hasbunallah

hasbunallah

Friday, August 11, 2017

Kontroversi Pindaan Akta 164 - Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976.



Selepas RUU 355 belum diluluskan dan ditangguhkan tanpa tarikh, ditimbulkan polemik baharu berkaitan pindaan kepada Akta 164 - Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976. Kononnya, pindaan itu adalah sebuah episod “Tragedi Malang Buat Umat Islam Di Negara Ini”. Entah apa yang malangnya kalau isu yang ditimbulkan hanya berkaitan bidangkuasa Mahkamah Syariah dalam konteks Seksyen 46(2) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303).

Yang malang sebenarnya jika tulisan sebegitu diangkat untuk membangkitkan emosi umat Islam untuk memprotes tanpa asas ilmu dan pengetahuan yang sebenar. Kebangkitan emosi itu hanya semata-mata dibataskan atas dasar sentimen tanpa paksi kepada kebenaran.

Kontroversi yang sebenar adalah berkaitan cadangan pindaan kepada Seksyen 88A RUU D.R. 20/2016 yang menyatakan seperti berikut:

“Religion of child

88A. (1) Where a party to a marriage has converted to Islam, the religion of any child of the marriage shall remain as the religion of the parties to the marriage prior to the conversion, except where both parties to the marriage agree to a conversion of the child to Islam, subject always to the wishes of the child where he or she has attained the age of eighteen years.

(2) Where the parties to the marriage professed different religions prior to the conversion of one spouse to Islam, a child of the marriage shall be at liberty to remain in the religion of either one of the prior religions of the parties before the conversion to Islam.”.

-------------------

“Agama Anak

(1) Jika suatu pihak kepada sesuatu perkahwinan telah masuk Islam, agama mana-mana anak dari perkahwinan itu hendaklah kekal sebagai agama pihak-pihak kepada perkahwinan itu sebelum penukaran agama itu, kecuali jika kedua-dua pihak kepada perkahwinan itu bersetuju akan penukaran agama anak itu kepada Islam, tertakluk kepada keinginan anak itu apabila dia telah mencapai umur lapan belas tahun.

(2) Jika pihak-pihak kepada perkahwinan menganut agama berbeza sebelum satu pasangan masuk Islam, seseorang anak dari perkahwinan itu hendaklah bebas untuk kekal dalam agama salah satu daripada agama pihak yang tersebut sebelum masuk Islam.”

Cadangan pindaan kepada Seksyen 88A ini akan memberikan kesan bahawa anak pasangan bukan Islam, yang mana salah seorang daripada pasangan itu menganut Islam akan kekal dalam agama asal melainkan jika kedua-dua ibu dan bapa anak itu bersetuju supaya anak itu menganut agama baharu. Pada masa kini, mana-mana seorang daripada ibu atau bapa boleh memberikan kebenaran tersebut tanpa perlu kepada kebenaran daripada pihak yang satu lagi.

Namun, sebelum rang ini dibahaskan cadangan pindaan ini telah pun ditarikbalik oleh Menteri atas alasan kemungkinan berlaku percanggahan dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan. Oleh itu sudah tidak berbangkit kontroversi hal ini dan tulisan ini tidak akan menghuraikan hal tersebut.

Kini, dibangkitkan pula kontroversi kononnya pindaan kepada Seksyen 51 akan menyebabkan Mahkamah Syariah hilang kuasanya di bawah Seksyen 46(2) Akta 303. Pindaan kepada Seksyen 51 akan membolehkan mana-mana pihak sama ada yang baharu menganut Islam atau yang kekal bukan Islam boleh menfailkan petisyen perceraian di Mahkamah Sivil. Petisyen itu boleh dibuat atas dasar persetujuan bersama (mutual consent) atau atas dasar perkahwinan itu telah pecah belah dan tidak dapat dipulihkan (dissolution due to irretrievably breakdown of marriage).

Berbanding dengan Seksyen 51 yang asal, hanya pasangan yang kekal menganut agama asal sahaja yang boleh menfailkan petisyen perceraian itu dan pasangan yang baharu menganut agama Islam itu tidak boleh menfailkan kes di Mahkamah Sivil. Hal ini jelas dinyatakan dalam huraian kepada RUU tersebut.

Huraian

Rang Undang-Undang ini bertujuan untuk meminda Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 (“Akta 164”) secara amnya sebagai salah satu langkah untuk menyelesaikan isu yang berbangkit daripada kemasukan Islam suatu pihak kepada sesuatu perkahwinan.

Rang Undang-Undang ini bertujuan untuk memberikan hak kepada suami atau isteri yang telah memeluk agama Islam untuk memfailkan petisyen perceraian untuk membubarkan perkahwinan sivilnya di bawah subseksyen 51(1) Akta 164. Pada masa ini, undang-undang tidak memberi kepada suami atau isteri yang memeluk agama Islam hak untuk memfailkan petisyen perceraian di mahkamah sivil di bawah Akta 164 memandangkan hak untuk membubarkan perkahwinan hanya diberikan kepada suami atau isteri yang tidak memeluk agama Islam. Oleh yang demikian, selagi suami atau isteri yang tidak memeluk agama Islam tidak memfailkan petisyen perceraian di mahkamah sivil, perkahwinan sivil suami isteri itu masih dianggap sah dan berterusan di bawah Akta 164.

Memandangkan suami atau isteri yang memeluk agama Islam tidak mempunyai hak untuk memfailkan petisyen perceraian di bawah Akta 164, dia juga tidak mempunyai hak untuk membuat permohonan relief sampingan yang lain seperti nafkah, hak jagaan anak, pembahagian aset perkahwinan dan sebagainya. Keadaan ini mengakibatkan kesulitan kepada suami atau isteri yang memeluk agama Islam memandangkan Akta 164 tidak memperuntukkan remedi kepada mereka dan terdapat sebilangan daripada mereka mendapatkan remedi yang lain dengan cara memfailkan permohonan perceraian dan relief sampingan yang lain di Mahkamah Syariah. Dalam keadaan tersebut, Mahkamah Syariah akan menjalankan kuasanya untuk membuat perintah berhubung dengan perceraian dan juga relief sampingan yang lain.

Konflik akan berlaku sekiranya kedua-dua suami isteri tersebut membuat permohonan masing-masing di dua mahkamah yang berbeza iaitu mahkamah sivil dan Mahkamah Syariah serta kedua-dua Mahkamah tersebut membuat perintah yang berbeza.

Walaupun Mahkamah Syariah boleh memberikan perintah perceraian dan relief sampingan, ia tidak boleh membubarkan perkahwinan sivil di bawah Akta 164 kerana kuasa untuk membubarkan perkahwinan sivil di bawah Akta 164 hanya diberikan kepada mahkamah sivil. Oleh yang demikian, Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidang kuasa untuk membubarkan perkahwinan tersebut dan juga membuat perintah bagi relief sampingan yang lain dan perintah perceraian serta relief sampingan yang lain itu tidak mempunyai kesan di sisi undang-undang. Perkara ini telah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Viran a/l Nagapan v. Deepa a/p Subramaniam [Civil Appeal No. : 02(f)-4-01-2015(N)], Peguam Negara Malaysia dan Ketua Polis Negara v. Deepa a/p Subramaniam [Civil Appeal No. : N-02-801-05-2004 & N-02-1004-06-2014], Subashini a/p Rajasingam v. Saravanan a/l Thangatoray & other appeals [2008] 2 MLJ 147 dan Tang Sung Mooi v. Too Miew Kim [1994] 3 MLJ 117 dan oleh Mahkamah Tinggi dalam kes Shamala a/p Sathiyaseelan v. Dr. Jeyaganesh a/l C. Mogarajah [2004] 2 MLJ 241, Kung Lim Siew (P) v. Choong Chee Kuan [2003] 6 MLJ 260 dan Teh Siew Choo v. Teo Eng Hua [1999] 6 CLJ 308.

Malang sekali, pihak yang menimbulkan polemik ini tidak membaca sepenuhnya RUU yang dicadangkan itu sehinggakan berlaku salah faham dalam isu ini. Seharusnya pihak yang berpolemik hendaklah menjelaskan hal ini setelah kajian dibuat dan ditekuni berdasarkan peruntukan undang-undang yang terpakai.

