Oleh Zainul Rijal Abu Bakar
Jati diri umat Islam dikorban kerana meletakkan hawa nafsu mengatasi kepentingan awam. TINDAKAN Kerajaan Selangor di bawah pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menolak cadangan Pas Selangor untuk memperkenalkan peraturan membataskan penjualan arak berkuat kuasa Januari depan, amat dikesali. Alasan yang diberikan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kerana menghormati sensitiviti berbilang kaum dan agama di negeri itu amatlah pelik dan tidak masuk akal. Apa yang dicadangkan Pas Selangor hanya peraturan membabitkan orang Islam. Tidak langsung timbul masalah dengan masyarakat berbilang bangsa atau cubaan untuk melaksanakan undang-undang Islam terhadap bukan Islam.
Mereka bebas mengamalkan agama masing-masing. Ini juga menggambarkan keretakan dan keampuhan kerajaan diterajui PKR di negeri itu. Penulis tidak berhasrat menulis isu politik, tetapi secara objektifnya hanya menyentuh aspek perundangan dan hukum syarak yang menunjukkan betapa silapnya keputusan kerajaan negeri itu. Ruangan ini juga bulan lalu menulis berhubung rasional mengehadkan penjualan arak di kalangan orang bukan Islam dari sudut perundangannya. Rencana itu boleh didapati melalui laman web www.peguamsyarie.org. Seperti dinyatakan di atas, peraturan dicadangkan hanya dilaksanakan terhadap orang Islam dan isu berbilang kaum dan agama tidak harus diketengahkan.
Sering kita berlindung di bawah sensitiviti ini bagi mengelak daripada mengamalkan Islam sebagai cara hidup. Namun, sebenarnya kita mengorbankan jati diri umat Islam serta menerjah keluar tatacara kehidupan yang dianjurkan Rasulullah. Tidakkah akhlak Rasulullah adalah terbaik dan tidak minum arak.
Demi menjaga sensitiviti ini, Kerajaan Selangor sebenarnya mempromosikan kesalahan jenayah kerana bagi umat Islam menjadi kesalahan minum arak di tempat awam atau kedai minuman yang memabukkan. Bukan minum saja yang menjadi kesalahan, membuat, menjual menawarkan untuk jualan, mempamer untuk jualan, menyimpan atau membeli minuman memabukkan juga adalah satu kesalahan. Perkara ini jelas termaktub di dalam seksyen 18 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995. (lihat info) Menerusi seksyen ini, pihak berkuasa atau kerajaan mesti berhati-hati dalam meluluskan lesen penjualan arak dan dalam memberikan lesen itu harus diletakkan syarat penjual arak bukan orang Islam.
Kerajaan negeri perlu menghormati Islam sebagai agama negeri dan Persekutuan lebih daripada segalanya kerana kedudukan Islam disebut secara khusus dalam Perlembagaan Negeri dan Persekutuan. Kerajaan negeri tidak harus menutup sebelah mata terhadap peruntukan ini.
Secara tuntas, tindakan Selangor mempromosikan kesalahan itu kerana kebanyakan penjual di kedai serbaneka 24 jam umpamanya ialah orang Islam. Mereka menanggung risiko ditangkap dan dituduh atas kesalahan dinyatakan di atas. Ada juga umat Islam menganjurkan supaya diboikot kedai seperti ini dan membuat aduan terhadap kedai berkenaan. Namun, hakikatnya yang akan menjadi mangsa ialah pekerja Islam yang menjual arak dan kita tiada pilihan bagi mereka mendapatkan pekerjaan. Dalam erti kata lain, majikan mengaut keuntungan daripada penjualan arak, tetapi pekerjanya ditangkap atas kesalahan terbabit. Adakah perkara ini adil demi menjaga sensitiviti pelbagai kaum di Malaysia. Bukan saja Selangor, malah kerajaan negeri lain juga sama ada dari negeri Pakatan Rakyat atau Barisan Nasional perlu melaksanakan kawalan penjualan arak.
Mengapa kita terlalu mementingkan naluri dan nafsu terhadap arak itu seolah-olah tidak boleh hidup tanpa arak. Walaupun terbukti arak tidak baik untuk kesihatan dan meningkatkan gejala sosial, kita masih meletakkan hawa nafsu mengatasi kepentingan awam. Yang peliknya, masyarakat Barat mula sedar pentingnya membatasi penjualan arak. Di negara umat Islam adalah minoriti dan kawalan itu dibuat bukan atas dasar Islam tetapi demi menjaga kepentingan awam dan mengelak kebejatan masyarakat. Hal ini dapat diterima oleh masyarakat umum. Nampaknya seolah-olah orang Timur ingin menjadi Barat dan orang Barat menggayakan pula budaya timur. Di mana salahnya?
Orang Barat sebenarnya jelak dengan budaya mabuk yang selalu menggoyah susun atur masyarakat serta merosakkan keamanan dan kedamaian setempat. Pelbagai usaha diambil bagi memberi kaunseling menyedarkan agar menjauhi arak. Pelbagai peraturan digarap bagi mengawal atau membataskan penjualan arak. Semua ini tidak pula mendapat bantahan atau reaksi negatif daripada orang ramai. Oleh itu, Selangor khususnya dan kerajaan negeri lain perlu melihat semula keputusan yang dibuat dan jangan hanya melihatnya dari aspek yang terlalu mikro. Pandangan lebih makro yang merangkumi aspek sosial, pengalaman luar negara dan perundangan perlu diberi penekanan setimpal. Jika cadangan Pas Selangor tidak dilihat dari perspektif lebih besar, sekurang-kurangnya kerajaan tidak boleh mempromosi kesalahan yang sah di sisi undang-undang dan mengambil segala upaya bagi memastikan rakyat tidak melanggar undang-undang.
Jelas kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor gagal mengambil kira sensitiviti orang Islam. Jangan mendabik dada dengan apa yang ada sekarang kerana suatu hari nanti pasti Allah membalas apa yang kita kerjakan hari ini. Ini juga manifestasi betapa rapuh hubungan antara parti siasah di bawah Pakatan Rakyat. Penulis menyeru semua wakil rakyat Islam di Selangor khususnya dan di seluruh negara amnya bersatu tanpa mengira parti yang diwakili demi meletakkan undang-undang Islam di tempatnya sebenar.
Kedudukan undang-undang Islam yang tinggi harus tidak menggusarkan bukan Islam kerana undang-undang Islam ini hanya terpakai kepada orang Islam saja. Kita sering mengelak daripada menyelesaikan masalah umat Islam kerana semata-mata dikatakan ingin mengambil hati orang bukan Islam. Siapa pula yang ingin menjaga hati orang Islam?
INFO Undang-undang haram arak
Termaktub dalam seksyen 18 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995.
18(1) Mana-mana orang yang, di mana-mana kedai atau tempat awam lain, minum apa-apa minuman yang memabukkan adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
18(2) Mana-mana orang yang membuat, menjual, menuar-uarkan untuk jualan, mempamerkan untuk jualan, menyimpan atau membeli apa-apa minuman memabukkan adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali. Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia. Layari
http://peguamsyarie.org/