hasbunallah

hasbunallah

Thursday, January 22, 2015

Banjir: Satu Muhasabah Buat Diri



Muhasabah ini ditulis saya sebagai seorang mangsa banjir, seorang sukarelawan dan seorang yang di amanahkan untuk koordinasi bantuan untuk mangsa banjir. Ianya ditulis sebagai satu muhasabah untuk diri saya sendiri dan sekiranya ada manfaat untuk orang lain yang ingin turut serta berkongsi.

Ia juga ditulis bukan untuk membangga diri bahawa saya adalah seorang sukarelawan yang turun membantu mangsa banjir. Usaha saya itu (kalau ianya layak dipanggil usaha) adalah terlalu kecil jika hendak dibandingkan dengan usaha sahabat-sahabat saya yang lain serta ramai lagi di luar sana yang sanggup menggadaikan nyawa mereka untuk membantu mangsa banjir yang lain, padahal dia juga adalah mangsa banjir seperti orang lain juga.
  


أَحَسِبَ ٱلنَّاسُ أَن يُتۡرَكُوٓاْ أَن يَقُولُوٓاْ ءَامَنَّا وَهُمۡ لَا يُفۡتَنُونَ (٢) وَلَقَدۡ فَتَنَّا ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِهِمۡ‌ۖ فَلَيَعۡلَمَنَّ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ صَدَقُواْ وَلَيَعۡلَمَنَّ ٱلۡكَـٰذِبِينَ (٣)
Patutkah manusia menyangka Bahawa mereka akan dibiarkan Dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?Dan Demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang Yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian Yang demikian), nyata apa Yang diketahui Allah tentang orang-orang Yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa Yang diketahuiNya tentang orang-orang Yang berdusta. (al-Ankabut: 2-3)

Allah swt telah menjelaskan sebagaimana ayat di atas bahawa manusia itu tidak akan dibiarkan berkata bahawa mereka beriman semata-mata tanpa diuji. Allah Maha Mengetahui tentang hati dan keimanan manusia. Allah Taala juga Maha Mengetahui apa yang telah berlaku dan apa yang akan berlaku. Ujian itu adalah untuk manusia sendiri bagi mereka tahu sejauh mana keimanan mereka kepada Allah Taala selama ini.

Banjir kali ini telah menjelaskan kepada diri kita sendiri, tahap manakah keimanan kita kepada Allah Taala. Adakah kita redha dengan ujian yang menimpa ini atau kita tidak dapat menerimanya dengan hati yang tenang. Sehingga kita sanggup meletakkan kesalahan ke atas bahu orang lain akibat kita kehilangan harta benda dalam banjir.

Kadang-kadang kita merasakan bahawa ujian yang menimpa kita itu amat berat tetapi sebenarnya jika kita perhatikan ada lagi orang lain yang ditimpa musibah atau ujian yang lebih berat dari kita. Memang agak sukar untuk kita menerima realiti bahawa kita. Tatkala rumah kita ditenggelami banjir, kita merasakan bahawa kitalah yang paling teruk diuji. Tetapi kita lupa bahawa ada lagi orang selain kita yang kehilangan rumah akibat dihanyut air. Bahkan ada juga orang lain selain kita yang bukan sekadar rumah mereka sahaja yang dihanyut air, tetapi tapak rumah mereka juga sudah tiada kerana telah menjadi sebahagian daripada sungai.

1.      Buat Mangsa

Tidak dinafikan bahawa mangsa banjir adalah orang yang perlu diberikan pertolongan yang sewajar kerana mereka telah ditimpa musibah. Namun begitu mereka juga perlu sedar bahawa musibah yang menimpa mereka merupakan takdir qada’ dan qadar Allah swt. Oleh yang demikian, mereka perlu didik hati untuk bersabar dan menerima ujian Allah Taala itu dengan redha.

Ada dikalangan mangsa banjir yang berada di pusat pemindahan hanya sekadar duduk berehat, bersembang-sembang dan tidur sahaja tanpa sama-sama membantu para sukarelawan untuk menyediakan makanan kepada mangsa banjir. Cukup masa, mereka akan bertanyakan makanan tanpa ambil kisah pun bahawa sukarelawan pun adalah mangsa banjir seperti mereka. Membuat kerja atas dasar sukarela tanpa sebarang bayaran imbuhan, gaji atau elaun. Pun begitu mereka dicerca dengan kata-kata kesat sekiranya makanan tidak disediakan pada waktu yang sepatutnya atau pun makanan yang dimasak tidak sesempurna seperti yang diharapkan.

Ada sesetengah pihak pengurusan pusat pemindahan menyediakan imam atau ustaz untuk urusan solat berjemaah dan tazkirah ringkas. Tapi setiap kali masuk waktu solat hanya beberapa orang sahaja yang hadir untuk solat berjemaah dari ratusan malah ribuan mangsa banjir yang berada di pusat pemindahan tersebut.
 

ٱلَّذِى خَلَقَ ٱلۡمَوۡتَ وَٱلۡحَيَوٰةَ لِيَبۡلُوَكُمۡ أَيُّكُمۡ أَحۡسَنُ عَمَلاً۬‌ۚ وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡغَفُورُ (٢)
Dia lah Yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu Yang lebih baik amalnya; dan ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang Yang bertaubat); (al-Mulk: 2)



Manakala mangsa banjir yang tidak berpindah pula seperti mengambil kesempatan terhadap barang-barang bantuan yang diagihkan oleh sukarelawan. Setiap kenderaan bantuan yang sampai akan diserbu oleh mangsa banjir serta memberitahu bahawa mereka belum pernah menerima apa-apa bantuan lagi. Padahal setiap kali kenderaan bantuan yang sampai, merekalah yang turut menerima habuannya.

Tidak cukupkah lagi banjir ini sebagai ujian buat kita semua untuk muhasabah diri? Kenapa perlu bersikap sedemikian ketika semua orang sedang diuji oleh Allah swt?

2.      Buat Sukarelawan dan Penyumbang Bantuan

Jutaan terima kasih saya ucapkan kepada sukarelawan dari pelbagai pihak sama ada NGO, badan berkanun, jabatan kerajaan, syarikat, badan koperat, pihak swasta dan orang persendirian yang telah memberikan bantuan dalam pelbagai bentuk termasuklah makanan, pakaian, wang ringgit dan juga tenaga serta doa.

Satu peringatan yang perlu disematkan dalam hati bahawa sekiranya kita membantu, biarlah ikhlas kerana hanya amalan yang ikhlas sahaja yang diterima Allah swt. Tiada update status dalam FB atau dalam whatsapp atau tiada gambar yang di upload kedalam media sosial tidak bermakna orang lain tidak memberikan bantuan kepada mangsa banjir kerana tugas membantu dan menyelamatkan mangsa banjir itu adalah lebih utama jika hendak dibandingkan dengan bergambar atau selfie untuk tujuan update laman sosial. Satu hadis Nabi SAW yang daripada Abu Hurairah r.a:

إِياَّكُمْ وَالظَّنَّ، فَــإِنَّ الظَّنَّ أَكْذَبَ الْحَدِيْثِ
Berhati-hatilah kamu daripada berprasangka, kerana prasangka adalah sebohong-bohong ucapan. (muttafaqun alaihi)

Sekiranya kita membantu, tidak perlulah berperasangka terhadap orang lain yang tidak turut membantu bersama kita kerana mereka mungkin pada masa tersebut berada di tempat lain untuk memberikan bantuan. Alangkah sia-sianya bantuan kita itu disisi Allah swt kerana tiada ganjaran yang diperuntukkkan. 

وَمَآ أُمِرُوٓاْ إِلَّا لِيَعۡبُدُواْ ٱللَّهَ مُخۡلِصِينَ لَهُ ٱلدِّينَ حُنَفَآءَ وَيُقِيمُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَيُؤۡتُواْ ٱلزَّكَوٰةَ‌ۚ وَذَٲلِكَ دِينُ ٱلۡقَيِّمَةِ
Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat dan yang demikian itulah agama yang benar. (al-Bayyinah: 5)

3.      Pengguna media sosial

Tidak dinafikan bahawa semua orang ingin mengambil bahagian masing-masing dalam memberikan maklumat mengenai mangsa-mangsa banjir dan situasi tertentu kepada umum. Malah ada juga yang bertindak ingin jadi orang yang pertama melaporkan kepada umum. Namun begitu banyak maklumat tidak tepat malah ada juga yang palsu tersebar ketika musibah banjir berlaku tempoh hari.
Keadaan ini akan menimbulkan panik di kalangan orang ramai yang membaca status atau post tersebut. Sepatutnya, sebelum kita menyebarkan apa-apa berita kita perlu menyemak kesahihannya terlebih dahulu kerana setiap maklumat yng kita sebarkan pasti akan ada kesannya. Allah swt telah berfirman:

وَلَا تَقۡفُ مَا لَيۡسَ لَكَ بِهِۦ عِلۡمٌ‌ۚ إِنَّ ٱلسَّمۡعَ وَٱلۡبَصَرَ وَٱلۡفُؤَادَ كُلُّ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ كَانَ عَنۡهُ مَسۡـُٔولاً۬ (٣٦)
Janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya. (al-Isra’: 36)
Rasulullah saw telah bersabda:
وإياكم والكذب فـإنه باب من أبواب النار
Dan jauhilaah kami daripada dusta kerana ia merupakan pintu dari pintu-pintu neraka. (dikeluarkan oleh as-Suyuti)

Tidak kurang juga yang menyalahkan orang lain atas kelewatan bantuan sampai kepada mangsa ataupun mempertikaikan tindakan orang lain dalam menangani musibah yang berlaku sedangkan banjir yang berlaku baru-baru ini adalah diluar jangkaan. Malah pihak berkuasa, penyelamat dan sukarelawan terpaksa bertarung nyawa untuk membantu mangsa banjir.

Bagi saya, sekiranya kita sendiri tidak dapat membantu maka tidak perlulah mengeruhkan lagi keadaan yang sudah keruh. Apa salahnya kita turut memberikan bantuan tenaga semampu boleh ataupun sekadar mendoakan keselamatan dan kemudahan buat orang yang membantu serta mangsa sendiri.

Rasulullah saw telah bersabda:

ليس المؤمن بالطعان ولا اللعان ولا الفاحش ولا البذيء
Bukanlah sifat Mukmin sejati yang banyak mencela, suka melaknat dan yang berbuat keji serta bercakap kotor.( at-Tirmizi)

4.       Muhasabah

Bukanlah saya hendak menunding kepada sesiapa, cuma sekadar merenung kembali apa yang telah berlaku semasa banjir besar baru-baru ini. Setiap kebaikan walau sekecil hama ia pasti akan diberikan ganjaran dengan setimpal oleh Allah swt dan setiap keburukan atau kejahatan walau seringan kapas tetap akan dibalas dengan adil. Allah swt telah berfirman dalam satu hadis qudsi:

"إذا هم عبدي بسيئة، فلم يعملها؛ فاكتبوها له حسنة، فإن عملها؛ فاكتبوها له سيئة، فإن تاب منها؛ فامحوها عنه، وإذا هم عبدي بحسنة فلم يعملها؛ فاكتوبها له حسنة، فإن عملها؛ فاكتبوها بعشرة أمثالها إلى سبعمئة ضعف" . رواه ابن حبان عن أبي الدرداء.  
Apabila hambaKu merancanakan suautu kebaikan, tetapi tiada dikerjakannya, Aku catitkan baginya suatu kebaikan. Jika terus dikerjakannya, Aku catitkan baginya sepuluh kebajikan, berganda pula kepada tujuh ratus kali. Dan apabila dia merencanakan suatu kejahatan, tetapi tidak dikerjakannya, Aku tidak catitikan baginya apa-apa. Tetapi jika dikerjakannya, Aku catitkan baginya satu kejahatan sahaja. (Ibn Hibban)

Semoga Allah swt memberikan ganjaran yang setimpal untuk setiap pertolongan yang diberikan oleh para sukarelawan. Hanya Allah swt sahaja yang selayaknya membalas jasa kalian itu.






1 comment:

siti saleha said...

👍👍👍👍👍
Such a great write up. keep up writing.