Berkaitan isu yang dibangkitkan oleh YB Kota Bharu, Dato’ Taqiyuddin Hasan bahawa pindaan kepada Seksyen 51 ini akan bertentangan dengan Seksyen 46(3) Akta 303 sekaligus akan menyebabkannya tidak konsisten dengan peruntukan Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan adalah tidak tepat. Cadangan pindaan Seksyen 51 ini akan memberikan kuasa kepada Mahkamah Sivil untuk mendengar kes perceraian sama ada ianya difailkan oleh pasangan yang masih bukan Islam atau yang baharu memeluk agama Islam. Seksyen 51 asal hanya memberikan hak ini kepada pasangan yang masih bukan Islam dan bukan kepada pasangannya yang baharu menganut Islam.

Manakala, Seksyen 46 Akta 303 menyatakan seperti berikut:

Seksyen 46. Pertukaran agama

(1) Jika salah satu pihak kepada suatu perkahwinan itu murtad atau memeluk sesuatu kepercayaan selain Islam, maka perbuatan yang demikian tidak boleh dengan sendirinya berkuat kuasa membubarkan perkahwinan itu melainkan dan sehingga disahkan sedemikian oleh Mahkamah.

(2) Jika salah satu pihak kepada sesuatu perkahwinan bukan Islam memeluk agama Islam, maka perbuatan yang demikian tidak boleh dengan sendirinya berkuat kuasa membubarkan perkahwinan itu melainkan dan sehingga disahkan sedemikian oleh Mahkamah.

Kesannya, jika petisyen perceraian dibawa ke Mahkamah Syariah maka pihak bukan Islam tidak boleh menjadi kepada pihak dalam kes itu kerana bidang kuasa Mahkamah Syariah hanya eksklusif kepada orang islam sahaja, sebaliknya cadangan Seksyen 51 ini memberikan kuasa kepada kedua-dua pihak pasangan yang baru menganut Islam dan yang bukan Islam untuk didengar. Justeru, bidangkuasa Mahkamah Sivil itu berbeza dengan Mahkamah Syariah. Bidangkuasa Mahkamah Sivil adalah ke atas kedua-dua pasangan sama ada yang bukan Islam atau yang baharu menganut Islam. Manakala, bidangkuasa Mahkamah Syariah hanya ke atas orang yang menganut Islam sahaja. Jadi bagaimanakah dikatakan ianya tidak selari dengan Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan?

Ahmad Amzar bin Ahmad Azlan (AJK Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia, 2017-2019) pula menyatakan, (https://www.pas.org.my/dewan-pemuda-pas-selangor/12612-ruu164-pindaan-akta-164-yang-diluluskan-di-parlimen-bercanggah-dengan-perlembagaan-persekutuan-malaysia),

“3. Mengikut pindaan yang diluluskan; seorang mualaf boleh ke mahkamah sivil untuk proses perceraian. (Boleh di sini bermakna tak wajib=tak selesai isu juga). Isunya adalah apabila seseorang itu dah memeluk Islam, undang-undang keluarga Islam secara sendirinya (automatik) terpakai bagi dia ie perceraian, pembahagian harta sepencarian, pemberian nafkah, hadhanah(hak penjagaan anak) dll di mahkamah syariah. Hukum agama Islam berkenaan pasangan yg bukan Islam terpakai disini.

4. Mahkamah sivil tidak boleh mendengar kes berkenaan undang-undang keluarga Islam sebab bukan dalam bidangkuasanya. Masalahnya sekarang, orang bukan Islam tak boleh jadi pihak di dalam mahkamah syariah. Jadi, sepatutnya beberapa perkara di dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan lain-lain Akta perlu dipinda dulu sebelum Akta 164 ini dipinda.”

Mungkin apa yang dihujahkan oleh YB Kota Bharu dan Ahmad Amzar itu adalah bahawa Mahkamah Sivil mempunyai bidangkuasa untuk membubarkan sesuatu perkahwinan orang Islam sedangkan pembubaran perkahwinan orang Islam itu sepatutnya di bawah bidangkuasa Mahkamah Syariah. Hujahan ini selari dengan apa yang disebut oleh Ahmad Amzar itu.

