hasbunallah

hasbunallah

Wednesday, February 2, 2011

Perjalanan Yang Masih Jauh

Setiap orang mempunyai tanggungjawab yang perlu ditunaikan dan amanah yang mesti dilaksanakan. Apatah lagi setelah kita meletakkan diri bersama dengan sunnah perjuangan yang penuh dengan pancaroba, ujian dan cubaan yang mesti dihadapi. Tanpa sebuah kekuatan kurniaan Tuhan, pastinya telah ramai mereka yang tewas dipertengahan jalan perjuangan.

Bermula 27/01/2011 saya menyertai rombongan Dewan Pemuda Pas Kawasan Tumpat (DPPKT) ke Shah Alam untuk menghadiri program ‘brainstorming’ anjuran Dewan Pemuda Pas Negeri Kelantan (DPPNK) selama 2 hari sehingga hari Sabtu. Banyak sesi diskusi dan dialog diadakan bersama pimpinan seperti YB Abdul Fatah Mahmood, exco kerajaan Negeri Kelantan merangkap ADUN Bukit Panau, ADUN Ulu Klang YB Shaari Sungib dan YB. Dato' Mahfuz Omar, Naib Presiden PAS merangkap Ahli Parlimen Pokok Sena.

Semua perserta dibahagikan kepada empat kumpulan yang diamanahkan untuk membincangkan tajuk-tajuk tertentu dan present kepada semua. Manakala saya telah diamanahkan oleh ahli kumpulan sebagai presenter walaupun suara saya serak dan parau akibat batuk yang agak lama. Namun, dek kerana semangat dan sokongan rakan-rakan saya gagahkan juga memberikan ulasan, cadangan dan resolusi terhadap tajuk yang diberikan kepada kumpulan kami.

Sebagai hadiah daripada DPPNK, setiap peserta diberikan tiket percuma untuk menyaksikan perlawanan bola sepak Piala Sumbangsih antara Kelantan melawan Selangor di Stadium Shah Alam. Itulah kali pertama saya masuk stadium untuk menyaksikan perlawanan bola sepak. Saya kesana bersama Ketua Pemuda Pas Negeri Kelantan, YB Ustaz Haji Abdul Latif Abdul Rahman, Naib Ketua Pemuda Hisham Fauzi dan Setiausaha DPPNK Ustaz Hafiz Musa. Alhamdulillah, Kelantan memenangi perlawanan tersebut 2-0.

Sejurus tamat perlawanan bola sepak tersebut, saya bersama rombongan bertolak ke Dun Tenang bagi membantu proses PRK Dun Tenang. Saya sebagai salah seorang ahli Legal Team telah diberikan tugas menyelia proses pembuangan undi di Peti Undi Ayer Panas. Kami sampai di Bandar Segamat lebih kurang pukul 2:30 pagi. Hujan turun tanpa henti.

Seawal 8:30 pagi kami mula bertolak masuk ke kawasan masing-masing untuk bertugas di kendalikan oleh Pengerusi Lajnah Undang-Undang & Hak Asasi Manusia (LUHAM) Johor, Firdaus Masud.

Semasa bertugas di tempat pembuangan undi Peti Undi Pekan Ayer Panas, hanya satu kes sahaja memerlukan campur tangan saya selaku peguam. Iaitu kes perayu undi UMNO yang mengambil peluang merayu undi di dalam kawasan sekolah tempat pembuangan undi.

Kemudian saya mendapat panggilan telefon dari Hisham Fauzi selaku pengerusi Luham Kelantan mengarahkan saya bersiap sedia untuk keluar dari Pekan Ayer Panas tersebut kerana air semakin naik, manakala tempat beliau bertugas di Kg. Redong telah ditenggelami air banjir. Dengan menaiki 4 x 4 milik Jabatan Amal, kami cuba untuk keluar dari kawasan tersebut namun sudah terlewat kerana air begitu cepat naik menyebabkan semua kenderaan termasuk trak tentera juga tidak dapat melaluinya.

Maka kami terpaksa berpatah balik ke Pekan Ayer Panas sementara air surut. Boleh dikatakan semua bekalan makanan sudah habis manakala bekalan elektrik pula terputus menyebabkan Pekan Ayer Panas terperangkap dalam kegelapan. Kebanyakan jentera pembantu dari luar berkampung di Masjid Pekan Ayer Panas sementara menanti air surut. Hujan turun tanpa henti-henti.

Pukul 2:30 pagi Hisham dapat panggilan telefon memberitahu bahawa air agak surut sedikit dan berkemungkinan kenderaan boleh melaluinya. Kami bergegas keluar sehingga saya tertinggal kasut dan baju dalam 4 x 4 milik Jabatan Amal tadi. Kami berkonvoi bersama 3 buah kenderaan yang dinaiki YB Ustaz Haji Abdul Latif (Ketua Pemuda Pas Kelantan), YB Mohd Zaki Hj Ibrahim (Timb. Speaker Kerajaan Kelantan) dan YB Wan Hassan Wan Ibrahim (Adun Semerak) terus bergerak keluar dengan segerak melalui Yong Peng kerana berdasarkan maklumat yang diterima Bandar Segamat telah menjadi pulau.   

Ternyata Allah SWT maha berkuasa, lebih kurang 2 jam kemudian setelah kami selamat memasuki lebuh raya menuju ke Kuala Lumpur kami diberitahu bahawa air telah naik semula dan jalan raya terputus hubungan kembali.

Kami terus ke Kuala Lumpur untuk menghadiri Demonstrasi Reveolusi Mesir di hadapan kedutaan Mesir pada hari Ahad tersebut. Seusai urusan di Kuala Lumpur, kami terus bertolak balik ke Kelantan kerana berdasarkan maklumat di internet terdapat jalan di sekitar Bentong yang telah ditutup kepada lalu lintas kerana dinaiki air.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah kerana lebih kurang pukul 12:30 malam Selasa saya selamat sampai di rumah.   

No comments: