hasbunallah

hasbunallah

Tuesday, January 7, 2020

Al Muhaddis Syeikh Mustafa Al Nadwi

Keturunan dan keluarga
Nama beliau adalah Dr. Abdul Karim as-Sayyid al-Badawi Ahmad Sulaiman, namun beliau lebih dikenali dikalangan umum dan para murid dengan nama Dr. Mustafa Abu Sulayman an-Nadwi. Beliau dilahirkan di kampung Sanbakht, Aga, Mansurah Mesir pada 27 Ramadan 1374 Hijrah bersamaan 19 Mei 1955. Bapa beliau Syeikh Said Badawi Ahmad Sulaiman merupakan salah seorang daripada ulama qiraat dan ilmu-ilmu yang lain di kampungnya. Syeikh Said Badawi juga merupakan syeikh tarikat al-Qahwajiah al-Syazuliah. Nasab keturunan beliau bersambung dengan Nabi Muhammad s.a.w melalui cucu baginda Saidina Husin.Syeikh Mustafa dilahirkan dalam keluarga yang sibuk dengan Al-Quran, ilmu, ibadah dan zikir. Meraikan para Qurra’ dan penuntut-penuntut ilmu dan menjadi khadam kepada setiap orang yang hadir ke rumah mereka.
Syeikh Mustafa mempunyai 4 orang adik beradik lelaki dan beliau merupakan anak bongsu. Abang sulung beliau Syeikh Abdul Malik telah mewarisi ayahnya berkhidmat untuk Al-Quran dan tarikat sofi mengikut manhaj Al-Quran dan al-sunnah sehingga beliau wafat pada bulan Oktober 1992. Abang beliau yang kedua Muhammad merupakan seorang jurutera. Beliau telah menyertai askar Mesir dan wafat dalam peperangan Tahrir pada Oktober  1973. Abang beliau yang ketiga Ahmad Mubarak juga merupakan khadam Al-quran dan ilmu suluk. Beliau bertugas sebagai pegawai di Institut Kebajikan Mansurah.

Pendidikan
Syeikh Mustafa telah mengahafal Al-Quran dan matan-matan ilmu sejak kecil lagi di bawah bimbingan bapa dan abang sulungnya. Antara matan-matan yang dihafal oleh beliau: Matan Jazariah dan tuhfatul Atfal (Ilmu Tajwid),  matan Ajurumiah, Alfiah Ibnu Malik dan Lamiatul Afa’l (Ilmu Nahu dan Sarf), Matan Jauharah (Ilmu Tauhid) matan Abi Syuja’ (Feqah) dan beberapa matan Qiraat.
Ketika remaja Syeikh Mustafa telah memasuki sekolah sains dan mempelajari pelbagai ilmu sains tulen seperti kimia, fizik dan lain-lain. Kemudian beliau telah melanjutkan pengajiannya di kuliah perubatan Universiti Al-Asriah dan telah mendapat keputusan cemerlang. Di samping itu beliau telah mendalami  kitab-kitab feqh syafie, tasawuf dan ilmu-ilmu lain di bawah bimbingan ayah dan abang sulungnya.

Universiti Darul Ulum Nadwatul Ulama’
Kecintaan beliau terhadap agama telah menyebabkan beliau tidak memilih kerjaya seorang doktor, sebaliknya terus mendalami ilmu agama sehinggalah Allah memberikan beliau peluang melanjutkan pelajaran di Universiti Darul Ulum Nadwatul Ulama’. Di sini beliau telah memasuki kuliah Bahasa Arab dan memperolehi keputusan cemerlang.
Kemudian, beliau telah mengambil jurusan Usuludin dan Dakwah dan mendapat keputusan yang cemerlang.  Setelah itu beliau telah mempelajari dan menguasai seluruh ilmu di Ma’had A’li Li Dakwah wal Fikri sehingga menjadi anak murid kebanggaan Syeikh Abu Hasan Ali Al-Nadawi. Beliau telah dicalonkan oleh Syeikh Al-Nadawi untuk  mengambil PHD di Darul Nadwah dan diberikan gelaran “Seorang yang mempunyai kealiman yang sempurna dalam Ilmu hadis”

Beliau telah diberikan ijazah dan sanad dalam pelbagai bidang ilmu oleh ulama-ulama besar Hindi, Pakistan dan Bangladesh seperti Maulana Al-kandahlawi, A’llamah Habibul Rahman Al-A’zomi, Syeikh Sodiq Ahmad Al-Nadawi dan lain-lain. Setelah itu Syeikh Al-Nadawi telah memberikan pengiktirafan kepada beliau dengan memakaikan serban kepunyaannya dan memberikan ijazah ilmu suluk dan tarbiah kepada beliau.


Beliau juga telah diberikan ijazah dan sanad dari ulama-ulama besar Al-Azhar, Ulama-ulama’ Maghribi, Syam, Hijaz, Indonesia, Malaysia dan lain-lain.