hasbunallah

hasbunallah
Showing posts with label Personal. Show all posts
Showing posts with label Personal. Show all posts

Sunday, March 8, 2020

AKU, AYAH DAN GURU


Saya perhatikan, sikap ibu bapa sekarang tidak sama dengan sikap ibu bapa zaman dahulu berkaitan penghormatan mereka terhadap para guru yang mengajar anak-anak mereka. Ibu bapa zaman sekarang seolah-olah terlalu sensitive dan protektif terhadap anak-anak mereka sehinggakan tindakan guru yang menghukum anak mereka dengan apa sahaja hukuman dilihat sebagai satu kesalahan besar.

Tulisan ini bukanlah satu-satunya contoh terbaik untuk saya kongsikan dengan para pembaca, tetapi ia merupakan satu kisah yang saya banggakan sampai hari ini kerana sikap arwah ayah saya dan juga tindakan guru yang telah mendidik saya menjadikan saya seorang ‘manusia’.

Sewaktu hari pertama saya masuk darjah satu, ayah saya telah membawa saya masuk kelas berjumpa sendiri dengan guru kelas saya.

“Cikgu, ini saya serahkan anak saya untuk cikgu didik dan ajar. Kalau cikgu nak pukul atau rotan saya benarkan dengan syarat jangan sampai buta atau patah.” Beritahu ayah pada guru kelas saya. Terkebil-kebil mata saya melihat guru kelas saya ketika itu kerana tidak menyangka ayah akan berkata begitu pada cikgu.

Kemudian ayah berpaling kepada saya sambil berkata:
“Ayah tak nak nanti kamu balik mengadu pada ayah bahawa cikgu pukul atau rotan kamu. Sebab ayah tahu cikgu tak akan pukul atau rotan kamu melainkan kamu tu nakal atau jahat.” Terkejut saya dengan amaran ayah tersebut. Ayah kemudian meninggalkan saya terkulat-kulat depan guru kelas pada masa tu. Seram sejuk rasanya hampir membuatkan saya hendak terkencing dalam seluar.

Tidak sedikit saya kena rotan dan didenda oleh guru akibat kenakalan dan kesalahan yang saya buat. Namun satu pun saya tidak pernah balik mengadu pada ayah kerana saya tahu akibat yang bakal menanti saya juga saya balik mengadu nanti.

Alhamdulillah, berkat ketegasan arwah ayah dan didikan yang guru berikan, saya terdidik sebagai ‘manusia’ bukan jadi ‘lembu’. (Memetik kata arwah ayah).

Jadi para ibu bapa perlu menilai dan memikirkan tindakan mereka yang terlalu sensitive dengan tindakan guru menghukum anak mereka, kerana ia akan memberi kesan kepada didikan anak mereka kemudian hari.

Satu pesanan hikmah dari murabbi saya, yang saya ingat sampai sekarang:

WALAU SIAPA PUN KAMU DAN TINGGINYA TAHAP PENDIDIKAN KAMU, NAMUN APABILA KAMU BERADA DIHADAPAN SEORANG GURU, MAKA KAMU TETAPLAH SEORANG MURID…

Fikirkanlah…

Friday, November 11, 2011

Belasungkawa : Perginya Seorang Sahabat & Pejuang


Ramai  orang menetapkan 11/11/2011 untuk mengadakan upacara tertentu seperti perkahwinan, pertunangan dan sebagainya. Malah tarikh tersebut juga merupakan tarikh keputeran Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V, Sultan dan Yang Dipertuan Bagi Negeri Kelantan dan jajahan takluknya.

Namun begitu, tarikh tersebut juga merupakan satu belasungkawa bagi saya terutamanya, Dewan Pemuda Pas Negeri Kelantan (DPPNK) dan Parti Islam Se Malaysia (PAS) diatas pemergian saudara Kamarulzaman Bin Hj Abdullah akibat terlibat dalam kemalangan jalan raya di Paloh, Gua Musang sewaktu dalam perjalanan balik dari menyerahkan Amanat Razak kepada PM di Parlimen bagi menuntut royalti minyak untuk rakyat Kelantan. Arwah juga merupakan Pegawai Khas kepada YB. Dato Haji Husam Bin Musa, exco Kerajaan Negeri Kelantan.

Saya menerima sms dari seorang sahabat pada jam 4:00 pagi mengkhabarkan berita duka itu menyebabkan saya tidak mampu untuk melelapkan mata kerana teringatkan ‘chat’ terakhir saya dengan arwah mengenai handphone beliau yang rosak dan perlu diganti baru. Perkara tersebut turut disahkan oleh otai fotografer saudara Jeming Hassan dan Topeng Perak sewaktu selesai solat jenazah arwah di Masjid Kota selepas Jumaat tadi. Ia membuatkan hati saya semakin sayu mengenangkan arwah.

Walaupun hanya perkenalan singkat dalam DPPNK, namun ia membuahkan kemesraan. Kerjasama terakhir saya dengan beliau adalah mengenai Wacana Hudud yang dianjurkan dengan kerjasama Karangkraf di Kuala Lumpur. Pelbagai ucapan takziah dihulurkan kepada keluarga arwah dan ia juga turut memenuhi wall facebook milik arwah. Sehinggakan ada diantara sahabat yang turut mengarang puisi khas diatas pemergian arwah tersebut.

Ramai sahabat seperjuangan arwah yang hadir untuk solat jenazah dan menghantar arwah ke tempat persemadian terakhir beliau di Tanah Perkuburan Tok Panjang. Sesungguhnya saya telah kehilangan seorang sahabat dan jemaah telah kehilangan seorang pejuang.

Ya Allah, Ampunilah dia (dari beberapa hal yang tidak disukai), maafkanlah dia dan tempatkanlah dia di tempat yang mulia (Syurga), luaskan kuburannya, mandikan dia dengan air salju dan air sejuk. Bersihkan dia dari segala kesalahan, sebagaimana Engkau membersihkan baju yang putih dari kotoran, berilah rumah yang lebih baik dari rumahnya (di dunia), berilah keluarga (atau isteri di Syurga) yang lebih baik daripada keluarganya (di dunia), isteri (atau suami) yang lebih baik daripada isterinya (atau suaminya), dan masukkan dia ke Syurga, jagalah dia dari seksa kubur dan Neraka.

Ya Allah! Ampunilah kepada orang yang hidup di antara kami dan yang mati, orang yang hadir di antara kami dan yang tidak hadir ,laki-laki mahupun perempuan. Ya Allah! Orang yang Engkau hidupkan di antara kami, hidupkan dengan memegang ajaran Islam, dan orang yang Engkau matikan di antara kami, maka matikan dengan memegang keimanan. Ya Allah! Jangan menghalangi kami untuk tidak memperoleh pahalanya dan jangan sesatkan kami sepeninggalannya.

Ya, Allah! Sesungguhnya Kamarulzaman Bin Abdullah dalam tanggunganMu dan tali perlindunganMu. Peliharalah dia dari fitnah kubur dan seksa Neraka. Engkau adalah Maha Setia dan Maha Benar. Ampunilah dan belas kasihanilah dia. Sesungguhnya Engkau, Tuhan Yang Maha Pengampun lagi Penyayang.

Ya, Allah, ini hambaMu, anak hambaMu perempuan (Hawa), memerlukan rahmatMu, sedang Engkau tidak memerlukan untuk menyeksanya, jika ia berbuat baik tambahkanlah dalam amalan baiknya, dan jika dia orang yang salah, lewatkanlah dari kesalahannya.

Setiap yang bernyawa pasti merasai peristiwa mati.. Hidup adalah pentas peristiwa yang kita lakarkan, manakala kematian adalah pelengkap potret kehidupan yang kita lakarkan. Moga potret kehidupan kita menjadi kenangan abadi yang dikenangkan dengan seindah kenangan oleh para makhluk khususnya pejuang kebenaran. Al Fatihah buat sahabatku Kamaruzzaman Abdullah; berehatlah dalam pelukan kasih sayang Tuhanmu. (memetik kata-kata Dr. Rosli Allani)

Aku pasti akan menyusulmu nanti dan moga Allah pertemukan kita ditempat yang terpuji…..

Wednesday, April 20, 2011

Si Syaitan Jones Laknatullah


Tahun lepas, dunia telah dikejutkan dengan telatah gila seorang paderi bernama Terry Jones yang berniat untuk membakar kitab suci al-Quran sewaktu ulang tahun memperingati peristiwa 11 September. Namun niat tersebut dibatalkannya setelah mendapat kecaman dan bantahan daripada pelbagai Negara dan masyarakat termasuklah penganut Kristian sendiri.

Walau bagaimanapun, paderi syaitan laknatullah itu telah bertindak membakar al-Quran pada 21/03/2011 baru-baru ini setelah mengadakan perbicaraan terhadap al-Quran. Dalam perbicaraan tersebut, si syaitan Jones bertindak sebagai hakim mendengar pertuduhan yang dikenakan terhadap al-Quran seperti penipu, pembunuh dan sebagainya. Kemudian dia mendapati bahawa al-Quran telah bersalah terhadap kesemua tuduhan tersebut lalu menjatuhkan hukuman agar al-Quran dibakar. Setelah direndam selama sejam dalam minyak tanah, al-Quran telah dibakar oleh paderi Wayne Sapp di bawah pengawasan si syaitan Jones.

Akibat dari peristiwa hitam ini, berapa ramai dikalangan pemimpin umat Islam terutamanya pemimpin Negara kita yang membuat kenyataan atau bantahan secara terbuka terhadap tindakan Syaitan Jones tersebut? Bukankah menjadi tanggungjawab kita sebagai umat Islam untuk mempertahankan kesucian dan ketinggian kitab al-Quran?

Ya Allah, Sesungguhnya kami letakkan Engkau dibatang leher musuh-musuh kami! Dan Kami berlindung denganMu dari kejahatan mereka
Ya Allah, hancur leburkanlah kumpulan-kumpulan mereka, kacau bilaukan persatuan mereka! Cerai-beraikan pakatan mereka! Goncangkan pendirian mereka! Hantarkan Ya Allah, anjinganjing ke atas mereka!
Wahai Tuhan Yang Gagah Perkasa! Wahai Tuhan Yang Penuh Raksaksa! Wahai Tuhan Yang Bersifat Murka!
Ya Allah! Wahai Tuhan yang menurunkan KITAB! Wahai Tuhan yang mengerakkan awan! Wahai Tuhan yang menewaskan Bala Tentera Ahzab. Kalah Mereka,....... Menangkanlah Kami..... ke atas mereka....

Wednesday, January 12, 2011

Majlis Bersama Ulama Besar Yaman

Alhamdulillah, segala puji yang tidak terhingga saya panjatkan kepada ALLAH SWT kerana ketentuan takdirNya telah memberikan saya sebuah kesempatan untuk menghadiri majlis bersama seorang ulama besar dari Yaman iaitu al-Alim al-Allamah as-Syeikh al-Habib Umar Bin Muhammad Bin Salim Bin Hafidz yang telah berkunjung ke Kelantan pada 11/01/2011 sehingga 12/01/2011.  

Pada 11/01/2011 majlis bersama beliau telah diadakan di Masjid al-Muhammadi, Kota Bharu Kelantan bermula selepas maghrib dengan bacaan Ratib al-Haddad karangan al- Imam Habib Abdullah al-Haddad dan maulid. Selepas Isyak pula tausyiah khas telah disampaikan oleh Habib Umar kepada para jemaah yang begitu ramai melimpah keluar perkarangan masjid. Sebagai penutup majlis pada malam tersebut, beliau telah mengijazahkan amalan Ratib al-Haddad atau Ratib as-Syahir dengan ijazah am kepada para jemaah untuk diamal serta disebarkan.

Pada 12/01/2011 pula, majlis diadakan di Masjid al-Hakim, Tanjung Chat Kota Bharu seusai solat fardu subuh yang telah diimamkan sendiri oleh Habib Umar. Selepas itu beliau menyampaikan tausyiahnya kepada para jemaah yang hadir sehingga melimpah ke perkarangan masjid tersebut.

Saya rasa begitu bersyukur dan bertuah sekali kerana berkesempatan untuk menghadiri majlis bersama beliau itu. Semoga bumi Serambi Mekah ini akan terus dikunjungi oleh para ulama yang hebat sebagai satu barakah untuk para penduduknya.    

Monday, September 20, 2010

Jauh Tapi Dekat


Pada 18/09/2010 (Sabtu) yang lalu, seorang lagi anak buah saya Mohd Izzat Dhiaul Haq Bin Azman al-Kubrawiy al-Husaini akan berangkat meninggalkan tanah airnya yang tercinta serta keluarganya yang dikasihi untuk melanjutkan pengajiannya di Universiti al-Ahqaf, Yaman.

Terasa seperti suatu kehilangan besar bagi diri saya bila mengenangkan kehadirannya merupakan suatu rahmat Allah buat kami semua. Beliau seorang pemuda yang baik, rajin, cintakan ilmu, mulia dan disayangi oleh keluarga, teman, rakan mahupun kawan.

Namun oleh kerana perpisahan ini merupakan satu perjuangan dalam mencari ilmu, maka kami redha dengan kembaranya itu. Saya dan keluarga sentiasa mendoakan kejayaannya walau dimana sahaja dia berada.

Walaupun kelihatannya kami jauh dari segi lahiriah, namun pada hakikatnya kami dekat kerana keberadaanya sentiasa dihati dan fikiran kami. Teruskanlah perjuanganmu duhai anak..

Thursday, July 15, 2010

As-Syeikh Dr. Mahmood Abdul Rauf al-Mirghalani


Hari ini 14/07/2010, Allah s.w.t telah memberikan kerahmatan yang begitu besar sekali dengan anugerah kehadiran seorang ulama dari Madinah al-Munawwarah iaitu Fadhilatu Syeikh Dr. Mahmoud Abdul Rauf al-Mirghalani.

Saya mengambil peluang ini untuk turut serta dalam pertemuan dan majlis bersama Syeikh Dr. Mahmoud ini yang diadakan di rumah guru kami yang mulia as-Syeikh Abdul Qadir al-Madani, Kg. Dalam Lanas, Tumpat.

Majlis dimulakan dengan tausiyah dan taujihat yang disampaikan oleh Syeikh Dr. Mahmoud al-Mirghalani kepada hadirin yang turut hadir dalam majlis tersebut. Banyak lontaran ilmu diberikan oleh ulama muda yang merupakan Syeikh Tariqat Syaziliyah ini. Beliau juga turut memberikan beberapa ijazah kitab serta sanad-sanad hadis yang diperolehi daripada guru-guru beliau terutamanya al-Alim al-Allamah al-Musnid as-Syeikh Muhammad Yasin bin Muhammad Isa al-Fadani al-Makki.

Beliau juga turut bermurah hati untuk mengijazahkan selawat tariqah As-Syaziliyah kepada para hadirin yang hadir. Saya rasa sungguh bertuah sekali kerana berpeluang untuk menghadiri majlis tersebut.

Kenikmatannya hanya boleh dirasai oleh orang yang melaluinya sahaja. Satu kata-kata yang cukup berkesan dihati saya daripada Syeikh Dr. Mahmoud al-Mirghalani ialah:-
“Walau siapa pun kita, setinggi manapun maqam dan martabat yang telah kita capai, namun dihadapan seorang guru kita tetap seorang murid!!”

Wednesday, June 30, 2010

Kunjungan al-Alim al-Allamah al-Habib Hamid al-Habsyi


Bandar Tumpat telah menerima seorang ulama Palembang Darussalam iaitu al-Alim al-Allamah al-Habib Hamid bin Umar al-Habsyi bersama keluarga beliau. Beliau merupakan salah seorang murid ulama sunnah terkenal almarhum al-Alim al-Allamah al-Muhaddisth As-Syeikh Prof. Dr. Syed Muhammad bin Alawi al-Maliki al-Hasani.

Dikesempatan kehadiran beliau itu, satu majlis ilmu telah diadakan di Rumah Tetamu Kastam Di Raja Malaysia, Tumpat. Tausyiyah yang diberikan Habib Hamid al-Habsyi antaranya berkisar mengenai peristiwa isra’ dan mi’raj.

Dalam majlis ini juga, Habib Hamid al-Habsyi telah mengijazahkan beberapa sanad kitab kepada para hadirin termasuklah ijazah sanad Tafsir Imam Ibn Kathir.

Alhamdulillah, saya berpeluang untuk mengikuti majlis tersebut. Beliau yang saya kenali sejak berulang alik ke Palembang merupakan salah seorang guru saya dan merupakan mudir Maahad ar-Riyadh, Palembang.

Tuesday, June 29, 2010

Penyertaan ulama muda ke dalam UMNO


Baru-baru ini Negara kita digemparkan oleh satu berita yang mendapat liputan meluas seluruh negera mengenai sekumpulan 40 orang ulama muda telah menyertai UMNO.

Saya tidak perasan sekumpulan ulama muda tersebut sehinggalah gambar tersebut di ‘tag’ kan oleh seorang kawan dalam Facebook saya. Kemudian saya juga turut dimaklumkan bahawa dalam kumpulan tersebut terdapat sahabat lama kami.

Maka, saya ikutilah perdebatan & perbahasan kawan-kawan dengan beliau yang sebagai salah seorang ulama muda yang menyertai UMNO tersebut. Ada komen yang berbentuk natural dan tidak kurang juga komen yang mengecam tindakan beliau tersebut. Kerap kali sahabat-sahabat membuat perumpamaan dalam komen tersebut mengenai cara-cara untuk membasuh tong najis yang seharusnya dilakukan dari luar dan bukannya dengan cara masuk ke dalam tong najis tersebut.

Jawapan beliau adalah, dalam medan dakwah kita tidak perlu memilih antara parti kerana tugasan kita adalah dakwah. Tidak kira sama ada Pas atau Umno. Maka masing mengutarakan hujah bagi menyokong perbahasan tersebut. Lalu saya katakan bahawa, perdebatan kita ini masing-masing disokong oleh hujah dan nas, nah jika kita yakini bahawa jalan kita ambil ini benar silakan. Kerana kebenaran yang nyata dan sebenar-benarnya hanyalah dapat diketahui apabila berhadapan dengan Allah s.w.t sahaja nanti.   

Friday, June 11, 2010

Selamat Bermuktamar

Saya mengucapkan selamat bermuktamar kepada semua perwakilan dan permerhati yang menyertai Muktamar Tahunan PAS Ke 56 yang diadakan di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (PUTIK) bermula pada 09 Jun sehingga 13 Jun 2010.


Walaupun saya tidak menjadi perwakilan pada muktamar kali ini atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan, namun saya masih berkesempatan untuk mengikuti hampir kesemua perjalanan Muktamar tersebut bermula dengan perasmian serentak Dewan Ulama, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat oleh YAB Dato Bentara Setia Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, Mursyidul Am Pas. Muktamar Dewan Pemuda yang berlangsung di Kelantan Trade Center (KTC) serta Muktamar Pas Pusat di PUTIK.

Semoga Muktamar kali ini akan menjadi medan muhasabah kelemahan diri serta mencari kelebihan yang ada pada parti bagi meneruskan perjuangan yang terpikul.

ALLAHU AKBAR

Tuesday, June 1, 2010

Hujung minggu yang memenatkan


Jumaat, 28/05/2010 adalah antara hujung minggu yang memenatkan bagi saya. Bermula seawal pukul 7.30 pagi saya menghadiri kuliyah mingguan tafaqquh fiddin anjuran Dewan Pemuda Pas Kawasan Tumpat (DPPKT) bertempat di Pejabat Pas Kawasan Tumpat, Berangan. Kuliyah ini disampaikan oleh al-Fadhil Ustaz Ahmad Fuad Amran, tenaga pengajar di Pondok Moden, Kandis. Beliau mensyarahkan kitab Jundullah karangan al-Alim al-Allamah Syed Hawa.

Kemudiannya pada pukul 9.00 pagi pula saya menyertai Kembara Amal DPPKT ke Dun Kelaboran dengan kerjasama YB Mohd Zaki Ibrahim (Adun Kelaboran) dan Jawatankuasa Pemuda Dun Kelaboran bertempat di Kampung Dalam Rhu, Tumpat. Dalam program ini, DPPKT menyampaikan sumbangan barangan keperluan dapur kepada penerima yang dipilih oleh Penghulu Mukim Dalam Rhu. YB Adun Kelaboran juga turut menyampaikan sumbangan peribadi kepada penerima-penerima tersebut.

Setelah itu, lebih kurang pukul 11.30 pagi saya terus bertolak ke Bachok kerana ada taklimat berkaitan Demonstrasi Membantah Judi Bola yang akan dibuat selepas solat Jumaat di Bachok. Saya dan rakan-rakan peguam lain dari Lajnah Undang-Undang & Hak Asasi Manusia (LUHAM), Dewan Pemuda Pas Negeri Kelantan (DPPNK) adalah sebagai pemerhati perjalanan demonstrasi tersebut bagi mengelakkan dari berlakunya sesuatu yang tidak diingini. Alhamdulillah, demo tersebut berjalan lancar dengan mendapat kerjasama daripada pihak berkuasa.

Kemudian saya pulang ke rumah lebih kurang pukul 3.00 petang untuk berehat dan membuat persediaan bagi menghadiri forum Belia Cakno Masyarakat malam ini yang akan diadakan di Masjid Pantai Damat, Perupok Bachok. Saya adalah salah seorang ahli penal forum tersebut bersama-sama dengan Ustaz Ahmad Fadhli Shaari (Setiausaha akhbar YAB Dato Tuan Guru) dan Cif Inspektor Hashim Mustafa (Ketua Bahagian Keselamatan, Ketenteraman Awam & Trafik IPD Bachok).

Walaupun memang kepenatan, namun disebabkan kewajipan yang perlu ditunaikan, tanggungjawab yang perlu dilaksanakan serta amanah yang mesti disempurnakan, terpaksalah saya menggagahkan diri untuk melakukan kesemuanya dengan seluruh tenaga dan kemampuan diri.

Tuesday, April 13, 2010

Masa yang memburu dan tenaga yang makin hilang


Masa yang terlalu menghambat saya, manakala kemampuan semakin berkurangan dalam menunaikan tanggungjawab yang diamanahkan. Sudah dua minggu saya terpaksa menghadiri perbicaraan kes Mahkamah pagi dan petang tiap-tiap hari. Mengurangkan luang masa untuk menyiapkan kerja pejabat yang mula menimbun.

Manakala hujung minggu pula diisi dengan program parti termasuklah mesyuarat agong pemuda Pas Kawasan Tumpat dan mesyuarat Agong Pas Kawasan Tumpat yang wajib dihadiri.  Malam pula terisi dengan jadual kuliyah guru saya yang perlu dihadiri serta kelas pengajian Quran di kawasan perumahan yang saya diami mesti diteruskan.

Petang ini pula, saya bersama Ketua Pemuda Pas Negeri Kelantan YB Ustaz Abdul Latif Abd. Rahman turut hadir mengiringi dan memberi sokongan kepada Gegar (Gerakan Menuntut Royalti Petroleum Rakyat Kelantan) membuat laporan Polis di IPD Kota Bharu mengenai pengagihan wang ehsan semasa program Juara Rakyat di Machang baru-baru ini.

Laporan polis itu dibuat oleh Dr Abdul Halim Yusof, Pengerusi Gegar. Turut hadir bersama ialah ahli-ahli gegar serta wakil-wakil pemuda.   


Sunday, February 21, 2010

Langkah-Langkah Di Perjalanan Ini


Walaupun badan masih lagi kepenatan dan keletihan kerana jadual program yang padat. Paginya saya balik dari program Pemantapan Syahsiah di Pantai Kuala Pok Min, Tumpat anjuran Dewan Pemuda Pas Dun Kelaboran yang di anjuran bermula dari hari Jumaat lagi.

Saya sampai bersama sahabat-sahabat di jeti lebih kurang pukul 8.30 pagi. Isteri menjemput saya kerana perlu bersegera untuk menghadiri Kursus Jentera Pilihan Raya Pemuda di Akademi Latihan Pemuda, Kok Lanas anjuran Dewan Pemuda Pas Negeri Kelantan (DPPNK).

Kemudian saya pulang ke rumah untuk berehat sebentar sebelum menghadiri kuliyah guru saya, Syeikh Abdul Qadir di Kampung Dalam Lanas, Tumpat. Saya tetap gagahkan diri untuk menghadirinya walaupun kepala saya terasa berdenyut-denyut.

Rupa-rupanya kesabaran yang cuba saya terapkan itu ada ganjarannya apabila saya telah diijazahkan oleh Tuan Syeikh Abdul Qadir akan amalan Aurad Syeikh Ahmad bin Idris r.a melalui sanad Syeikh Said Ahmad Linggi dan Syeikh Ahmad Dandarawi. Allahu Akbar…betapa bertuahnya saya rasakan kerana dianugerahkan kesempatan yang amat berharga ini.

Tetapi saya juga seolah-olah diuji oleh guru saya apabila saya disuruh beliau untuk mengimamkan solat Maghrib dan Isyak. Betapa gentarnya jiwa saya kerana menjadi imam solat sedangkan guru saya yang mulia berada dibelakang menjadi makmum saya. Rasanya begitu tidak layak untuk menjadi imam kerana dibelakang saya terdapat seorang guru yang melaut ilmunya.

Ya Allah..rahmatilah guru saya sehingga saya dapat menimba ilmu-ilmunya yang bergedung-gedung itu.   




