Pada 13 – 14 Mei 2010 Jawatankuasa Undang-Undang, Penguatkuasaan dan Lalulintas, Majlis Daerah Tumpat (MDT) telah mengadakan lawatan kerja ke Majlis Perbandaran Temerloh (MPT), Pahang. Tujuan utama lawatan tersebut diadakan adalah untuk melihat perlaksanaan sistem parking berkupon yang telah dilaksanakan oleh pihak MPT dalam kawasan pentadbiran mereka.
Saya sebagai pengerusi jawatankuasa tersebut, bersama ahli jawatankuasa telah bertolak pada pagi Khamis (13/05/2010) dengan menaiki dua buah kenderaan rasmi MDT menuju ke Temerloh. Kami sampai di Bandar Temerloh lebih kurang pukul 7.00 malam dan kami menginap di Hotel Seri Malaysia.
Malam tersebut tidak ada program khusus, jadi saya bersama yang lain berehat-rehat sahaja di bilik kerana penat penempuh perjalanan jauh yang memakan masa lebih kurang 8 jam.
Keesokannya (Jumaat, 14/05/2010) kami bersarapan terlebh dahulu di hotel sebelum ‘check out’ dan seterusnya ke Majlis Perbandaran Temerloh. Kedatangan kami disambut oleh pegawai pentadbiran MPT. Seterusnya kami diberikan taklimat koperat mengenai MPT dan seterusnya sistem parking yang dilaksanakan dibawah pentadbiran mereka.
Kami kemudiannya dibawa melawat kawasan parking serta sistem yang mereka gunakan. Serta pejabat pengurusan Nazifa Resources Sdn. Bhd, syarikat swasta yang mendapat kontrak untuk melaksanakan sistem parking berkupon.
Sebelum bertolak balik, kami telah disediakan makan tengahari dengan masakan yang paling istimewa di Temerloh iaitu masakan gulai tempoyak ikan patin. Memang menyelerakan.
Objektif lawatan ini adalah untuk mendapatkan idea baru dalam melaksanakan sistem parking di kawasan pentadbiran MDT bagi menyelesaikan masalah trafik yang semakin sesak terutamanya pada musim cuti sekolah dan perayaan.
Hai orang-orang yang beriman, Sesungguhnya (meminum) khamar, berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah[434], adalah termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan. (al- Maidah : 90)
Saya percaya bahawa semua masyarakat Islam di Malaysia terkejut dengan pengumuman yang dibuat oleh Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussein yang mahu menimbangkan sekali lagi cadangan meluluskan lesen judi Bolapsepak Piala Dunia 2010 dengan alasan kalau tidak diberi lessen pun, judi haram tetap ada!
Rupa-rupanya beginilah Negara Islam UMNO yang dicanang-canang kepada rakyat. Dengan alasan lebih senang dikawal ataupun jika tidak diberi lessen, tetap ada juga judi haram. Entah dalil atau hukum dari mana yang diambil mereka untuk membenarkan perkara ini. Sedangkan ayat al-Quran surah al-Maidah diatas jelas menunjukkan Allah s.w.t mengharamkan judi.
Apakah wujud kaedah fiqh yang membolehkan kita membenarkan perkara yang diharamkan atas alasan untuk lebih senang mengawalnya? Barangkali atas dasar ini UMNO meluluskan lessen judi dan arak sebelum ini sebagaimana yang dibuat oleh Dewan Undangan Negeri Pahang. Sedangkan kaedah ada menyebut “Matlamat tidak menghalalkan cara.”
Saya amat bimbang sekiranya prinsip yang dikatakan tersebut dapat menghalang daripada wujudnya judi haram turut diguna pakai dalam perkara haram yang lain seperti pelacuran. Takut nanti mereka kata “Kalau tak bagi lessen pun ada pelacuran, jadi baik kita berikan lessen rumah pelacuran bagi memudahkan kawalan’!!!
Dimanakah ulama-ulama UMNO dan penasihat-penasihat agama UMNO yang sebelum ini nampaknya begitu lantang? Apa hujah kamu dalam membenarkan rancangan ini?
Sesungguhnya syaitan itu bermaksud hendak menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu lantaran (meminum) khamar dan berjudi itu, dan menghalangi kamu dari mengingat Allah dan sembahyang; Maka berhentilah kamu (dari mengerjakan pekerjaan itu). (al-Maidah : 91)
Hari ini Dewan Pemuda Pas Negeri Kelantan (DPPNK) melalui exconya Ahmad Najib Deris telah membuat satu laporan polis di IPD Kota Bharu berkaitan satu ugutan bunuh yang dibuat oleh seorang yang bernama MOHD SAFUAN HILMI dalam laman sosial Facebook.
Mohd Safuan telah mencatatkan komen sebagaimana berikut:-
“Belum lengkap lagi sebab sekor lagi barua x mati iaitu nik aziz. Tunggu aku bunuh nik aziz dulu baru lengkap. Setan tu x layak duk kat muka bumi ni lagi.”
Walau bagaimanapun, akaun Facebook Mohd Safuan dikatakan telah di ‘delete’ namun begitu saudara Herman Samsudeen telah ‘copy’ dan ‘paste’ kan ‘wall’ facebook tersebut di blognya.
Telah banyak laporan polis telah dibuat oleh pihak-pihak tertentu termasuk sayap-sayap atau dewan-dewan dalam Pas mengenai isu ini. Tetapi saya diberitahu satu soalan yang sering ditanya oleh Pegawai Penyiasat Polis kepada pengadu sewaktu mengambil keterangan, “Kenapa Nik Aziz sendiri tidak buat laporan polis?”
Setahu saya, pihak polis tidak ada hak untuk mempersoalkan perkara tersebut kerana seksyen 107 Kanun Acara Jenayah tidak pernah menyatakan bahawa pihak yang terlibat sahaja yang boleh mengadu atau membuat laporan polis. Menjadi tanggungjawab polis untuk menerima apa-apa laporan atau aduan berkaitan dengan mana-mana jenayah yang dilakukan di Malaysia. Malah pindaan tahun 2006, seksyen 107 (4) terhadap Akta tersebut menyatakan bahawa menjadi kewajipan pihak polis untuk menerima apa-apa laporan mengenai sebarang jenayah yang berlaku di Malaysia!!
Jadi, sama ada Tok guru hendak buat laporan polis atau tidak adalah tidak menjadi isu kerana pihak polis telah mendapat maklumat pertama (first information report) daripada pelbagai pihak berkaitan ugutan tersebut. Sekarang tugas polis adalah menerima laporan tersebut dan membuka kertas siasatan mengenainya.
Bagi saya, pihak polis perlu menjalankan siasatan terhadap aduan-aduan tersebut kerana sekira ianya dibiarkan akan menyebabkan ia menjadi satu budaya yang merbahaya dikalangan masyarakat untuk membuat ugutan tersebut dengan cara terbuka.
Semalam (30/04/2010), saya telah dijemput oleh Dewan Pemuda Pas Kawasan Kota Bharu sebagai penceramah bagi program pentas pemuda yang telah diadakan di Madrasah Atas Kubur, Jalan Gajah Mati Kota Bharu.
Turut sama ialah Ustaz Ahmad Fadhli Shaari (Ketua Penerangan, Dewan Pemuda Pas Negeri Kelantan merangkap Setiausaha Akhbar YAB Dato Tuan Guru) dan Ustaz Wan Azimin Wan Adnan (Bendahari Dewan Pemuda Pas Negeri Kelantan merangkap Ketua Pemuda Pas Kota Bharu).
Sebelum ini saya tidak pernah memberikan ceramah umum diatas pentas, kalau adapun hanya sekadar pengerusi majlis sahaja. Namun pada malam itu, Pemuda Pas Kawasan Kota Bharu menjemput saya sebagai salah seorang penceramah berstatus peguam.
Dalam ceramah tersebut, saya menyentuh isu GST, NFL, royalti dan gejala sosial yang semakin meruncing sekarang ini.
Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah: "Sesungguhnya petunjuk Allah Itulah petunjuk (yang benar)". dan Sesungguhnya jika kamu mengikuti kemauan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, Maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu. (al-Baqarah : 120)
Isu ini menjadi hangat dikalangan rakyat jelata setelah pendedahan yang mengejutkan dibuat oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat mengenai APCO pada 30 Mac 2010. Pendedahan tersebut membuatkan rakyat tertanya-tanya mengenai sejauh mana penglibatan syarikat yang dikatakan mempunyai hubungan rapat dengan Israel itu dalam kerajaan Malaysia.
Yang peliknya, Kerajaan Malaysia sanggup membelanjakan puluhan juta ringgit untuk mendapatkan khidmat syarikat pelobi tersebut sedangkan tuntutan royalti petroleum Negeri Kelantan yang hanya berjumlah RM2 juta dibiarkan begitu sahaja.
Sehingga sekarang, Perdana Menteri Malaysia masih enggan memberikan jawapan terhadap pertanyaan yang dikemukakan oleh Ketua Pembangkang tersebut di Parlimen. Malah pihak kerajaan melalui Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Nazri Aziz Nazri telah membentangkan usul merujuk Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada jawatankuasa hak dan kebebasan parlimen berhubung dakwaannya yang mengaitkan '1Malaysia' dengan 'One Israel'. Setelah perbahasan hangat, akhirnya Parlimen telah meluluskan usul tersebut dengan kesemua ahli Parlimen Pakatan Rakyat bertindak keluar dewan.
Maka dengan penuh kesedaran, Dewan Pemuda Pas Negeri Kelantan (DPPNK) telah membuat satulaporan polis di IPD Kota Bharu pada 22/04/2010 melalui seorang exconya Ismail bin Mohamed agar Polis Di Raja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan mengenai keterlibatan APCO Worldwide. DPPNK melihat sekiranya isu ini tidak ditangani segera, kebimbangan mengenai pengaliran keluar maklumat rahsia dan strategic kerajaan mungkin bukan sesuatu yang mustahil.
Rentetan tersebut juga, DPPNK telah mengadakan satu demonstrasi membantah APCO Worldwide telah diadakan hari ini di Dataran Ilmu, Kota Bharu setelah selesai kuliyah YAB Dato’ Tuan Guru. Tindakan kerajaan pusat menerima nasihat daripada perunding APCO Wordwide dalam bidang komunikasi negara akan mengakibatkan penjajahan era baru di negara ini.
Saya berasa agak pelik kerana, Malaysia yang dikatakan tidak mengiktiraf kerajaan haram Israel sebagaimana yang terdapat dalam passport, tetap memilih syarikat pelobi yang mempunyai hubungan erat dengan Israel. Padahal pada masa yang sama, Kerajaan Malaysia dikatakan mengutuk tindakan Israel laknatullah tersebut keatas Palestin.
Apakah kerana ingin menaikkan reputasi Kerajaan Malaysia semata-mata, kerajaan seperti sanggup mengorban prinsip yang tidak mengiktiraf Kerajaan Haram Israel serta seolah-oleh melupakan penderitaan rakyat Palestin yang terus ditindas dengan kejam.
Masa yang terlalu menghambat saya, manakala kemampuan semakin berkurangan dalam menunaikan tanggungjawab yang diamanahkan. Sudah dua minggu saya terpaksa menghadiri perbicaraan kes Mahkamah pagi dan petang tiap-tiap hari. Mengurangkan luang masa untuk menyiapkan kerja pejabat yang mula menimbun.
Manakala hujung minggu pula diisi dengan program parti termasuklah mesyuarat agong pemuda Pas Kawasan Tumpat dan mesyuarat Agong Pas Kawasan Tumpat yang wajib dihadiri. Malam pula terisi dengan jadual kuliyah guru saya yang perlu dihadiri serta kelas pengajian Quran di kawasan perumahan yang saya diami mesti diteruskan.
Petang ini pula, saya bersama Ketua Pemuda Pas Negeri Kelantan YB Ustaz Abdul Latif Abd. Rahman turut hadir mengiringi dan memberi sokongan kepada Gegar (Gerakan Menuntut Royalti Petroleum Rakyat Kelantan) membuat laporan Polis di IPD Kota Bharu mengenai pengagihan wang ehsan semasa program Juara Rakyat di Machang baru-baru ini.
Laporan polis itu dibuat oleh Dr Abdul Halim Yusof, Pengerusi Gegar. Turut hadir bersama ialah ahli-ahli gegar serta wakil-wakil pemuda.
Saya rasa seperti terpanggil untuk memberikan pandangan mengenai Kartika Sari yang telah diberikan keringanan oleh KDYMM Sultan Pahang daripada 6 sebatan syarie kepada khidmat masyarakat di Rumah Kanak-Kanak Tengku Ampuan Fatimah, Kuantan.
Kartika telah ditahan pihak berkuasa ketika minum arak di sebuah resort di Cherating pada 11 Julai 2008 dan selepas mengaku bersalah, Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan menjatuhkan hukuman denda RM5,000 dan enam sebatan.
Saya bukanlah orang yang layak untuk mengeluarkan fatwa, namun sebagai salah seorang peguam yang turut mengendalikan kes-kes syariah rasa agak terkilan dengan keadaan ini. Saya juga berpendapat bahawa Sahibus Samahah Mufti Perak, Tan Sri (Dr) Harussani Zakaria perlu memberikan penjelasan dengan lebih lanjut mengenai kenyataan beliau bahawa KDYMM Sultan Pahang mempunyai kuasa untuk meringankan hukuman Kartika kerana bekas model itu tidak dibicarakan mengikut hukum hudud bagi mengelakkan kekeliruan masyarakat.
Saya bersetuju dengan kenyataan beliau kepada Malaysiakini bahawa undang-undang kesalahan jenayah syariah terbahagi kepada tiga, iaitu hudud, qisas dan takzir. Kesemua kitab fiqh menyatakan demikian.
Namun dalam kes Kartika ini perlu kita lihat dengan teliti bahawa kesalahan yang dilakukannya adalah kesalahan meminum arak. Sedangkan meminum arak ini adalah disepakati oleh ulama muktabar bahawa ianya termasuk dalam kesalahan hudud[1].
Abu'l Waleed Muhammad Ibn Ahmad Ibn Muhammad Ibn Rusyd menyebut dalam kitab Bidayatul Mujtahid bahawa para ulama sepakat bahawa meminum khamar tanpa ada paksaan, baik sedikit atau banyak terkena hukuman hadd[2].
Maka jelas disini bahawa meminum arak atau khamar itu adalah termasuk dalam kategori jenayah hudud kerana peminumnya akan dikenakan hadd rotan walaupun para ulama berselisih pendapat mengenai jumlah rotan yang perlu dikenakan keatas pesalah tersebut[3].
Dr. Mustafa Diibul Bigha menjelaskan bahawa hukuman hadd wajib ke atas peminum khamar lantaran dua hal[4]:-
1.Sebab adanya saksi
2.Atas pengakuan yang bersangkutan.
Dalam kes Kartika Sari ini, Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan telah mensabitkan dengan tuduhan meminum arak dan menjatuhkan hukuman berdasarkan pengakuan yang dibuat oleh Kartika Sari sendiri.
Kita juga perlu membezakan antara jenayah hudud dengan hukuman hudud. Syeikh Mohamad Syarbini Khatib menjelaskan bahawa jenayah hudud ialah perbuatan-perbuatan kesalahan yang wajib dihukum hudud diatas sesiapa yang melakukan perbuatan jenayah itu. Manakala pengertian hudud pula ialah penyeksaan diatas sesiapa yang sabit kesalahan melakukan jenayah[5].
Maka daripada penjelasan diatas, saya memahami bahawa jenayah hudud dan hukuman hudud adalah dua perkara yang berbeza. Walaupun Kartika dikenakan 6 sebatan atas kesalahan tersebut dikira sebagai takzir kerana ianya tidak mencapai had hudud yang ditetapkan iaitu 40 sebatan mengikut pendapat mazhab Syafie manakala mazhab Maliki, Hanafi dan Hanabilah menetapkan 80 sebatan[6], namun kesalahan tersebut tetap tegolong dalam kategori jenayah hudud.
Kesalahan atau jenayah yang boleh diberikan pengampunan hanyalah dalam jenayah qisas yang mana orang yang dicederakan atau waris si mati berhak untuk memberikan pengampunan kepada mereka yang melakukan jenayah tersebut namun tidak dalam kes hudud kerana hudud merupakan hak Allah s.w.t[7]. Ulama Hanafi menakrifkan bahawa hudud itu adalah hukuman yang ditentukan kadarnya yang menjadi hak yang wajib bagi Allah s.w.t[8].
Dalam bab kesalahan hudud, tiada siapa yang dapat memberikan keampunan kecuali Allah .s.w.t. Tugas manusia hanyalah menjalankan hukum, manakala pesalah hudud pula perlu bertaubat dengan bersungguh-sungguh mohon keampunan Allah Taala.
Perlu kita fikir dengan teliti, sebagai orang Islam adakah kita tidak meyakini tentang keadilan hukum yang telah ditetapkan Allah s.w.t? Sekiranya kita mengambil mudah mengenai perkara ini, saya takuti suatu hari nanti masyarakat akan menjadikan minum arak contohnya sebagai satu kebiasaan.
Dalam isu Kartika ini pun sudah banyak pendapat-pendapat diutarakan malah ada yang terpesong jauh dari landasan Islam dengan mengatakan bahawa hukuman sebat tersebut adalah zalim, kuno dan melanggar hak asasi manusia. Kita perlu tanya kepada diri kita sendiri, kepada siapakah kita bertuhan? Kepada Allah atau hawa nafsu? Allah s.w.t telah berfirman:-
Itulah larangan Allah, Maka janganlah kamu mendekatinya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepada manusia, supaya mereka bertakwa. (al-Baqarah: 187)
Itulah hukum-hukum Allah, Maka janganlah kamu melanggarnya. barangsiapa yang melanggar hukum-hukum Allah mereka Itulah orang-orang yang zalim. (al-Baqarah: 229)
Adakah kita mengingkari ayat Allah s.w.t diatas yang menegaskan bahawa sesiapa yang melanggari hukum-hukum yang telah ditetapkan Allah, maka dialah orang yang zalim. Sabda Rasulullah s.a.w :-
Hukuman had yang diamalkan di atas muka bumi lebih baik untuk penduduk bumi dari disimbahi oleh air hujan selama empat puluh hari. (Riwayat ibn Majah dan Nasai)[9]
Sekarang ini pelbagai jenayah dan masalah sosial yang timbul akibat daripada masyarakat kita semakin jauh daripada penghayatan dan pengamalan hukum Islam. Sepatutnya kita sebagai umat Islam mempertahankan kebenaran dan kemurnian hukum Allah s.w.t daripada kritikan dan kecaman orang bukan Islam. Tetapi sekarang ini berlaku sebaliknya, orang Islam sendiri yang mengecam dan mengkritik perlaksanaan hukum syariat, manakala orang bukan Islam menjadi tukang kipas sahaja.
Sebagai seorang peguam Muslim, saya rasa begitu sedih dengan perlaksanaan hukum syariat Islam di negara kita. Ia bagaikan dipinggirkan begitu sahaja tanpa perhatian. Pertembungan antara Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil selalu berlaku, dan Mahkamah Sivil pastinya mendapat keutamaan sebagaimana dalam kes Patmanathan.
Sebagaimana saya tegaskan pada permulaan tadi bahawa saya bukanlah ingin berfatwa, tapi sekadar berkongsi rasa yang terbuku di jiwa demi melihat Islam dijulang dan dipandang mulia.
[1] Haji Mohammad Nur Bin Abdul Majid, Undang-Undang Islam: Jenayah dan Hudud. 1991. Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan. Muka surat 11.
[2] Ibn Rusyd, Abu'l Waleed Muhammad Ibn Ahmad Ibn Muhammad, Bidayatul Mujtahid. Jilid 2. Pustaka Azam, Jakarta. Muka surat: 899.