hasbunallah

hasbunallah

Wednesday, November 2, 2011

Festival Seksualiti Merdeka: Apabila Hak Mengatasi Agama


Festival Seksualiti Merdeka 2011 (Queer without fear) yang sedang berlangsung mulai semalam sehinggalah 13 Okt 2011 yang disokong oleh lebih 20 pertubuhan dan NGO telah diadakan di Kuala Lumpur.

Festival yang dianjurkan atas dasar hak asasi manusia ini memperjuangkan hak kesamarataan gender tanpa mengira sama ada lelaki, wanita, interseksual serta kecenderungan seks sesuatu kumpulan gay, lesbian, homoseks, penkid dan sebagainya. Festival yang turut dimuatkan dengan program bengkel, konferens, persembahan dan sebagainya ini bagi menuntut masyarakat agar memberikan hak yang sewajarnya kepada golongan ini sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia serta Deklarasi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu[1].

Namun demikian, penganjur dan golongan ini lupa bahawa kebanyakan agama di dunia ini melarang aktiviti seks bebas dan seks sesama jantina kerana ia bukan sahaja bertentangan dengan ajaran agama malah ia juga turut mengundang kemudharatan yang amat besar. Walaupun hak asasi setiap manusia terutamanya di Malaysia ini dijamin oleh Perlembagaan serta deklarasi tersebut, ia tetapi perlu dilihat dalam keterbatasan agama supaya kita dapat membezakan diantara martabat kita sebagai manusia dengan martabat binatang yang tidak mengerti apa-apa.

Lagi pula hak asasi manusia ini terbahagi kepada dua iaitu hak mutlak dan hak bersyarat[2]. Bagi Muslim, adalah menjadi kewajipan kita untuk memperjuangankan hak asasi manusia ini dipelbagai bidang dan sektor dengan berpandungan sunnah Rasulullah saw yang membawa wahyu Allah swt[3].

Inilah yang bakal terjadi apabila manusia mula jauh dari penghayatan agama. Mereka akan hilang arah sehinggakan tindakan mereka hanyalah berpaksikan fikiran akal semata-mata berdasarkan ilmu logik. Apa sahaja yang diterima akal walaupun ianya jelas bertentangan dengan kemurnian agama, mereka akan memperjuangkannya bermati-matian.

Pandangan saya disini adalah dalam konteks sebagai seorang Muslim yang beriman dengan lima Rukun Islam dan enam Rukun Iman yang perlu dipaterikan dalam jiwa kita yang mengaku sebagai Muslim. Jika terputus salah satu tali dari kesebelasan rukun-rukun tersebut, maka hancurlah iman kita.

Dalam memperjuangkan deklarasi hak asasi manusia, kita juga lupa bahawa Rasulullah saw sendiri telah membuat deklarasi hak asasi manusia di Padang Arafah sewaktu menyampaikan khutbah Baginda yang terakhir[4]. Rasulullah saw telah bersabda dalam sebuah hadis qudsi yang bermaksud:
Allah berfirman “Wahai hambaku, sesungguhnya aku mengharamkan kezaliman dalam diriku, dan aku juga menjadikan kezaliman diantara kalian sesuatu yang haram (terlarang), maka janganlah kalian saling menzalimi” (HR: Muslim dan Ahmad)

Prof Madya Dr Shamrahayu Abdul Aziz dalam sebuah artikel beliau menyatakan bahawa Sekiranya dilihat kepada dua dokumen induk hak asasi tajaan Barat iaitu Universal Declaration of Human Rights dan juga International Covenant on Civil and Political Rights, hak asasi yang disenaraikan dengan jelas tidak mempunyai sebarang pertalian dengan agama. Malangnya kedua-dua dokumen ini menjadi kayu pengukur kepada kedudukan hak asasi di dunia. Lebih malang lagi, masyarakat Islam sendiri menganggap dokumen ini adalah sumber kepada hak asasi sejagat.

Ajaran Islam bagaimanapun tidak dapat dipisahkan daripada ajaran Allah. Semua hak asasi hendaklah disandarkan kepada ajaran agama Islam dan Allah adalah pencipta segala hak. Istilah atau penggunaan frasa hak asasi manusia di dalam Islam saya katakan mengelirukan kerana dasar hak asasi di dalam kedua-dua sistem ini amat jauh berbeza.

Sistem hak asasi di dalam Islam tidak disandarkan kepada ideologi humanisme, individualisme dan rationalisme seperti fahaman Barat. Dasar atau sistem hak asasi dalam Islam sentiasa kukuh disandarkan kepada wahyu Allah. Seterusnya sistem hak dalam Islam digerakkan atas landasan yang disediakan oleh ajaran Islam yang sudah tentu memberi ruang kepada manusia untuk menjaga kepentingan mereka dan menggunakan logik akal dalam keadaan tertentu saja bukan di dalam segenap aspek.

Perlu juga diulas di sini bahawa Islam mendasarkan hak asasi bukan saja kepada kehendak manusia semata-mata tetapi Islam juga mementingkan kedudukan agama dan kerohanian. Keadaan ini menjadikan hak asasi dalam Islam tidak semata-mata hak asasi manusia tetapi sebenarnya merangkumi hak asasi agama itu sendiri dan meletakkan agama dan Pencipta sebagai tunggak hak asasi. Oleh itu hak asasi di dalam Islam dikategorikan sebagai hak manusia dan juga hak Allah[5].

Kebanyakan para pejuang hari ini mendasarkan perjuangan hak asasi manusia ini mengikut acuan barat semata-mata yang menyebabkan kita orang Islam yang turut serta dalam gabungan tersebut jauh tersasar dari panduan agama yang turut menggariskan hak-hak kewajipan sebagai seorang Muslim.

Oleh kerana itulah, Pertubuhan Persidangan Negara-Negara Islam (OIC) telah mengemukakan Islamic Human Rights Declaration 1990 atau lebih dikenali sebagai Deklarasi Kaherah bagi mengimbangi Universal Human Rights Declarations yang dibuat oleh PBB. Ini adalah kerana, para pemimpin Negara Islam melihat banyak artikel yang terdapat dalam deklarasi PBB tersebut bertentangan dengan konsep dan ajaran agama Islam. Deklarasi Kaherah tersebut kemudiannya telah diperakui oleh PBB pada 9 Jun 1993[6].   

Saleem Azzam mengatakan bahwa Islam telah memberikan suatu peraturan ideal tentang hak-hak asasi manusia kepada umat manusia empat belas abad yang lalu. Hak-hak tersebut dimaksudkan untuk menganugerahi manusia kehormatan dan martabat serta menghapuskan pemerasan, penindasan dan ketidakadilan[7].

Pemberian kebebasan terhadap manusia bukan bereti mereka dapat menggunakan kebebasan tersebut secara mutlak, tetapi dalam kebebasan tersebut terkandung juga hak dan kepentingan orang lain yang harus dihormati. Pada dasarnya hak asasi manusia dalam Islam terkandung dalam 5 perkara pokok yang terangkum dalam ad-Dhoruriyyat al-Khamsah atau juga disebut juga al-Huquq al-Insaniyah fi al-Islam . konsep ini yang harus dijaga oleh setiap umat Islam supaya menghasilkan kehidupan yang lebih manusiawi, berdasarkan atas penghormatan individu sesama individu, individu dengan masyarakat, masyarakat dengan masyarakat, masyarakat dengan Negara dan kumpulan agama dengan kumpulan agama yang lain[8].     

Berbalik kepada Festival Seksualiti Merdeka tersebut, pihak pengajur mahukan Negara dan masyarakat memberikan pengiktirafan kepada golongan yang mempunyai keinginan seks sesama jenis dan mereka yang membuat penukaran jantina. Atas nama hak asasi manusia, mereka menghujahkan bahawa setiap individu berhak untuk memilih cara hidup tersendiri yang mereka sukai.

Dalam menuntut hak asasi sekelompok manusia atau golongan tertentu, kita juga seharusnya ingat apakah kita perlu mengabaikan hak asasi orang lain untuk hidup dan bermasyarakat tanpa adanya perasaan tidak selesa, marah dan jijik dengan perlakuan sesetengah pihak yang menuntut hak asasi mereka.

Sebagai peguam, saya juga turut kecewa dengan tindakan Majlis Peguam Malaysia yang bertindak sebagai penyokong program tersebut. Sokongan yang diberikan oleh badan yang menaungi semua peguam di Malaysia itu sedikit pun tidak melambangkan ianya turut mendapat sokongan ahli-ahlinya terutamanya peguam Muslim. Bahkan ramai peguam Muslim yang bernaung di bawah Majlis Peguam itu membantah keras tindakan tersebut. Majlis Peguam seolah-olah tidak sensitif dengan pendirian ahlinya yang beragama Islam. Saya sendiri amat terkilan dengan tindakan Majlis Peguam tersebut yang membelakangi kehendak ahlinya yang beragama Islam.   

Oleh yang demikian, walau apa pun hak asasi yang kita tuntut maka jangan kita lari landasan agama Islam yang kita imani dalam kehidupan kita kerana kesilapan kita dalam pengabaian asas tersebut turut menjejaskan keimanan kita kepada Allah swt.



[1] Deklarasi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1948
[2] Md. Akhir Hj Yaacob, Hak Asasi Manusia Menurut Islam (satu pendekatan perbandingan). Dewan Pustaka Fajar, Kuala Lumpur. 1985 m/s: 19.  
[3] Muhammad Zafrullah Khan, Islam And Human Rights. Islam International Publication Ltd, United Kingdom. 1999 m/s 14.
[4] Husamuddin MZ, Arafah Dan Deklarasi HAM. Dipetik dari eramuslim.ubik.net/
[5] Prof Madya Dr Shamrahayu Abdul Aziz, Hak asasi dalam Islam tak sama fahaman Barat. Dipetik dari http://www.bharian.com.my/bharian/articles/HakasasidalamIslamtaksamafa
[6] The Cairo Declaration On Human Rights In Islam 1990.
[7] Prakata Saleem Azzam pada “Deklarasi Islam Universal Hak Asasi Manusia”, dalam Hak Asasi Manusia Dalam Islam, ed. Harun Nasution dan Bahtiar Effendi (Jakarta: Pustaka Firdaus, 1987) p. 157
[8] Yefrizawati, Hak Asasi Manusia Dalam Perspektif Hukum Islam. e-USU Repository 2005 Universitas Sumatera Utara. 

Sunday, October 30, 2011

Semakan Undang-Undang Pilihan Raya


Pada 26/10/2011 yang lalu, satu Persidangan Meja Bulat Semakan Undang-Undang Pilihan Raya anjuran Jabatan Undang-Undang & Hak Asasi Manusia (JUHAM) Dewan Pemuda PAS Pusat telah diadakan di Citrus Hotel, Kuala Lumpur.  

Persidangan tersebut diadakan bagi mendapatkan input berkaitan undang-undang pilihan raya di Malaysia yang patut dan perlu diubah suai atau dikemas kini bagi memastikan integriti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terjamin serta proses pilihan raya di masa hadapan lebih adil dan telus.

Input dan hasil persidangan meja bulat tersebut akan dibawa oleh YB Dr Mohd Hatta Ramli selaku salah seorang ahli jawatankuasa yang mewakili PAS kepada Jawatankuasa Terpilih Parlimen mengenai pembaharuan pilihan raya. Persidangan itu dihadiri oleh wakil peguam setiap negeri termasuklah bekas Pengarah SPR Negeri Kelantan, Tuan Haji Abdul Rahim Salleh.

Peguam-peguam dari Kelantan yang terlibat dalam persidangan tersebut ialah Hisham Bin Fauzi, Hilmi Bin Abdullah, Hatman Bin Abdullah, Firdaus Bin Mohd Yusoff dan Mohd. Abd. Rashid Bin Yah.

Banyak resolusi yang diperolehi hasil daripada persidangan tersebut terutamanya mengenai akta-kata dan peraturan-peraturan pilihan raya yang memerlukan pindaan. 

Friday, October 28, 2011

Jom Heboh : Dua Pandangan Sisi


28 & 29 Oktober 2011, sebuah karnival yang agak masyhur di negara kita iaitu Jom Heboh anjuran TV3 telah diadakan di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.

Ramai individu, kumpulan dan pergerakan yang membantah penganjuran karnival tersebut diadakan di Kelantan atas alasan bahawa karnival tersebut lebih mendatangkan banyak kemudharatan daripada kebaikan. Perbandingan dibuat dengan karnival yang sama yang telah dianjurkan pada 26 & 27 Mac 2010 dikatakan banyak kelemahan dan perlanggaran terhadap Enakmen Hiburan Negeri Kelantan. Bahkan Kerajaan Negeri Kelantan dan PAS sendiri pernah melancarkan kempen boikot TV3 kerana penyiaran berita yang berat sebelah dan tidak benar mengenai Kerajaan Negeri Kelantan dan PAS.

Dewan Pemuda PAS Kawasan Kota Bharu (DPPKKB) sendiri telah menghantar satu memorandum bantahan terhadap penganjuran karnival Jom Heboh tersebut kepada Badan Perhubungan PAS Negeri Kelantan bagi menyatakan pendirian mereka dalam perkara ini. Malah Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK) juga mempunyai pendirian yang selari dengan DPPKKB serta turut menyokong memorandum yang telah dihantar tersebut.

Saya sendiri tidak bersetuju dengan penganjuran karnival tersebut kerana bagi saya akan banyak mudharatnya serta bertentangan dengan prinsip saya. TV3 yang kita boikot selama ini tetapi kemudiannya kita memberikan mereka peluang untuk penganjuran karnival Jom Heboh tersebut. Malah dalam masa yang sama, berita yang memburuk-burukkan Kelantan terus disiarkan melalui siaran TV3 tersebut.

Namun begitu, telah berlaku sedikit perbahasan antara saya dan salah seorang ahli Badan Perhubungan PAS Negeri Kelantan mengenai perkara tersebut. Salah satu hujah yang diberikannya ialah, sekiranya kerajaan negeri tidak memberikan kebenaran secara rasmi kepada TV3 untuk menganjurkan karnival Jom Heboh tersebut, mereka tetap akan menganjurkannya di Kelantan sebagaimana yang berlaku pada tahun 2006. Pihak TV3 telah menganjurkan Karnival Jom Heboh dengan jenama baru sebagai Perkampungan Hadhari di Kompleks Sekolah-sekolah Wakaf Mek Zainab. Pelbagai program dianjurankan yang bertentangan dengan enakmen hiburan negeri tetapi tidak dapat dikawal oleh kerajaan negeri. Oleh yang demikian, kebenaran rasmi yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Kelantan kepada TV3 untuk menganjurkan Karnival Jom Heboh tersebut adalah bersyarat dan perlu mematuhi enakmen hiburan negeri. Dengan kebenaran rasmi tersebut, Kerajaan Negeri Kelantan mempunyai kuasa bertindak sekiranya pihak penganjur melanggar syarat-syarat yang diberikan.

Setelah memikirkan hujah tersebut, masuk akal juga kenapa Kerajaan Negeri Kelantan memberikan kebenaran rasmi kepada TV3 untuk menganjurkan karnival tersebut. Ia merupakan pandangan sisi lain yang tidak saya nampak sebelum ini.

Namun begitu, saya tetap dengan pendirian saya membantah penganjuran Karnival Jom Heboh anjuran TV3 tersebut. 

Thursday, October 13, 2011

Selesainya Kes BERSIH 2.0 Di Kelantan


Sejak fenomena BERSIH 2.0, dua kes tangkapan telah dibuat oleh pihak polis di Kelantan. Zakaria Bin Che Wail dan Mohd Amizul Fazly Muhamed Sudin telah didakwa di bawah seksyen 47 Akta Pertubuhan 1966.

Pada 26 September lalu, Zakaria Che Will, 40, yang  didakwa menjual sebanyak baju-T berwarna kuning bertulis Bersih di Jalan Datuk Pati di Kota Bharu pada 01/07/2011.

Perbicaraan kes tersebut diadakan di Mahkamah Majistret Kota Bharu di hadapan Majistret Mohd Hafiz Mohd Nor. Zakaria diwakili peguam Hatman Abdullah, Mohd Ab Rashid dan Mohd Murtaza Mokhtar, manakala pendakwaan dijalankan Ketua Unit Pendakwaan, Timbalan Pendakwa Raya  Wan Abdul Razak Wan Hussin.

Manakala Mohd Amizul Fazly Muhamed Sudin, 33 yang ditahan atas dakwaan memiliki t-shirt bertulis perkataan Bersih 2.0 pada Julai lalu hari ini dilepas tanpa dibebas Mahkamah Majistret Bachok pada 12/10/2011.

Perbicaraan di lakukan dihadapan Majistret Mohd Hafiz Mohd Nor.  Mohd Amizul Fazly diwakili peguam Firdaus Mohd Yusoff, Mohd Alami Lazin dan Mohd Abd Rashid Yah dan pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wong.

Zakaria dan Amizul Fazly telah dilepas tanpa dibebaskan oleh Majistret berkenaan selepas pihak pendakwaan memaklumkan kepada Mahkamah bahawa mereka telah mendapat arahan Jabatan Peguam Negara supaya tidak meneruskan kes itu. Ekoran arahan tersebut majistret kemudian melepas tanpa membebas kedua-dua tertuduh.

Lajnah Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (LUHAM) Dewan Pemuda Pas Negeri Kelantan (DPPNK) telah mendapat mandat khusus bagi mewakili kedua-dua tertuduh dalam kes ini. Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua peguam LUHAM yang terlibat dalam kes ini.

Thursday, October 6, 2011

Alangkah Sukarnya Mendidik Hati


Bukan mudah untuk mendidik hati sendiri jika dibandingkan nasihat yang kita beri mahupun kita terima dari orang lain. Terlalu sukar untuk membuatkan jiwa kita menerima apa yang menjadi tentangan bagi hati kita sendiri. Kita selalu akan rasa gembira tatkala kehendak hati kita dipenuhi dan kita selalu berduka apabila berlaku sebaliknya. Pada masa itu kiat seolah-olah lupa bahawa apa yang berlaku itu bukanlah ditentukan oleh kehendak kita, namun ia adalah suatu takdir yang telah ditentukan Allah buat kita.

Benarlah sebagaimana sabda Rasulullah saw:

”Sesungguhnya dalam tubuh jasad itu ada seketul daging bila baik nescaya baiklah seluruh anggota tubuhnya. Ketahuilah! iaitulah Qalbu (hati).”(Riwayat Bukhari & Muslim, dari Nu'man bin Basyir)

Syaikh Ibnu Athaillah sempat bertutur mengenai doa dan permintaan manusia kepada Allah :

Kelambatan masa pemberian Allah kepadamu,meskipun engkau telah bersungguh-sungguh dalam berdo'a, janganlah menyebabkan engkau putus asa, sebab Allah telah memberikan jaminan, terkabulnya do'a yang engkau pinta sesuai dengan pilihan-Nya, dan bukan menurut keinginanmu, dan mengabulkan do'a pada saat Dia kehendaki, bukan pada saat yang engkau kehendaki

Belum terwujudnya janji Allah, sekalipun waktu yang telah ditentukan telah tiba, jangan sekali-kali membuatmu ragu terhadap janji-Nya, agar tidak membuat cacat penglihatan batinmu dan memadamkan cahaya batinmu.

Jangan engkau menyangka bahwa kasih sayang Allah lepas bersamaan dengan tidak dikabulkannya do'amu. Tuntutanmu terhadap pengabulan do'a kepada Allah merupakan prasangka burukmu kepada-Nya (seolah-olah Dia lalai terhadap keadaanmu padahal Dia-lah Sang Pemelihara).Tuntutanmu kepada Allah menunjukan ketidakhadiranmu disisi-Nya.

Jika engkau tidak dapat berbaik sangka kepada Allah karena do'amu belum terkabul, hendaklah engkau berbaik sangka kepada-Nya karena nikmat yang telah dilimpahkan-Nya kepadamu.Bukankah Dia selalu memberikan sesuatu yang baik kepadamu? Dan bukankah Dia senantiasa memberikan anugerah nikmat kepadamu.

Jika engkau telah sanggup berbaik sangka kepada Allah, bermohonlah agar Dia memberikan jalan bagi pengabulan do'a dan hajatmu.Bisa lewat siapa saja yang Dia kehendaki-Nya. Tapi lewat siapapun rezekimu dialirkan janganlah memalingkan engkau dari berharap kepada Allah, yang kemudian berubah jadi berharap kepadanya.

Lalu bagaimanakah engkau mengadu dan bermohon kepada selain Allah untuk mencukupi kebutuhanmu, padahal Allah-lah yang mencukupnya. Dan bagaimana mungkin orang yang tidak mampu mencukupi kebutuhannya sendiri, dapat mencukupi kebutuhan orang lain. Jika engkau bermohonan kepada selain diri-Nya, maka hal itu hanya menunjukan sedikit rasa malumu.

" Wahai anakku, Segala masalah dalam hidup itu seperti segenggam garam, tidak kurang, tidak lebih, ia hanyalah segenggam garam. Banyaknya masalah dan penderitaan yang kau alami di dalam hidup mu itu sudah di beri kadarannya oleh Allah, tidak berkurang dan tidak bertambah, sesuai untuk mu, seperti segenggam garam itu. Setiap manusia yang lahir di dunia ini , bahkan nabi sekalipun, tidak lepas dari masalah Tapi wahai anakku, rasa 'MASIN' yang dialami dari penderitaan itu sangat bergantung kepada HATI yang menampungnya”.

Jadi, BERHENTILAH MENJADI GELAS, jadikan HATI dalam dada mu menjadi sebesar TASIK, agar kamu tidak sentiasa menderita . Hidup memang memerlukan keberanian, perlu berjiwa besar berhati luas, namun terlebih dahulu ditambahkan ”ketelitian”. Cermatilah langkahmu dan waspadai tindakanmu. Hati- hati saat ketika mencelupkan jari di dalam kancah kehidupan, supaya rasa "PAHIT" dapat dihindarkan.

YA ALLAH, CUKUPLAH ENGKAU BAGIKU SEBAGAI PENOLONG

Monday, October 3, 2011

Hudud: Jangan Berbicara Tanpa Ilmu


Semenjak isu hudud yang cuba dilaksanakan di Kelantan dibangkitkan oleh pihak media, maka berduyun-duyunlah para manusia yang ingin memperkatakan mengenai perkara tersebut. Ada yang menyokong dan tidak kurang pula membantah malah memperlekeh hukum tersebut dengan pelbagai label yang tidak patut. Kenyataan dan percakapan diucapkan oleh para pemimpin yang berada diatas kerusi empuk di pejabat-pejabat yang berhawa dingin sehinggalah rakyat bawahan yang kerjanya menanam padi disawah dan adakalanya sekadar menolak buah dam aji di kedai kopi.

Dalam keghairahan berkata-kata tersebut, ada diantara kita yang lupa mengenai batas-batas bicara yang sepatutnya dijaga tatkala memperkatakan mengenai sesuatu hukum yang telah ditetapkan oleh Allah swt. Malah kebanyakan kita yang memberikan komentar tersebut tidak mempunyai ilmu mengenai hudud sekalipun namun bertindak seolah-olah mereka begitu alim dalam sistem perundangan Islam.      

Yang paling sedih sekali apabila orang yang mengaku Islam sendiri bertindak memberi komen yang cukup celupar mengalahkan orang bukan Islam. Sepatutnya sebagai Muslim kita wajib mempertahankan hukum tersebut daripada dicela atau dicerca oleh orang bukan Islam. Kalau kita tidak mempersetujui perlaksanaannya janganlah sampai kita bertindak seolah-olah mempertikaikan hukum ketetapan Allah tersebut. Ingatlah bahawa, segalanya akan dipersoalkan Allah swt tatkata pertemuan di mahsyar nanti. Allah swt telah berfirman:-

Dan janganlah Engkau mengikut apa Yang Engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; Sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa Yang dilakukannya. (al-Israa’ : 36)

Al-Hafiz Imam Ibn Kathir menyebut dalam tafsirnya bahawa dalam ayat ini Allah swt telah memberikan amaran kepada kita agar janganlah kita bercakap tentang sesuatu yang kita tidak mempunyai ilmu mengenainya sebagaimana yang telah diriwayatkan oleh Ali krw daripada Ibn Abbas r.a.

Oleh yang demikian, biarlah kita serahkan kepada mereka yang pakar dan benar-benar ahli dalam perkara tersebut dan berhati-hatilah tatkala berbicara kerana ia bakal menempah tiket di neraka. 

Sunday, September 25, 2011

Akukah Pejuang Uhud?


Posted by Nur Islam | Posted in Akhlak, Cerpen, Dakwah | Posted on 07-06-2009

Uhud, memahat sejarah, menjadi saksi tumpah darah, membakar harum Syurga bauan Syuhada’. Kisahnya menggamit aku untuk ke sana. Siapa mungkin bisa lupa akan pengorbanan para sahabat yg semangat jihadnya bisa menenggelamkan Uhud. Coretan Uhud masih segar dalam lipatan sejarah. Tatkala membaca lembaran Uhud, rasa mendetik jiwa untuk turut berjihad sama. Namun, apakah masih ada medan Uhud buatku?Aku masih tertanya? Apakah medan Uhud masih terbentang buatku yg sedang leka dalam kealpaan dunia.

Kusingkap helaian kisah Mus’ab Bin Umair. Seorang rupawan dari keluarga bangsawan. Hidupnya dilimpahi kesenangan dan kemewahan, berpakaian terbaik dari sutera sulaman tangan yang membalut tubuh tampannya. Namun, Uhud menjadi saksi merungkai segalanya. Naqib pertama yang dihantar Rasulullah ke bumi Yathrib itu gugur syahid mengejar Jannah. Saat matinya, tiada lagi sutera mewah yg bias menjadi kapan. Sehelai kain hanya cukup untuk menutup wajah ,mendedahkan kaki sehingga meruntun hati suci Rasulullah. Pemuda kacak yang pernah berpakaian terbaik di Kota Mekah itu meninggalkan segalanya demi Islam dan bumi Uhud bakal menjadi saksi kelak akan pengorbanannya menegakkan bendera Islam sehingga kedua tangannya dipotong musuh Allah. Namun, apakah aku bisa menjejaki Pejuang Uhud itu tatkala helaian baju mewah masih membaluti tubuhku sehingga aku lupa bahawa itu hanya semata-mata dunia. Tatkala aku mengejar jenama pakaian terkemuka, melabur wang untuk segak bergaya, aku terlupa akan pengorbanan Pejuang Uhud ini. Pakaian dan perhiasan yang menghiasi tubuh ini membuat aku leka dan alpa. Aku tertanya, apakah masih ada medan Uhud buatku? Ya Allah, seandainya pakaian dan perhiasan ini membuatkan aku lupa dan leka akan tanggungjawabku untuk menegakkan agamamu, membuatkan aku semakin menjauhi rahmatmu, Kau padamkanlah kecintaanku pada pakaian dan perhiasan. Ya Allah, jika pakaian dan perhiasaan ini akan melambatkan aku untuk sampai ke SyurgaMu, Kau hapuskanlah kecintaanku padanya. Ya Allah jika pakaian dan perhiasan ini memberatkan aku tika meniti Titian Sirat, Kau lunturkanlah nafsuku padanya.

Kusingkap helaian kisah Talhah Bin Ubaidullah. Pengorbanannya menggetarkan setiap tubuh yang bernyawa. Siapa mungkin akan lupa jasa Talhah mempertahankan Rasulullah tatakala tragedi Uhud yang mencalit darah pada wajah Rasulullah. Tatkala kemurkaan Rasulullah menimpa Ibnu Qami’ah yang menitiskan darah suci Rasulullah pada bumi dan mematahkan giginya, cinta dan kasih Rasulullah membaluti Talhah yang mengorbankan badan dan tanganya untuk melindungi Rasulullah. Tatkala Rasulullah diambang bahaya, Talhah mengorbankan dirinya untuk Kekasih Allah itu. Tangan Talhah lumpuh kerana mempertahankan Rasulullah, Jari jemarinya putus membentengi Rasulullah. Namun khabar gembira buat Talhah, Rasulullah bersabda : ‘Biarkan jarimu putus. Jika kau menyebut nama Allah, Malaikat akan mengangkatmu dihadapan mata semua orang’. Tatkala 39 parut luka memahat tubuhnya, Saidina Abu Bakar mendendangkan sajak buatnya, ‘Oh Talhah bin Ubaidullah!Syurga itu untukmu seperti air mataair  yang memancur untuk rusa meminumnya. Tatkala Rasulullah lemah kerana kecederaan sehingga tidak mampu untuk memanjat bukit untuk menyelamatkan diri, Talhah menggagahkan tubuhnya untuk menjadi tempat untuk Rasulullah memijak untuk memanjat bukit. Khabar gembira buat Talhah, Sabda Rasulullah ‘Talhah, selepas kerja ini, telah layak untuk Syurga’. Namun, apakah aku bisa menjejaki Pejuang Uhud itu untuk ke syurga sana tatkala tubuhku ini kuabdikan untuk keduniaan. Jari jemariku menari di papan kekunci melayari laman-laman yang hanya menjanjikan sia-sia, tidak pula untuk memperjuangkan agamaNya. Tanganku, kugunakan untuk membelanjankan wang membeli itu dan ini, tidak pula kugunakan untuk memberi sedekah pada yang memerlukannya. Tubuhku ini kuhambakan untuk mengejar keseronokkan dunia, tidak pula ku kerahkan untuk beribadah padaMu.Maka aku tertanya, apakah masih ada medan Uhud buatku?  Ya Allah jika perbuatan jari jemariku bisa menimbulkan kemurkaanMu, Kau dendangkanlah lagu jihad buat jari-jemariku menari-nari menegakkan KalimahMu. Ya Allah jika tulang belulang tanganku selalu ragu dan kaku untuk menginfak pada jalanMu, Kau ringankanlah dan lembutkan ia untuk lebih memberi pada jalanMu. Ya Allah jika tubuhku ini berlegar-legar di muka bumiMu tanpa beribadah dan mengingatiMu, Kau pasakkan ia dan thabitkan ia untuk berbakti hanya pada agamaMu.

Kusingkap helaian kisah Hanzalah bin Abu Amir. Dikala masih segar menghirup sakar madu malam pengantin, semboyan jihad Uhud bertiupan memanggil sang mujahid untuk turun menggalas pedang menghunus ke batang leher musuh. Lalu, ditinggalkan pangkuan isteri tercinta berlari menuju pelukan Syurga. Keberaniannya menggerunkan lawan, Hanzalah berjaya mengharungi benteng lawan sehingga berjaya sampai kepada Abu Sufyan bin Harb, ketua kafir Quraisyh saat itu dan Hanzalah hampir berjaya membunuhnya namun, takdir Allah menentukan segalanya. Manis madu malam pengantin bertukar menjadi racun, Hanzalah gugur syahid di hujung pedang Shaddad bin Al-Aswad. Tubuh Hanzalah ditemui dalam keaadaan air menitis dari jenazahnya dan kehairanan itu dijawab Rasulullah bahawa Malaikat telah memandikannya kerana keadaanya yang sedang berhadas. Maka sebab itulah Hanzalah dikenali dengan gelaran Ghaseel Al-Malaikah (orang yang dimandikan oleh Malaikat). Kegembiraan dan kecintaan malam pengantin ditinggalkan Hanzalah demi menegakkan agama Allah. Masih mampukah aku menjejaki pejuang Uhud ini tatkala cintaku pada manusia melebihi cintaku pada Sang Pencipta? Rasa cintaku dan kasihku pada Hawa menggunung melebihi cintaku pada Allah dan RasulNya. Cintaku pada Hawa kudambakan sepenuh raga, sedangkan cintaku pada Allah masih samar-samar buta. Kasih dan sayangku pada Hawa meleka aku hingga terlupa batas-batas agama. Panahan asmaraku menjadi nafsu mengongkong sukma hingga buta akan tanggungjawab menegakkan agama. Ya Allah, jika cintaku pada Hawa melebihi cintaku padaMu, Kau anugerahkanlah sebuah relung cinta sebesar semesta untuk membakar api cintaku padaMu. Ya Allah jika kasihku pada Hawa menjadikan aku alpa, kau bentangkahlah sejadah cinta untukku bersujud memohon ampun dan kasihMu. Ya Allah jika asmaraku pada Hawa membutakan mata, Kau sinarkanlah Nur Kasih menerangi jalan menuju kemilau syurga. Ya Allah kau anugerahkanlah Tali-Tali cintaMu pada aku dan Hawa untuk kami bergantung padanya dan jika hubungan kasih suci ini ikhlas hanya keranaMu, kau peliharalah ia, kau suburkanlah ia, kau damaikanlah ia.

Helaian demi helaian coretan Uhud ku selak, satu persatu kisah perjuangan sahabat ku baca, namun persoalan demi persoalan yang menjengah fikiran. Aku masih tertanya apakah masih ada medan Uhud buatku berjuang? Aku mula fahami, medan Uhud bukan untuk orang yang mendamba dunia, medan Uhud bukan untuk pencinta wanita, medan Uhud bukan untuk pembuat durjana medan Uhud tetapi sentiasa di hadapan kita, umat Muhammad yang mendamba Syurga agar menjadi bukti cinta buat yang Maha Berkuasa.

Dipetik dari Atap Hijau