hasbunallah

hasbunallah

Tuesday, April 17, 2012

Bersama Ulama Madinah al-Munawwarah


as-Syeikh Dr. Mahmood
Abd Rauf al-Mirghalani

Pada 12/04/2012 yang lalu, saya telah berkesempatan buat kali kedua untuk bertemu dan menghadiri majlis bersama seorang ulama dari Madinah al-Munawwarah iaitu al-Alim al-Allamah Fadhilah a-Syeikh Dr. Mahmood Abd. Rauf al-Mirghalani. Majlis tersebut telah diadakan di Madrasah Ahbabul Mustafa, Tumpat.

Dalam program tersebut, as-Syeikh telah sudi untuk menyampaikan tausyiah serta mengijazahkan beberapa buah kitab kepada saya dan hadirin yang hadir. Memang sesuatu yang indah apabila kita berada dalam taman-taman syurga. Apatah lagi majlis tersebut diserikan dengan bacaan qasidah oleh murid kanan beliau iaitu ustaz Rahmat as-Syazili.

Bersama Ustaz Mashrin
Bagi orang yang memiliki hati yang sentiasa hidup dengan zikir, pasti akan tersentuh dengan bacaan qasidah yang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu tersebut oleh Ustaz Rahmat. 






Kitab yang telah diijazahkan oleh as-Syeikh Dr. Mahmood Abd. Rauf al-Mirghalani kepada saya pada malam tersebut:




Semoga Allah swt memberikan saya peluang yang berterusan untuk terus menimbal ilmu dari guru yang hebat ini.



Tuesday, March 27, 2012

Borang Pendaftaran Undi Pos: Tandatangan Berbeza. Salah Siapa?


Semalam (26/03/2012), satu pendengaran awam telah dibuat oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) untuk mendengar bantahan terhadap sejumlah permohonan isteri tentera untuk mendaftarkan diri mereka sebagai undi pos dalam Dun Kadok, Parlimen Ketereh telah dibuat di Bilik Gerakan Majlis Daerah Ketereh.

Saya bersama rakan dari Lajnah Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (LUHAM), Dewan Pemuda Pas Negeri Kelantan (DPPNK) telah turut serta untuk menyelia perjalanan pendengaran awam tersebut.

Satu isu yang amat besar timbul semasa sesi bantahan tersebut mengenai borang permohonan untuk mendaftarkan diri sebagai pengundi pos. Pada mulanya pihak SPR enggan untuk mengemukakan borang permohonan asal yang berada dalam simpanan mereka untuk dibandingkan dengan borang salinan yang ditunjukkan oleh pemohon atau orang yang kena bantah (OKB).

Tetapi setelah berkeras, akhirnya pegawai SPR menunjukkan borang permohonan yang berada dalam simpanan mereka. Maka jelas kelihatan tandatangan yang terdapat pada borang asal yang berada dalam simpanan SPR dan borang salinan yang dikemukakan oleh para isteri tentera tersebut adalah berlainan sama sekali. Malah, pembantah turut meminta isteri tentera tersebut menurunkan tandatangan mereka dihadapan pegawai SPR tersebut. Ternyata ia adalah perbezaan yang besar!!

Maka terbuktilah bahawa, borang permohonan yang dihantar kepada SPR adalah di isi oleh individu berlainan dan bukan oleh pemohon iaitu isteri para tentera tersebut. Dalam kes ini, saya tidak berniat untuk menunding jari ke arah man-mana pihak.   

Cuma persaoalan saya ialah:
1.      Siapakah sebenarnya yang mengisi borang tersebut?
2.      Bukankah ianya suatu penipuan?
3.      Siapakah yang sebenarnya bersalah?

Monday, February 6, 2012

Memahami bidaah


Persoalan yang sering timbul dalam masyarakat kita dewasa ini adalah adanya segelintir masyarakat yang tidak memahami dengan sebenar-benarnya persoalan bidaah.

Lalu mereka menganggap segala apa jua perkara yang tidak dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW dan para sahabat semuanya bidaah.

Akhirnya wujud dalam kalangan masyarakat yang menyatakan bahawa amalan-amalan seumpama talkin mayat setelah dikebumikan, membaca tahlil, membaca Yasin pada malam Jumaat, berwirid secara berjemaah selepas solat fardu, membaca lafaz usalli atau melafazkan niat sebelum takbir, sambutan maulid nabi dan sebagainya adalah amalan bidaah yang tidak diterima di sisi Allah.

Pensyarah Kanan, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia, Dr. Mohd. Sukki Othman menjelaskan, fahaman seumpama itu adalah fahaman yang tidak benar.

Katanya, yang dianggap bidaah itu sebenarnya adalah perkara khilafiah yang para ulama berselisih pandangan terhadapnya.

