hasbunallah

hasbunallah

Sunday, January 5, 2014

PATUTKAH POLITIK DICAMPUR AGAMA?

Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Semalam ada pihak yang bertanya saya tentang mereka yang memakai kasut semasa solat. Soalan itu merujuk kepada kumpulan anak-anak muda yang membantah kenaikan harga barang yang bersolat dalam keadaan memakai kasut di tempat mereka berkumpul. Ada pula yang cuba menyatakan solat itu tidak sah, bahkan ada yang menyatakan itu seperti menghina solat.

Rentetan dari itu juga ada yang menyatakan anak-anak muda yang memakai topeng ala vendetta dalam perhimpunan itu telah rosak akidah mereka kerana menyerupai ajaran kristian.

Tujuan Politik

Samada kita bersetuju ataupun tidak dengan perhimpunan anak-anak muda, suatu hal yang lain, tapi yang jelas kenyataan-kenyataan ini walaupun berbunyi agama tetapi hakikat bukan bertujuan agama. Sebaliknya, bertujuan kepentingan politik pihak tertentu malangnya, unsur agama dimainkan untuk menjatuhkan pihak yang bertentangan. Hal ini berlaku dalam banyak pihak dan puak sepanjang sejarah politik manusia.

Memakai kasut semasa solat bukanlah satu kesalahan jika kasut itu bersih dari najis. Dalam al-Mustadrak oleh al-Hakim, ada riwayat yang disahihkan oleh al-Zahabi, daripada Anas bin Malik, berkata:

Nabi s.a.w tidak pernah menanggalkan kasut dalam solat melainkan sekali, lalu –ketika itu- orang ramai pun turut menanggalkannya. Nabi s.a.w bertanya: “Mengapa kamu menanggalkan kasut kamu?”. Mereka menjawab: “Kami melihat engkau menanggalkannya, maka kami pun tanggalkan”. Nabi s.a.w bersabda: “Jibril telah memberitahu aku bahawa pada kedua kasutku ada kotoran”.

Dalam riwayat Ibn Khuzaimah ditambah: “Seseorang kamu hendaklah melihat kasutnya, jika ada kotoran hendaklah dia sapu di tanah (gesel hingga bersih di tanah), kemudian dia boleh bersolat memakainya

Ertinya, bukan satu masalah yang besar, bahkan diizinkan solat memakai kasut jika bersih. Namun ia dijadikan isu kerana ada kepentingan politik. Betapa ramai yang pergi konsert yang pelbagai dalam negara ini yang entah bila mereka bersolat pun tiada siapa yang tahu. Tidak pernah pula menjadi isu pun bagai ‘agamawan politik’ ini, tiba-tiba yang bersolat berkasut pula menjadi isu.

Topeng vendetta memanglah bukan dari ajaran Islam, tapi sejak bila pula ia dari ajaran Kristian?! V for Vendetta adalah hasil dari novel David Llyold dan Tony Weare pada tahun 1982. Ia menjadi terkenal kerana difilemkan pada tahun 2005 dengan tajuk ‘V for Vendetta’. Dalam sejarah, topeng itu menggambarkan keberanian Guy Fawkers dan kumpulannya yang menentang penguasa yang menindas rakyat pada tahun 1605. Cuma dalam kisah topeng ini kumpulan pemuda yang menentang penguasa itu agak ekstrim dengan merancang untuk membunuh King James dan meletupkan negara. Dikatakan mereka juga ingin menghapuskan parlimen dan mengembalikan monarki Katolik. Dari sudut itu, ia bukan satu perlambangan yang baik.

Cuma, sebenarnya bukan isu kristianisasi yang ditakuti, sebaliknya isu politik yang hendak dikaitkan. Betapa ramai orang politik negara ini yang hadir dalam majlis sambutan Krismas, Depavali, sambutan itu dan ini yang dari segi latar sejarahnya memang mempunyai unsur agama. Tidaklah pula mereka itu dikaitkan dengan kristianisasi, hinduisisasi ataupun seumpamanya.

Demikian juga sama apabila ada pihak yang mengharamkan muslim menyertai parti musuhnya yang tidak meletakkan Islam sebagai dasar kerana dianggap menolak Islam. Namun kemudiannya membolehkan muslim menyertai parti lain yang tidak berteraskan Islam sebagai dasar disebabkan parti itu berbaik dengan mereka.

Semua hukuman yang tidak selaras dan terpilih ini akibat dari menjadikan agama sebagai senjata dalam berpolitik.

Politik Agama

Percampuran antara politik dan agama boleh membawa kesan yang positif yang diredhai dan dikehendaki Allah dan RasulNYA, tapi boleh juga membawa kesan yang negatif yang merosakkan agama Allah dan rasulNYA. Ia semua amat bergantung kepada siapa yang mengendalikan percampuran tersebut. Atas apa hasrat dia ingin mencampurkan agama dan politik menentukan hasil percampuran itu.