Hujahan ini juga mudah untuk dipatahkan kerana Mahkamah Sivil berkuasa untuk membubarkan perkahwinan yang diasaskan kepada undang-undang sivil dan bukanlah perkahwinan yang diasaskan kepada undang-undang Islam dan sebenarnya adalah forum yang lebih tepat berbanding jika hendak dibubarkan perkahwinan antara orang bukan Islam dan orang Islam di Mahkamah Syariah. Malah, pembubaran di bawah Seksyen 46(2) Akta 303 itu hanya sekadar berkuatkuasa ke atas orang yang baharu menganut Islam itu yang membolehkan beliau bernikah dengan orang Islam yang lain.

Ini juga telah dijelaskan dalam Huraian kepada RUU ini seperti yang dinyatakan di atas,

“Walaupun Mahkamah Syariah boleh memberikan perintah perceraian dan relief sampingan, ia tidak boleh membubarkan perkahwinan sivil di bawah Akta 164 kerana kuasa untuk membubarkan perkahwinan sivil di bawah Akta 164 hanya diberikan kepada mahkamah sivil. Oleh yang demikian, Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidang kuasa untuk membubarkan perkahwinan tersebut dan juga membuat perintah bagi relief sampingan yang lain dan perintah perceraian serta relief sampingan yang lain itu tidak mempunyai kesan di sisi undang-undang. Perkara ini telah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Viran a/l Nagapan v. Deepa a/p Subramaniam [Civil Appeal No. : 02(f)-4-01-2015(N)]...”

Walau apapun hujahannya, pemakaian cadangan pindaan Seksyen 51 itu tidaklah bersifat mutlak ke atas orang yang baharu menganut Islam itu kerana Seksyen itu hanya menggunakan perkataan ‘may’ (boleh) dan bukan ‘shall’ (hendaklah). Ini bermakna pasangan yang menganut agama Islam itu masih boleh menggunakan Seksyen 46 Akta 303 untuk membubarkan perkahwinannya terdahulu dengan pasangan bukan Islam. Ini selari dengan kenyataaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato Seri Azalina Othman Said yang dilaporkan oleh Bernama seperti berikut:

“Sementara itu, Bernama melaporkan, Azalina dalam penggulungan perbahasan mengenainya, berkata pindaan itu bertujuan memberi ruang kepada pasangan yang berkahwin dan telah memeluk agama Islam atau salah seorang dari pasangan itu yang masih berada dalam agama Islam untuk memfailkan petisyen pembubaran perkahwinan di mahkamah sivil.

Katanya, ia bagi mengelak tindakan oleh sama ada suami atau isteri yang tidak mahu menamatkan sesuatu perkahwinan tetapi tidak menjalankan tanggungjawab terhadap pasangannya, anak-anak atau harta mereka.

Tegas Azalina lagi, pindaan itu tidak menafikan hak seseorang itu di Mahkamah Syariah sebaliknya menggalakkan seseorang itu supaya bersikap lebih bertanggungjawab untuk menceraikan pasangannya di Mahkamah Sivil.” Read more at https://www.malaysiakini.com/news/391444#dtTpVpsM6QBuE4tq.99

Dalam satu diskusi dengan bekas Ketua Hakim Syarie Selangor, Dato’ Dr Mohd Naim Mokhtar, beliau menyatakan bahawa Islam amat mementingkan keadilan. Antara maksud keadilan adalah memberikan peluang kepada kedua-dua pihak untuk didengar. Tidak kiralah sama ada Mahkamah Sivil atau Mahkamah Syariah yang mendengar kes itu kerana para hakim di kedua-dua platform itu pasti akan cuba memberikan penghakiman yang adil kepada kedua-dua pihak.

Tetapi, dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan yang sedia ada, Mahkamah Syariah tidak diberikan kuasa untuk menghakimkan orang bukan Islam. Jadi ada kemungkinan perintah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah itu tidak dapat dikuatkuasakan ke atas orang bukan Islam khususnya berkaitan perintah untuk bayaran nafkah dan lain-lain yang melibatkan wang atau hak jagaan anak. Maka, perintah sedemikian akan menjadi sia-sia berbanding dengan perintah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Sivil akan dapat dikuatkuasakan sama ada orang itu beragama Islam atau tidak. Perbuatan membina persepsi bahawa Mahkamah Sivil tidak akan berlaku adil kepada orang Islam adalah perbuatan tidak bertanggungjawab dan menghina institusi Mahkamah itu sendiri.