Menurut istilah syarak, jelas beliau, bidaah adalah sesuatu perbuatan yang berkaitan dengan masalah agama (untuk mendekatkan diri kepada Allah) yang tidak ada contoh sebelumnya daripada Nabi SAW, tidak disuruh oleh nabi untuk melakukannya, juga tidak dipersetujui dan tidak diakui oleh nabi SAW dan tidak pernah dilakukan oleh para sahabat baginda (Jum'at Amin Abdul Aziz. 1991. Fahmul Islam fi Zilal Usul al-'Isyrin lil Imam Hasan al-Banna. Iskandariah: Dar al-Da'wah. Hlm. 195)

Bidaah juga ditakrifkan sebagai mewujudkan sesuatu perbuatan atau perkataan yang tidak datang keizinan daripada syarak di dalam al-Quran, sunnah, ijmak atau qias dan tidak termasuk dalam kaedah dan asas umum ajaran Islam (Al-Sa'di, Abdul Malik Abdul Rahman, 2008. Al-Bid'ah fi al-Mafhum al-Islamiy al-Daqiq. Jordan: Matba'ah al-Azhar, hlm. 8)

"Oleh itu, bidaah adalah perbuatan yang bertentangan dengan sunnah kerana sunnah itu petunjuk. Sedangkan bidaah adalah perbuatan yang dilakukan tanpa landasan wahyu (al-Quran) atau sunnah Nabi SAW dan ijmak ulama," katanya.

Oleh itu, apabila berlaku sesuatu perkara atau amalan, hendaklah dilihat sama ada amalan tersebut ada dalam al-Quran, sunnah, ijmak atau Qias.

Sekiranya tidak ada, maka hendaklah dilihat pula sama ada amalan tersebut menepati kaedah umum ajaran Islam atau tidak. Sekiranya amalan tersebut termasuk dalam kaedah umum Islam, maka ia tidak dinamakan bidaah.
Jika sebaliknya, iaitu amalan yang jelas bercanggah dengan ajaran Islam, barulah dianggap bidaah.

Persoalannya, adakah setiap amalan atau ibadah yang tidak dilakukan oleh nabi terus dianggap bidaah?

Mohd. Sukki berkata, sesuatu yang perlu difahami juga dalam persoalan bidaah ini adalah ibadah yang dilakukan oleh nabi SAW boleh dibahagikan kepada dua iaitu:

1. Amalan nabi yang dikaitkan (dikhususkan) dengan masa, tempat, bilangan tertentu dan sebagainya seperti bilangan rakaat solat, waktu solat, hari yang diwajibkan berpuasa, cara ibadah haji dan sebagainya.

Amalan seumpama ini hendaklah dilaksanakan tanpa menambah atau mengurang kadar yang telah ditetapkan.

Sekiranya sengaja menambah bilangan rakaat solat Maghrib umpamanya daripada tiga rakaat kepada empat rakaat, maka inilah amalan yang dikatakan sebagai bidaah.

2. Adapun, amalan nabi atau apa yang datang daripada nabi dalam bentuk suruhan, galakan, wasiat dan sebagainya yang tidak dikaitkan (dikhususkan) dengan waktu-waktu tertentu untuk melakukannya dan tidak pula ada larangan nabi terhadap waktu-waktu tertentu untuk melakukannya, maka dengan itu umat Islam bebas memilih waktu yang disukai olehnya untuk melaksanakan amalan tersebut.

Syaratnya, kata Mohd. Sukki, tidak menyandarkan kepada nabi dengan mengatakan bahawa nabi menyuruh melakukan amalan tersebut pada waktu yang dilakukan itu.

"Bahkan amalan itu boleh dilakukan berasaskan bahawa ia merupakan sesuatu yang termasuk dalam dasar ajaran Islam," jelasnya.

Ilmu elak bidaah

Justeru, Mohd. Sukki berkata, Imam Hasan al-Banna mengkategorikan bidaah itu kepada dua iaitu:

1.      Bidaah hakiki yang wajib diperangi

2. Bidaah yang termasuk dalamkhilaf dalam kalangan ulama.

Contoh bidaah dalam kategori pertama iaitu yang wajib diperangi adalah tidak menggunakan hukum dan perundangan yang diturunkan oleh Allah, menyambut perayaan yang mempunyai kaitan dengan agama selain daripada Islam, adat-adat dan budaya-budaya haram yang dicedok dari Barat seperti pergaulan bebas, tidak menutup aurat dan sebagainya.

Adapun bidaah kategori yang kedua yang menjadi perselisihan dalam kalangan ulama adalah berselawat kepada nabi secara kuat selepas azan, membaca surah al-Kahfi dengan suara yang kuat oleh seorang qari di masjid sebelum didirikan solat Jumaat, membaca ayat al-Quran atau zikir-zikir tertentu dengan bilangan-bilangan yang ditetapkan seperti 100 dan 1,000, menyambut ulang tahun keputeraan nabi dan sebagainya.

Oleh yang demikian, kata Mohd. Sukki, bidaah kategori pertama sahaja yang diharamkan manakala bidaah kategori kedua bukanlah bidaah hakiki yang diharamkan.

Katanya, kekeliruan timbul dalam kalangan masyarakat tentang bidaah ini ekoran kefahaman seolah-olah segala apa yang tidak dilakukan oleh Rasulullah menjadi suatu bidaah apabila dilakukan.

"Sedangkan sesuatu yang sedia dimaklumi secara darurah bahawa nabi tidak melakukan semua perkara yang diharuskan kerana perkara yang harus terlalu banyak.

"Oleh itu, sesiapa yang mendakwa pengharaman sesuatu atau mengaitkan dengan bidaah dengan alasan nabi tidak melakukannya, bererti dia telah membuat dakwaan yang salah," katanya.

Mohd. Sukki memberitahu, terdapat kaedah usul fiqh yang menyebut: "Meninggalkan sesuatu bukan bererti mengharamkannya."

Begitu juga sesuatu yang dimaklumi secara darurah bahawa nabi tidak mengerjakan semua amalan yang sunat.

Katanya, hal ini kerana kesibukan baginda melakukan perkara dan urusan lain yang lebih penting dan besar seperti menyampaikan dakwah, berdebat dengan golongan musyrikin dan ahli kitab, berjihad menentang musuh Islam demi memelihara kesucian agama Islam, mengasaskan sebuah kerajaan Islam dan sebagainya.

Namun, Rasulullah telah menggariskan nas-nas syarak yang umum meliputi segala hal yang disunatkan.

Monday, December 26, 2011

Salah Faham Terhadap Hudud


Salah faham yang pertama ialah apabila ada menganggap bahawa persoalan Hudud merupakan persoalan yang hanya dikaitkan secara ekslusif dengan golongan ekstrimis Islam. Padahal Hudud merupakan perkara asas dalam persoalan keimanan dan tauhid kepada Allah SWT.  Hukum Hudud telah dinyatakan secara jelas di dalam Quran dan Sunnah. Setiap muslim wajib menerima kewajiban Hudud untuk dilaksanakan di kalangan masyarakat Islam.

Hujjah yang mengatakan bahawa Hudud tidak lagi sesuai dengan perkembangan zaman moden adalah hujjah yang dangkal. Sekiranya Hudud ketinggalan zaman, maka begitu jugalah halnya dengan semua hukum syariat yang lain seperti hukum solat, puasa, haji, nikah kahwin, dan jual beli. Kesemua hukum-hukum ini juga dinyatakan secara jelas oleh Al-Quran dan Sunnah. Contohnya, lelaki yang adil bukan hanya perlu sebagai saksi-saksi dalam pengendalian kes-kes jenayah Hudud, tetapi juga sebagai wali nikah dan imam solat. Maka itu, andaian yang mengatakan bahawa amat sukar untuk mendapatkan saksi yang adil untuk menjadi saksi kes Hudud sebenarnya juga seolah-olah mengandaikan bahawa hukum nikah kahwin dan solat berjemaah tidak lagi perlu dipraktikkan oleh umat Islam sekarang.  Tentunya ini merupakan andaian yang liar dan tidak benar.

Sekiranya Hudud mahu dilabelkan sebagai agenda golongan ekstrimis Islam, maka apakah semua orang yang bernikah kahwin mengikut syariat dan bersolat jamaah juga perlu dilabelkan sebagai ekstrimis Islam? Maka, siapa lagi sebenarnya di kalangan umat Islam yang bukan ekstrimis melainkan kesemua Muslim yang baik akan digelar ekstrimis Islam belaka.

Salah faham seterusnya ialah apabila kita melihat hukum Hudud dalam bentuknya yang juz'i (stand alone) yang terpisah dari sistem jenayah syariah Islam secara keseluruhan.  Islam adalah sistem yang lengkap dan saling melengkapi (kamil wa mutakamil). Setiap elemen dari ajaran Islam tidak boleh diceraikan dari keseluruhan batang tubuh Islam itu sendiri, dan begitu jugalah halnya dengan hukum Hudud. Hukum Hudud dalam bentuknya yang juz'i (stand alone) tidak akan mampu melahirkan keadilan, dan keadaan ini telah dipergunakan sepenuhnya oleh golongan penentang Hudud untuk menggambarkan bahawa Hudud adalah zalim. Mereka menilai Hudud dalam bentuknya yang terpisah dari keseluruhan sistem kehakiman dan perundangan Islam, dan sememangnya Hudud yang diambil secara juz'i ini boleh disifatkan sebagai tidak adil atau zalim.

Contoh yang selalu dikemukakan adalah persoalan rogol. Dalam hukum Hudud, jenayah rogol adalah disamakan dengan jenayah zina. Tahap kesaksian dan hukumannya juga sama. Dalam Hudud juga, menuduh seseorang yang dikenali sebagai orang baik melakukan zina tanpa mendatangkan saksi yang berwibawa merupakan suatu kesalahan Qazaf yang boleh membawa hukuman sebanyak 80 rotan. Lalu diambil peruntukan-peruntukan hudud ini secara terpisah oleh penentang Hudud untuk menggambar betapa mangsa rogol akan dizalimi. Mereka mengandaikan bahawa seorang mangsa rogol perlu mendatang 4 orang saksi lelaki yang adil untuk membuat pengaduan atau menghadapi risiko kesalahan Qazaf. Ini, menurut andaian mereka, adalah menzalimi mangsa rogol dan melindungi perogol. Padahal, undang-undang yang melibatkan kes rogol perlu dirujuk kepada keseluruhan peruntukan undang-undang jenayah syariah secara lengkap (Hudud, Qisas, Takzir, Undang-undang keterangan, siasah syari'ah) dan tidak boleh dinilai dari perspektif hukum Hudud secara terhad dan terpisah.

Seseorang yang mengadu dirinya dirogol, sepertimana kes-kes biasa, perlu membuat laporan polis dan melakukan pemeriksaan doktor. Ini prosedur biasa. Polis atau pegawai penyiasat akan melakukan penyiasatan berdasarkan laporan dan keterangan yang diberikan. Sekiranya terdapat bukti yang kukuh bahawa kes rogol sememangnya telah berlaku, pegawai penyiasat akan menyerahkan laporan kepada pihak pendakwa.

Sekiranya tahap kesaksian untuk pendakwaan dilakukan dalam hukum Hudud tidak mencukupi (tiada 4 orang saksi yang melihat kejadian tersebut), pihak pendakwa masih boleh mendakwanya di bawah undang-undang Takzir. Melalui peruntukan Takzir, beban pembuktian adalah lebih longgar dan hukumannya juga lebih ringan berbanding Hudud. Pemeriksaan doktor dan keterangan-keterangan serta bukti-bukti yang dikumpulkan oleh polis ini (DNA test, laporan kesihatan, penilaian psychology, dll) dinamakan sebagai Qarinah. Qarinah boleh digunakan sebagai bahan bukti yang boleh mensabitkan kesalahan takzir ke atas perogol. Qarinah ini juga boleh mengelakkan mangsa rogol dari dakwaan Qazaf, kerana Qazaf merupakan kesalahan Hudud dan sebarang keraguan yang boleh ditimbulkan (melalui Qarinah) dalam kes Hudud boleh menggugurkan kes tersebut. Hukuman Hudud boleh dilakukan ke atas seseorang hanya apabila tiada sebarang keraguan langsung (beyond any shadow of doubt).  Manakala untuk kesalahan yang boleh dibuktikan secara jelas oleh Qarinah, tetapi tidak mencapai tahap kesaksian yang diperlukan oleh Hudud, hukum Takzir boleh dikenakan terhadap penjenayah tersebut.

Mengaitkan Qazaf dengan kes rogol secara mutlak adalah suatu andaian yang liar dan tidak adil. Hukum Qazaf berfungsi untuk melindungi maruah seseorang individu yang baik dari sebarang tuduhan melulu yang boleh menjatuhkan maruah diri dan keluarganya. Sekiranya, seseorang itu menuduh dirinya dirogol oleh seseorang, sedangkan bukti dan keterangan (Qarinah) yang dibawa menunjukkan sebaliknya, barulah ia boleh didakwa di bawah Qazaf. Contohnya, Minah menuduh Ali merogolnya sehingga mengandung, tetapi ujian DNA menunjukkan bahawa anak tersebut bukanlah dari benih Ali, maka Minah akan menghadapi risiko dakwaan Qazaf melainkan ada 4 orang saksi yang berwibawa yang melihat kejadian rogol tersebut, ataupun dapat dibuktikan secara Qarinah bahawa dia dirogol oleh ramai orang dan Ali adalah salah seorang daripada mereka. Tetapi, sekiranya ujian DNA mengesahkan bahawa anak tersebut memang jelas dari benih Ali, maka Ali boleh didakwa di bawah peruntukan Takzir, manakala Minah tidak akan dihukum di bawah Qazaf.  Dalam kes ini, Ali tidak didakwa di bawah Hudud kerana tahap kesaksian tidak menepati kehendak hukum Hudud, sebaliknya beliau akan dihukum di bawah undang-undang Takzir.

Dalam kata lain, sekiranya perkara ini dirujuk kepada keseluruhan rang undang-undang Hudud, Qisas, Takzir, Undang-Undang Keterangan, dan ditambah dengan kefahaman terhadap konsep Siasah Syariah, maka segala keraguan dan andaian liar terhadap Hudud atau mana-mana peruntukan dalam hukum Jenayah Syariah tidak sepatutnya berlaku.

Ibarat kata Tun Salleh Abbas, bekas Ketua Hakim Negara, yang juga salah seorang ahli panel Jawatankuasa Penyediaan Rang Undang-Undang Hudud dan Qisas, " Sekiranya undang-undang ini dilaksanakan dengan mendapatkan kerjasama semua pihak, kebanyakan masalah yang melibatkan sistem Perundangan dan Kehakiman negara dapat diselesaikan, di samping mencapai matlamat mengurangkan kadar jenayah dan kerosakan akhlak."

Kesilapan melihat peruntukan hukum jenayah syariah dalam bentuknya yang stand alone (juz'i) ini juga berlaku kepada pengkritik hukum Qisas. Mengikut peruntukan hukum Qisas, seorang pembunuh itu wajib dibalas bunuh melainkan beliau mendapat persetujuan dari waris mangsa untuk membayar diyat (gantirugi), ataupun pengampunan terus dari waris mangsa. Andaian yang sering dibuat oleh penentang Qisas ialah bahawa seorang pembunuh yang kejam dan merbahaya akan terlepas dari hukuman sekiranya waris mangsa bersetuju mendapat bayaran ganti rugi atau mengampunkan pembunuh tersebut. Sekiranya ini berlaku, pembunuh itu boleh terus membunuh mangsa-mangsa yang lain.

Sekiranya kita membaca peruntukan tersebut secara lengkap dan bersama dengan peruntukan-peruntukan yang lain, sebenarnya Hakim masih boleh menjatuhkan hukuman Takzir ke atas pembunuh itu, di samping hukum Qisas sekiranya pihak Mahkamah bersetuju bahawa pembunuh tersebut perlu dihukum bagi menjamin ketenteraman awam. Dalam kata lain, walaupun pembunuh tersebut mendapat pengampunan dari waris mangsa dari dijatuhkan hukuman bunuh balas (Qisas), beliau masih boleh dihukum penjara atau hukuman-hukuman lain yang setimpal dengan kesalahannya. Jadi, tidak timbul persoalan samada seseorang penjenayah itu dengan mudah boleh melepaskan diri dengan memberi rasuah kepada waris mangsa.

Seperkara lagi yang sering diabaikan dalam perbahasan berkenaan Hudud ialah peri pentingnya kefahaman terhadap Siasah Syar'iah di dalam perlaksanaan Undang-Undang Jenayah Syariah.  Kebanyakan mereka yang menentang Undang-Undang Hudud dan Qisas adalah terdiri dari kalangan mereka yang mempunyai kefahaman yang sangat terhad terhadap Siasah Syari'ah. Siasah Syar'iah amat penting bagi menghadapi kes-kes yang rumit dan spesifik.  Para Hakim dan Peguam Syari'ah adalah mereka yang terlatih di dalam ilmu Siasah Syari'ah. Ini penting agar keadilan sistem perundangan Islam dapat dilaksanakan.

Umpamanya penentang Hudud mempersoalkan tentang keperluan saksi lelaki di dalam kes-kes Hudud, dan bagaimana sekiranya kejadian rogol dilakukan di asrama wanita. Kes seperti ini boleh dirujuk kembali kepada perbicaraan terhadap pembunuhan Osman bin Affan, salah seorang Khalifah Islam. Saksi kepada pembunuhan tersebut ialah isteri Osman sendiri, dan tiada saksi lelaki. Hakim, menggunakan kaedah Siasah Syari'ah bagi membenarkan kesaksian dari kaum wanita kerana kes-kes tersebut memerlukan kesaksian mereka. Oleh kerana kesaksian beliau cukup kukuh dan tidak dapat dicabar di mahkamah, maka kesaksian tersebut diterima di dalam perbicaraan itu.

Begitulah juga dengan peristiwa yang berlaku di zaman pemerintahan Islam di mana terdapat seorang gadis yang mengandung lalu dibawa ke muka pengadilan. Gadis itu mempertahankan dirinya menyatakan bahawa beliau tidak tahu sesiapa yang merogolnya, tetapi menyebut bahawa beliau adalah seorang yang terlalu kuat tidur sehingga tidak sedar jika diperlakukan sesuatu yang tidak baik ke atasnya.  Memandangkan kes ini jarang berlaku, hakim telah membenarkan tertuduh mengemukakan beberapa saksi yang boleh mengesahkan dakwaannya bahawa beliau adalah seorang yang terlalu kuat tidur.  Setelah hakim berpuas hati dengan kesaksian bahawa gadis tersebut memang dikenali sebagai seorang wanita yang taat beragama serta berakhlak baik, dan kesaksian bahawa beliau memang seorang yang terlalu kuat tidur sehingga tidak sedar diperlakukan sesuatu ke atasnya ketika sedang tidur, maka hakim telah menggugurkan kes tersebut kerana terdapat keraguan yang munasabah bahawa gadis tersebut telah berzina secara sukarela.

Bagi mereka yang memahami persoalan Siasah Syar'iah secara mendalam, Hukum Hudud merupakan suatu sistem perundangan yang adil dan dinamik yang mampu menangani persoalan semasa selari dengan kemajuan saintifik dan perkembangan sosio-ekonomi masyarakat.  Sebenarnya, terlalu banyak kes-kes penghakiman di dalam sistem perundangan Islam yang mempu membuktikan bahawa sistem ini merupakan sistem yang adil dan dinamik, di samping menepati kehendak syara' seperti yang telah digariskan oleh Al-Quran dan Sunnah.

Umpamanya, kes rogol mungkin tidak berlaku paksaan secara fizikal semata-mata. Ia juga boleh berlaku melalui tipu muslihat lain seperti kaedah tekanan mental, perasaan, dan lain-lain. Seorang mangsa rogol umpamanya mungkin terpaksa menyerahkan dirinya kepada seseorang yang dianggap lebih berkuasa dan berpengaruh serta boleh menjejaskan kehidupan keluarganya dalam pelbagai sudut. Pembuktian kes-kes seperti tentunya lebih rumit dan memerlukan pendekatan Siasah Syari'ah yang lebih mendalam. Bagaimanapun, tentulah dangkal dan tidak benar untuk mengatakan bahawa  hukum Islam telah ketinggalan zaman sedangkan ianya telah terbukti mampu menjadi tunggak kehakiman ummah selama lebih seribu tahun sejak terdirinya kerajaan Islam di Madinah sehinggalah kepada kejatuhan Khalifah Othmaniah pada tahun 1924.

Apa yang menjadi masalah ialah ramai umat Islam hari ini yang sudah terpisah dengan pengamalan syariat Islam sehingga merasa cukup asing dan melihat hukum syariah dengan penuh prejudis dan kecurigaan, sedangkan mereka tidak mempunyai kefahaman yang mendalam berkenaan ilmu tersebut. Apatah lagi apabila masyarakat bukan Islam yang juga cuba menilai hukum ini dengan keilmuan sifar, secara tidak beradab mencela dan menghina hukum Islam. Wallahua'lam

Saturday, December 24, 2011

LPF : Siapa Yang Akan Menapis?


Berkuatkuasa tahun hadapan, Lembaga Penapis Filem (LPF) tidak lagi menapis sesebuah filem sebelum ditayangkan, sebaliknya peranan tersebut akan diserahkan kepada pengarah dan penerbit filem itu sendiri.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Mahmood Adam berkata, langkah terbaru itu diambil selepas mengambil kira pandangan daripada semua pihak yang menjayakan industri perfileman negara. Bagaimanapun katanya, jika terdapat masalah berbangkit mengenai sesebuah filem yang ditayangkan, maka penerbit dan pengarah filem berkenaan perlu bertanggungjawab.

Saya rasa terpanggil untuk turut mengulas isu ini kerana ianya bakal mengundang satu masalah besar pada masa hadapan. Sekiranya LPF mengharapkan para penerbit filem sendiri untuk menapis filem mereka, saya percaya negara kita akan dibanjiri dengan pelbagai filem yang tidak sesuai untuk ditayangkan kerana bercanggah dengan nilai agama dan norma bangsa.

Dalam LPF sendiri bertanggungjawab untuk menapis filem sebelum ditayang pun masih banyak filem yang tidak menepati syarat-syarat dan norma-norma sepatutnya. Contohnya filem seram yang melambak dipasaran, filem yang berunsur lucah dan sebagainya mendapat kebenaran untuk ditayangkan. Apatah lagi sekiranya tugas penapisan tersebut diserahkan kepada penerbit filem itu sendiri. Sedangkan para penerbit sering berlumba-lumba untuk mencari keuntungan dari filem terbitan mereka. Mereka akan melakukan pelbagai cara dalam mempromosikan filem mereka demi keuntungan semata-mata.

Bolehkah kita mempercayai para penerbit filem semata-mata untuk menjalankan satu tanggungjawab yang besar ini? Saya menjadi sangsi kerana tiada rekod yang menunjukkan bahawa adanya penerbit yang benar-benar mematuhi syarat penapisan filem.

Sekiranya perkara ini tidak dipandang serius, maka tidak mustahil negara kita akan dibanjiri filem tahyul dan lucah pada suatu hari nanti.

Friday, December 16, 2011

Bersatu: Apakah Dasarnya?



Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa Jahiliyah) bermusuh-musuhan, Maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu Karena nikmat Allah, orang-orang yang bersaudara; dan kamu Telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu dari padanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk. (Ali Imran :103)

Ayat diatas adalah merupakan hujah utama bagi sesiapa sahaja yang mengajak atau menyeru kearah perpaduan. Malah, sesiapa sahaja yang ingkar daripada bersatu maka akan dikatakan ianya telah menyalahi suruhan Allah swt. Kebanyakan daripada kita hanya menekankan mengenai ayat Allah yang menyuruh kepada persatuan atau perpaduan dan jangan berpecah belah semata-mata. Mereka seperti lupa akan asas utama untuk bersatu iaitu ‘tali Allah’ yang terdapat dalam bahagian pertama firman Allah swt tersebut.

Ibn Jauzi dalam Zad al-Masir berkata: “Tali Allah” mempunyai enam pendapat:
1. Kitab Allah, iaitu al-Quran. Inilah pendapat Shaqiq daripada Ibn Mas’ud, Qatadah dan al-Dhahak.
2. Jemaah. Inilah pendapat al-Sya’bi daripada Ibn Mas’ud.
3. Agama Allah. Inilah pendapat Ibn Abbas R.Anhuma, Ibn Zaid, Muqatil dan Ibn Qutaibah.
4. Perjanjian Allah. Inilah pendapat Mujahid, Ata’, Qatadah dan Abu ‘Abid.
5. Ikhlas. Inilah pendapat Abu al-‘Aliah.
6. Perintah Allah dan ketaatannya. Inilah pendapat Muqatil bin Hiyan.

Maka, asas sebuah penyatuan yang digariskan oleh Allah swt ialah bahawa penyatuan itu mestilah diasaskan dengan ikatan agama dan bukannya semata-mata bersatu kerana bersatu diatas sesuatu yang tidak jelas apatah lagi sekiranya terdapatnya unsur mungkar maka ia adalah terlarang.

Sayid Qutb berkata: “Di sini jelaslah bahawa persaudaraan itu adalah persaudaraan yang lahir dari takwa dan Islam yang menjadi tiang seri yang pertama, iaitu tiang seri yang berasaskan pegangan yang kukuh dengan tali Allah, iaitu dengan perjanjian-Nya, sistem-Nya dan agama-Nya dan bukannya persaudaraan yang lahir semata-mata bermasyarakat yang berlandaskan sesuatu fahaman yang lain atau kerana sesuatu matlamat yang lain atau persaudaraan yang berasaskan pegangan pada sesuatu tali yang lain dari tali-tali jahiliah yang banyak.”

Maka, apakah patut kita bersatu semata-mata kerana bangsa? Berapa banyak persatuan mahupun perkumpulan yang diasaskan kerana bangsa ataupun asas yang tidak jelas menuju kepada kehancuran. Mereka akan menjadi buta mengenai kebaikan dan keburukan atau halal atau haram apabila melibatkan perkumpulan atau persatuan mereka. Mereka sanggup melepaskan atau menolong ahli atau rakan mereka sekalipun perbuatan tersebut adalah salah dari segi hukum. Allah swt telah berfirman:-


dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. (al-Maidah : 2)

Al-Sonhadji berkata: “Tali Allah di sini ialah agama-Nya yang menuju ke jalan yang lurus. Dan dilarang kamu berpecah-belah, iaitu jangan berselisih di antara kamu sesama Islam, kelak membawa ke jalan yang sebaliknya, iaitu jalan yang ditegah oleh Allah. Di antara jalan-jalan perselisihan dan perpecahan ialah menubuhkan kumpulan atau parti-parti berdasarkan semangat berpuak-puak kerana taksubkan bangsa. Masing-masing mamandang sukunya atau bangsanya lebih daripada yang lain dan hendak mengalahkan lawannya seperti dibayangkan oleh Tuhan terhadap suku Aus dan suku Khazraj banyak kita saksikan berlaku pada masa ini. Oleh yang demikian, perkara-perkara yang membawa kepada perpecahan hendaklah dijauhi.”

Perpaduan yang dibina atas dasar selain dari agama dan peraturan yang telah ditetapkan Allah swt adalah suatu perpaduan yang rapuh serta tidak bertepatan dengan arahan Allah swt. Islam tidak pernah menghalang kita berbangga dengan bangsa dan bahasa kita, malah Rasulullah saw juga sangat menyintai bangsa dan bahasa baginda. Namun yang penting ialah bangsa dan bahasa itu ditegakkan di atas nilai Islam yang suci sebagai agama yang diturunkan oleh Allah swt dan Islam menjadi platform perjuangannya. Janganlah kita terlalu yakin bahawa perpaduan yang dibina atas dasar selain dari Islam itu mencapai matlamat kerana Allah swt telah berfirman:-


Dan yang mempersatukan hati mereka (orang-orang yang beriman)walaupun kamu membelanjakan semua (kekayaan) yang berada di bumi, niscaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, akan tetapi Allah Telah mempersatukan hati mereka. Sesungguhnya dia Maha gagah lagi Maha Bijaksana. (al-Anfal : 63)

Hanya tali Allah sahaja yang dapat memberi pegangan kepada semua orang dan dengan nikmat itu mereka dapat hidup sebagai saudara. Tiada yang dapat menyatukan hati melainkan persaudaraan kerana Allah, iaitu persaudaraan yang membuat segala dendam kesumat yang turun temurun dalam sejarah, segala pembalasan dendam, segala tamak haloba peribadi dan segala panji kaum itu kelihatan begitu kecil di samping persaudaraan ini dapat menyatupadukan mereka dalam satu barisan di bawah panji-panji Allah Yang Maha Besar dan Maha Tinggi.

Kedua: Firman Allah s.w.t: “Jangan kamu berpecah belah”, ada dua pendapat seperti kata al-Mawardi:

1. Daripada agama Allah yang diperintahkan untuk beriltizam dengan jemaah. Inilah pendapat Ibn Mas’ud dan Qatadah.
2. Daripada Rasulullah s.a.w.

Sayid Qutb berkata: Tiang seri yang kedua ialah tiang seri persaudaraan, iaitu persaudaraan kerana Allah, persaudaraan di atas sistem hidup Allah dan persaudaraan untuk menghakikatkan sistem hidup Allah.

Ketiga: Firman Allah s.w.t: “Dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga).”


Al-Maraghi berkata: Terdapat dua jenis perselisihan yang berlaku antara manusia, iaitu:

1. Perselisihan yang tidak dapat dihindarkan dan tidak mungkin dapat dielakkan iaitu perselisihan pendapat dan fahaman. Hal ini sudah dianggap fitrah manusia. Perselisihan inilah yang dinyatakan oleh firman-Nya: Dan kalaulah Tuhanmu (Wahai Muhammad s.a.w) menghendaki, tentulah Dia menjadikan umat manusia semuanya menurut agama yang satu. (Tetapi Dia tidak berbuat demikian ) dan kerana itulah mereka terus-menerus berselisihan tetapi orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanmu… (Terjemahan Surah Hud: 11: 118-119) kerana akal dan pemahaman tidak sama. Contohnya, dalam satu keluarga, ahli-ahli juga berbeza pendapat dalam menyelesaikan masalah. Begitu juga dalam hal mencintai sesuatu dan perselisihan jenis ini tidaklah dianggap berbahaya.

2. Perselisihan yang dianggap serius yang diusahakan oleh semua agama untuk menghapuskannya. Perselisihan ini bersumberkan fikiran dan hawa nafsu yang ingin menetapkan hukum-hukum agama dan kepentingan hidup.

Keempat: Firman Allah s.w.t: “Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya.”

Al-Syaukani berkata: “Mudah-mudahan kamu mendapat petunjuk ke arah ketetapan atas hidayah dan bertambah hidayahnya.”

Ayat-ayat yang telah kita bincangkan jelas menunjukkan beberapa arahan Allah supaya kita benar-benar melaksanakannya seperti takwa, Islam, berpegang teguh dengan tali Allah, tidak berpecah belah dan sentiasa zikrullah. Pada hari ini, suasana umat Islam begitu rapuh ukhuwahnya. Hal ini menyebabkan musuh dapat menguasai umat Islam dari segenap aspek, sama ada politik, kuasa, ekonomi hatta corak kehidupan yang mereka jalani terpaksa mengikut telunjuk musuh-musuh Islam.

Justeru itu, seruan semboyan agar bersatu itu perlulah didasarkan dengan perpaduan akidah yang benar dan kukuh barulah ianya benar-benar menepati kehendak syariat dan bukan hanya sekadar retorik perpaduan semata-mata sedangkan perpaduan yang dicanangkan tersebut jauh dari landasan syariat agama.

Wallahu A’lam.

Tuesday, December 13, 2011

Sembang Rakyat Hina Hudud


Sekarang ini pelbagai video Sembang Rakyat telah memenuhi ruang youtube dalam internet membawa pelbagai isu termasuk hudud. Saya percaya ia merupakan propaganda terdesak pihak-pihak tertentu dalam menghadapi PRU 13 nanti.

Nampaknya mereka sedar bahawa saluran tv dan akhbar yang menjadi tali barut kempen mereka sudah tidak mampu untuk menawan hati rakyat kerana rakyat sudah tidak lagi mempercaya alat propaganda mereka itu. Jadi sekarang, mereka mengubah strategi bagi menyebarkan propaganda mereka itu melalui internet. Malah kekalahan mereka dalam PRU 12 dahulu adalah kerana internet merupakan salah satu sumber maklumat kepada masyarakat dan rakyat terutamanya golongan muda kerana mereka yakin bahawa media yang ada sekarang ini tidak berlaku adil.

Namun begitu, dalam menyebarkan propaganda tersebut mereka seolah-olah lupa batas-batas agama yang perlu dijaga. Mereka bercakap mengenai hudud dan menghina hukum tersebut.

Segala hukum Yang tersebut adalah batas-batas (Syariat) Allah. dan sesiapa Yang taat kepada Allah dan RasulNya, akan dimasukkan oleh Allah ke Dalam syurga Yang mengalir dari bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan itulah kejayaan Yang amat besar. Dan sesiapa Yang derhaka kepada Allah dan RasulNya, dan melampaui batas-batas SyariatNya, akan dimasukkan oleh Allah ke Dalam api neraka, kekalah Dia di dalamnya, dan baginya azab seksa Yang amat menghina. (an-Nisa’ : 13-14)

Banyak tutur kata dalam klip video tersebut jelas mempersenda-sendakan hukum. Malah peribadi yang bercakap mengenai hukum tersebut jelas telah melanggar hukum. Hukum dalam agama adalah bukan sesautu yang boleh dibuat main-main atau dipersendakan sekehendak hati kita walaupun kita tidak menyetujuinya kerana tindakan tersebut boleh membuatkan aqidah kita tercalar. Allah swt telah berfirman:-

Dan jauhkanlah diri dari orang-orang Yang menjadikan ugama mereka sebagai permainan dan hiburan, dan mereka pula telah diperdayakan oleh kehidupan dunia dan peringatkanlah (mereka) Dengan Al-Quran itu supaya tiap-tiap diri (di akhirat kelak) tidak terjerumus (ke Dalam azab neraka) Dengan sebab apa Yang ia telah usahakan (dari perbuatan Yang buruk dan keji). tidak ada baginya Pelindung dan tidak juga pemberi syafaat Yang lain dari Allah. dan jika ia hendak menebus (dirinya) Dengan Segala jenis tebusan, (nescaya tebusan itu) tidak akan diterima daripadanya. mereka itulah orang-orang Yang dijerumuskan (ke Dalam azab neraka) Dengan sebab apa Yang telah mereka usahakan. bagi mereka disediakan minuman dari air panas Yang menggelegak, dan azab seksa Yang tidak terperi sakitnya, disebabkan mereka kufur ingkar (semasa hidupnya). (al-Ana’m: 70)

Pihak berkuasa terutamanya majlis agama atau Jakim perlu mengambil tindakan berkaitan klip video tersebut kerana banyak skrip yang jelas menunjukkan penghinaan terhadap Hudud sebagai salah satu hukum dalam Islam.