hasbunallah

hasbunallah

Tuesday, April 6, 2010

Keringanan: Dalam Kes Kartika Sari Dewi


Keringanan: Dalam Kes Kartika Sari

Saya rasa seperti terpanggil untuk memberikan pandangan mengenai Kartika Sari yang telah diberikan keringanan oleh KDYMM Sultan Pahang daripada 6 sebatan syarie kepada khidmat masyarakat di Rumah Kanak-Kanak Tengku Ampuan Fatimah, Kuantan.

Kartika telah ditahan pihak berkuasa ketika minum arak di sebuah resort di Cherating pada 11 Julai 2008 dan selepas mengaku bersalah, Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan menjatuhkan hukuman denda RM5,000 dan enam sebatan.

Saya bukanlah orang yang layak untuk mengeluarkan fatwa, namun sebagai salah seorang peguam yang turut mengendalikan kes-kes syariah rasa agak terkilan dengan keadaan ini. Saya juga berpendapat bahawa Sahibus Samahah Mufti Perak, Tan Sri (Dr) Harussani Zakaria perlu memberikan penjelasan dengan lebih lanjut mengenai kenyataan beliau bahawa KDYMM Sultan Pahang mempunyai kuasa untuk meringankan hukuman Kartika kerana bekas model itu tidak dibicarakan mengikut hukum hudud bagi mengelakkan kekeliruan masyarakat.

Saya bersetuju dengan kenyataan beliau kepada Malaysiakini bahawa undang-undang kesalahan jenayah syariah terbahagi kepada tiga, iaitu hudud, qisas dan takzir. Kesemua kitab fiqh menyatakan demikian.

Namun dalam kes Kartika ini perlu kita lihat dengan teliti bahawa kesalahan yang dilakukannya adalah kesalahan meminum arak. Sedangkan meminum arak ini adalah disepakati oleh ulama muktabar bahawa ianya termasuk dalam kesalahan hudud[1].

Abu'l Waleed Muhammad Ibn Ahmad Ibn Muhammad Ibn Rusyd menyebut dalam kitab Bidayatul Mujtahid bahawa para ulama sepakat bahawa meminum khamar tanpa ada paksaan, baik sedikit atau banyak terkena hukuman hadd[2].

Maka jelas disini bahawa meminum arak atau khamar itu adalah termasuk dalam  kategori jenayah hudud kerana peminumnya akan dikenakan hadd rotan walaupun para ulama berselisih pendapat mengenai jumlah rotan yang perlu dikenakan keatas pesalah tersebut[3].  

Dr. Mustafa Diibul Bigha menjelaskan bahawa hukuman hadd wajib ke atas peminum khamar lantaran dua hal[4]:-
1.      Sebab adanya saksi
2.      Atas pengakuan yang bersangkutan.

Dalam kes Kartika Sari ini, Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan telah mensabitkan dengan tuduhan meminum arak dan menjatuhkan hukuman berdasarkan pengakuan yang dibuat oleh Kartika Sari sendiri.

Kita juga perlu membezakan antara jenayah hudud dengan hukuman hudud. Syeikh Mohamad Syarbini Khatib menjelaskan bahawa jenayah hudud ialah perbuatan-perbuatan kesalahan yang wajib dihukum hudud diatas sesiapa yang melakukan perbuatan jenayah itu. Manakala pengertian hudud pula ialah penyeksaan diatas sesiapa yang sabit kesalahan melakukan jenayah[5].

Maka daripada penjelasan diatas, saya memahami bahawa jenayah hudud dan hukuman hudud adalah dua perkara yang berbeza. Walaupun Kartika dikenakan 6 sebatan atas kesalahan tersebut dikira sebagai takzir kerana ianya tidak mencapai had hudud yang ditetapkan iaitu 40 sebatan mengikut pendapat mazhab Syafie manakala mazhab Maliki, Hanafi dan Hanabilah menetapkan 80 sebatan[6], namun kesalahan tersebut tetap tegolong dalam kategori jenayah hudud.

Kesalahan atau jenayah yang boleh diberikan pengampunan hanyalah dalam jenayah qisas yang mana orang yang dicederakan atau waris si mati berhak untuk memberikan pengampunan kepada mereka yang melakukan jenayah tersebut namun tidak dalam kes hudud kerana hudud merupakan hak Allah s.w.t[7].  Ulama Hanafi menakrifkan bahawa hudud itu adalah hukuman yang ditentukan kadarnya yang menjadi hak yang wajib bagi Allah s.w.t[8].

Dalam bab kesalahan hudud, tiada siapa yang dapat memberikan keampunan kecuali Allah .s.w.t. Tugas manusia hanyalah menjalankan hukum, manakala pesalah hudud pula perlu bertaubat dengan bersungguh-sungguh mohon keampunan Allah Taala.

Perlu kita fikir dengan teliti, sebagai orang Islam adakah kita tidak meyakini tentang keadilan hukum yang telah ditetapkan Allah s.w.t? Sekiranya kita mengambil mudah mengenai perkara ini, saya takuti suatu hari nanti masyarakat akan menjadikan minum arak contohnya sebagai satu kebiasaan.

Dalam isu Kartika ini pun sudah banyak pendapat-pendapat diutarakan malah ada yang terpesong jauh dari landasan Islam dengan mengatakan bahawa hukuman sebat tersebut adalah zalim, kuno dan melanggar hak asasi manusia. Kita perlu tanya kepada diri kita sendiri, kepada siapakah kita bertuhan? Kepada Allah atau hawa nafsu? Allah s.w.t telah berfirman:-

Itulah larangan Allah, Maka janganlah kamu mendekatinya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepada manusia, supaya mereka bertakwa. (al-Baqarah: 187)

Itulah hukum-hukum Allah, Maka janganlah kamu melanggarnya. barangsiapa yang melanggar hukum-hukum Allah mereka Itulah orang-orang yang zalim. (al-Baqarah: 229)

Adakah kita mengingkari ayat Allah s.w.t diatas yang menegaskan bahawa sesiapa yang melanggari hukum-hukum yang telah ditetapkan Allah, maka dialah orang yang zalim.  Sabda Rasulullah s.a.w :-

Hukuman had yang diamalkan di atas muka bumi lebih baik untuk penduduk bumi dari disimbahi oleh air hujan selama empat puluh hari. (Riwayat ibn Majah dan Nasai)[9]

Sekarang ini pelbagai jenayah dan masalah sosial yang timbul akibat daripada masyarakat kita semakin jauh daripada penghayatan dan pengamalan hukum Islam.  Sepatutnya kita sebagai umat Islam mempertahankan kebenaran dan kemurnian hukum Allah s.w.t daripada kritikan dan kecaman orang bukan Islam. Tetapi sekarang ini berlaku sebaliknya, orang Islam sendiri yang mengecam dan mengkritik perlaksanaan hukum syariat, manakala orang bukan Islam menjadi tukang kipas sahaja.

Sebagai seorang peguam Muslim, saya rasa begitu sedih dengan perlaksanaan hukum syariat Islam di negara kita. Ia bagaikan dipinggirkan begitu sahaja tanpa perhatian. Pertembungan antara Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil selalu berlaku, dan Mahkamah Sivil pastinya mendapat keutamaan sebagaimana dalam kes Patmanathan.

Sebagaimana saya tegaskan pada permulaan tadi bahawa saya bukanlah ingin berfatwa, tapi sekadar berkongsi rasa yang terbuku di jiwa demi melihat Islam dijulang dan dipandang mulia.     






[1] Haji Mohammad Nur Bin Abdul Majid, Undang-Undang Islam: Jenayah dan Hudud. 1991. Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan. Muka surat 11.
[2] Ibn Rusyd, Abu'l Waleed Muhammad Ibn Ahmad Ibn Muhammad, Bidayatul Mujtahid. Jilid 2. Pustaka Azam, Jakarta. Muka surat: 899.
[3] Ibid
[4] Mustafa Diibul Bigha, Dr. Fiqh Syafie. Klang Book Centre, Klang. 1988. Muka surat : 450.
[5] Haji Mohammad Nur Bin Abdul Majid, Undang-Undang Islam: Jenayah dan Hudud. 1991. Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan. Muka surat 7.
[6] Al-Jazairi, Abdul Rahman, Kitab al-Fiqh Ala Mazahibi al-Arbaa’h. Darul Kutub Ilmiah, Lubnan. 1990. Juz 5, muka surat:: 14.
[7] Ibid, muka surat 12.
[8] Az-Zuhaily, Dr, Wahbah (Ter: Abul Khairi al-Latifi), Mengapa Maksiat Menimpa Umat Islam. Al-Hidayah Publishers, Kuala Lumpur. 2001. Muka surat 17.
[9] Ibid, muka surat 23.


No comments: