hasbunallah

hasbunallah

Saturday, January 22, 2011

Syeikh Qurra' Dari Syiria


Alhamdulillah, dalam kesibukan dunia ini saya masih diberikan ALLAH swt kesempatan untuk menemui dan menghadiri majlis talaqqi al-Quran bersama Syeikh Qurra’ (Ketua Ulama al-Quran) dari Syiria iaitu Fadhilat as-Syeikh Muhammad Kuraim Rajih yang telah dating ke Kota Bharu Kelantan pada 20/01/2011. Majlis tersebut telah diadakan di Masjid al-Muhammadi dan Masjid Telipot, Kota Bharu Kelantan.  Semoga saya akan terus diberikan ALLAH peluang-peluang untuk bertemu dan mempelajari ilmu-ilmu dari para ulama yang hebat.

Berikut adalah serba sedikit latar belakang Syeikh Qurra’ tersebut:-

Beliau dilahirkan pada tahun 1344 h = 1926 m di Hayyul Maidan, Damsyik, Syiria . Mula mempelajari dan menghafaz al-Quran semenjak kecilnya dengan Ibunya sendiri yang seorang alimah. Kemudian berpindah berguru kepada masyaikh , antaranya: Syeikh Yaasin az-Zarzuur, Syeikh Hasan Habannakah (Ulama terkemuka ketika itu), Syeikh Husain Khitab, Syeikh Sulaim al-Hilwaniy (Syeikh Qurra ketika itu).

Beliau mendalami pengajian Qiraat Sepuluh Kecil (Toriq Syathibiyyah dan ad-Durrah) dengan: Syeikh Sulaim al-Hilwaniy kemudian dengan Syeikh Ahmad Sulaim al-Hilwaniy (setelah wafat ayahnya). Kemudian dengan Syeikh Mahmud Faiz Ad-Dir ‘Atthoniy dan ramai lagi.

Beliau meneruskan pengajian Qiraat sepuluh Besar (Toriq Toyyibah) dengan Syeikh Abdul Qadir Quwaydir . Beliau telah diisytiharkan sebagai Syeikhul Qurra’ pada tahun 1408 h oleh Syeikh Abdul Razzak al-Halabi (Ulama Besar ketika itu) di Masjid Bani Umaiyyah (Masjid Utama di Damsyik), setelah dipersetujui oleh para Ulama dan para Qurra ketika itu termasuk Syeikh Abul Hasan al-Kurdiy dan lainnya. Kekallah beliau sebagai Syeikh Qurra hingga kini .

Beliau menjadi Pakar Rujuk di dalam bidang Qiraat di negara Syiria dan seluruh dunia amnya . Sehingga dengan bantuan beliau terhasilnya kitab: Qiraat Sepuluh yang Mutawatir (dijadikan rujukan utama pengajian Qiraat al-Quran) dan al-Muyassar Qiraat Empat Belas. Karangan beliau : Ringgkasan Tafsir Ibnu Kathir , Ringkasan Tafsir al-Qurthubi, Audhohul Bayan Fis Syarhi Wat Tafsir al-Quran dan lain-lain.

Antara murid beliau yang terkenal adalah : Syeikh Muhammad Fahad Kharuf (juga menantu beliau), Taufiq Haddad, Yusof Farih , Muhammad as-Syafii’. Beliau giat menyebarkan dakwah : Mengajar di Maahad al-Fath al-Islami di Damsyik (bahagian Takhassus). Memberi fatwa di masjid-masjid sekitar Damsyik , seperti Masjid al-Hasan dan Masjid al-Mansur .

Semoga Allah panjangkan umur beliau dan dikurniakan keberkatan dan rahmat Ilahi di dalan usaha dan khitmad beliau untuk Islam dan umatnya, khususnya untuk al-Quran . Diharapkan ziarah beliau buat kali pertama ini akan menghasilkan faedah yang banyak dan berjaya dimanfaatkan oleh umat Islam di negara ini.

No comments: