Memang niat dihati untuk
menziarahi al-Alim al-Allamah al-Wara' Tuan Guru Syeikh Abd Qadir Bin Mohd Yusuf
al-Madani yang sedang uzur di rumah di Kampung Kelong, Tumpat. Namun begitu,
tidur saya terganggu dan solat subuh saya diiringi air mata serta Fatihah yang
dibaca bersendu tatkala menerima sms pengkabaran duka bahawa Tuan Guru telah
dijemput untuk menemui sang Pencipta pada jam lebih kurang 2:30 pagi. Wirid
khususiyah selepas solat subuh tidak dapat saya teruskan kerana sendu yang
tidak dapat saya tenteramkan.
Mengenangkan Tuan Guru adalah
murabbi dan mursyid saya sejak kecil lagi, maka hubungan kasih dan sayang saya
tidak bertepi. Walaupun Tuan Guru sudah lama tidak memberi kuliyah kerana
keuzuran, tapi Tuan Guru tetap saya ziarahi demi mendapatkan nasihat dan
tausiyah makanan jiwa yang selalu kosong.
Kitab Ayyuhal Walad karangan Hujjatul Islam Imam al-Ghazali Rahimahullah
adalah kitab terakhir yang diajar oleh Tuan Guru tidak sempat dikhatamkan
beliau kerana keuzuran. Tetapi beliau tetap bersemangat untuk memulakan
pengajian dan beliau juga ada memberitahu saya bahawa ingin mengajar kitab
Bustanul Arifin karangan Imam an-Nawawi
Rahimahullah.
Sebelum ini saya ada membuat
sedikit catatan ringkas mengenai kehidupan al-Marhum Tuan Syeikh yang telah
saya muatkan dalam blog saya namun tidak sempat saya siapkan kerana tuan syeikh
selalu uzur. Apabila saya buat carian google di intenet ‘Tok Ayah Musa’,
rupa-rupanya ramai yang menulsi mengenai keperibadian mulia yang ada pada diri
Tuan Syeikh. Tidak kurang juga yang turut menyebarkan artikel yang saya tulis
mengenai tuan syeikh.
Di saat saya menulis artikel
ini pun saya masih tidak mampu menahan kesedihan yang bertakung dilubuk hati
ketika mengenangkan kisah pengajian dan perjalanan rohani saya dibawah bimbingan
tuan syeikh. Antara kata-kata yang selalu menjerut perasaan saya sewaktu
bertemu dengan Tuan Syeikh adalah “ Maafkan segala kesialapan Tok Ayah. Mohon
doakan Tok Ayah.” Hati murid manakah yang mampu bertahan sewaktu mendengar
bisikan begitu tatkala berada dalam pelukan Tuan Syeikh. Allahu Akbar.
Sungguh saya katakan bahawa
berada di bawah bimbingan Tuan Syeikh merupakan pengalaman terindah yang amat
saya syukuri dalam kehidupan saya ini. Murabbi dan mursyid dalam menunjukkan
jalan buat salik yang teraba-raba mencari jalan kembali kepada Tuhan.
Biacaranya yang indah dan memberi kesan terus ke lubuk hati saya. Tausiyah dan
tutur bicaranya tidak pernah sunyi dari air mata. Sewaktu mensyarahkan kitab
Ayyuhal Walad, air mata Tuan Syeikh sentiasa bercucuran malah ada ketikanya
Tuan Syeikh terisak-isak menuturkan kalam Hujjatul Islam Imam al-Ghazali
Rahimahullah.
Kecintaan Tuan Syeikh pada
Rasulullah tidak perlu diragui. Saat membicarakan kisah kehidupan kekasih Allah
itu membuatkan Tuan Syeikh bersemangat. Setiap kali tamat sesi kuliyah,
penutupnya kami akan bangun berselawat mengagungkan baginda Rasulullah saw. Doa Tuan Syeikh sering diiringi dengan air
mata yang turut membuatkan kami semua sendu.
Sepanjang perjalanan tarbiyyah
saya dibawah asuhan Tuan Syeikh, permintaan beliau agar saya menjadi imam solat
jemaah adalah suatu perkara yang menggugat perasaan saya. Mana mungkin saya
hanyalah seorang salik dan murid yang masih jauh perjalanan ini menjadi imam
sedangkan guru murabbi dan mursyid saya menjadi makmum di belakang. Dapatkah
anda semua bayangkan perasaan saya ketika itu? Hanya Allah sahaja yang Maha
Mengetahui.