Berkaitan dengan cadangan untuk menubuhkan “Tribunal Mediasi menerusi Akta 164 sebagai medium perundingan antara mualaf dengan bekas suami atau isteri” adalah suatu cadangan yang dibuat tanpa perincian yang jelas. Apakah maksudnya proses sulh (perdamaian) atau tribunal yang mempunyai kuasa untuk membenarkan pembubaran perkahwinan. YB Temerloh merangkap Ketua Penerangan PAS, Ustaz Nasrudin Hasan Tantawi dalam kenyataan rasmi PAS menyatakan bahawa “ii - menubuhkan badan atau Tribunal Mediasi bagi mengharmonikan penyelesaian antara pihak yang berpolemik. Terdiri dari pihak berwajib, pakar perundangan, pihak berauthority dari kedua-dua pihak yang terlibat dan sebagainya.”.

Tetapi, Dr Riduan Mohd Nor, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat menyatakan “Ahli-ahli Parlimen PAS juga menuntut penubuhan Tribunal Mediasi menerusi Akta 164 sebagai medium perundingan antara mualaf dengan bekas suami atau isteri.”

Manakala, YB Kuala Nerus, Dato’ Dr Ustaz Mohd Khairuddin At-Takiri pula menyatakan dalam facebooknya (10/8/2017), “Juga kami menuntut penubuhan Tribunal Mediasi menerusi Akta 164 sebagai medium perundingan antara mualaf dengan bekas suami atau isteri.”

Cadangan yang dibuat oleh YB Temerloh itu nampaknya tidak mempunyai persamaan dengan Dr Riduan Mohd Nor dan Dato’ Dr Mohd Khairuddin. Cadangan YB Temerloh itu mengandungi cadangan keanggotaan pihak berwajib, pakar perundangan, pihak berautoriti daripada kedua-dua pihak yang terlibat manakala cadangan Dr Riduan Mohd Nor dan Dato’ Dr Mohd Khairuddin pula menyatakan tribunal itu bersifat sebagai medium perundangan antara pasangan yang masuk Islam dan bukan Islam. Apakah terma rujukan tribunal itu gagal dijelaskan oleh ketiga-tiga pemimpin PAS tersebut.

Lazimnya, sesebuah tribunal itu berfungsi sebagai badan quasi-kehakiman (separa kehakiman) yang mempunyai kuasa untuk memutuskan pertelingkahan antara pihak-pihak seperti Tribunal Pengguna atau Tribunal Perumahan atau Tribunal GST. Tujuan sesebuah tribunal dibuat adalah untuk mempercepatkan proses litigasi atau mengurangkan karenah birokrasi badan keadilan supaya keadilan dapat dipercepatkan.

Dalam sistem pentadbiran kehakiman yang sedia ada, Mahkamah ada menyediakan khidmat mediasi antara pihak-pihak secara percuma. Lagipun, Mahkamah sendiri sudah ada mahkamah khas yang mendengar kes-kes berkaitan kekeluargaan. Maka, cadangan untuk menubuhkan tribunal mediasi ini masih belum jelas dan separa masak serta memerlukan terma rujukan yang terperinci. Cadangan harus dikemukakan dengan lebih konkrit berdasarkan objektif yang khusus.

Kesimpulannya, pindaan kepada Akta 164 ini tidak perlu dipolemikkan kononnya bercanggah dengan prinsip Islam. Bahkan, cadangan pindaan ini akan menyelesaikan banyak masalah yang sedia ada berkaitan kesan pemelukan seorang pasangan bukan Islam kepada agama Islam. Ini pastinya akan mengurangkan konflik perundangan antara Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil.

Artikel asal: https://peguam.blogspot.my/2017/08/kontroversi-pindaan-akta-164-akta.html

Dr Zulqarnain Lukman

11 Ogos 2017 / 18 Zulkaedah 1438H

No comments: