hasbunallah

hasbunallah

Monday, November 10, 2008

Sajak Kematian


Semalam berita tv menyiarkan mengenai pendapat orang ramai mengenai ‘Sajak Kematian’ yang ditayangkan oleh pihak sekolah kepada murid-murid yang berumur 7 dan 8 tahun.

Ada sesetengah pihak berpendapat bahawa tidak wajar untuk menayangkan perkara-perkara yang mempunyai unsur- unsur ketakutan kepada murid-murid. Mereka juga berpendapat bahawa disana terdapat banyak lagi cara untuk mendidik murid-murid seperti memberikan kaunseling serta motivasi dan bukannya dengan cara menakut-nakutkan mereka.

Agak pelik apabila pendapat itu diutarakan oleh orang Islam yang berpendidikan tinggi. Bagi mereka, jiwa anak-anak yang masih muda seolah-olah tidak sepatutnya didedahkan kepada perkara yang menakutkan. Kenapa isu ini timbul apabila pihak sekolah menayangkan satu lakonan yang bertajuk ‘ Sajak Kematian’? Padahal saya amat percaya, sekiranya ditanya kepada anak-anak tersebut mengenai filem-filem seram yang pernah mereka tengok, sudah tentu mereka akan menyebut filem Pocong, Orang Minyak, Pontianak Harum Sundal Malam dan bermacam-macam filem lagi yang ditayangkan dilayar perak.

Namun ianya tidak pernah dipersoalkan sama ada ianya sesuai untuk ditonton oleh kanak-kanak atau tidak. Sekiranya hendak dibandingkan dengan filem-filem tersebut dengan tayangan ‘ Sajakk Kematian’ itu, saya amat yakin bahawa ‘Sajak Kematian’ itu jauh lebih memberikan manfaat dan pengajaran kepada anak-anak itu.

Sebagai seorang yang mengaku Muslim, kita wajib mempercayai bahawa Allah telah menyediakan petunjuk dalam pentarbiyahan anak-anak. Allah s.w.t telah berfirman:
Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan. [Surah at-Tahrim: 6]

Ayat diatas merupakan asas yang patut diambil berat tentang pendidikan anak-anak serta ahli keluarga secara amnya. Allah menyuruh para suami supaya mendidik ahli keluarga mereka agar dapat dijauhkan dari seksa api neraka.

Mungkin ramai diantara kita tidak tahu bilakah bermulanya waktu pentarbiyahan untuk anak-anak. Padahal ramai ulama yang mengatakan bahawa tarbiyah anak-anak itu bermula sejak lahir lagi. Malah ada sesetengah ulama yang berpendapat bahawa pendidikan atau pentarbiyahan anak-anak ini bermula sejak bapa memilih calon ibu untuk bakal anak-anaknya lagi.

Al-Hassan bin Ali k.r.w ada meriwayatkan dari Nabi s.a.w bahawa baginda bersabda:
“Barang siapa diberikan anak yang beru lahir, kemudian ia menyuarakan azan pada telinga kanan dan iqamat pada telinga kirinya maka anak yang baru lahir itu tidak akan terkena bahaya Ummu as-Shibyan.”

Diantara tujuan azan dan iqamat pada telinga anak-anak yang baru lahir adalah untuk memberikan pentarbiyahan pertama kepada mereka. Memperkenalkan mereka kepada kalimah suci dan agong kerana anak-anak kecil atau bayi mampu mendengar. Allah s.w.t telah berfirman:
“Sesungguhnya Kami telah aturkan cara mencipta manusia bermulanya dari air mani yang bercampur (dari pati benih lelaki dan perempuan), serta Kami tetap mengujinya (dengan kewajipan-kewajipan); oleh itu maka Kami jadikan dia berkeadaan mendengar dan melihat.” [Surah al- Insan: 2]

Kalaulah anak-anak itu tidak dapat mendengar kalimah-kalimah suci tersebut sudah tentu Rasulullah s.a.w tidak akan menyuruhkan azan dan iqamat pada telinga anak-anak yang baru lahir kerana mustahil Rasulullah menyuruh kepada perkara yang sia-sia.

Ibnu al- Qayyim al-Jauziyyah ada menyebut dalam Tuhfatul Maulud tentang rahsia azan dan iqamat pada telinga anak-anak baru lahir ialah agar apa yang pertama-tama menembusi pendengaran manusia adalah kalimah-kalimah seruan Yang Maha Tinggi yang mengandungi kebesaran Tuhan dan syahadat yang dengannyalah ia pertama-tama masuk Islam. Hal itu adalah merupakan talqin (pengajaran) baginya tentang syariat Islam ketika dia memasuki dunia, sebagaimana halnya kalimah tauhid ditalqinkan kepadanya ketika dia meninggal dunia. Dan tidak mustahil bila pengaruh azan itu akan meresap di dalam hatinya, walaupun dia tidak merasa.

Nah, daripada hujah diatas ianya jelas menunjukkan bahawa pentarbiyahan anak-anak itu bermula sejak mereka lahir lagi. Mereka perlu didedahkan kepada agama sejak dari awal supaya mereka tidak akan rasa asing dengan agama mereka sendiri.

Oleh itu apa salahnya mendedahkan tayangan ‘Sajak Kematian’ itu kepada murid-murid supaya mereka mengambil iktibar dan pengajian saat-saat kematiian apabila ia mengunjungi manusia. Kita sepatutnya tahu bahawa bukan orang tua sahaja yang mati, malah kanak-kanak dan bayi juga turut mati apabila tiba ajalnya. Adakah dengan tidak membenarkan kanak-kanak menonton ‘Sajak Kematian’ mereka tidak akan mati?

Sekurang-kurangnya dengan tayangan tersebut boleh memberikan gambaran kepada mereka bagaimana tibanya saat ajal manusia. Mereka diberikan pengetahuan apakah bekal yang patut dibawa ke liang lahad. Adakah berguna bagi mereka harta yang banyak, pangkat besar atau kemegahan dunia tatkala didatangi malaikat munkar dan nakir?

Rujukan:

Dr. Abdullah Nasih Ulwan, Tarbiyatul Awlad. Penerbit as- Syifa, Bandung. 1995.

Al- Ghazali, Abu Hamid Muhammad bin Muhammad, Ayyuhal Walad. Khazanah Banjariah, Kedah. 1998.

As- Sayuti, Imam Jalaluddin, Li Bab an-Nuqul Fi Asbab al-Nuzul. Victory Agencie, Kuala Lumpur. 2004.

3 comments:

Mohd Al-Amin Daud Al-Azhari said...

Salam,,,

Sokong2x..pelik betul la diorang ni..padahal dengan mengingati mati akan memovitasikan kita supaya membuat yang terbaik di dalam kehidupan.

Bukan bila ingat mati kita jadi takut. Yang takut tu tengok cerita hantu.

Yala takut juga tapi bila ingat mati kita jadi takut untuk mensia2kan peluang yg ada.itu matlamat daripada mengingati akan kematian..

Ini cara motivasi Islam yg tidak ada kepada motivator2 yg tdk memahami nilai Islam. Kenapa harus diambil teori barat sedangkan mereka sendiri tidak mampu menjadikan masyarakat mereka baik.Bahkan merekalah yg melakukan kerosakan di atas muka bumi ini.

Bila tinggal Islam inilah padahnya. bercakap ikut nafsu dan rasa. sedangkan Islam itu berdasarkan hujjjah dan burhan yang jelas.

Jika manusia mempunyai akal yg saalim (sempurna) nescaya mereka tidak akan sesekali menyisihkan Islam di dalam kehidupan mereka.. Bila akalnya rosak dengan doktrin dan pemikiran barat atau sekular maka cahaya Islam tidak lagi bercahaya pada hati2 mereka.

Semoga Allah memberikan hidayah dan petunjuk kpd kita semua..

Ameen Ya Rabb...

www.al-amindaud.blogspot.com

pokmudo said...

Alasan yang sama diberi oleh Menteri Pelajaran, tak mahu menakut-nakut kanak-kanak. Padahal di dalam ayat-ayat al-Quran itu sendiri memberi ingatan tentang neraka bagi orang-orang yang kufur/engkar. Neraka pula diceritakan tentang azab seksanya. Jadi, kalu guna alasan yang sama makna al-Quran tidak boleh diterjemah dan ditafsir? Inilah dipanggil Islam Hadhari...

Mohd. Abd. Rashid Bin Yah al-Kubrawiy al-Husaini said...

Walaupun ada dakwaan selepas itu yang mengatakan bahawa klip video tersebut adalah ciptaan al-Arqam, namun kita juga seharusnya meneliti kandungannya terlebih dahulu sama ada ia benar atau salah. Tidak semestinya semua hak milik atau hasil al-Arqam itu salah atau sesat.

Berapa banyak kita ambil pendapat orang bukan Islam mengenai perkara-perkara kehidupan kita. Janganlah jadi seperti marahkan nyamuk dibakar kelambunya. Maka ia tentu akan jadi sebagaimana pengharaman al-Arqam, semua kicap, sos cili dan barang keperluan al-Arqam juga turut kena haram..