAllah..  



Sunday, November 7, 2010

MengGalas tanggungjawab & memikul amanah


Bermula selepas Adun Galas Che Hashim Sulaima meninggal pada 27 September 2010, kerana barah usus, bermulalah pihak kepimpinan parti menyerahkan amanah dan tanggungjawab untuk digalas bagi mempertahankan Dun Galas.

Walaupun saya turut terlibat dengan gelombang-gelombang ke Galas dalam Dewan Pemuda Pas Negeri Kelantan (DPPNK) dan Dewan Pemuda Pas Kawasan Tumpat (DPPKT), namun saya terpaksa memberikan penumpuan terhadap tugas saya untuk mengkoordinasi para peguam Lajnah Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (LUHAM), Dewan Pemuda Pas Negeri Kelantan sepanjang tempoh tersebut sehinggalah kepada hari pembuangan undi pada 04/11/2010.

Memang tidak dinafikan agar sukar mengatur jadual tugas para peguam disana kerana kebanyakan peguam yang terlibat masing-masing mempunyai kes bicara di Mahkamah. Manakala kedudukan Galas dihujung negeri yang mengambil masa hampir 3 jam perjalanan dari Kota Bharu menambahkan lagi kesukaran.

Namun dengan bantuan Pengerusi Luham dan rakan-rakan peguam yang lain, kami cuba untuk menyediakan perkhidmatan terbaik sepanjang tempoh PRK Galas ini. Ternyata, sepanjang tempoh tersebut tiada kejadian atau peristiwa penting yang memerlukan khidmat para peguam sepenuhnya kecuali dihari pembuangan undi.

Malah saya sendiri antara salah seorang peguam yang ditugaskan untuk memantau pembuangan undi orang asli di Pos Brooke dan Pos Endrop. Namun demi tugas yang perlu diGalas, saya dan para sahabat menunaikan amanah tersebut sedaya mampu.

Memang tidak dinafikan, terdetik sedikit rasa kekecewaan apabila kita gagal untuk mempertahankan Dun Galas. Namun pada hakikatnya terlalu banyak hikmah dan pengajaran yang dapat diambil sebagai panduan dilain masa. Yang penting, ALLAH YANG MENENTUKAN SEGALA-GALANYA!!

Terima kasih saya ucapkan kepada Luham Perak, Luham Terengganu dan Luham Selangor yang turut serta menghantar jentera peguam bagi membantu kami di Galas ini. Hanya Allah sahajalah yang dapat membalas jasa kalian.

Friday, November 5, 2010

SPR; be gentleman please!!

Terlalu jelas bagi saya apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah membuat kenyataan bahawa tindakan YAB  Dato' Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat memberikan sumbangan wang kepada orang asli yang baru memeluk Islam sebagai rasuah. Manakala pada masa yang sama juga SPR menyatakan tindakan puak Umno memberikan menaburkan RM20 kepada orang ramai sebelum majlis makan malam anjuran Wanita Umno di Batu Sapi, Sabah.

Walaupun memang saya yakin bahawa SPR bukan satu badan bebas sebagaimana yang ditetapkan undang-undang serta yang dicanangkan oleh mereka dan Umno, tapi kenyataan yang dibuat SPR itu membuatkan diri mereka lebih menyerlah. Sejak bila SPR jadi jurucakap Umno atau pun salah satu cabang lidah Umno? Setahu saya SPR ditubuhkan untuk mengendali dan mengawal pilihan raya supaya lebih adil dan telus, tapi sejak bila pulak SPR mengambil alih tugas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam menentukan mana satu tindakan yang rasuah dan mana satu yang tidak? Nampaknya SPR ini seperti anak murid ularmak Umno Ustaz Nor Deris yang boleh kasyaf sehinggakan SPR tahu niat hati seseorang untuk memberikan rasuah atau tidak!

Tindakan tersebut membuatkan saya makin meluat dengan SPR. Apatah lagi SPR seolah menutup mata dengan tindakan puak Umno yang memberikan beras dan duit kepada orang asli yang mengundi di Pos Brooke. Perkara ini boleh disahkan oleh Mafrel cawangan Perak yang kebetulan berada di sana ketika itu. Mana SPR? Ataupun mereka sudah tahu niat Umno memberikan barang-barang tersebut adalah bukan rasuah.

Dalam pemerhatian saya, setiap kali adanya pilihan raya sudah memadai bagi Umno membiarkan SPR membuat kenyataan bagi pihak mereka. Saya tidak pasti siapa bapak dan siapa anak. Adakah Umno itu bapak atau SPR itu anak?!

Tuesday, October 19, 2010

Pembelaan Terhadap Tuduhan Benjamin Stephen


Umat Islam Malaysia digemparkan oleh satu video clip seorang paderi yang bernama Benjamin Stephen telah menghina Islam dan Nabi Muhammad s.a.w dalam satu ceramahnya di sebuah gereja di Bandar Kuching Sarawak. Saya telah mengikuti sebahagian ceramah yang berupa 'tuduhan jahat' paderi tersebut yang telah diposkan kepada saya.

Atas dasar kesedaran dan bagi membela Islam sebagai sebuah agama yang kita imani serta Rasulullah yang kita ikuti, saya menulis jawapan yang merupakan pembelaan terhadap tuduhan jahat Paderi Benjamin Stephen itu satu persatu. Semoga Allah s.w.t memberikan hidayah serta pertolonganNya kepada saya sekadar kemampuan saya demi membela agamaNya serta kekasihNya.

Sebuah Pembelaan Yang Benar.

Tuduhan 1

Paderi tersebut menyatakan umat Islam bersolat 5 kali sehari. Setiap kali solat umat Islam akan membacakan Surah al-Fatihah. Paderi tersebut memetik ayat 6 Surah al-Fatihah serta memberikan terjemahan ' Tunjukkanlah Kami jalan yang benar'. Dia sekali lagi menafsirkan bahawa sejak lebih 1400 tahun dahulu lagi Nabi Muhammad membaca ayat tersebut. Maka tatkala dia membaca surah tersebut, datang 'petunjuk Tuhan' bahawa ayat tersebut membuktikan bahawa Nabi Muhammad belum menemui jalan yang benar sehinggakan Baginda bermohon sedemikian. Lalu dia berkata, apakah patut kita mengikuti seseorang yang tidak pernah menemukan jalan tujuannya dengan membuat perbandingan adakah kita patut menaiki kapal terbang sedangkan juruterbangnya tidak tidak hendak kemana dan dimana hendak mendarat?

Jawapan:

Paderi tersebut dengan niat jahat telah menyeleweng dalam memberikan tafsiran terhadap ayat 6 Surah al-Fatihah. Dia yang tidak mempunyai pengetahuan mengenai pendapat para ahli mufassirin Islam mengenai tafsir surah al-Fatihah serta dengan sewenang-wenangnya memberikan tafsir mengikut hawa nafsu jahatnya.

Al- Hafiz Imaduddin Abul Fida’ Ismail bin Umar bin Kathsir al- Quraisyi al- Dimasyqi telah menyebut dalam kitab tafsirnya dalam menafsirkan ayat 6 Surah al-Fatihah tersebut serta menanggapi persoalan yang sama sebagaimana yang dikemukakan oleh Paderi Benjamin Stephen itu bahawa:-

Jika ditanya mengapa seorang Mukmin meminta hidayah pada setiap saat, baik siang dan malam hari, nescaya Allah swt akan membimbingnya kearah itu. Selain itu, setiap hamba sentiasa memerlukan Allah setiap saat dan situasi agar diberikan keteguhan, kemantapan, penambahan dan kesentiasaan keberadaan dalam hidayah sebab ia tidak kuasa memberikan manfaat atau mudharat kepada dirinya sendiri kecuali jika Allah swt menghendaki. Oleh kerana itu Allah swt selalu membimbingnya untuk sentiasa memohon agar Dia memberikan pertolongan keteguhan dan taufik kepadanya[1].  

Alasan lainya, Allah swt juga telah memerintahkan orang-orang Mukmin untuk tetap beriman. Namun demikian hal itu bukan termasuk tahshilul hashil, kerana maksudnya adalah perintah untuk selalu komitmen, konssten, dan selalu melakukan amal-amal yang dapat membantu terjaganya iman tersebut.

Dengan demikian, makna firman Allah swt dalam ayat 6 Surah al-Fatihah adalah “Teruslah Engkau bimbing kami di jalan lurus itu dan jangan pernah Engkau simpangkan ke jalan yang lainnya.”[2]


Maka tafsiran yang dibuat oleh Paderi Benjamin Stephen bahawa permohonan begitu adalah dibuat oleh orang yang masih dalam kegelapan adalah terlalu jauh menyimpang dari maksud sebenar yang dikehendaki oleh para mufassirin mengenai ayat 6 Surah al-Fatihah tersebut. Maka ia bermakna bahawa Rasulullah saw dan umat Islam sememangnya telah berada diatas jalan yang lurus, cuma ayat tersebut merupakan satu doa kepada Allah swt agar mengekal Rasulullah saw dan umat Islam selama-lamanya diatas jalan yang lurus. 

Tuduhan 2

Paderi Benjamin Stephen memetik ayat 32 Surah al-Isra’ yang bermaksud: “Janganlah kamu menghampiri zina,” lalu menambah tetapi Nabi Muhammad isterinya sampai 23 orang. Paling tua berumur 40 tahun dan paling muda berumur 6 tahun.

Jawapan:

Ternyata Paderi Benjamin Stephen berniat jahat untuk memburuk-burukkan Rasulullah saw semata-mata kerana kenyataannya itu adalah tidak disandarkan kepada penjelasan yang dibuat oleh ulama Islam. Malah kesemua kenyataannya itu hanyalah dibuat berdasarkan pemikiran ceteknya semata-mata.

Paderi tersebut ternyata keliru dengan maksud zina dan isteri. Mengikut Kamus Dewan Bahasa Edisi Empat, zina itu bermaksud persetubuhan yang tidak sah atau haram bukan antara suami isteri[3]. Manakala Imam al-Qadhi Abi al-Walid al-Qurthubi al-Andalusi atau lebih dikenali sebagai Ibn Rusyd menafsirkan zina sebagai setiap persetubuhan yang terjadi tanpa didasari pernikahan yang sah dan juga syubhat dalam pernikahan dan tidak pula didasari oleh pemilikan budak.[4] Manakala Kamus Dewan Bahasa Edisi Empat memberikan maksud kepada isteri sebagai perempuan yang sudah berkahwin.[5] Kahwin pula bermaksud perikatan yang sah antara lelaki dengan perempuan menjadi suami isteri.[6]

Maka perbuatan paderi tersebut yang menyamakan perkahwinan Rasulullah tersebut dengan perbuatan zina adalah suatu tuduhan jahat yang amat menyesatkan. Bagaimana seorang yang bertaraf paderi begitu dangkal dan gagal dalam membezakan antara perbuatan zina dan pernikahan!

Pada terlalu jelas perbezaan maksud dan makna berkaitan perkataan isteri dan zina. Saya percaya bahawa paderi tersebut keliru dengan ajaran agamanya yang mengamalkan pernikahan ‘monogamy’ iaitu seorang lelaki hanyalah dibenarkan berkahwin dengan seorang wanita sahaja. Sekiranya ada lelaki yang mengamalkan pernikahan lebih dari seorang isteri, bagi mereka itu menyamai dengan zina. Yang peliknya, agama mereka melarang seorang lelaki berkahwin lebih dari seorang isteri, tetapi tidak mengapa jika lelaki atau wanita mereka mengadakan hubungan sulit dengan lelaki atau wanita lain.

Sepatut dan seharusnya paderi tersebut tidak menyamakan antara fahaman agamanya dengan ajaran agama Islam kerana ia adalah berlainan. Dalam segi aqidah pun Islam dan Kristian sudah terlalu jauh berbeza apatah lagi segi hukum- hakam agama.

Entah daripada mana paderi tersebut memperolehi sumber yang mengatakan bahawa Rasulullah saw mempunyai 23 orang isteri! Syeikh Ibrahim Muhammad Hassan al-Hambal[7] mencatatkan bahawa Rasulullah pernah berkahwin dengan 14 orang wanita. Manakala Imam az-Zahabi meriwayatkan dari Said bin Arubah dari Qatadah bahawa Rasulullah SAW telah berkahwin dengan 15 orang wanita[8]. Jadi tuduhan paderi tersebut mengenai jumlah isteri Rasulullah sebanyak 23 orang itu adalah satu tuduhan bohong yang tidak mempunyai asasnya sama sekali. Malah ada tikanya paderi tersebut menuduh Rasulullah mempunyai 27 orang isteri. Jadi, pembohongan yang dikemukakan oleh paderi itu sendiri tidak konsisten 23 atau 27 yang membuktikan bahawa dia tidak mempunyai asas atau sumber yang benar-benar boleh dipercayai untuk menuduh demikian.

Antara tuduhan jahat paderi tersebut ialah dengan mengatakan bahawa Rasulullah itu adalah seorang pedofilia[9]. MasyaAllah, ini adalah satu tuduhan yang paling jahat dibuat oleh paderi tersebut untuk mengelirukan manusia.

Paderi tersebut nampaknya terlalu jahil dengan kisah Nabi SAW dan suasana semasa. Dia cuba membayangkan umur Ummul Mukminin Aisyah r.a ketika berkahwin dengan Rasulullah 6 tahun manakala tinggal bersama Rasulullah ketika berusia 9 tahun[10] dengan keadaan semasa dan bukannya mengambil kira zaman tersebut.

Sekiranya diteliti sejarah masyarakat dahulu kala, kebanyakan bentuk fizikal mereka adalah amat berbeza dan mereka lebih besar serta kuat jika hendak dibandingkan dengan masyarakat sekarang. Kebiasaan gadis pula akan mencapai umul aqil balighnya disaat usia 9 tahun. Aisyah r.a adalah satu-satunya isteri Rasulullah yang merupakan masih gadis sewaktu nikahi baginda sedang isteri-isteri Rasulullah yang lain merupakan janda[11].

Jika benar tuduhan jahat paderi tersebut yang mengatakan bahawa Rasulullah itu seorang yang sukakan seks, maka kenapa baginda memilih untuk menikahi isteri-isteri baginda yang berstatus janda? Sepatutnya baginda akan menikahi dengan para gadis yang tentunya ramai diwaktu itu.

Oleh yang demikian, tuduhan paderi tersebut merupakan satu niat jahat untuk mengelirukan umat manusia dengan fakta-fakta yang terpesong serta tidak mempunyai asas yang benar sama sekali.


Tuduhan 3:

Paderi tersebut secara jahat menuduh bahawa Rasulullah SAW melakukan pembunuhan ketika melakukan penaklukan. Sekiranya tidak memeluk Islam, maka orang tersebut akan dibunuh.

Jawapan:

Dalam sejarah Islam dua perkataan digunakan untuk menggambarkan peperangan iaitu ghazwah (peperangan yang disertai Rasulullah) dan saariyah (ekspedisi peperangan yang tidak disertai Rasulullah tetapi diketuai oleh salah seorang dari sahabat baginda)[12]. Dalam sejarah Rasulullah, telah terjadi sebanyak 28 ghazwah dan hanya 9 sahaja daripadanya yang terjadi pertempuran. Manakala yang selebihnya adalah penyerahan diri oleh pihak musuh. Saariyah pula berlaku sebanyak 38 kali.

Peperangan berlaku adalah atas arahan Allah swt sebagaimana dalam ayat 193 surah al-Baqarah.

Dan perangilah mereka itu, sehingga tidak ada fitnah lagi dan (sehingga) ketaatan itu Hanya semata-mata untuk Allah. jika mereka berhenti (dari memusuhi kamu), Maka tidak ada permusuhan (lagi), kecuali terhadap orang-orang yang zalim.


Peperangan pula berlaku bukannya disebabkan atau dimulai oleh Rasulullah atau para sahabat, tetapi ianya dimulakan oleh kaum kafir. Ia juga dinamakan peperangan mempertahankan diri dari serangan musuh[13]. Contohnya ghazwah al-Badar Kubra, rombongan tentera pimpinan Rasulullah hanyalah berniat untuk menyekat kafilah dagangan Abu Sufyan bagi mengambil kembali harta kaum Muslimin yang dirampas kafir Quraisy sewaktu di Mekah dahulu[14]. Namun Rasulullah gagal untuk menyekat kafilah tersebut tetapi pada masa yang sama telah mendapat berita bahawa tentera musyrikin Mekah diketuai Abu Jahal dalam perjalanan untuk menyerang rombongan Rasulullah. Manakala ghazwah Uhud pula berlaku apabila kaum musyrikin Mekah bertindak untuk menuntut bela diatas kekalahan mereka di medan Badar.

