hasbunallah

hasbunallah

Monday, February 14, 2011

Jom Sambut & Raikan Hari Kekasih!!


Hari ini adalah 14 Februari yang lebih dikenali sebagai Valentine Day. Banyak pihak termasuk pihak berkuasa agam sendiri yang mengeluarkan kenyataan dan fatwa yang mengharamkan hari tersebut daripada disambut oleh umat Islam kerana ianya bercanggah dengan ajaran Islam.

Ada pihak yang menyokong dan ada juga pihak yang mempertikaikan perngharaman tersebut. Mereka yang menyokong dan menentang tersebut adalah terdiuri dari kalangan orang Islam sendiri.

Namun bagi saya, saya menggalakkan umat Islam agar menyambut dan memperingati hari kekasih ini! Kekasih yang menjadi ikutan dan tauladan sepanjang zaman. Kekasih yang menjadi dambaan umat Islam. Tetapi hari kekasih tersebut bukanlah tibanya pada 14 Februari tetapi Hari Kekasih yang saya maksudkan ini jatuhnya pada 12 Rabiul Awwal setiap tahun.

Katakanlah (Wahai Muhammad): "Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu." Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (Ali Imran : 31)

Al-Hafiz Imam Ibn Kathir menyebut dalam kitab tafsirnya mengenai ayat tersebut bahawa ayat ini merupakan pemutus hukum bagi setiap orang yang mengaku mencintai Allah tetapi tidak menempuh jalan Nabi Muhammad saw. Maka mereka adalah pembohong dalam pengakuan cinta mereka itu sehingga mereka mengikuti syariat dan agama yang dibawa oleh Rasulullah saw dalam semua ucapan dan perbuatan mereka.

Dimanakah kita didalam permasalahan ini? Jika ditanya setiap orang daripada kita mengenai kecintaan mereka kepada Allah dan Rasulullah, saya pasti bahawa mereka menjawabnya dengan positif iaitu mereka mencinta Allah dan Rasulullah dengan sepenuh hati mereka. Namun begitu, adakah pengakuan lidah mereka itu seiring dengan detik hati mereka dan sejalan dengan perlakuan mereka? Alangkah jauhnya kehidupan kita sekarang ini dengan amalan yang ditinggalkan Rasulullah buat kita.

Walau bagaimanapun, semarak kecintaan kita kepada Rasulullah bukan hanya tertentu dan terikat pada 12 Rabiul Awwal sahaja. Bahkan para ulama sepakat mengatakan bahawa kecintaan kita kepada Rasulullah hendaklah sentiasa dihidupkan dalam diri setiap manusia sepanjang masa tanpa mengira waktu.  

Sesungguhnya Rasulullah saw telah bersabda:-

Tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga aku dicintainya melebihi cintanya kepada ibu bapanya, anaknya dan manusia seluruhnya.

Berdasarkan hadis tersebut, cuba kita ukur ditahap manakah iman kita sekarang? Adakah kita benar-benar mencintai Rasulullah saw dengan mengikuti segala sunnah Baginda atau hanya sekadar pengakuan bibir semata-mata yang masih jauh dari kebenaran yang hakiki. Allah swt telah berfirman:

Sesungguhnya Telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.   (al-Ahzab :21)

Al-Hafiz Imam Ibn Kathir menyebut dalam kitab tafsirnya bahawa ayat ini menunjukkan bahawa Allah swt mengarahkan manusia agar mencontohi Rasulullah saw dari segi kesabaran Baginda, keteguhan Baginda, kepahlawanan Baginda, perjuangan Baginda dan kesabaran Baginda dalam menanti pertolongan Allah swt.

Cuba kita renung dengan teliti, siapakah makhluk yang paling baik dan paling mulia untuk dijadikan contoh tauladan dalam kehidupan dunia dan akhirat kita selain daripada Rasulullah saw sendiri? Kehidupan Baginda yang penuh dengan nilai-nilai murni dan adab yang tinggi jauh lebih baik dari segala manusia yang ada untuk kita terapkan dalam penghidupan kita, ahli keluarga kita, masyarakat, Negara dan seluruh dunia sekalipun.