Tuesday, February 16, 2010

Jiwa Sang Hamba


Sewaktu mula-mula bertatih menapak dalam medan juang, telah ada nasihat dari para teman-teman bahawa medan juang ini penuh dengan ujian getir dan pancaroba. Sekali kita melangkah, pastinya nanti ada masanya kaki kita luka terpijak duri. Badan kita mungkin calar dek terkena semalu tajam dan mungkin ada tikanya kita tersungkur sewaktu tersandung batu di pertengahan jalan. Saya menerimanya dengan penuh faham kerana ianya seribu kemungkinan yang akan berlaku. Itulah sifat kita sebagai ‘baru’ di sisi Tuhan Yang Maha Kekal.

Walaupun saya atur tapak dengan penuh hati-hati, sudah ditakdirkan bahawa kaki saya terjerlus lubang membuatkan saya terduduk. Usah ditanya bagaimana rasanya. Terngadah saya mencari jalan untuk berdiri walau sakitnya bukan kepalang. Nanar saya mencari tempat berpaut sedangkan jalannya masih jauh terbentang.

Lalu dalam kepayahan itu, saya bersimpuh dihadapan guru yang murabbi bagi mencari penawar. Lalu bicara sang murabbi “ Sabar itu umpama jadam. Memang permulaannya terlalu pahit tapi dihujungnya ada sebuah kesembuhan.”

Allahu Akbar… Saya bagai diberikan jamung peneman di perjalanan. Lalu terlihatlah lopak-lopak diri yang perlu diperbaiki segera sebelum sang utusan Tuhan datang menjemput. Lalu saya memutuskan untuk menimba gedung sang murabbi dan bertawaqquf buat seketika dari memberikan kuliyah-kuliyah mingguan dalam mencari damai sebuah jiwa hamba.   

Wednesday, February 10, 2010

Ranjau Sebuah Perjalanan


Sebelum ini saya ada menulis mengenai kemelut yang saya hadapi sebagai pengerusi Masjid at-Tawwabeen. Walaupun pelbagai usaha telah dilakukan, namun masih ada pihak yang tidak berpuas hati serta tidak menghormati keputusan mesyuarat. Menggunakan nama para jemaah, membuat sesuka hati tanpa merujuk kepada ajk yang telah dilantik.

Setelah berfikir panjang dan berbincang dengan beberapa pimpinan, saya mengambil keputusan untuk mengundurkan diri dari memegang jawatan pengerusi masjid. Saya serahkan kepada mereka yang telah mendesak saya untuk meletakkan jawatan sebelum ini. Bagi saya, itu merupakan tanda bahawa mereka telah hilang kepercayaan kepada saya. Tidak mengapa, kerana itu hanyalah sebahagian kecil ranjau yang perlu saya lalui untuk sampai kemuncak yang masih jauh.

Saya bukanlah hendak mengatakan saya ini benar dalam semua perkara, tapi saya tetap berdoa bahawa saya dipihak yang benar. Sebagaimana kata salah seorang pemuda, beralah tidak semestinya bermakna kita salah. Apatah lagi demi menenang keadaan yang penuh kemelut ini. Jawapan saya kepadanya mudah, memang benar beralah tidak bererti kita salah tapi orang tetap memandang kita salah.

Semasa mesyuarat akhir ajk masjid tadi, saya mengumumkan penarikan diri dari jawatan pengerusi walaupun masih ada ajk yang mendesak saya untuk terus bertahan. Jawapan saya, apa guna saya pengerusi sekiranya saya terus diperlakukan seperti tunggul. Apa sahaja yang hendak dilakukan berkaitan masjid, terus dibuat tanpa merujuk kepada saya. Saya bukan hendak mempersalahkan sesiapa, kerana ia mungkin silap saya kerana telah menerima jawatan pengerusi tersebut suatu ketika dulu.

Kalau difikirkan dengan otak yang singkat dan jiwa yang serabut, memang difikirkan terlalu tidak adil saya diperlakukan sebegini. Namun meneliti kembali dengan jiwa yang tenang dan hati yang terbuka, inilah dinamakan takdir. Ada hikmah yang tersembunyi mungkin tidak saya ketahui. Salah satunya, saya dapat menumpukan kepada tanggungjawab lain kerana amanah yang saya pikul sebagai pengerusi masjid telah saya lepaskan.