Manakala saariyah atau peperangan yang diketuai oleh para sahabat Rasulullah terutamanya untuk membuka kota-kota atau negeri pula adalah antara cara dakwah yang dilakukan secara damai. Para utusan membawa surat Rasulullah atau panglima mereka kepada pemerintah sesuatu kota atau negeri dengan aman menyeru kepada Islam. Rasulullah melarang angkatan tenteranya membunuh sehinggalah mereka diserang terlebih dahulu sebagaimana hadis Rasulullah SAW [15]:


Maka tuduhan paderi tersebut sekiranya orang musyrik tidak memeluk Islam semata-mata akan dibunuh adalah tidak benar sama sekali kerana Rasulullah SAW melarang para tenteranya untuk membunuh sehinggalah mereka dibunuh sebagaimana hadis diatas.

Manakala tuduhan paderi tersebut mengenai jihad dalam ceramahnya itu tidak benar sama sekali. Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani menyatakan bahawa jihad itu pada asalnya dalam syariat Islam diertikan dengan pengertian perang. Di dalam hadis-hadis Rasulullah, kata jihad adakalanya dipakai dengan pengertian sungguh-sungguh dan ada kalanya dengan pengertian perang. Kerana itu dalam penjelasan hadis-hadis berkenaan dengan jihad ini perlu kita bedakan mana jihad dengan erti perang dan mana jihad dengan erti bersungguh-sungguh[16].

Tidak dikemukakan sebarang bukti mengenai sumber bahawa membunuh seorang Kristian itu akan mendapat 7 bidadari di syurga. Sesungguhnya paderi tersebut telah berbohong sama sekali mengenai pengertian dan roh jihad dalam Islam.


Tuduhan 4:

Paderi tersebut menuduh bahawa orang Islam mempercayai bahawa malaikat rahmat itu takut anjing sebab itu orang Islam tidak boleh memelihara anjing.

Jawapan:

Paderi tersebut seolah-olah cuba untuk mengaburi mata masyarakat mengenai penemuan saintifik terhadap kuman atau virus yang terdapat pada anjing dan babi. Sebab itulah Allah mengharamkan anjing dan babi kepada umat Islam kerana kedua-duanya itu mempunyai virus yang merbahaya sebagaimana yang dinyatakan dalam Journal of Virology 1997. Allah SWT tidaklah mengharamkan sesuatu melainkan ianya mempunyai sebab-sebab tertentu yang kadang-kadang akal manusia masih belum mampu mencari jawapannya.

Tiada suatu pun kenyataan yang benar datang dari Islam yang menyatakan bahawa malaikat berkat atau rahmat itu takut kepada anjing. Maka jelaslah disini paderi tersebut telah berlaku dusta mengenainya.



Tuduhan 5:

Paderi tersebut menuduh bahawa orang Islam percaya bahawa malaikat itu rabun malam dengan mengambil kira adat orang Melayu yang kebiasaannya memasang pelita atau lampu dihalaman rumah mereka tanggal 27 Ramadhan atau 7 likur.

Jawapan:

Nampaknya terlalu cetek ilmu paderi tersebut sehingga tidak dapat membezakan antara ajaran Islam dengan adat kepercayaan sesuatu kaum. Memasang pelita atau lampu di malam 27 Ramadhan hanyalah adat orang Melayu semata-mata dan amalan tersebut tidak mempunyai asas sama sekali dalam mana-mana kitab ajaran Islam yang muktabar.

Paderi tersebut tidak memahami bahawa dalam ajaran Islam terdapat adat yang benar iaitu tidak menyalahi nas syariah dan adat fasid iaitu yang bercanggah dengan nas syariah. Islam hanyalah memperakui adat yang tidak menyalahi nas syariah sahaja untuk terus di amalkan oleh umat Islam dan bukan semua adat itu diguna pakai dalam Islam[17].

Oleh yang demikian, kefahaman paderi tersebut mengenai adat-adat dan ajaran Islam nampaknya terlalu jauh menyebabkan kata-katanya itu berupa kedustaan dan pembohongan.



Tuduhan 6:

Mengenai konsep ‘reborn’ atau dilahirkan semula dalam agama Kristian telah diadaptasi oleh Rasulullah SAW ke dalam ajaran Islam dengan penyesuaian baru.

Jawapan:

Memang Islam tidak mempunyai konsep kelahiran semula sebagaimana agama Kristian atau Hindu. Dalam agama Kristian dan Hindu, setiap manusia akan melalui kelahiran semula selepas mati yang mungkin berbeza daripada kehidupan pertama. Bagi mereka ada yang pada kehidupan pertamanya merupakan seorang lelaki atau wanita tetapi pada kehidupan selepas kelahiran semula adalah sebaliknya. Malah ada ketikanya pada kelahiran semula seorang manusia mungkin dijadikan sebagai haiwan.

Dalam Islam, setiap manusia akan menempuhi 6 alam bermula dengan alam roh, alam rahim, alam dunia, alam kubur (barzakh), alam mahsyar dan alam akhirat walaupun ada yang berpendapat bahawa roh manusia akan merentasi empat atau tujuh alam[18]. Manusia akan dibangkitkan di alam mahsyar untuk di adili oleh Allah SWT serta diberikan penghukuman terhadap semua perbuatan makhluk sepanjang hidupnya[19].

Jadi kehidupan selepas kematian itu merupakan suatu keimanan yang wajib sebagaimana yang difirmankan oleh Allah SWT dalam al-Quran dan bukannya suatu ajaran yang direka-reka oleh Rasulullah SAW sebagaimana dakwaan jahat paderi tersebut.

Sebagaimana yang dikatakan oleh paderi Benjamin Stephen, dalam Kristian terdapatnya kepercayaan mengenai ‘kelahiran semula’[20]. Namun begitu, dalam Bible juga terdapat konsep kehidupan selepas kematian[21]serta adanya pembalasan baik oleh Tuhan[22].

Oleh yang demikian, dalam kitab Injil mereka sendiri wujudnya ajaran mengenai kehidupan selepas mati serta mendapat balasan Tuhan mengenai amalan mereka. Maka, dimanakah lagi hendak dinafikan ajaran mereka sendiri tersebut?


Tuduhan 7 :

Paderi tersebut menuduh bahawa Rasulullah sengaja mendirikan Mekah dan Kaabah serta Hajarul Aswad yang diukir seperti ‘kemaluan perempuan’. Apabila pergi haji, semua orang akan memasukkan kepala kedalamnya dan apabila keluar imam akan memegang kepala lalu berkata : “Engkau telah suci. Dosa mu telah diampun!”  Kemudian mereka mencukur kepala kerana seperti setiap bayi yang baru lahir semua kepalanya botak.

Jawapan :

Nampaknya paderi tersebut terlalu naïf mengenai sejarah perkembangan Kota Mekah, Kaabah dan Hajarul Aswad. Sesungguhnya Kaabah itu sebenarnya telah didirikan oleh Nabi Ibrahim Khalilullah dan puteranya Nabi Ismail a.s[23] atas perintah Allah SWT:

Dan (ingatlah), ketika kami menjadikan rumah itu (Baitullah) tempat berkumpul bagi manusia dan tempat yang aman. dan jadikanlah sebahagian maqam Ibrahim[ialah tempat berdiri nabi Ibrahim a.s. diwaktu membuat Ka'bah.] tempat shalat. dan Telah kami perintahkan kepada Ibrahim dan Ismail: "Bersihkanlah rumah-Ku untuk orang-orang yang thawaf, yang i'tikaf, yang ruku' dan yang sujud".(125)  Dan (ingatlah), ketika Ibrahim berdoa: "Ya Tuhanku, jadikanlah negeri ini, negeri yang aman sentosa, dan berikanlah rezki dari buah-buahan kepada penduduknya yang beriman diantara mereka kepada Allah dan hari kemudian. Allah berfirman: "Dan kepada orang yang kafirpun Aku beri kesenangan sementara, Kemudian Aku paksa ia menjalani siksa neraka dan Itulah seburuk-buruk tempat kembali".(126) Dan (ingatlah), ketika Ibrahim meninggikan (membina) dasar-dasar Baitullah bersama Ismail (seraya berdoa): "Ya Tuhan kami terimalah daripada kami (amalan kami), Sesungguhnya Engkaulah yang Maha mendengar lagi Maha Mengetahui".(127)[24]


Maka tuduhan bahawa Rasulullah yang mendirikan Kaabah untuk itu adalah suatu pendustaan untuk memburukan nama Rasulullah SAW demi untuk mengatakan bahawa Rasulullah telah membinanya atas inisiatif sendiri.

Seterusnya paderi tersebut menggambarkan bahawa Hajarul Aswad itu dibuat seperti ‘alat sulit perempuan’ merupakan tuduhan jahat yang menggambarkan bentuk pemikirannya sendiri. Hajarul Aswad yang ada sekarang hanyalah lapan biji batu kecil sebesar biji kurma yang diletakkan pada damar yang dilingkungi dengan sebuah penutup yang diperbuat dari perak[25].  Bentuk luaran diperbuat dari perak itu dikatakan seperti ‘alat sulit perempuan’ itu menggambarkan tahap pemikiran minda paderi itu sendiri. Apakah paderi tersebut tidak pernah sedar bahawa patung yang dikatakan ‘Jesus’ itu adakalanya diukir separuh bogel pada tiang salib mereka?

Kalau ditanya pada semua manusia yang pergi mengerjakan haji atau umrah di Mekah, mereka pastinya tidak pernah melalui pengalaman tatkala selesai mencium hajarul aswad adanya seorang imam yang akan memegang kepala lalu berkata : “Engkau telah suci. Dosa mu telah diampun!”  Entah dari mana paderi tersebut mendapatkan cerita dusta tersebut. Malah mencium hajarul aswad itu hukumnya sunat bagi lelaki dan harus bagi wanita[26].

Pernyataan paderi tersebut seolah-olah untuk menggambarkan bahawa ajaran Islam itu meniru ajaran Kristian yang mana paderi mempunyai kuasa untuk memberikan pengampunan kepada orang yang datang mengakui dosa-dosa kepadanya. Sepertinya paderi itu telah mengambil alih tugas Tuhan untuk memberikan pengampunan pada paderi tersebut hanyalah manusia biasa sahaja yang tentunya sama sekali turut membuat dosa! Sebagaimana dalam sejarah dunia diketahui mengenai Surat Pengampunan Dosa atau Indulgence ditentang oleh Paderi Jerman, Martin Luther. Akibatnya agama Kristian berpecah kepada dua: Satu yang asal yang mengekalkan Indulgence sebagai Katholik dan satu lagi Protestan. Amalan seperti ini sama sekali tidak ada dalam Islam.

Kemudian paderi tersebut mereka cerita bahawa mereka yang mengerjakan haji akan bercukur kepala seperti kepala kanak-kanak yang baru dilahirkan botak.

Adakah paderi tersebut terlalu cetek ilmunya mengenai kelahiran? Sekiranya dilihat pada anak-anak yang baru dilahirkan semuanya berambut lebat dan bukannya botak seperti dakwaan paderi tersebut. Mungkin paderi tersebut tidak pernah melihat kanak-kanak yang baru lahir sepanjang hidupnya. Hukum bercukur selepas mengerjakan haji atau umrah adalah merupakan pilihan dan ianya boleh diganti dengan bergunting sahaja walaupun tahallul itu merupakan rukun bagi haji dan umrah[27].


Tuduhan 8 :

Paderi itu mendustakan ibadah melontar jamrah dengan mengatakan bahawa diatas itu syurga dan dibawah itu neraka. Tiang jamrah itu digambarkan sebagai syaitan dan dilontarkan batu itu serta mengatakan bahawa batu itu terus jatuh ke neraka.

Jawapan:  

Melontar jamrah itu adalah diambil sempena sejarah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail dalam peristiwa Allah SWT memberikan mimpi supaya Nabi Ibrahim mengorbankan puteranya itu. Dimana Nabi Ibrahim telah melontar iblis yang menghalang perjalanan baginda untuk menyembelih puteranya Nabi Ismail a.s. Tidak pernah pula disebut dalam ajaran Islam bahawa syurga itu berada dilangit atau neraka itu dalam bumi.

Tidak pernah pula diajarkan dalam mana-mana kitab bahawa batu yang dilontar itu jatuh terus ke neraka dan memang diketahui bahawa batu-batu yang dilontarkan oleh jemaah haji itu diangkut oleh pihak pengurusan.
Jadi, yang mereka-rekakan cerita tuduhan palsu dan jahat mengenai isu melontar ini hanyalah paderi Benjamin Stephen sahaja.


Kesimpulan

Daripada segala jawapan diatas terhadap kesemua tuduhan jahat paderi tersebut, jelas menunjukkan bahawa paderi tersebut tidak mempunyai asas pengetahuan mengenai segala tuduhan yang dilemparkan terhadap Islam dan Rasulullah. Malah kesemua tuduhan yang diperkatakannya itu tidak ada pun dalam ajaran agama Islam yang suci. Oleh yang demikian, paderi tersebut merupakan pendusta besar yang mempunyai niat jahat untuk mencemarkan nama baik Islam serta menjatuhkan martabat Rasulullah sebagai seorang Nabi yang diutuskan Allah SWT.

Semoga jawapan seadanya ilmu saya ini dapat memberikan manfaat kepada semua pembaca. Jika anda semua turut mempunyai idea lain bagi menjawab tuduhan tersebut, anda semua boleh menghantar email atau terus sahaja memberikan komen di sini.

Kepada Allah SWT jua saya serahkan segala urusan. Wallahu a’lam.


[1], Dr. Abdullah Bin Muhammad Bin Abdurrahman Bin Ishaq Alu Syaikh, Tafsir Ibnu Katsir Pustaka Imam Syafii, Indonesia. 2009. Jilid 1 m/s : 32.
[2] Ibid. m/s 33.
[3] Pusat Rujukan Persuratan Melayu di http://prpm.dbp.gov.my/search.aspx?k=Zina
[4] Ibn Rusyd, Bidayatul Mujtahid. Pustaka Azzam, Indonesia. 2007. Jilid 2, m/s 875.
[5] Pusat Rujukan Persuratan Melayu di http://prpm.dbp.gov.my/search.aspx?k=Isteri
[6] Pusat Rujukan Persuratan Melayu di http://prpm.dbp.gov.my/search.aspx?k=Kahwin
[7] Ibrahim Muhammad Hassan al-Hambal, Zaujaatun Nabi Muhammad SAW. Darul Taufiq, Mesir.
[8] Az-Zahabi, al-Hafiz al-Mu’rikh Muhammad bin Ahmad bin Uthman, As-Sirah an-Nabawiyah. Darul Kutub al-Amaliyah, Beirut. m/s 413.
[9] Pedofilia ialah sejenis gangguan psikologi di mana individu dewasa tertarik secara seksual kepada kanak-kanak yang belum baligh.[1] Orang yang mempunyai pedofilia melakukan seks dengan kanak-kanak atau menggunakan kanak-kanak untuk seks. Ini juga boleh dipanggil penderaan seks kanak-kanak. Sesetengah orang mempunyai perasaan pedofilia tetapi tidak melakukan seks atau mendera kanak-kanak secara seksual. [http://ms.wikipedia.org/wiki/Pedofilia]
[10] Az-Zahabi, al-Hafiz al-Mu’rikh Muhammad bin Ahmad bin Uthman, As-Sirah an-Nabawiyah. Darul Kutub al-Amaliyah, Beirut. m/s 183. Syeikh Muhammad al-Khudry, Nurul Yaqin. Darul Fikr, Beirut. m/s: 54
[11] Nik Abdul Aziz Nik Mat, Sirah Nabawiyyah. Nufair Street, Selangor.2006 m/s 271.
[12] Syeikh Muhammad al-Khudry, Nurul Yaqin. Darul Fikr, Beirut. m/s: 82
[13] Al-Buti, Dr. Said Ramadhan, Fiqh as-Sirah an-Nabawiyah. Darul Salam, Kaherah. m/s 155.
[14] Al-Maufiri, Abu Muhammad Abdul Malik Bin Hisyam, Perang Badar al-Kubra. Al-Hidayah Publisher, Kuala Lumpur. m/s 15.
[15] Syeikh Muhammad al-Khudry, Nurul Yaqin. Darul Fikr, Beirut. 1994 m/s: 201
[16] Al-Asqalani, al-Hafiz Ibnu Hajar (ter: Drs Muhammad Thalib) Bulughul Maram. Darul Nu’man, Kuala Lumpur. 2003 m/s: 727.
[17] Dr. Abdul Karem Zaidan, al-Wajiz fi Usul al-Fiqh. Muassasah ar-Risalah, Beirut. 2000 m/s: 252
[18] Muhammad Isa Selamat, Pengembaraan Roh Merentasi Tujuh Destinasi. Darul Nu’man, Kuala Lumpur.
[19] As-Sya’ani, Syeikh Imam Abdul Wahab, Mukhtasar Tazkirah al-Qurtuby. Jasmin Enterprise, Selangor. 2008, m/s 133.
[20] Titus 3:5, The New American Bible. World Catholic Press, Canada. 1970.   
[21] 1 Corinthians 15:12-13, The New American Bible. World Catholic Press, Canada. 1970. 
[22] 1 Corinthians 2: 9, The New American Bible. World Catholic Press, Canada. 1970. 

[23] Ibn Kathir, al-Hafiz ‘Imaduddin Abul Fida’ Ismail Bin Umar (Ter: Abu Hikmah al-Husni), Qisasul Anbiya’. Darul Nu’man, Kuala Lumpur. 1998, Jilid 1 m/s: 200.
[24] Al-Baqarah : 125 – 127
[25] Ibadat Haji, Umrah Dan Ziarah. Lembaga Tabung Haji, Kuala Lumpur. 2008 m/s: 214.
[26] Ibid.
[27] Ibid. m/s 50 & 184.

Saturday, October 16, 2010

Penafian Terhadap Pembohongan http://nasabpalsu.blogspot.com


Ketika saya sedang online, tiba-tiba saya menerima personal mesej dari Habib Nurfadhil al-Alawi al-Husaini dari Indonesia yang memaklumkan bahawa satu blog palsu telah dibuat untuk memfitnah keluarga keturunan Syed Hussin Jamadil Akbar al-Husaini serta untuk melaga-lagakan dengan para keturunan Habaib yang lain di http://nasabpalsu.blogspot.com

Saya terus melawati blog tersebut dan mendapati ia adalah memang satu blog palsu yang mana pembuatnya cuba memfitnah keturunan Azmatkhan dan Jamadilkubra. Paling tidak disangka adalah nama saya turut diseret dalam pembohongan tersebut dengan menggambarkan saya sebagai seorang pakar nasab dari Malaysia.

Fitnah yang paling dahsyatnya ialah menggambarkan kami telah menuduh para pakar nasab lain khususnya dari Bani Alawiyyin sebagai pemalsu nasab.

Kami tidak tahu siapakah sebenarnya yang telah mewujudkan blog tersebut yang bisa menyebabkan perselisihan faham serta ketidaksenangan dikalangan para Habaib. Namun yang pasti, pemilik blog tersebut dengan berniat jahat ingin memfitnah serta melagakan para Habaib dengan keturunan Syed Hussin Jamadil Akbar al-Husaini.

OLEH YANG DEMIKIAN, SAYA MENAFIKAN KETERLIBATAN SAYA DENGAN BLOG TERSEBUT SERTA MENAFIKAN SEBARANG KAITAN DENGAN MANA-MANA POSTING ATAU TULISAN DALAM BLOG TERSEBUT YANG MERUPAKAN SATU FITNAH.

KAMI BERDOA KEPADA ALLAH SWT AGAR MENUNJUKKAN SIAPAKAH PENDUSTA JAHAT TERSEBUT YANG MENGGUNAKAN NAMA KAMI UNTUK MEMBUAT FITNAH-FITNAH TERSEBUT.





Sunday, October 10, 2010

Program dihujung minggu

Pada hari Jumaat (08/10/2010) saya menyertai Kejohanan Tenpin Bowling NGO Belia Kelantan bertempat di Perdana Superbowl. Itulah kali pertama saya memegang bola bowling dalam hayat hidup saya. Namun sebagai mewakili pemuda, saya jalankan amanah itu seupaya mungkin. Hasilnya saya hanya Berjaya mendapat sekadar hadiah saguhati sahaja.

Adik-adik yang lihat gambar saya bermain bowling mula bising mengajak untuk bermain bowling. Saya fakir ia ada satu cadangan yang amat elok bagi merapatkan lagi ikatan antara ahli keluarga. Saya akan adakan perbincangan lanjut dengan adik-adik nanti. Kejohanan yang tamat pada 12:00 tengah malam itu amat memenatkan saya kerana pagi esoknya masih ada program yang menanti.

Manakala pada hari Sabtu (09/10/2010) pula, Dewan Pemuda Pas Kawasan Tumpat (DPPKT) mengadakan Majlis Hari Raya di Pantai Sri Tujuh. Majlis tersebut yang menghimpunkan kesemua ajk pemuda kawasan dan dun beserta dengan keluarga masing-masing. Turut hadir ke majlis tersebut ialah YB Dato’ Haji Kamarudin Jaafar (Ahli Parlimen Tumpat), YB Hj. Che Abdullah Mat Nawi (Exco Kerajaan Negeri Kelantan) dan YB Mohd Zaki Hj Ibrahim (Timbalan Speaker Dun Kelantan).

Kemudian, saya dan lima orang wakil DPPKT bergegas ke Dun Galas, Gua Musang sehabisnya majlis hari raya tersebut untuk menyertai Pelancaran Jentera Pemuda Galas. Walaupun agak penat dan perjalanan ke Gua Musang itu memakan masa hampir 3 jam, namun bila ianya merupakan satu amanah dan tanggungjawab yang perlu diselesaikan.

Alhamdulillah, saya sampai dari Gua Musang bersama teman-teman di rumah pada pukul 11:00 malam dengan keletihan yang sudah tidak tertanggung lagi. 

Friday, October 8, 2010

Kempen cintailah bahasa Kebangsaan kita?

Sekarang ini iklan kempen cintailah bahasa kebangsaan kita nampaknya kembali rancak ditayangkan di kaca tv. Malah ada diantara iklan-iklan tersebut adalah antara iklan yang saya lihat sejak saya kecil lagi. Ia mengamit kembali nostalgia masa kanak-kanak.

Bila dikenangkan kembali, kempen ini telah dijalankan oleh kerajaan sejak lama dahulu lagi. Tapi tahap keberkesanannya agak meragukan kerana pihak kerajaan sendiri yang menganjurkan kempen ini seolah-olah tidak mematuhi atau tidak mengendahkan kempen anjuran mereka sendiri.

Contohnya, cuba kita perhatikan ucapan-ucapan para Menteri dan wakil kerajaan dalam program-program yang dihadiri oleh rakyat tempatan masih terdapat ucapan Menteri-Menteri tersebut tidak menggunakan bahasa Kebangsaan. Mereka lebih selesa berucap dalam bahasa asing seperti bahasa Inggeris. Padahal majlis tersebut kebanyakannya dihadiri oleh rakyat tempatan.

Contoh lainnya ialah sidang akhbar para Menteri, wakil kerajaan atau pihak-pihak yang ada kaitannya dengan kerajaan. Padahal para wartawan yang hadir dalam sidang tersebut merupakan wartawan tempatan sahaja, namun para Menteri dan mereka diatas tadi lebih selesa memberikan kenyataan dalam bahasa Inggeris!

Nah cuba lihat, sekiranya pihak kerajaan yang menganjurkan kempen cintailah bahasa kebangsaan itu sendiri telah gagal untuk mematuhi kempen mereka, apatah lagi rakyat bawahan?

Tidakkah kita cuba lihat bagaimana negara Thailand, Jepun dan Iran contohnya menerapkan kempen cintai bahasa mereka? Dimana sahaja mereka pergi, mereka lebih gemar bertutur dalam bahasa mereka. Malah Presiden Mahmoud Ahmadinejad tetap berucap dalam bahasa ibundanya ketika berucap di persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Adakah menteri kita malu untuk berbuat demikian?

Negara kita malah menyediakan papan tanda dalam bahasa Jepun ditempat-tempat tumpuan utama seperti di lapangan terbang bagi kemudahan pelancong Jepun kerana mereka lebih suka menggunakan bahasa negera mereka walau dimana pun berada.

Yang terbaru adalah penghujahan yang dikemukakan oleh Peguam Karpal Singh mengenai alasan-alasan penghakiman kes-kes Mahkamah yang ditulis para Hakim dalam bahasa Inggeris padahal undang-undang telah menetapkan bahawa dokumen Mahkamah hendaklah dalam bahasa Malaysia.

Maka, adakah kempen seperti ini akan berkesan atau berjaya sekiranya pihak yang mengadakan kempen tersebut sendiri gagal untuk mematuhinya. Bersamalah kita renung-renungkan..

Monday, September 20, 2010

Jauh Tapi Dekat


Pada 18/09/2010 (Sabtu) yang lalu, seorang lagi anak buah saya Mohd Izzat Dhiaul Haq Bin Azman al-Kubrawiy al-Husaini akan berangkat meninggalkan tanah airnya yang tercinta serta keluarganya yang dikasihi untuk melanjutkan pengajiannya di Universiti al-Ahqaf, Yaman.

Terasa seperti suatu kehilangan besar bagi diri saya bila mengenangkan kehadirannya merupakan suatu rahmat Allah buat kami semua. Beliau seorang pemuda yang baik, rajin, cintakan ilmu, mulia dan disayangi oleh keluarga, teman, rakan mahupun kawan.

Namun oleh kerana perpisahan ini merupakan satu perjuangan dalam mencari ilmu, maka kami redha dengan kembaranya itu. Saya dan keluarga sentiasa mendoakan kejayaannya walau dimana sahaja dia berada.

Walaupun kelihatannya kami jauh dari segi lahiriah, namun pada hakikatnya kami dekat kerana keberadaanya sentiasa dihati dan fikiran kami. Teruskanlah perjuanganmu duhai anak..

Friday, September 10, 2010

Aidilfitri, Terry Jones & Perancangan Allah


Hari ini kebanyakan Negara Islam merayakan Aidilfitri selepas Madrasah Ramadhan yang telah kita lalui selama sebulan. Hari yang disyariatkan Allah swt sebagai meraikan kemenangan umat Islam kerana berjaya menentang hawa nafsu.

Maka pada hari ini sebagai tanda kesyukuran, umat Islam mempamerkan kegembiraan kejayaan dengan takbir dan tahmid yang memenuhi alam. Oleh yang demikian, janganlah ada antara kita yang mencemari hari yang mulia ini dengan kemungkaran dan maksiat. Semoga kita dapat mengekalkan amal dan ibadah yang kita lakukan sepanjang Ramadhan yang lalu.

Namun begitu, dalam ketaqwaan Ramadhan dan kemeriahan Syawal dunia digemparkan dengan satu perancangan yang dibuat oleh Paderi Terry Jones, pemimpin Dove World Outreach Center, sebuah gereja perjanjian baru di Gainesville, Florida, AS, akan menjadi tuan rumah ‘Hari Pembakaran Al Quran Antarabangsa’ dalam memperingati 9 tahun tragedi serangan 11 September 2001.

Rancangan Jones itu mendapat bantahan dari pelbagai pihak. Bukan sahaja umat Islam seluruh dunia, bahkan ada juga pemimpin agama lain juga turut mengutuk tindakan Jones tersebut.

Kita perlu memandang serius rancangan jahat Jones tersebut kerana al-Quran merupakan kitab suci umat Islam yang perlu dipertahankan. Ia merupakan Kalamullah yang suci dan bukannya catatan biasa yang boleh dipermainkan apatah lagi dihina sedemikian rupa.

Amerika yang sebelum ini berlagak sebagai polis dunia hanya sekadar mengutuk keras perancangan Jones tersebut. Cuba kita bayangkan, sekiranya ada umat Islam yang bertindak merancang untuk membakar Injil, kitab suci agama mereka? Saya pasti, bukan sekadar kutukan semata-mata malah amaran keras juga mungkin akan dikeluarkan oleh polis dunia itu untuk mengambil tindakan yang bersifat fizikal.

Oleh yang demikian, dalam masa kita bergembira menyambut Aidilfitri ini janganlah kita lupa untuk memanjatkan doa terutamanya qunut nazilah agar Allah swt menghancurkan perancangan jahat Jones itu serta menjadikan ianya suatu pengajaran kepada sesiapa sahaja yang ingin menghina Islam.

Allahu Akbar !!!!