hasbunallah

hasbunallah

Monday, January 28, 2013

Syeikh Abdul Qadir al-Madani : Hilangnya Sebutir Permata Agama


Memang niat dihati untuk menziarahi al-Alim al-Allamah al-Wara' Tuan Guru Syeikh Abd Qadir Bin Mohd Yusuf al-Madani yang sedang uzur di rumah di Kampung Kelong, Tumpat. Namun begitu, tidur saya terganggu dan solat subuh saya diiringi air mata serta Fatihah yang dibaca bersendu tatkala menerima sms pengkabaran duka bahawa Tuan Guru telah dijemput untuk menemui sang Pencipta pada jam lebih kurang 2:30 pagi. Wirid khususiyah selepas solat subuh tidak dapat saya teruskan kerana sendu yang tidak dapat saya tenteramkan.

Mengenangkan Tuan Guru adalah murabbi dan mursyid saya sejak kecil lagi, maka hubungan kasih dan sayang saya tidak bertepi. Walaupun Tuan Guru sudah lama tidak memberi kuliyah kerana keuzuran, tapi Tuan Guru tetap saya ziarahi demi mendapatkan nasihat dan tausiyah makanan jiwa yang selalu kosong.  Kitab Ayyuhal Walad karangan Hujjatul Islam Imam al-Ghazali Rahimahullah adalah kitab terakhir yang diajar oleh Tuan Guru tidak sempat dikhatamkan beliau kerana keuzuran. Tetapi beliau tetap bersemangat untuk memulakan pengajian dan beliau juga ada memberitahu saya bahawa ingin mengajar kitab Bustanul Arifin  karangan Imam an-Nawawi Rahimahullah.

Sebelum ini saya ada membuat sedikit catatan ringkas mengenai kehidupan al-Marhum Tuan Syeikh yang telah saya muatkan dalam blog saya namun tidak sempat saya siapkan kerana tuan syeikh selalu uzur. Apabila saya buat carian google di intenet ‘Tok Ayah Musa’, rupa-rupanya ramai yang menulsi mengenai keperibadian mulia yang ada pada diri Tuan Syeikh. Tidak kurang juga yang turut menyebarkan artikel yang saya tulis mengenai tuan syeikh.

Di saat saya menulis artikel ini pun saya masih tidak mampu menahan kesedihan yang bertakung dilubuk hati ketika mengenangkan kisah pengajian dan perjalanan rohani saya dibawah bimbingan tuan syeikh. Antara kata-kata yang selalu menjerut perasaan saya sewaktu bertemu dengan Tuan Syeikh adalah “ Maafkan segala kesialapan Tok Ayah. Mohon doakan Tok Ayah.” Hati murid manakah yang mampu bertahan sewaktu mendengar bisikan begitu tatkala berada dalam pelukan Tuan Syeikh. Allahu Akbar.

Sungguh saya katakan bahawa berada di bawah bimbingan Tuan Syeikh merupakan pengalaman terindah yang amat saya syukuri dalam kehidupan saya ini. Murabbi dan mursyid dalam menunjukkan jalan buat salik yang teraba-raba mencari jalan kembali kepada Tuhan. Biacaranya yang indah dan memberi kesan terus ke lubuk hati saya. Tausiyah dan tutur bicaranya tidak pernah sunyi dari air mata. Sewaktu mensyarahkan kitab Ayyuhal Walad, air mata Tuan Syeikh sentiasa bercucuran malah ada ketikanya Tuan Syeikh terisak-isak menuturkan kalam Hujjatul Islam Imam al-Ghazali Rahimahullah.

Kecintaan Tuan Syeikh pada Rasulullah tidak perlu diragui. Saat membicarakan kisah kehidupan kekasih Allah itu membuatkan Tuan Syeikh bersemangat. Setiap kali tamat sesi kuliyah, penutupnya kami akan bangun berselawat mengagungkan baginda Rasulullah saw.  Doa Tuan Syeikh sering diiringi dengan air mata yang turut membuatkan kami semua sendu.

Sepanjang perjalanan tarbiyyah saya dibawah asuhan Tuan Syeikh, permintaan beliau agar saya menjadi imam solat jemaah adalah suatu perkara yang menggugat perasaan saya. Mana mungkin saya hanyalah seorang salik dan murid yang masih jauh perjalanan ini menjadi imam sedangkan guru murabbi dan mursyid saya menjadi makmum di belakang. Dapatkah anda semua bayangkan perasaan saya ketika itu? Hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui.

Sewaktu hidup Tuan Syeikh, pernah suatu ketika ramai orang yang datang menjadi murid dan mengikuti pengajian beliau. Sehingga satu tahap, kelas pengajian Tuan Syeikh ditangguhkan agak lama dan ia menjadi tanda Tanya dikalangan para murid beliau. Setelah menemui Tuan Syeikh dan bertanyakan kenapa pengajian ditangguhkan, maka beritahu beliau bahawa beliau ingin menjaga hati daripada sifat-sifat riak, ujub dan bangga diri kerana ramai murid yang datang mengikut kelas pengajian beliau.

Pernah juga kelas pengajian Tuan Syeikh ditangguhkan untuk beberapa waktu yang agak lama. Apabila ditanya kenapa, Tuan Syeikh menjawab bahawa beliau ingin mengamalkan terlebih dahulu apa yang bakal di ajarkannya dalam kelas pengajian itu nanti.

Alangkah tinggi wara’ dan zuhudnya Tuan Syeikh serta dalamnya ilmu tasawuf yang sukar didapati dalam seseorang hamba. Maka kehilangan Tuan Syeikh tiada pengganti yang dapat menandingi akhlak beliau.

Maka pada hari Sabtu 14 Rabiul Awwal 1434 bersamaan 26 Januari 2013, al-Alim al- Wara' Tuan Guru Syeikh Abdul Qadir Bin Mohd Yusuf al-Madani telah dijemput Allah Rabbul Jalil pada pukul 2:30 pagi. Perasaan sebak, sedih dan sayu tidak dapat saya bendung tatkala membantu memandi dan mengkafankan jenazah Tuan Syeikh murabbi dan mursyid saya itu. Tubuhnya saya peluk dan saya gosok dengan perlahan penuh kecintaan dan takzim saya. Air mata tidak pernah berhenti mengalir sehingga jasad Tuan Syeikh dihantar ke Tanah Perkuburan Dato’ Tumpat. Jenazah Tuan Syeikh telah disolatkan oleh ramai para muridnya serta tuan guru termasuk tuan guru Pondok Berangan dan pondok Gelang Mas. 

Semoga ilmu yang Tuan Syeikh ajarkan kepada saya, dapat saya manfaatkan untuk keselamatan saya dunia dan akhirat. Moga kecintaan dan kasih sayang saya pada Tuan Syeikh tidak akan terhijab oleh alam yang berbeza. Moga Allah tempatkan Tuan Syeikh bersama golongan terpilih dan para muqarrabin.

Ya Allah, tutupilah aib guruku dari pandanganku dan janganlah Engkau hilangkan keberkatan ilmunya daripadaku. Ya Allah, ampunilah guru-guru kami dan orang yang pernah mengajar kami, serta rahmatilah mereka semua, Engkau muliakanlah kedudukan mereka dan tempat kembali mereka, wahai Tuhan Yang Paling Pengasih.

Al-Fatihah…        


14 comments:

Cap Kapalayar said...

Innalillah wa inna ilaihirajiun

Abu Zahrah said...

Tuan Abd Rashid Al-Kubrawiy Al-Husaini mohon izin dikongsikan di FB ni ...

Mohd. Abd. Rashid Bin Yah al-Kubrawiy al-Husaini said...

silakan tuan syeikh

Abu Zahrah said...

Syukron.

Mohd. Abd. Rashid Bin Yah al-Kubrawiy al-Husaini said...

Tuan berkesempatan bertemu dgn almarhum tuan syeikh ini?

Abu Zahrah said...

Alhamdulillah sempat dan al-hamdulilah beliau bacakan hadits bir rahmah @ musalsal awwaliyah. Alhamdulillah.

Mohd. Abd. Rashid Bin Yah al-Kubrawiy al-Husaini said...

tuan kesana bersama tuan Syeikh Muhammad Husni Ginting?

Abu Zahrah said...

iya, benar

Mohd. Abd. Rashid Bin Yah al-Kubrawiy al-Husaini said...

alhamdulillah. saya kehilangan murabbi dan mursyid yang amat saya sayangi dan kagumi.

Abu Zahrah said...

kehilangan buat seluruh orang yang beriman ...beruntunglah tuan kerana mendapat sentuhan didikan secara langsung dari beliau ... sangat2 beruntung ..

Mohd. Abd. Rashid Bin Yah al-Kubrawiy al-Husaini said...

itulah anatar nikmat terbesar yg amat saya syukuri iaitu dpt menjadi murid almarhum.

Mohammad Ramzi said...

Assalamualaikum Saudara... Nama ana Mohammad Ramzi...Tidak Silap ana, 2minggu Sebelum Pemergian Tuan Guru Hj.Musa... ana sempat berjumpa dengan beliau dan merekod kata2 akhir beliau..Suaranya agak kurang jelas kerana semasa ana ke rumah beliau... beliau berada di dalam keadaan uzur dan menggunakan alat oksigen luar... Minta maaf ... Ana nak tahu Adakah ini nama penuh beliau...

Tidak silap lagi... kata akhir2 yang menyentuh perasaan ana... Doakan dan memohon dibaca al-fatihah untuk beliau

Mohd. Abd. Rashid Bin Yah al-Kubrawiy al-Husaini said...

Yup, itulah nama penuh beliau..

Anonymous said...

Assalamualaykum, salam kenal, membaca artikel ini membuat saya menitikkan air mata walau saya tidak mengenal Beliau tapi serasa saya begitu dengan Tuan Syekh, pernah melihat foto Beliau di blog lain yakni www.wilayyahallah. Oh iya maaf sebelumnya, nama saya Fata Hidayat bin H. Syahrani Effendi.