Masih ada suara yang bergema memberitahu bahawa mereka tetap berada dibelakang saya, bagi saya duduklah dibelakang saya selagi mereka mampu kerana saya tidak berhak untuk menghalang mereka. Bagi saya apa perlunya sokongan kalau ia membawa rebah. Memadailah bagi saya untuk menyakini bahawa yang benar itu tetap benar dan yang salah itu tetap salah walaupun kita melihatnya dari sisi yang berbeza. Dan sesungguhnya Allah bersama orang yang benar.


Tuesday, February 9, 2010

Guruku


Setelah agak lama, tawaqquf daripada mengajar atas sebab kesihatan dan perjalanan rohani, guru saya Syeikh Abdul Qadir kembali untuk memberikan kuliyah kepada murid-muridnya yang sentiasa dahagakan ilmu dan mutiara berharga daripada beliau.  

Walaupun terpaksa dipapah oleh para murid, beliau tetap kelihatan bersemangat memberikan kuliyah. Malah solat jemaah pun diimamkan oleh salah seorang murid kanan beliau.

Tatkala saya menatap beliau, ada ketenangan mengalir dalam hati. Belum sempat tangan dihulur untuk bersalaman dengan guru yang mulia itu, beliau mendahului saya bertanyakan khabar.

Allahu Akbar… selepas solat maghrib, kami mendengar guru kami mensyarahkan Surah al-Fatihah. Syarahan yang begitu lengkap bagi saya kerana turut disebutkan mengenai qiraat-qiraat bacaan yang berbeza dan sebab-sebab perbezaannya.

Beliau juga turut membahaskan perbezaan mazhab-mazhab dalam memahami nas-nas al-Quran serta sunnah. Beliau juga turut menolak pendapat bahawa umat Islam tidak perlu mengikut mana-mana mazhab dengan memetik kata-kata Hujjatul Islam Imam al-Ghazali apabila ditanya kepada beliau : Engkau seorang yang alim dalam semua perkara, tapi kenapa engkau membuat mazhab yang baru tetapi masih mengkut mazhab Imam Syafie? Jawab al-Ghazali: Sesungguhnya aku tidak termasuk dalam kurun yang telah dijanjikan Rasulullah s.a.w.

Betapa besar kesyukuran kerana dianugerahkan Allah seorang guru yang menjadi murabbi bagi saya sejak saya berada dibangku sekolah lagi. Semoga Allah memberkati umur beliau sehingga saya dapat mengambil manfaat daripada ilmu-ilmu beliau yang bergedung- gedung itu.   


Saturday, January 9, 2010

Segunung Puji dan Selaut Syukur



Segunung puji buat Allah s.w.t yang telah memberikan kesempatan sehingga ke saat ini untuk terus menghirup nafas kehidupan ini. Selaut syukur saya persembahkan kerana sehingga kesaat ulang tahun kelahiran ini saya telah melalui pelbagai pengalaman hidup walaupun masih terlalu banyak lagi pengajaran yang belum saya tempuhi.

Dalam melangkahi sisa-sisa hari yang entah bila akan tiba penghujungnya ini bersama tanggungjawab yang telah tersedia dipikul, saya turut dikejutkan dengan 2 perlantikan jawatan baru yang sudah pastinya akan menambahkan lagi tanggungjawab saya yang tersedia. Pertamanya saya telah diamanahkan oleh Dewan Pemuda Pas Kawasan Tumpat untuk memegang jawatan Ketua Penerangan berkuatkuasa serta merta dan semalam saya menerima satu sms dari seorang sahabat rapat yang juga ajk Dewan Pemuda Pas Negeri Kelantan (DPPNK) telah memberitahu bahawa saya telah diamanahkan untuk memegang jawatan ajk DPPNK.

Sedikitpun tidak saya bangga dengan jawatan tersebut kerana ia sebenarnya suatu amanah yang perlu saya pertangungjawabkan dihadapan Allah s.w.t nanti. Saya tidak pasti sama ada saya mampu untuk memikul amanah ini serta berhadapan dengan Allah s.w.t dalam keadaan amanah yang diberikan kepada saya tidak dapat saya tunaikan dengan sempurna.

Ya Allah, tatkala ini aku bermohon kepadaMu akan suatu pertolongan yang membuatku cukup tanpa memintanya kepada selain dariMu. Ya Allah, aku bermohon kepadaMu akan bantuan buatku menunaikan amanah ini dengan sesempurna mungkin semampu upayaku. Ya Allah, hanya kepadaMu aku bermohon dan kepadaMu jualah aku berserah diri.