Sewaktu hidup Tuan Syeikh,
pernah suatu ketika ramai orang yang datang menjadi murid dan mengikuti
pengajian beliau. Sehingga satu tahap, kelas pengajian Tuan Syeikh ditangguhkan
agak lama dan ia menjadi tanda Tanya dikalangan para murid beliau. Setelah menemui
Tuan Syeikh dan bertanyakan kenapa pengajian ditangguhkan, maka beritahu beliau
bahawa beliau ingin menjaga hati daripada sifat-sifat riak, ujub dan bangga
diri kerana ramai murid yang datang mengikut kelas pengajian beliau.
Pernah juga kelas pengajian
Tuan Syeikh ditangguhkan untuk beberapa waktu yang agak lama. Apabila ditanya
kenapa, Tuan Syeikh menjawab bahawa beliau ingin mengamalkan terlebih dahulu
apa yang bakal di ajarkannya dalam kelas pengajian itu nanti.
Alangkah tinggi wara’ dan
zuhudnya Tuan Syeikh serta dalamnya ilmu tasawuf yang sukar didapati dalam
seseorang hamba. Maka kehilangan Tuan Syeikh tiada pengganti yang dapat
menandingi akhlak beliau.
Maka pada hari Sabtu 14 Rabiul Awwal 1434 bersamaan 26 Januari 2013, al-Alim al- Wara' Tuan Guru Syeikh Abdul Qadir Bin Mohd Yusuf al-Madani telah dijemput Allah Rabbul Jalil pada pukul 2:30 pagi. Perasaan sebak, sedih dan sayu
tidak dapat saya bendung tatkala membantu memandi dan mengkafankan jenazah Tuan
Syeikh murabbi dan mursyid saya itu. Tubuhnya saya peluk dan saya gosok dengan
perlahan penuh kecintaan dan takzim saya. Air mata tidak pernah berhenti
mengalir sehingga jasad Tuan Syeikh dihantar ke Tanah Perkuburan Dato’ Tumpat. Jenazah Tuan Syeikh telah disolatkan oleh ramai para muridnya serta tuan guru termasuk tuan guru Pondok Berangan dan pondok Gelang Mas.
Semoga ilmu yang Tuan Syeikh
ajarkan kepada saya, dapat saya manfaatkan untuk keselamatan saya dunia dan
akhirat. Moga kecintaan dan kasih sayang saya pada Tuan Syeikh tidak akan
terhijab oleh alam yang berbeza. Moga Allah tempatkan Tuan Syeikh bersama
golongan terpilih dan para muqarrabin.
Ya Allah, tutupilah aib guruku
dari pandanganku dan janganlah Engkau hilangkan keberkatan ilmunya daripadaku. Ya
Allah, ampunilah guru-guru kami dan orang yang pernah mengajar kami, serta
rahmatilah mereka semua, Engkau muliakanlah kedudukan mereka dan tempat kembali
mereka, wahai Tuhan Yang Paling Pengasih.
Al-Fatihah…
14 comments:
Innalillah wa inna ilaihirajiun
Tuan Abd Rashid Al-Kubrawiy Al-Husaini mohon izin dikongsikan di FB ni ...
silakan tuan syeikh
Syukron.
Tuan berkesempatan bertemu dgn almarhum tuan syeikh ini?
Alhamdulillah sempat dan al-hamdulilah beliau bacakan hadits bir rahmah @ musalsal awwaliyah. Alhamdulillah.
tuan kesana bersama tuan Syeikh Muhammad Husni Ginting?
iya, benar
alhamdulillah. saya kehilangan murabbi dan mursyid yang amat saya sayangi dan kagumi.
kehilangan buat seluruh orang yang beriman ...beruntunglah tuan kerana mendapat sentuhan didikan secara langsung dari beliau ... sangat2 beruntung ..
itulah anatar nikmat terbesar yg amat saya syukuri iaitu dpt menjadi murid almarhum.
Assalamualaikum Saudara... Nama ana Mohammad Ramzi...Tidak Silap ana, 2minggu Sebelum Pemergian Tuan Guru Hj.Musa... ana sempat berjumpa dengan beliau dan merekod kata2 akhir beliau..Suaranya agak kurang jelas kerana semasa ana ke rumah beliau... beliau berada di dalam keadaan uzur dan menggunakan alat oksigen luar... Minta maaf ... Ana nak tahu Adakah ini nama penuh beliau...
Tidak silap lagi... kata akhir2 yang menyentuh perasaan ana... Doakan dan memohon dibaca al-fatihah untuk beliau
Yup, itulah nama penuh beliau..
Assalamualaykum, salam kenal, membaca artikel ini membuat saya menitikkan air mata walau saya tidak mengenal Beliau tapi serasa saya begitu dengan Tuan Syekh, pernah melihat foto Beliau di blog lain yakni www.wilayyahallah. Oh iya maaf sebelumnya, nama saya Fata Hidayat bin H. Syahrani Effendi.
Post a Comment