Jika dia mencampurkan keduanya untuk mendapat panduan Tuhan dalam memimpin manusia secara adil dan amanah maka itu membawa kepada kebaikan. Namun, jika percampuran politik dan agama atas hasrat menguatkan kedudukan politik cuma, maka itu akan merosakkan nama Allah dan agamaNYA. Agama hanya akan menjadi mainan kepentingan penguasa dan segala tafsiran mempunyai kepentingan mereka yang terbabit dalam politik.

Dalam sejarah Kristian ketika golongan agama di Vatican menguasai politik, betapa ramai tokoh-tokoh yang dihukum mati atas tuduhan heresy (murtad) hanya kerana tidak bersetuju dengan penyelewengan pihak gereja dan kuasa politik. Umpamanya dalam isu penjualan indulgences atau borang pahala yang dijadikan saluran untuk golongan agama mengaut harta dengan cara menipu fakta agama, ramai dibunuh kejam hanya kerana mengkritik. Demikian juga isu purgatory, relics, saints dan pelbagai lagi yang menjadikan cara golongan agama menipu orang awam. Mereka yang jujur bangun mengkritik dijatuhkan hukuman mati dan dibakar hidup-hidup. Inilah nasib yang menimpa Jan Huss (1370-1415) yang merupakan reformis agama Bohemian, yang dibakar hidup-hidup di khalayak ramai. Demikian tekanan yang dikenakan kepada reformis agung Kristian Martin Luther (1483-1546) dan para pengikutnya yang sebahagian mereka dibakar hidup-hidup. Golongan politik mengambil kekuatan dari cengkaman kuasa agama ke atas rakyat. Penyelewengan pengurusan dan harta negara bagaikan diampun Tuhan kerana golongan agama bersama mereka.

Inilah hasil apabila kuasa politik dicampur dengan agama yang dikendalikan oleh mereka yang berkepentingan.

Politik Islam?

Di negara kita kini, lihat bagaimana ada pihak yang ‘so called’ agamawan yang sibuk membaca dalil kepada rakyat supaya bersyukur dan jangan membazir kerana itu amalan syaitan. Dalam masa yang sama tidak pula aktif membaca nas-nas ini kepada golongan atasan.

Persoalannya, apakah ayat-ayat Tuhan ini hanya ditujukan kepada rakyat bawahan? Sementara golongan atasan –samada sultan ataupun menteri- ayat-ayat Tuhan tidak terkena mereka? Ada agamawan yang menghalalkan darah orang bawahan yang berkumpul secara aman tanpa senjata. Kononnya mereka itu bughah yang dihalalkan bunuh. Padahal bughah adalah istilah mempunyai takrifan dan konteks yang tersendiri. Tidak dinamakan bughah yang boleh diperangi oleh pemerintah rakyat yang berkumpul tanpa senjata. Dalam konteks hari ini, apakah bughah rakyat yang masih membayar cukai dan mengikut pelbagai peraturan yang tetapkan oleh negara?

Kita mungkin boleh tidak bersetuju dengan perhimpunan itu tapi apakah patut untuk dihalalkan darah awam sedemikian rupa?

Lihatlah bagaimana agama boleh menjadi senjata kuasa politik sehingga perintah dibenarkan menumpah darah rakyat yang lemah. Saya tidak menyeru kepada pengasingan agama dari politik kerana itu bukan tabiat Islam. Pun begitu, jika agama sekadar senjata untuk kepentingan politik, lebih baik ia diasingkan.

Politik Islam itu bukan semestinya membaca dalil agama itu dan ini sedangkan intipatinya tidak memenuhi maksud rahmat dan keadilan yang menjadi tujuan ajaran Islam. Sekali lagi saya nukilkan kata-kata al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (wafat 751H) tentang politik dan keadilan dalam al-Turuq al-Hukmiyyah fi al-Siyasah al-Shar’iyyah:

“Berkata al-Shafi’i: “Tiada siyasah (politik) melainkan apa yang menepati syarak”. Kata Ibn ‘Aqil: “Siyasah itu yang merupakan tindakan yang mana dengannya manusia lebih dekat kepada kebaikan dan jauh dari kerosakan, sekalipun ia tidak ditetapkan oleh Rasul dan diturunkan wahyu mengenainya. Jika engkau maksudkan dengan perkataanmu “Tiada siyasah melainkan apa yang menepati syarak” iaitu tidak menyanggahi apa yang syarak sebut, maka itu betul. Jika engkau maksudkan tiada siyasah melainkan apa yang syarak sebut maka itu salah. Itu juga menyalahkan para sahabah.. apabila zahirnya tanda-tanda keadilan dan wajahnya memancar sinar dalam apa jalan sekalipun maka di situlah syariat Allah dan agamaNYA.. bahkan Allah S.W.T telah menjelaskan bahawa apa yang Dia syariatkan mengenai jalan-jalan (hukum agama) tujuannya untuk menegakkan keadilan dalam kalangan hamba-hambaNYA dan membolehkan manusia menegakkan keadilan. Apa-apa saja jalan yang dapat menghasilkan keadilan dan kesaksamaan maka itu dari agama ini, dan ia tidak menyanggahinya.”