hasbunallah

hasbunallah

Saturday, December 24, 2011

LPF : Siapa Yang Akan Menapis?


Berkuatkuasa tahun hadapan, Lembaga Penapis Filem (LPF) tidak lagi menapis sesebuah filem sebelum ditayangkan, sebaliknya peranan tersebut akan diserahkan kepada pengarah dan penerbit filem itu sendiri.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Mahmood Adam berkata, langkah terbaru itu diambil selepas mengambil kira pandangan daripada semua pihak yang menjayakan industri perfileman negara. Bagaimanapun katanya, jika terdapat masalah berbangkit mengenai sesebuah filem yang ditayangkan, maka penerbit dan pengarah filem berkenaan perlu bertanggungjawab.

Saya rasa terpanggil untuk turut mengulas isu ini kerana ianya bakal mengundang satu masalah besar pada masa hadapan. Sekiranya LPF mengharapkan para penerbit filem sendiri untuk menapis filem mereka, saya percaya negara kita akan dibanjiri dengan pelbagai filem yang tidak sesuai untuk ditayangkan kerana bercanggah dengan nilai agama dan norma bangsa.

Dalam LPF sendiri bertanggungjawab untuk menapis filem sebelum ditayang pun masih banyak filem yang tidak menepati syarat-syarat dan norma-norma sepatutnya. Contohnya filem seram yang melambak dipasaran, filem yang berunsur lucah dan sebagainya mendapat kebenaran untuk ditayangkan. Apatah lagi sekiranya tugas penapisan tersebut diserahkan kepada penerbit filem itu sendiri. Sedangkan para penerbit sering berlumba-lumba untuk mencari keuntungan dari filem terbitan mereka. Mereka akan melakukan pelbagai cara dalam mempromosikan filem mereka demi keuntungan semata-mata.

Bolehkah kita mempercayai para penerbit filem semata-mata untuk menjalankan satu tanggungjawab yang besar ini? Saya menjadi sangsi kerana tiada rekod yang menunjukkan bahawa adanya penerbit yang benar-benar mematuhi syarat penapisan filem.

Sekiranya perkara ini tidak dipandang serius, maka tidak mustahil negara kita akan dibanjiri filem tahyul dan lucah pada suatu hari nanti.

No comments: