Catatan oleh Tuan Syed Nazmi bin Tuan Taufik al-Idruss dan Mohd. Abd. Rashid bin Yah al-Kubrawiy.
29 Ogos
2015 (Sabtu)
اَللّهُمَّ
لَكَ الْحَمْدُ كُلُّهُ وَلَكَ الشُّكْرُ كُلُّهُ وَلَكَ الْمُلْكُ كُلُّهُ وَلَكَ
الْخَلْقُ كُلُّهُ بِيَدِكَ الْخَيْرُ وَإِلَيْكَ يَرْجِعُ الأَمْرُ كُلُّهُ. اَللّهُمَّ
مَا أَنْعَمْتَ فَزِدْ ، وَمَا زِدْتَ فَبَارِكْ وَمَا بَارَكْتَ فَلَكَ الْحَمْدُ
عَلَيْهِ.اَللّهُمَّ اجْعَلْنَا صَابِرِيْنَ وَاجْعَلْنَا شَاكِرِيْنَ
وَاجْعَلْنَا فِى أَعْيُنِنَا صِغَارًا وَفِى أَعْيُنِ النَّاسِ كِبَارًا.
Ya Allah, bagiMu pujian seluruhnya, bagiMu kesyukuran
seluruhnya, bagiMu kekuasaan dan ciptaan seluruhnya, di tanganMu segala kebaikan,
dan kepadaMu kembalinya segala urusan.Ya Allah, apa yang telah Engkau beri
nikmat maka tambahkanlah, dan apa yang telah Engkau tambahkan maka berkatilah,
dan apa yang telah Engkau berkati maka bagiMu segala pujian atasnya.Ya Allah,
jadikanlah kami dari golongan orang-orang yang sabar, orang-orang yang
bersyukur, dan jadikanlah kami, kecil pada pandangan mata kami dan besar pada
pandangan mata orang lain.
Bersarapan di Pondok Takeh |
Seusai solat Subuh, kami mula
bersiap-siap sementara menunggu sarapan pagi yang disediakan oleh pihak pondok.
Dikesempatan tersebut digunakan untuk melihat sekitar pondok.
Menu sarapan pagi kami ialah
kerabu dan pulut berinti. Turut sama adalah Baba Haji Zakaria bin Abdul Rahman
dan Baba Abdul Nasir Abdul Rahman. Sebelum bertolak dari pondok ke destinasi
seterusnya, kami mengabadikan ziarah yang penuh keberkatan itu dengan mengambil
beberapa keping gambar kenangan bersama Baba-Baba Pondok Al-Madrasah
al-Nasiriah al-Islamiah. Selepas Ustaz Abu Aswad menyerahkan cenderamata
kenang-kenangan, rombongan kami bertolak ke lokasi seterusnya Kampung Garak
Ruwain (Binjal Lima) untuk menziarahi makam moyang-moyang saya almarhum Saiyid
Ali Nurul Alam atau dikenali juga sebagai Sultan Qanbul[1].
Keadaan kubur yang bersemak |
Dulunya kawasan tersebut
merupakan kebun getah tetapi tuan tanah kemudiannya mewakafkan tanah tersebut
untuk dijadikan kawasan perkuburan. Walaupun kawasan kubur tersebut berpagar
tetapi dalam kawasan tersebut dipenuhi dengan rumput panjang yang menutupi
kubur.
Kubur Saiyid Ali Nurul Alam |
Kami mengambil sedikit masa
untuk membersihkan kawasan kubur tersebut sebelum berdoa agar Allah swt
merahmati roh Sultan Qunbul tersebut serta memberikan kami kekuatan sebagaimana
Allah berikan kekuatan kepada almarhum Sultan Qunbul dalam memperjuangkan
Islam.
Berdasarkan catatan Tuan Syed
Nazmi al-Idruss, kami selanjutnya meneruskan perjalanan ke destinasi seterusnya
dan sampai ke Pondok Padang Pusu, Pattani, Maahad al-Nahdah al-Islahiyah
al-Asy’ariah ( النهضة الإصلاحية
الأشعرية ) pada jam 9.30 pagi (8.30 WT).
Kami disambut oleh beberapa orang pelajar Pondok berkenaan, kerana waktu
tersebut Tuan Guru Baba Abdul Aziz Bin Muhammad sedang memberikan kuliahnya di
dalam masjid Pondok.
Kami dijemput untuk terus
sahaja ke masjid. Saya kagum apabila melihat ruangan masjid yang besar itu
dipenuhi dengan ratusan pelajar yang sedang menadah kitab mendengar huraian
pengajian yang disampaikan oleh Tuan Guru Baba Haji Abdul Aziz itu.
Kemudian Baba Abdul Aziz
menjemput Ustaz Abu Aswad dan KH Ali Badri sebagai wakil rombongan untuk duduk
di atas kerusi bersamanya bagi menyampaikan nasihat kepada pelajar-pelajarnya.
Ustaz Abu Aswad menarik
perhatian hadirin agar menjaga adab dan akhlaq di dalam menuntut ilmu agama
kerana keberkatan dari ilmu diperolehi dengan bertawadu’ di hadapan ilmu dan gurunya. Manakala KH Ali Badri juga
diberikan kesempatan memberikan tazkirah. Beliau menyatakan kesungguhan ulama
dahulu dalam menyebarkan Islam ke Nusantara. Jalinan dakwah terus diperkukuh
dengan munculnya Wali Songo di Indonesia, keluarga Azamat Khan di Fattoni. Ada
pertalian rapat antara lafaz SONGO yang bermakna no. 9, kalimat JAWI (JA
no 3 dalam abjad Arab, WAW no 6 = 9)
dengan istilah MANDALIKA (MANDA segi lapan dan LIKA satu).
Kami kemudiannya dimuliakan
oleh Baba Abdul Aziz dengan jamuan ringan di rumahnya. Pelajar Pondok Padang
Pusu ini lebih kurang seribu orang, antara pondok teramai pelajarnya di
Pattani.
Pada jam 10.32 (9.32 WT) pagi, kami keluar dari Pondok Maahad al-Nahdah
al-Islahiah al-Asy’ariah ini dengan linangan air mata Tuan Guru Baba Abdul Aziz
bin Muhammad yang mengiringi pemergian kami untuk menuju ke destinasi
berikutnya Kampung Sekom, Cenak Utara Patani untuk menziarahi kubur almarhum
almukarram as-Syeikh Abdul Samad al-Falimbani[2].
Aircond bas terpaksa dibaiki |
Perjalanan jauh dan mengambil
masa yang agak lama tersebut menyebabkan bas rombongan kami mengalami masalah
aircond dan terpaksa berhenti sebuah stesyen minyak untuk dibaiki. Menurut
pemandu bas tersebut, masalah itu berlaku kerana kelajuan bas yang melebihi
keupayaan aircond berfungsi.
Dikesempatan tersebut, ramai
ahli rombongan mula beratur di tandas awam dan ada juga berehat mengurangkan
lenguh. Setelah semuanya selesai, perjalanan diteruskan dalam jarak yang masih
jauh untuk ditempuhi.
Berdasarkan catatan Tuan Syed
Nazmi al-Idruss, setelah menempuh dua jam melintasi banyak tempat antaranya Kg.
Pujok, Sening, Ban Tunjong, melalui bangunan Majlis Agama Pattoni dan Khuan Mif
akhirnya rombongan kami sampai ke Chenok (Amphoe Chana) pada jam 12.35 tengahari
(11.35 WT) . Baba Hassan selaku guider kami mengalami sedikit kesukaran mencari
jalan masuk ke kubur yang menyimpan jasad dan tempat persemadian Syaikh Abdus
Samad al-Palembang, ulama Nusantara yang mengharumkan nama umat Melayu dengan
karangannya dan jihadnya di bumi Pattoni kerana tiada sebarang papan tanda
serta keadaan yang bersemak.
Laluan ke kubur yang bersemak |
Untuk sampai ke kubur tersebut,
kami perlu melalui jalan seumpama denai yang dipenuhi semak samun sejauh lebih
kurang 300 m dari jalan besar. Kubur tersebut terletak dalam keadaan terasing
dalam sebuah kebun getah dikaki bukit dan ia adalah satu-satunya kubur yang
terletak disitu. Saya diberitahu bahawa kubur tersebut baru sahaja dijaga dan
selenggara denga baik. Mengikut maklumat yang diberitahu oleh sahabat saya akhi
Tajuddin Razak serta guru saya Ustaz Ahmad Fuad Amran, satu usaha telah
dilakukan oleh Fadhilah as-Syeikh Tuan Guru Ahmad Fahmi Zamzam al-Banjari
an-Nadwi mengumpul dana untuk membeli kebun getah tersebut bagi memelihara
kubur Syeikh Abdul Samad al-Falimbani.
Mendoakan almarhum Syeikh Abdul Samad |
Kami bertafakur sejenak sambil
berdoa agar Allah swt merahmati roh Syeikh Abdul Samad ini dan memberikan kami
juga kekuatan serta keilmuan sebagaimana Allah berikan kepadanya. Terasa ada
getaran dijiwa saya tatkala berada dikuburan tersebut kerana jasad yang
bersemadi disitu merupakan umpama guru saya disebabkan kitabnya Siyarus
Salikin yang saya talaqqi dari Tuan Guru Haji Muhammad Che Ali, Pondok
Berangan Tumpat selama hampir 19 tahun dan Tuan Guru Haji Muhammad Che Ali telah
mengijazahkan kitab tersebut pada 20/08/2013.
Saat mengenangkan isi kandungan
kitab Siyarus Salikin tulisan empunya kubur menyebabkan saya rasa kerdil.
Almarhum Syeikh Abdul Samad mengarang
kitab tersebut dengan ilmu yang tinggi
dan dalam mengenai tasawuf.
Ijazah kitab Siyarus Salikin |
Sebagaimana catatan Tuan Syed
Nazmi al-Idruss, Ustaz Abu Aswad menceritakan detik-detik hitam yang melanda
umat Melayu apabila sikap talam dua muka dan membelot melanda sebahagian hati
orang Melayu yang sanggup berpaling dari jalan lurus, mengkhianati
bangsa dan agama sendiri. Sejarah pembunuhan Syeikh Abdul Samad ini menjadi
titik noktah hitam dalam sejarah Nusantara bilamana orang yang terdekat dengan Syeikh
Abdus Samad telah sanggup bersekongkol dengan penjajah Siam bagi membunuh
Mujahid besar ini. Kuburan ini diketemui lebih 30 tahun yang lalu berdasarkan
kitab Tok Kelaba[3]
dan diberikan perhatian dan dicakna semenjak 10 tahun kebelakangan ini
saja.
Kubur al-Alim Syeikh Abdul Samad |
Sebagaimana catatan Tuan Syed
Nazmi al-Idruss, Ustaz Abu Aswad menceritakan lagi bahawa Syeikh Abdul Samad
bersama Syaikh Daud al-Fatoni berjuang dalam menentang tentera Siam di bumi
Patani ini. Pakaian jubah merah yang sering dipakai oleh Syaikh Abdul Samad
semasa jihadnya telah dicuri oleh yang berkepentingan dan menjadi asbab beliau
ditembak oleh tentera Siam menggunakan peluru emas. Jasad beliau yang disemadikan jauh dari
jenazah-jenazah para Syuhada’ lain diziarahi dalam kebun getah, melalui laluan
denai dan tumbuhan hutan, dimasuki dari jalanraya besar sejauh 300 meter.
Kami meninggalkan pemakaman
Syeikh Abdus Samad al-Palembani ini jam 13.00 (12.00 WT) dengan perasaan hiba
dan mengambil iktibar bahawa sifat petualang dan menjadi gunting dalam lipatan
adalah wabak yang wajib dihindari dari sanubari pejuang agama.
Destinasi kami berikutnya ialah
Masjid Kerisik, Patani. Dipertengahan jalan, kami terpaksa berhenti disebuah
stesyen minyak kerana salah seorang pelajar MIAH mengalami sakit perut yang
teruk. Setelah diberikan ubat, kami meneruskan perjalanan ke Kerisik dengan memindahkan
pelajar berkenaan masuk ke van kami untuk memudahkan pemantauan.
Lebih kurang satu jam
perjalanan, kami terpaksa berhenti lagi kerana tali kipas aircond bas rombongan
kami putus dan terpaksa diganti baru. Mujurlah pemandu bas telah sediakan tali
kipas spare. Penggantian tali kipas tersebut mengambil sedikit masa. Sambil
menunggu dalam van, Tuan Syed Nazmi al-Idruss meminta supaya KH Ali Badri
Azmatkhan membacakan qasidah Tholama Asyku Gharami buat kami. MasyaAllah,
kemerduan suara KH Ali Badri membuatkan kami semua terdiam menghayati qasidah
yang dialunkan beliau. Menurut beliau, qasidah tersebut merupakan karangan
beliau sendiri dan diberikan tajuk Rindu Rasul. Antara bait-bait qasidah yang
menusuk kalbu itu:
طالما اشكو غرامي يا نور الوجود
وأنادي يا تهامى
يا معدن الجود
Telah lama hati ini
rindu padamu
Hati dan bibir selalu
memanggil namamu
Kasihku Nabi Muhammad
pelita kalbu
Hampir tak mampu hatiku
menahan rindu
طالما اشكو غرامي يا نور الوجود
وأنادي يا تهامى
يا معدن الجود
Engkau curahkan cintamu
pada ummatmu
Takkan dapatku membalas
budi jasamu
Setiap aku terkenang
kisah baktimu
Air mata pun berlinang
hati terharu
Saya dan abang Hazudin sempat merakam alunan qasidah KH Ali
Badri tersebut walaupun audionya tidak begitu memuaskan. Saya makin teruja bila
KH Ali Badri memberitahu bahawa beliau mempunyai mp3 qasidah-qasidah tersebut
dan berjanji untuk memberikan kepada saya.
Pandangan arah hadapan Masjid Kerisik, Patani |
Setelah semuanya selesai, kami
meneruskan perjalanan ke Masjid Kerisik, Patani. Berdasarkan catatan Tuan Syed
Nazmi al-Idruss, kami sampai di Masjid Kerisik[4]
atau juga dikenali sebagai Masjid Pintu Gerbang, Masjid Sultan Muzaffar Shah
pada jam 15.20 (14.20 WT). Kami menunaikan solat Zuhur dan Asar jama’ qasar di
situ. Kami juga mengambil kesempatan untuk makan tengahari yang telah siap
ditempah bungkus oleh Baba Hassan.
Ustaz Abu Aswad memperkisahkan tentang Masjid Kerisik |
Sebagaimana catatan Tuan Syed
Nazmi al-Idruss lagi, Ustaz Abu Aswad menceritakan bahawa masjid dibina oleh
seorang Cina muallaf yang berkhidmat dengan Ratu Hijau. Ia dibina di atas paksi
semitri dengan menggunakan batu bata
yang simennya dari campuran putih telur dan kulit kerang hancur, tanpa bumbung
yang amat unik. Ada pandangan yang
menyatakan ia dibina kerana nazar Ratu untuk melawan penjajahan Ayutia.
Bersebelahan pagar Masjid, sebuah tokong Cina yang dipercayai dibina oleh adik
kepada Muallaf ini.
Masjid Kerisik dari pandangan sisi |
Masjid ini mengalami masalah
pemakmurannya semenjak dahulu lagi akibat kejadian misteri yang berlaku dan
campur tangan pihak Siam yang tidak senang dengan kehadiran umat Islam ke situ,
walaupun mutaakhir ini hanya digunakan untuk solat lima waktu sahaja dalam 20
tahun lepas. Pernah berlaku pembataian masyarakat Islam dan alim ulamanya oleh
tentera Siam yang mengarahkan gajah memijak badan mereka sehingga mati ketika
Kerajaan Melayu Patani jatuh ke tangan Siam dengan jatuhnya kubu Kota Jambu.
Ketika ini, seorang pelajar
MIAH terpaksa dibawa ke klinik kerana cirit birit serta sakit perut yang
dialaminya berterusan dalam keadaan kritikal. Kami berada di Masjid Kerisik
lebih dari sejam menunggu Ustaz Abu Aswad dan pelajar berkenaan pulang dari
klinik. Saya telah diamanahkan untuk menjaga dan mengawal ahli rombongan
terutamanya pelajar MIAH sepanjang ketiadaan Ustaz Abu Aswad. Ahli rombongan
mengambil peluang untuk bergambar di sekitar Masjid Kerisik terutamanya bagi
yang kali pertama datang ke sini.
Perkuburan Raja-raja Patani |
Rancangan asal untuk menziarahi
perigi Hang Tuah dan Perigi Syeikh Daud al-Fatani terpaksa dibatalkan kerana
salah seorang pelajar MIAH kena ulser perut dan terpaksa dimasukkan cecair atau
drip ke dalam badannya. Kami penumpang van terpaksa pindah menaiki bas bagi
memberikan keselesaan kepada pelajar tersebut. Kami menuju ke destinasi
seterusnya Makam Raja Patani di Tanjung Datuk[5].
Disana dikatakan disemadikan
jasad Raja Patani yang terakhir termasuklah empat orang Ratu yang pernah memerintah
Patani iaitu Ratu Hijau (1584-1616)[6],
Ratu Biru (1616-1624)[7],
Ratu Ungu (1624-1635)[8]
dan Ratu Kuning (1635-1649)[9].
Mendoakan kesejahteran buat ahli kubur |
Sebagaimana catatan Tuan Syed
Nazmi al-Idruss, rombongan kami tiba di Tanung Datok pada pukul 18.40 petang.
Ia terletak berhampiran dengan laut, di sebuah perkampungan nelayan Melayu.
Kami terpaksa berjalan kaki sejauh lebih kurang 1KM untuk masuk ke kawasan
perkuburan tersebut kerana bas rombongan kami tidak dapat melalui jalan masuk
yang agak sempit.
Sebagaimana yang diceritakan
oleh Ustaz Abu Aswad, di situ terdapat kubur-kubur keluarga DiRaja Patani yang
telah memerintah Kerajaan Islam Patani semenjak dahulu. Raja-raja tersebut
berketurunan Kelantan yang diangkat oleh penduduk tempatan bagi
menggantikan Raja Mansor 2 yang ketiadaan
zuriat. Mereka dibawa dari Kampong Laut Kelantan ada mempunyai talian nasab
dengan Raja Mansor 2. Di zaman kegemilangan pemerintahan Keluarga DiRaja ini
terdapat mereka yang menjawat Penasihat kepada Disnati Cina seperti Raja Ratna,
Tengku Maisarah, Tengku Mansur dan Tengku Abdullah. Di situ terdapat kuburan
Raja Mohamad Pasai, Tengku Manik, Raja Salim, Raja Muhsin, Raja Abdul Karim dan
lainnya.
Kami mendoakan kesejahteraan
buat ahli kubur disitu, semoga Allah menempatkan mereka dikalangan orang yang
terpilih dan para pejuang yang telah mendaulatkan agama.
Kubur Tok Panjang atau Maulana Gombak |
Bersebelahan dengan kompleks
makam Raja-Raja Patani itu, terdapat kubur Tok Panjang. Dikatakan beliau juga
dipanggil sebagai Maulana Gombak, Syeikh Gombak atau Abdul Mubin dan berasal
dari Minangkabau. Mengikut beberapa catatan sejarah, beliau merupakan sahabat
kepada Syeikh Muhammad Sa'id al-Barsisa
dan Syeikh Shafiyuddin al-Abbasi. Saya
pernah membaca kisah Tok Panjang ini suatu ketika dahulu tetapi saya gagal
untuk mencarinya. Namun begitu, seingat saya bahawa Tok Panjang ini telah
dihukum bunuh ketika zaman Ratu Biru atas dakwaan menjual tembaga kerana
larangan menjual tembaga telah dikeluarkan oleh pihak Ratu Biru bagi digunakan
untuk membuat meriam.
Setelah dihukum, mayat beliau
dibuang ke dalam Sungai Budi. Dikatakan mayat beliau berada dalam keadaan
berdiri dan tidak tenggelam. Oleh yang demikian, ia akan nampak seolah-olah
sedang berjalan tatkala air pasang dan surut. Keadaan ini membuatkan rakyat
jelata rasa kurang senang, atas perintah sang Ratu mayat tersebut perlu
dikebumikan. Mengikut cerita, ketika mayat tersebut ditarik keluar dari sungai,
ia tiba-tiba memanjang sehinggalah saat hendak dikebumikan. Maka terpaksalah
jenazah Tok Panjang tersebut dikebumikan dalam liang yang panjang. Wallahuallam.
TG Baba Hj Abdul Karim |
Setelah mendoakan kesejahteraan
ahli kubur dan bergambar kenangan, kami bertolak menuju ke Pondok Dala atau Pondok
Madrasah Imaniah Aldawiyah, Dala, Pattani[10] dan
akan bermalam disana. Ketika itu waktu maghrib hampir tiba.
Berdasarkan catatan Tuan Syed
Nazmi al-Idruss, kami sampai di Pondok Dala pada jam 20.10 (19.10 WT), disambut
oleh Tuan Guru Baba Abdul Karim Hasbullah@ Karim Naknawa. Beliau adalah Pengerusi
Persatuan Ulama Patani dan beliau juga merupakan menantu kepada almarhum Tuan
Guru Baba Abdul Rahman Irsyadi.
Surau sempena nama TG Syeikh Nuruddin |
Ahli rombongan bermalam di
Surau Nuruddin yang mengambil nama sempena al-Faqih al-Alim Tuan Guru Syeikh
Muhammad Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki[11]
yang dikatakan pernah mengadakan daurah beliau disana. Manakala saya dan VVIP
lain ditempatkan di rumah Tuan Guru Syeikh Nuruddin. Mengikut cerita Baba Abdul
Karim, rumah tersebut semamangnya dibina khas untuk Tuan Syeikh Nuruddin
sebagai tempat penginapan sepanjang beliau mengadakan daurah disana.
Alhamdulillah, saya berpeluang untuk bermalam dirumah Tuan Syeikh yang amat
saya hormati. Saya pernah bertalaqqi daripada beliau dan mendapat ijazah
beberapa buah kitab beliau. Yang terbaru saya mendapat ijazah kitab tulisan
beliau yang bertajuk Mujarabat Makiyyah.
Rumah TG Syeikh Nuruddin |
Setelah bersembang ringkas
bersama Baba Abdul Karim, beliau memberi peluang kepada kami untuk berehat
setelah menempuh perjalanan yang jauh sambil menunggu hidangan makan malam
disediakan. Saya mengambil kesempatan untuk mandi kerana seharian perjalanan
membuatkan ketidakselesaan.
Rasa hilang penat apabila
kesejukan air kolah menyirami badan. Seronok mandi setelah seharian berpeluh. Manakala
ada ahli rombongan yang lain berehat menghilangkan penat.
Kami kemudiannya dihidangkan
makan malam oleh pihak pondok. Berkebetulan perut yang sudah mulai kosong itu,
lalu kami isikan rezeki tersebut dengan penuh kesyukuran terhadap nikmat
pemberian Allah tersebut.
Saya kemudiannya, menyambung
kembali catatan perjalanan ke Patani ini sambil berbual dengan abang Hazudin
dan KH Ali Badri. KH Ali Badri menceritakan mengenai kegiatan beliau
termasuklah recording alunan-alunan qasidah. Paling yang tidak saya sangka
adalah semuanya dibuat oleh KH Ali Badri sendiri menggunakan handphone dan
laptop sahaja. Recording dan editing semuanya dilakukannya sendiri. Malah suara
backup yang ramai pun, hanyalah suara beliau sendiri sahaja yang diedit menjadi
ramai. Beliau merupakan salah satu Kiyai yang memang mahir dalam bidang
teknologi. Saya dan abang Hazudin semacam tidak percaya mendengar cerita
beliau. Namun begitu, itulah kenyataannya. Apatah lagi beliau turut
menunjukkaan kepada kami bagaimana proses tersebut dilakukan. Saya turut
diberikan beliau mp3 alunan qasidah tulisan beliau sendiri. MasyaAllah, menusuk
jiwa menghayatinya.
Ketika itu ada antara ahli
rombongan yang tertidur kepenatan, manakala Ustaz Abu Aswad pula mengadakan sidang
tertutup dengan pelajar MIAH berkaitan hasil pemerhatian beliau sepanjang
bermusafir ini.
الَّلهُمَّ
إِنَّا نَسْأَلُكَ فِي سَفَرِنَا هَذَا الْبِرِّ وَالتَّقْوَى ، وَمِنَ الْعَمَلِ مَا
تَرْضَى ، اللَّهُمَّ هَوِّنْ عَلَيْنَا سَفِرِنَا هَذَا وَطْوِي عَنَّا بُعْدَهُ ،اللَّهُمَّ
أَنتَ الصَّاحِبُ فِي السَّفَرِ ، وَالْخَلِيفَةُ فِي الأَهْلِ ،اللهم اِنِّي أَعُوذُبِكَ
مِن وَعْثَاءِ السَّفَرِ ،وَكَآبَةِ المُنْقَلَبِ
وَسُوءُ المُنْظَرِ فِي الْماَلِ وَالاهْلِ.
Ya
Allah kami memohon kebaikan dan ketaqwaan dalam perjalanan kami, dan perbuatan
yang diredhaimu, Ya Allah permudahkanlah perjalanan kami ini, dan dekatkanlah
jarak perjalanan ini, Ya Allah engkaulah penemanku dalam perjalan ini, dan
pengurus hartaku, Ya Allah sesungguhnya aku berlindu kepadaMu dari kepenatan
dalam perjalan ini,dan dari pemandangan yang tidak baik, serta perkara-perkara
buruk keatas harta dan keluarga ku. (Riwayat Muslim)
[1] Dalam kira-kira tahun 1360 Masehi,
berlangsunglah perkahwinan antara Sayyid Hussein Jamadil Kubro dengan Puteri
Selindung Bulan binti Sultan Baqi Syah. Puteri Selindung Bulan itu namanya juga
Puteri Syahirah telah melahirkan seorang putera tunggal dalam lingkungan tahun
yang sama (antara 1359 hingga 1361) dan dinamakan Sayyid Ali Nurul Alam. Beliau
dilahirkan di Champa.
Ada pun Sayyid Ali Nurul
Alam ini juga dikenali sebagai Syeikh Ali al-Mashur al-Laqihi iaitu Sultan
Qunbul, Sultan Patani Besar. Sayyid Ali Nurul Alam ini adalah pendakwah serta
Panglima Tentera Champa kemudian dilantik menjadi Pateh Arya Gajah Mada
(Perdana Menteri Kelantan) seterusnya sebagai Sultan Patani Besar (Sultan
Qunbul) setelah Siam berjaya dihalau keluar dari Chermin.
Banyak nama lain lagi
yang merujuk kepada Sayyid Ali Nurul Alam, seperti Ali Alam, Ali Nurul Alim,
Ali Alam, Alim Ali, Syeikh Nurul Alam Siam serta Ali Nuruddin. Semasa Chermin
di bawah pemerintahan bapa saudaranya, Sultan Iskandar Syah ibni Sultan Baqi
Syah, beliau pernah menjawat jawatan Patih Arya Gajah Mada atau Perdana Menteri
sebelum ditabal sebagai Raja Patani besar dengan gelaran Sultan Qunbul pada
tahun 1467. Di dalam riwayat Kelatan disebut bahawa Sayyid Ali Nurul Alam telah
mengetuai serangan balas terhadap Siam sehingga menghancurkan Kota Ayuthia.
Serangan tersebut turut disertai oleh Melaka (Hang Tuah dan Tun Mutahir),
Laksamana Bentan wan Demali (anak Sayyid Ali Nurul Alam) dan Acheh. Setelah
kemangkatan Sultan Iskandar Syah di Champa pada tahun 1467, Sayyid Ali Nurul
Alam ditabal sebagai Sultan Qunbul.
Apabila mengkaji sejarah
Islam di Patani, didapati bahawa tahun pengislaman negeri Patani terdapat
perbezaan ketara tulisan sejarah berbanding dengan riwayat dan catatan kitab-kitab
tulisan ulama Islam di Patani dan Kelantan. Umpamanya, negeri Chermin (yang di
dalamnya terdapat Kelantan dan Patani sehingga ke Segenting Kra), Islam telah
lama tiba di sana sebelum ketibaan Sayyid Hussein Jamadil Kubro lagi (1349
Masehi). Perlantikan Sayyid Ali Nurul Alam sebagai Sultan Patani besar telah
menunjukkan raja-raja Patani berketurunan Sriwijaya telah pun mengecil
penguasaan mereka terhadap Chermin (Patani). Mungkin juga dapat disimpulkan
bahawa pengislaman Phya Tu Nakpa atau Phya Tuk Antara oleh Syeikh Syafiyuddin
pada abad ke-15, merupakan Raja Patani berketurunan Sriwijaya terakhir sebelum
Patani diperintah oleh keturunan dari Sayyid Hussein Jamadil Kubro. Tetapi yang
tidak menjadi syak lagi bahawa Inggeris dan Siam telah cuba menyorokkan peranan
Sultan dan Patani itu sendiri sebagai pusat penyebaran Islam terbesar setelah
Acheh bergolak dengan serangan Belanda. Juga perlu diingat bahawa Portugis,
Belanda dan Inggeris adalah agen agenda Perang Salib yang bertujuan melemahkan
umat Islam di Nusantara, disamping menguasai kekayaan hasil buminya.
Sayyid Ali Nurul Alam
telah melahirkan paling ramai keturunan berbanding keturunan anak-anak Sayyid
Hussein Jamadil Kubro yang lain. Bagaimana pun keturunan mereka ini telah
merapatkan semula hubungan persaudaraan mereka melalui ikatan perkahwinan. Anak
cucunya ramai yang menjadi ulama dan sultan Melayu di Nusantara ini. Telah
disepakati oleh pengkaji salasilah bahawa Sayyid Ali Nurul Alam mempunyai 6
orang putera dan seorang puteri.
Putera sulung beliau
ialah Wan Abdullah juga dikenali sebagai Sultan Abdullah Umdatuddin atau Wan Bo
Teri Teri. Baginda merupakan pengasas Kesultanan Champa Islam. Daripada
keturunan beliau telah melahirkan Maulana Syarif Hidayatullah (Sunan Gunung
Jati, anggota Wali Songo) seterusnya menurunkan Kesultanan dan Ulama di Jawa
Barat. Di Champa dan Patani pula, putera baginda Sultan Wan Abul Muzaffar
Waliyullah telah melahirkan Kesultanan dan ulama di Champa, Patani, Kelantan
serta Terengganu. Nik Ibrahim merupakan bapa Kerajaan Jembal di Kelantan
manakala Nik Mustafa pula bapa kepada Kesultanan dan Ulama di Champa, Patani,
Kelantan serta Terengganu. Ramai
golongan ulama seperti Syeikh Nik Mat Kechik al-Fathani, Tok Syeikh Duyong,
Syeikh Abdul Qadir Bukit Bayas adalah berketurunan Nik Mustafa bin Wan Abul
Muzaffar Waliyullah bin Wan Abdullah bin Sayyid Ali Nurul Alam.
Kesultanan Melayu pula
adalah bermula dari Wan Abdullah bin Sayyid Ali Nurul Alam (Raja Champa),
Sultan Abdul Hamid Syah (Raja Champa), Raja Jembal (Kelantan), Sultan Long
Yunus (Kelantan), Paduka Seri Raja Long Nuh (Raja Patani) serta Tuan Long
Ghaffar (Datuk Seri Maharaja Perdana Menteri Kelantan) adalah sekadar beberapa
nama dari jaluran anak cucu Wan Abdullah bin Sayyid Ali Nurul Alam.
Wan Hussein as-Senawi
adalah putera kedua Sayyid Ali Nurul Alam merupakan ulama besar yang
menyebarkan dakwah di Nusantara. Keturunannya ramai melahirkan ulama serta
panglima Patani dan Kelantan. Mereka termasuklah Tok Bendang Daya, Tuan Minal,
Tok Duku, Tok Raja Haji Jambu, Tuan Haji Sulong (Bapa Revolusi Patani) serta
ramai lagi.
Putera-putera Sayyid Ali
Nurul Alam telah membahagi-bahagikan tugas dakwah di antara mereka ke seluruh
Nusantara. Selain Wan Abdullah dan Wan Hussein, Wan Hassan ditugaskan untuk
menyebarkan dakwah Islam di Bangkok. Wan Demali pula telah dilantik sebagai
menjadi Laksama Bentan dan bergelar Patih Kermawijaya.
Sayyid Ali Nurul Alam
dikatakan telah wafat di
Campa pada 1467 M dan jenazahnya dikebumikan di Kampung Garak Ruwain (Binjal
Lima).
[2] Syeikh
Abdul Samad Al-Falembani
dilahirkan pada 1116 H/1704 M, di Palembang. Tentang nama lengkap Syeikh
Al-Falimbani, yang tercatat dalam sejarah, ada tiga versi nama. Yang
pertama, seperti yang diungkapkan dalam Ensiklopedia Islam, beliau bernama
Abdus Samad Al-Jawi Al-Falembani. Versi kedua, merujuk pada sumber-sumber
Melayu, sebagaimana ditulis oleh Azyumardi Azra dalam bukunya Jaringan Ulama
Timur Tengah dan Kepulauan Nusantara Abad XVII dan XVIII (Mizan: 1994), ulama
besar ini memiliki nama asli Abdul Samad bin Abdullah Al-Jawi Al-Falembani.
Sementara versi terakhir, tulisan Rektor UIN Jakarta itu, bahawa apabila
merujuk pada sumber-sumber Arab, nama lengkap Syeikh Al-Falembani ialah Sayyid
Abdus Al-Samad bin Abdurrahman Al-Jawi. Dari ketiga nama itu yang diyakini sebagai
nama Abdul Samad, Azyumardi berpendapat bahawa nama terakhirlah yang disebut
Syeikh Abdul Samad.
Perbezaan pendapat mengenai nama ulama ini dapat
difahami mengingat sejarah panjangnya sebagai pengembara, baik di dalam negeri
maupun luar negeri, dalam menuntut ilmu. Apabila dilihat latar belakangnya,
ketokohan Al-Falembani sebenarnya tidak jauh berbeza dari ulama-ulama Nusantara
lainnya, seperti Hamzah Fansuri, Nuruddin Al-Raniri, Abdul rauf Singkel, Yusuf
Al-Maqassari.
Dari segi silsilah, nasab Syeikh Al-Falembani
berketurunan Arab, dari sebelah ayah. Syeikh Abdul Jalil bin Syeikh Abdul Wahhab
bin Syeikh Ahmad Al-Mahdani. Ayah Al-Falembani, adalah ulama yang berasal dari
Yaman yang dilantik menjadi Mufti Negeri Kedah pada awal abad ke-18. Sementara ibunya,
Radin Ranti adalah wanita Palembang yang diperisterikan oleh Syeikh Abdul
Jalil, setelah sebelumnya menikahi Wan Zainab puteri Dato´ Sri Maharaja Dewa di
Kedah.
Pendidikan
Syeikh Abdus Shamad mendapat pendidikan asas dari
ayahnya sendiri, Syeikh Abdul Jalil, di Kedah. Kemudian Syeikh Abdul Jalil menghantar
semua anaknya ke pondok di Negeri Patani. Zaman itu memang Patani merupakan
tempat menempa ilmu-ilmu keIslaman sistem pondok yang lebih mendalam lagi.
Mungkin Abdus Shamad dan saudara-saudaranya Wan
Abdullah dan Wan Abdul Qadir telah memasuki pondok-pondok yang terkenal,
antaranya ialah Pondok Bendang Gucil di Kerisik, atau Pondok Kuala Bekah atau
Pondok Semala yang semuanya terletak di Patani.
Di antara para gurunya di Patani, yang dapat diketahui
dengan jelas hanyalah Syeikh Abdur Rahman bin Abdul Mubin Pauh Bok. Demikianlah
yang diceritakan oleh beberapa orang tokoh terkemuka Kampung Pauh Bok itu
(1989), serta sedikit catatan dalam salah satu manuskrip terjemahan Al-‘Urwatul
Wutsqa, versi Syeikh Abdus Shamad bin Qunbul al-Fathani yang ada. Kepada Syeikh
Abdur Rahman Pauh Bok itulah sehingga membolehkan pelajaran Syeikh Abdus Shamad
al-Falimbani dilanjutkan ke Mekah dan Madinah. Walau bagaimana pun mengenai
Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani belajar kepada Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok
al-Fathani itu belum pernah ditulis oleh siapa pun, namun sumber asli didengar
di Kampung Pauh Bok sendiri.
Sistem pengajian pondok di Patani pada zaman itu
sangat terikat dengan hafalan matan ilmu-ilmu Arabiyah yang terkenal dengan
‘llmu Alat Dua Belas’. Dalam bidang syariat Islam dimulai dengan matan-matan
fiqh menurut Mazhab Imam Syafi’i. Di bidang tauhid dimulai dengan menghafal
matan-matan ilmu kalam/usuluddin menurut faham Ahlus Sunah wal Jamaah yang
bersumber dari Imam Syeikh Abul Hasan al-Asy’ari dan Syeikh Abu Mansur
al-Maturidi.
Beliau juga mempelajari ilmu sufi daripada Syeikh
Muhammad bin Samman, selain mendalami kitab-kitab tasawuf daripada Syeikh Abdul
Rauf Singkel dan Samsuddin Al-Sumaterani, kedua-duanya dari Acheh. Oleh sebab
dari kecil beliau lebih banyak mempelajari ilmu tasawuf, maka dalam sejarah
telah tercatat bahawa beliau adalah ulama yang memiliki kepakaran dan
keistimewaan dalam cabang ilmu tersebut.
Setelah Syeikh Abdus Shamad banyak hafal matan lalu
dilanjutkan pula dengan penerapan pengertian yang lebih mendalam lagi. Sewaktu
masih di Patani lagi, Syeikh Abdus Shamad telah dipandang alim, kerana beliau
adalah sebagai kepala thalaah (tutor), menurut istilah pengajian pondok. Namun
ayahnya berusaha menghantar anak-anaknya melanjutkan pelajarannya ke Makkah.
Memang merupakan satu tradisi pada zaman itu walau bagaimana banyak ilmu
pengetahuan seseorang belumlah di pandang memadai, jika tidak sempat mengambil
barakah di Mekah dan Madinah kepada para ulama yang dipandang Wali Allah di
tempat pertama lahirnya agama Islam itu.
Belajar Di Makkah
Orang tua Al-Falembani kemudian menghantar anaknya
itu ke Arab yaitu Makkah, dan Madinah. Tidak jelas, bilakah beliau dihantar ke
salah satu pusat ilmu Islam pada waktu itu. Setakat yang terakam dalam sejarah,
beliau dikatakan menganjak dewasa ketika ´berhijrah´ ke tanah Arab. Di negeri
barunya ini, beliau terlibat dalam masyarakat Jawa, dan menjadi teman
seperguruan, menuntut ilmu dengan ulama Nusantara lainnya seperti Muhammad
Arsyad Al-Banjari, Abdul Wahhab Bugis, Abdul Rahman Al-Batawi, dan Daud
Al-Fatani. Walaupun beliau menetap di Mekah, tidak bermakna beliau melupakan
negeri leluhurnya. Syeikh Al-Falembani, menurut Azyumardi, tetap memberikan
perhatian besar pada perkembangan sosial, politik, dan keagamaan di Nusantara.
Sejak perpindahannya ke tanah Arab itu, Syeikh
Al-Palembani mengalami perubahan besar berkaitan dengan intelektualiti dan
spiritual. Perkembangan dan perubahan ini tidak terlepas dari proses
´pencerahan´ yang diberikan para gurunya. Beberapa gurunya yang masyhur dan
berwibawa dalam proses tersebut, antara lain Muhammad bin Abdul Karim
Al-Sammani, Muhammad bin Sulayman Al-Kurdi, dan Abdul Al-Mun´im Al-Damanhuri.
Selain itu, tercatat juga dalam sejarah Al-Palembani berguru kepada ulama
besar, antaranya Ibrahim Al-Rais, Muhammad Murad, Muhammad Al-Jawhari, dan
Athaullah Al-Mashri. Tidak sia-sia, perjuangannya menuntut ilmu di Masjidil
Haram dan tempat-tempat lainnya, ´mengangkat´ dirinya menjadi salah seorang
ulama Nusantara yang disegani dan dihormati di kalangan ulama Arab juga
Nusantara.
Mengkritik Tarekat yang Berlebihan
Meskipun mendalami tasawuf, tidak bermakna Syeikh
Al-Palembani tidak kritis. Beliau dikatakan kerap mengkritik kalangan yang
mempraktikkan tarekat secara berlebihan. Beliau selalu mengingatkan akan bahaya
kesesatan yang diakibatkan oleh aliran-aliran tarekat tersebut, khususnya
tarekat Wujudiyah Mulhid yang terbukti telah membawa banyak kesesatan di Acheh.
Untuk mencegah apa yang diperingatkannya itu, Syeikh Al-Palembani menulis
intisari dua kitab karangan ulama dan ahli falsafah agung abad
pertengahan, Imam Al-Ghazali, yaitu kitab Lubab Ihya´ Ulumud Diin (Intisari
Ihya´ Ulumud Diin), dan Bidayah Al-Hidayah (Awal Bagi Suatu Hidayah). Dua karya
Imam Al-Ghazali ini dinilainya secara ´moderat´ dan membantu membimbing mereka
yang mempraktikkan aliran sufi.
Berkaitan dengan ajaran tasawufnya, Syeikh
Al-Palembani mengambil jalan tengah antara doktrin tasawuf Imam Al-Ghazali dan
ajaran ´wahdatul wujud´ Ibnu Arabi; bahawa manusia sempurna (insan kamil)
adalah manusia yang memandang hakikat Yang Maha Esa itu dalam fenomena alam
yang serba aneka dengan tingkat makrifat tertinggi, sehingga mampu ´melihat´
Allah s.w.t sebagai ´penguasa´ mutlak.
Di Nusantara, khususnya di Indonesia, pengaruh
Al-Palembani dianggap cukup besar, khususnya berkaitan dengan ajaran tasawuf. Banyak
meriwayatkan cerita yang menarik ketika Sheikh Abdus Shamad berada di negerinya
Palembang. Oleh karena rasa bencinya kepada Belanda, ditambah pula dengan
peristiwa di atas kapal itu, beliau bertambah kecewa karena melihat pihak
Belanda yang kafir telah memegang pemerintahan di lingkungan Islam dan tiada
kuasa sedikit pun bagi Sultan.
Maka beliau merasa tidak betah untuk tinggal di
Palembang walaupun beliau kelahiran negeri itu. Sheikh Abdus Shamad mengambil
keputusan sendiri tanpa musyawarah dengan siapa pun, semata-mata memohon
petunjuk Allah dengan melakukan sholat istikharah. Keputusannya, beliau mesti
meninggalkan Palembang, kembali ke Mekah.
Lantaran anti Belanda, beliau tidak mahu menaiki
kapal Belanda sehingga terpaksa menebang kayu di hutan untuk membuat perahu
bersama-sama orang-orang yang patuh sebagai muridnya. Walaupun sebenarnya
beliau bukanlah seorang tukang yang pandai membuat perahu, namun beliau sanggup
mereka bentuk perahu itu sendiri untuk membawanya ke Mekah. Tentunya ada
beberapa orang muridnya mempunyai pengetahuan membuat perahu seperti itu.
Ini membuktikan Sheikh Abdus Shamadal-Falimbani telah
menunjukkan keteguhan pegangan, tawakal adalah merupakan catatan sejarah yang
tidak dapat dilupakan.
Penulis Produktif dan Karya-Karyanya
Karya Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani tidak
sebanyak karya sahabatnya, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Ini karena
Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani memperoleh ilmu pengetahuan dalam usia muda
dan umurnya juga panjang. Sedangkan Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani, maupun
Sheikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari umumnya jauh lebih tua daripada
Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani bahkan boleh dijadikan ayahnya.
Walau bagaimanapun, Sheikh Abdus Shamad
al-Falimbani dan Sheikh Muhammad Arsyad al-Banjari termasuk dalam klasifikasi
pengarang yang produktif. Sheikh Muhammad Arsyad al-Banjari terkenal dengan
fiqhnya yang berjudul Sabilul Muhtadin.
Sheikh Abdush Shamad al-Falimbani adalah yang
paling menonjol di bidang tasawuf dengan dua buah karyanya yang paling terkenal
dan masih beredar di pasaran kitab sampai sekarang Hidayatus Salikin dan
Siyarus Salikin.
Beberapa kitab karangan Sheikh Abdush Shamad
al-Falimbani
1. Zahratul Murid fi Bayani Kalimatit Tauhid, 1178
H/1764 M.
2. Risalah Pada Menyatakan Sebab Yang Diharamkan
Bagi Nikah, 1179 H/1765 M.
3. Hidayatus Salikin fi Suluki MaslakilMuttaqin,
1192 H/1778 M.
4. Siyarus Salikin ila ‘Ibadati Rabbil ‘Alamin,
1194 H/1780 M-1203 H/1788 M.
5. Al-‘Urwatul Wutsqa wa Silsiltu Waliyil Atqa.
6. Ratib Sheikh ‘Abdus Shamad al-Falimbani.
7. Nashihatul Muslimina wa Tazkiratul Mu’minina fi
Fadhailil Jihadi wa Karaamatil Mujtahidina fi Sabilillah.
8. Ar-Risalatu fi Kaifiyatir Ratib Lailatil Jum’ah
9. Mulhiqun fi Bayani Fawaidin Nafi’ah fi Jihadi fi
Sabilillah
10. Zatul Muttaqin fi Tauhidi Rabbil ‘Alamin
11. ‘Ilmut Tasawuf
12. Mulkhishut Tuhbatil Mafdhah minar Rahmatil
Mahdah ‘Alaihis Shalatu was Salam
13. Kitab Mi’raj, 1201 H/1786 M.
14. Anisul Muttaqin
15. Puisi Kemenangan Kedah.
Pulang ke nusantara untuk kedua kalinya
Setelah perahu siap dan kelengkapan berlayar cukup,
maka berangkatlah Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani dari Palembang menuju Mekah
dengan beberapa orang muridnya. Selama di Mekah, beliau bergiat dalam
pengajaran dan penulisan kitab-kitab dalam beberapa bidang pengetahuan keIslaman,
terutamanya tentang tasauf, fikah, usuluddin dan lain-lain.
Untuk menunjukkan sikap antinya kepada penjajah,
dikarangnya sebuah buku tentang jihad. Buku yang penting itu berjudul Nasihatul
Muslimin wa Tazkiratul Mu’minin fi Fadhail Jihadi fi Sabilillah wa Karamatul
Mujtahidin fi Sabilillah.
Kepulangan Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani kali
ini tidak ke Palembang tetapi ke Kedah. Saudara kandungnya Sheikh Wan Abdul
Qadir bin Sheikh Abdul Jalil al-Mahdani ketika itu ialah Mufti Kerajaan Kedah.
Seorang lagi saudaranya, Sheikh Wan Abdullah adalah pembesar Kedah dengan gelar
Seri Maharaja Putera Dewa.
Meskipun Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani lama
menetap di Mekah, namun hubungan antara mereka tidak pernah terputus.
Sekurang-kurangnya mereka berkirim surat setahun sekali, iaitu melalui mereka
yang pulang setelah melaksanakan ibadah haji.
Selain hubungan beliau dengan adik-beradik di
Kedah, Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani turut membina hubungan dengan kaum
Muslimin di seluruh Asia Tenggara. Pada zaman itu hampir semua orang yang
berhasrat mendalami ilmu tasawuf terutama Tarekat Sammaniyah, Tarekat Anfasiyah
dan Tarekat Khalwatiyah menerima ilmu daripada beliau.
Beliau sentiasa mengikuti perkembangan di Tanah
Jawi (dunia Melayu) dengan menanyakan kepada pendatang-pendatang dari Pattani,
Semenanjung Tanah Melayu, dan negeri-negeri Nusantara yang di bawah penjajahan
Belanda (pada zaman itu masih disebut Hindia Belanda).
Ini terbukti dengan pengiriman dua pucuk surat
kepada Sultan Hamengkubuwono I, Sultan Mataram dan kepada Susuhunan Prabu Jaka
atau Pangeran Singasari Putera Amengkurat IV. Surat-surat tersebut jatuh ke
tangan Belanda di Semarang (tahun 1772 M).
Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani telah lama
bercita-cita untuk ikut serta dalam salah satu peperangan/pemberontakan melawan
penjajah. Namun setelah dipertimbangkan, beliau lebih tertarik membantu umat
Islam di Pattani dan Kedah melawan keganasan Siam yang beragama Buddha.
Sebelum perang itu terjadi, Sheikh Wan Abdul Qadir
bin Sheikh Abdul Jalil al-Mahdani, Mufti Kedah mengirim sepucuk surat kepada
Sheikh Abdus Shamad di Mekah. Surat itu membawa maksud agar diumumkan kepada
kaum Muslimin yang berada di Mekah bahawa umat Islam Melayu Pattani dan Kedah
sedang menghadapi jihad mempertahankan agama Islam dan watan (tanah air)
mereka.
Dalam peperangan itu, Sheikh Abdus Shamad
al-Falimbani memegang peranan penting dengan beberapa panglima Melayu lainnya.
Ada catatan menarik mengatakan beliau bukan berfungsi sebagai panglima
sebenarnya tetapi beliau bertindak sebagai seorang ulama sufi yang sentiasa
berwirid, bertasbih, bertahmid, bertakbir dan berselawat setiap siang dan
malam.
Banyak orang menuduh bahawa orang sufi adalah
orang-orang jumud yang tidak menghiraukan dunia. Tetapi jika kita kaji beberapa
biografi ulama sufi, termasuk Sheikh Abdus Shamad yang diriwayat ini adalah
orang-orang yang bertanggungjawab mempertahankan agama Islam dan tanah air dari
hal-hal yang dapat merosakkan Islam itu.
Golongan ini adalah orang yang berani mati dalam
menegakkan jihad fi sabililah. Mereka tidak terikat dengan sanak keluarga,
material duniawi, pangkat dan kedudukan dan sebagainya, mereka semata-mata
mencintai Allah dan Rasul dari segala apa pun juga.
Kepulangan Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani ke
Kedah memang pada awalnya bertekad demi jihad, bukan karena mengajar masyarakat
mengenai hukum-hukum keIslaman walaupun beliau pernah mengajar di Mekah.
Akhirnya Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani dan rombongan pun berangkat menuju ke
Pattani yang bergelar ‘Cermin Mekah’.
Sayangnya kedatangan beliau agak terlambat, pasukan
Pattani telah hampir lemah dengan keganasan Siam. Sementara itu, Sheikh Daud
bin Abdullah al-Fathani dan pengikut-pengikutnya telah mengundurkan diri ke
Pulau Duyung, Terengganu untuk menyusun semula langkah perjuangan.
Pattani telah patah dan kekuatan lenyap dengan itu
Sheikh Abdus Shamad pun berkhalwat di salah sebuah masjid di Legor. Ada orang
mengatakan beliau berkhalwat di Masjid Kerisik yang terkenal dengan ‘Pintu
Gerbang Hang Tuah’ itu.
Para pengikut tasawuf percaya di sanalah beliau
menghilang diri tetapi bagi kalangan bukan tasawuf, perkara ini adalah mustahil
dan mereka lebih percaya bahawa beliau telah mati dibunuh oleh musuh-musuh
Islam.
Wafatnya
Dr M. Chatib Quzwain menulis dalam kertas kerja dan
bukunya berjudul Mengenal Allah Suatu Studi Mengenal Ajaran Tasawuf Sheikh
Abdus Shamad al-Palimbani, halaman 180-181: Bahwa dalam tahun 1244 H/1828 M
dikatakan umur Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani 124 tahun. Baik pendapat Dr. M
Chatib Quzwain maupun pendapat Dr. Azyumardi Azra perlu disanggah berdasarkan
fakta sejarah.
Azra menulis, “Meskipun saya tidak dapat menentukan
secara pasti angka-angka tahun di seputar kehidupannya, semua sumber bersatu
kata bahwa rentang masa hidup Al-Palimbani adalah dari dasawarsa pertama hingga
akhir abad kedelapan belas.
Al-Baythar menyatakan, Al-Palimbani meninggal
setelah 1200/1785. Tetapi kemungkinan besar dia meninggal setelah 1203/1789, tahun
ketika dia menyelesaikan karyanya yang terakhir dan paling masyhur, Sayr
Al-Salikin. Ketika dia menyelesaikan karya ini, mestinya umurnya adalah 85
tahun.
“Dalam Tarikh Salasilah Negeri Kedah diriwayatkan,
dia terbunuh dalam perang melawan Thai pada 1244/1828. Tetapi saya sukar
menerima penjelasan ini, sebab tidak ada bukti dari sumber-sumber lain yang
menunjukkan Al-Palimbani pernah kembali ke Nusantara. Lebih jauh lagi, waktu
itu mestinya umurnya telah 124 tahun terlalu tua untuk pergi ke medan perang.
“Walaupun Al-Baythar tidak menyebutkan tempat di
mana Al-Palimbani meninggal, ada kesan kuat dia meninggal di Arabia”.
Menurut Ustaz Wan Mohd Shaghir, sumber dari Al-Baythar
yang menyebut tahun kewafatan Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani 1200 H/1785 M,
seperti yang disebut oleh Dr. Azyumardi Azra itu adalah ditolak.
Dengan disebutkannya bahawa Sheikh Abdus Shamad
al-Falimbani wafat tahun 1200 H/1785 M adalah sebagai bukti bahawa Al-Baythar
tidak banyak tahu tentang Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani. Bahkan tulisannya
sendiri bertentangan antara satu sama lainnya.
Cuba perhatikan kalimat Dr. Azyumardi Azra dalam
buku yang sama halaman 250, “Al-Baythar meriwayatkan, pada 1201/1787
Al-Palimbani mengadakan perjalanan ke Zabid di mana dia mengajar murid-murid
terutama dari keluarga Ahdal dan Al-Mizjadi”.
Bagaimana bisa terjadi, pada tempat lain Al-Baythar
mengatakan Al-Palimbani wafat setelah 1200 H/1785 M. Di tempat yang lain
disebutnya Al-Palimbani ke Zabid tahun 1201 H/1787 M. Oleh itu
persoalan-persoalan lain yang bersumber dari Al-Baythar mengenai Sheikh Abdus
Shamad al-Falimbani yang menyalahi sumber-sumber yang telah dianggap benar oleh
tradisi/mutawatir dunia Melayu ditolak juga.
Sumber wafat 1200/1785 M menurut Ustaz Wan Shaghir
adalah tidak tepat karena menyalahi dengan tulisan Sheikh Abdus Shamad
al-Falimbani sendiri. Kitab-kitab yang dikarang/diselesaikan oleh Sheikh Abdus
Shamad al-Falimbani sesudah tahun 1200 H/1785 M itu ialah Risalah Isra’ wa
Mi’raj, yang dicatat oleh Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani sendiri selesai
menulisnya pada tahun 1201 H, kira-kira bersamaan 1786/87 M. Umumnya, juga
diketahui ialah Siyarus Salikin jilid ke-IV, diselesaikan pada malam Ahad, 20
Ramadhan 1203 H di Taif, kira-kira bersamaan tahun 1789 M.
Pendapat Dr. Azyumardi Azra pada kalimatnya,
“Ketika dia menyelesaikan karya ini, mestinya umurnya adalah 85 tahun”, tertolak
karena tahun kelahiran Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani yang dikemukakan oleh
kedua sarjana tersebut ternyata salah seperti yang telah disebutkan sebelum
ini.
Banyak yang menduga kewafatan Sheikh Abdus Shamad
al-Falimbani tahun 1203 H/1789 M.
Malah menurut Ustaz Wan Shaghir lagi, beliau tetap
yakin bahawa Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani memang terlibat langsung dalam
peperangan di antara Kedah-Patani melawan Siam yang terjadi jauh sesudah tahun
1203 H/1789 M itu. Ini berdasarkan cerita yang mutawatir, dikuatkan sebuah
manuskrip salinan Haji Mahmud bin Muhammad Yusuf Terengganu murid Sheikh Abdus
Shamad al-Falimbani, telah diketemukan kubur beliau dan lain-lain yang perlu
dikaji dengan lebih teliti.
Dr. M. Chatib Quzwain menyebut bahawa kubur Sheikh
Abdus Samad al-Falimbani di Palembang, Dr. Azyumardi Azra pula menyebut, “ada
kesan kuat dia meninggal di Arabia”, kedua-dua pendapat tersebut bertentangan
dengan Al-Tarikh Silsilah Negeri Kedah. Juga bertentangan dengan cerita popular
masyarakat Islam di Kedah, di Patani, Banjar, Mempawah/Pontianak dan
tempat-tempat lain yang ada hubungan pertalian penurunan keilmuan tradisional
Islam dunia Melayu.
Selain itu, bertentangan pula dengan manuskrip
Al-Urwatul Wutsqa karya Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani yang disalin oleh Haji
Mahmud bin Muhammad Yusuf Terengganu, salah seorang murid Sheikh Abdus Shamad
al-Falimbani. Bertentangan pula dengan pembuktian bahawa diketemukan kubur
Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani di perantaraan Kampung Sekom dengan Cenak
termasuk dalam kawasan Tiba, yaitu di Utara Patani.
[3] Beliau ialah Muhammad
Husein bin Abdul Lathif al-Fathani atau lebih popular dengan gelaran Tok Kelaba
Beris al-Fathani. Beliau bukan hanya menyalin karya ulama yang berasal dari
Patani tetapi meliputi karya ulama-ulama Acheh, Banjar, Palembang dan
lain-lain. Tidak juga setakat menyalin, tetapi menambah komentar di bahagian
tepi dan bawah sesuatu kitab yang disalinnya dan selanjutnya disebut dhabith,
atau boleh juga disebut nota tepi dan nota kaki. Pada nota tepi dan nota kaki
sentiasa disebut nama kitab yang dirujuk dan nama pengarangnya serta banyak
menyebut nama guru yang diutamakannya iaitu: Syeikh Abdul Qadir bin Mustafa
al-Fathani. Bukan hanya sebagai penyalin, tetapi beliau juga meninggalkan
beberapa buah karangan yang berharga, namun yang sempat dicetak hanya lima
buah. Bukan hanya mengarang dalam bahasa Melayu, tetapi juga meninggalkan karya
yang dikarang dalam bahasa Arab.
Ada dua macam
perkhidmatan dalam bidang penulisan dan keilmuan yang dicontohi oleh Tok
Kelaba, iaitu Syeikh Daud bin Abdullah al- Fathani yang menulis terus menerus
sehingga tertidur di hadapan sesuatu karya yang sedang dikerjakan, tidak pernah
tidur di atas tempat tidur yang khusus seperti kita sekarang ini. Syeikh Ahmad
al-Fathani yang membaca dan menulis terus menerus sehingga mengantuk. Jika
mengantuk beliau tidak langsung tidur tetapi terus berdiri dan menghafal
kalimat yang sedang dibaca atau kalimat terakhir yang ditulisnya. Hal ini
dilakukan hingga hilang mengantuk atau terus terjatuh kerana mengantuk, pada
waktu itulah beliau tertidur sebentar. Lain halnya dengan Tok Kelaba, beliau
mencuba meniru kedua-dua ulama asal Patani yang beliau kagumi itu sehingga pada
siku beliau berbekas hitam menebal (membelulang) kerana bertekan sewaktu
melakukan penulisan yang terlalu banyak.
Sumber ilham pertama sehingga
Tok Kelaba terjun ke bidang penyalinan manuskrip merupakan wasiat daripada
gurunya, Syeikh Muhammad Zain bin Mustafa al-Fathani (saudara kandung Syeikh
Abdul Qadir) kerana Syeikh Muhammad Zain al-Fathani tersebut yang pertama
sekali mengambil inisiatif supaya semua karya Syeikh Daud bin Abdullah
al-Fathani mesti diabadikan dengan cara membuat sekurang-kurangnya dua salinan.
Sumber kedua adalah suatu penekanan daripada gurunya yang terakhir, Syeikh
Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani, dan Tok Kelaba sendiri mengikuti
perkembangan hampir seluruh aktiviti Syeikh Ahmad al-Fathani mulai proses
penyalinan hingga penerbitan pelbagai kitab Melayu/Jawi dan penyebarannya
secara meluas.
Daripada hal-hal
tersebut, Tok Kelaba mencurahkan fikiran, menggandakan kekuatan tenaga dan
menghabiskan masa semata-mata berkhidmat kepada ilmu pengetahuan dengan jalan
mengarang kitab, menyalin karya orang lain, menyebarkannya kepada masyarakat,
mengajar dan menambah ilmu yang belum diketahuinya
ASAL USUL
Datuk-neneknya berasal dari
negeri Khurasan. Yang pertama datang ke dunia Melayu bernama Syarif Zainal
Abidin. Beliau merantau ke Pulau Jawa lalu berkahwin dengan seorang wanita
berasal dari Minangkabau. Oleh sebab terjadi peperangan di Jawa, Syarif Zainal
Abidin bersama salah seorang Raja Jawa keluar dari Pulau Jawa lalu terdampar di
Kelaba, iaitu sebuah negeri dalam Daulah Islam Patani Darus Salam. Syarif
Zainal Abidin adalah seorang ulama, sebab itu mudah baginya mendapat pengaruh
di Kelaba. Beliau meninggal dunia di Kelaba. Anak kepada Syarif Zainal Abidin
yang bernama Abu Bakar, berpindah ke Kelantan dan menetap di Kampung Laut. Di
Kampung Laut, Kelantan beliau memperoleh anak bernama Abdullah. Abdullah
memperoleh anak bernama Abdus Shamad. Abdus Shamad berpindah pula ke Kelaba.
Beliau mendapat anak bernama Abdul Mu'min. Abdul Mu'min mendapat anak bernama
Abdul Lathif. Abdul Lathif mendapat anak bernama Muhammad Husein (Tok Kelaba)
yang diriwayatkan ini.
Berdasarkan tulisan Tok
Kelaba sendiri yang tercatat di bahagian tepi manuskrip Fat-hul Mannan karya
Syeikh Daud bin Abdullah, salinan beliau adalah Muhammad Husein, kuniyahnya Abu
Bakar. Dan namanya Abdullah. Kemudian digelar Muhammad Husein oleh isteri
gurunya. Dengan dialah makruf antara manusia yang kemudian-kemudian. Dan segala
manusia yang dahulu-dahulu dimakrufkan dengan Abdullah, hanyalah cicit bagi
abid Abdul Karim, iaitu bapa kepada Nik Mik, iaitu ibu bagi Abdul Latif yang
tersebut dahulu itu.''
Abdul Karim yang
disebutkan itu bersabit keluarga antara beliau dengan keluarga besar Sena
Janjar dan Bendang Daya, iaitu keluarga besar Syeikh Ahmad al-Fathani, Syeikh
Ismail bin Abdur Qadir al-Fathani dan ulama-ulama Patani yang terkenal lainnya.
Dalam salah sebuah salinan manuskrip Ghayatut Taqrib karya Syeikh Daud bin
Abdullah al-Fathani, pada bahagian tepi halaman terakhir Tok Kelaba mencatat,
``... Muhammad Husein bin Abdul Lathif, dan adalah Abdul Lathif itu mati pada
Khamis delapan hari bulan Rejab (8 Rejab) pada sanah 1307 (Hijrah). Beliau
dikuburkan di Kubur Tanjung, Bukit Kecil bersama bapanya, ibunya dan
lain-lainnya. Dan diperanakkan Muhammad itu pada sanah 1280 (Hijrah). Maka
umurnya hingga sampaikan sanah 1340 (Hijrah) ini 69 tahun. Telah putih segala
bulunya dan tanggal giginya.'' Nampaknya catatan Tok Kelaba itu ada sedikit
perbezaan dengan catatan Abdul Lathif, anak beliau yang pernah saya tulis
riwayatnya sebelum ini, iaitu, ``Pada sanah 1330 maka umur Haji Muhammad Husein
52 tahun pada waktu itu (iaitu lahir pada sanah 1278) jumlah umurnya 89 tahun.
Peringatan ! Tuan guru Muhammad Husein Tok Kelaba ke rahmatullah pada hari
Selasa 21 Syaaban, pukul 4 sanah l367.'' Oleh sebab tahun kelahiran daripada
catatan beliau sendiri ditemui, maka yang lebih dapat dipegang ialah catatan
beliau sendiri, iaitu tahun 1280 Hijrah/1863 Masihi itu, bukan tahun 1278
Hijrah/1861 Masihi seperti yang diperkenalkan sebelum ditemui catatan ini. Oleh
kerana Tuan Guru Haji Muhammad Husein berasal dari Kelaba, Beris, maka
terkenallah sebutan beliau dengan Tok Kelaba saja. Kerana beliau banyak
menghafal hadis dan pakar dalam ilmu tersebut, digelar juga Tok Hadis.
Setelah kerajaan Patani
Darus Salam dijajah, Kelaba dimasukkan dalam pemerintahan Saiburi atau nama
pada zaman dahulu disebut Selindung Bayu. Pada zaman mutakhir nama Selindung
Bayu dipakai untuk nama negeri Teluban, iaitu Teluban yang namanya masih
digunakan sampai sekarang. Dalam catatan Tok Kelaba, beliau tidak menggunakan
nama Teluban tetapi masih menggunakan Selindung Bayu, seperti kata beliau,
``Mula saya Haji Muhammad Husein duduk di Selindung Bayu pada hari Sabtu 15
bulan Zulkaedah pada sanah 1323 Hijrah.''
PENDIDIKAN
Keterangan anak beliau,
Abdul Lathif, bahawa Tok Kelaba pertama sekali belajar membaca al-Quran kepada
abang sepupunya Abdur Rahman Pancor, Kelaba. Sejak berumur tujuh tahun telah
memondok di Semala (Patani). Pengetahuan yang sangat mendalam diperolehnya di
Pondok Bendang Daya. Beliau merupakan kader tertua dalam pondok itu. Di
peringkat awal belajar kepada Syeikh Haji Wan Mustafa bin Muhammad al-Fathani
(Tok Bendang Daya I). Tok Kelaba hanya sedikit memperolehi ilmu daripada
hulubalang tersebut, kerana umur beliau yang ketika itu sudah sangat tua dan
tidak berapa lama setelah Tok Kelaba datang ke Bendang Daya, hulubalang itu
meninggal dunia dalam usia 120 tahun. Pimpinan Pondok Bendang Daya sesudah itu
diserahkan kepada anak beliau bernama Syeikh Wan Abdul Qadir yang selanjutnya
digelar dengan Tok Bendang Daya II.
Dalam tahun 1312
Hijrah/1895 Masihi, Tok Bendang Daya II mendapat tugas daripada Sultan Patani
Darus Salam untuk menghaji dan mengumrahkan beberapa orang keluarga diraja yang
telah meninggal dunia, maka beberapa murid kesayangannya dibawa serta, terutama
sekali Tok Kelaba. Keberangkatan ke Mekah itu merupakan panggilan ajal bagi
gurunya Tok Bendang Daya II, beliau wafat di Mekah. Dengan demikian Tok Kelaba
tidak langsung pulang ke Kelaba, beliau mendekati keluarga besar gurunya
termasuk Syeikh Muhammad Zain al-Fathani yang telah lama berpindah ke Mekah.
Pada waktu itu
sahabatnya Syeikh Daud bin Mustafa al- Fathani (saudara bongsu Syeikh Muhammad
Zain al-Fathani dan Tok Bendang Daya II) telah menjadi seorang ulama di Mekah
tetapi masih juga belajar kepada anak saudaranya Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain
al-Fathani. Maka Tok Kelaba pun ikut belajar kepada Syeikh Ahmad al-Fathani
yang lebih tua daripadanya sekitar lapan tahun saja (Syeikh Ahmad al-Fathani
lahir 1272 Hijrah, Tok Kelaba lahir 1280 Hijrah). Ketika belajar kepada Syeikh
Ahmad al-Fathani di Mekah, Tok Kelaba bersahabat dengan beberapa orang terkenal
di antaranya Tok Kenali Kelantan, Syeikh Abdur Rahman Gudang al-Fathani, dan
lain-lain. Tok Kelaba belajar juga kepada Syeikh Muhammad bin Ismail Daud
al-Fathani.
Ketika belajar di Mekah
itu Tok Kelaba juga menyempatkan diri menadah ilmu kepada ulama-ulama Arab yang
terkenal iaitu Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki. Walau
bagaimanapun yang sangat berkesan bagi Tok Kelaba ialah Tok Bendang Daya II,
hampir semua kitab yang beliau tulis mahupun salinan karya orang lain sentiasa
menyelitkan fatwa atau pendapat yang berasal daripada Tok Bendang Daya II.
Demikian juga dalam setiap kali mengajar selalu menyebut nama Tok Bendang Daya
II tak ubahnya dengan Tok Kenali Kelantan yang sentiasa menyebut nama gurunya
Syeikh Ahmad al-Fathani.
KARYA
Karya-karya Tok Kelaba
dibahagi kepada dua bentuk; Karya Asli dan Karya Salinan. Disebabkan kekurangan
ruangan yang dapat diperkenalkan di sini hanyalah Muqaddimatul Athfal fi
Shifatillahi zil Jalal saja, diselesaikan di Patani pada 8 Rabiulawal 1305
Hijrah. Semua halaman kitab ini penuh dengan nota atas, nota tepi kiri-kanan
dan nota kaki. Dua muka setengah di bahagian dalam pula terdapat judul baru
yang disebut Faedah yang membicarakan pelbagai wirid dan doa. Tentang ini
diselesaikan pada tahun 1322 Hijrah. Di bahagian tepi juga beliau
memperkenalkan beberapa pemikiran gurunya, Syeikh Abdul Qadir al-Fathani yang
beliau sebut dengan Syaikhuna saja. Juga terdapat rujukan kitab-kitab Syeikh
Ahmad al-Fathani, Syeikh Nawawi al-Bantani, Syeikh Nuruddin ar-Raniri, Syeikh
Umar Makkah dan lain-lainnya. Kitab ini diterbitkan oleh Abdul Mubin bin
Muhammad Thaiyib al-Fathani dicetak oleh Mathba'ah al-Miriyah, Mekah, 1331
Hijrah/1912 Masihi.
Dipetik dari : http://ulama.blogspot.my/2005/05/tok-kelaba-al-fathani.html
[4] Masjid Kerisik dalam bahasa Thailand dikenali Krue Se Mosque
atau Pitu Krue-ban Mosque, terletak dalam wilayah Pattani, Thailand. “Kerisik”
ialah perkataan Melayu yang bererti pasir di kawasan pantai yang berwarna putih
bagaikan mutiara. Pada zaman dahulu, apabila orang-orang Arab belayar sampai ke
pantai ini, mereka menamakan kawasan ini “lu’ lu’ ” atau “mutiara” dalam bahasa
Melayu. Perkataan ini kemudiannya menjadi nama kepada sebuah kampung yang pada
masa ini dikenali dengan panggilan “Tanjung Luluk”.
Nama rasmi Masjid
Kerisik ialah “Masjid Sultan Muzaffar Shah”. Inilah masjid yang pertama di Asia
Tenggara yang dibina dengan menggunakan bata merah buatan kampung Tarab Bata
(sekarang di Mukim Gamia, Muang, Pattani). Binaanya mengikut seni bina Timur
Tengah. Cara penyusunan batanya dilakukan dengan menggunakan campuran kulit
kerang dengan beras pulut hitam yang ditumbuk lumat kemudiannya dicampurkan
bahan tersebut dengan adunan telur ptih dengan manisan cair. Cara ini merupakan
salah satu kebijaksanaan Melayu temptan pada masa itu.
Masjid ini dibangunkan
pada zaman Sultan Muzaffar Shah pada tahun 2057 B.E / 1514 A.D (Anan
Watananikorn 2531 : 64) mengikut saranan Syeikh Shafiyuddin Al-Abbas (ulamak
Fiqih yang digelar Dato’ Faqih Diraja). Setelah selesai pembinaannya, Masjid
Kerisik ini dianggap sebagai Masjid Rasmi Kerajaan Melayu Pattani Darussalam.
Selain daripada berperanan sebagai tempat ibadah, di sini juga dijadikan pusat
hal ehwal agama Islam dan juga sumber pengajian berbagai-bagai bidang ilmu
berkaitan Islam.
Kesan keruntuhan yang
jelas kelihatan pada bahagian kubahnya itu akibat daripada peperangan yang
berlaku di antara Pattani dan Siam pada Julai – November 1786 (Zamabai A Melik
: 1993 :96). Meskipun masa telah berlalu selama 5 abad, Masjid Kerisik masih
tegak bertahan sebagai tempat yang sangat bernilai dari sudut sejarah, kesenian
dan seni bina sejak dahulu sampailah sekarang.
[5] Juga di kenali sebagai Perkuburan
Yaring atau Perkuburan Marahom Tanjong yang terletak di Kampung Dato, Laem Pho
Sub, Daerah Yaring, Pattani. Tanah perkuburan ini merangkumi 10 ekar sebagai
tempat persemadian Chao Phraya Wichit Phakdi Sri Ratanakhet Pradesharat (Tunku
Pasa). Baginda merupakan Sultan Patani yang bertahtah antara 1845-1856M.
[6] Ratu Hijau (Thai: รายาฮิเยา) adalah seorang ratu Melayu Patani yang bertakhta
dari 1584-1616. Dikatkan juga nama sebenarnya ialah Nang Che Yam. Sila rujuk
buku sejarah DGE Hall (History of South East Asia). Baginda adalah anak
perempuan sulung Sultan Mansur Shah. Menurut pembabad Portugis Mendez Pinto,
baginda menaiki tahta pada 1584 sebagai seorang adik pere mpuan pada raja
Patani yang telah dibunuh selepas dua puluh tahun pemerintahan yang tidak
stabil. Baginda juga dikenali sebagai 'ratu hebat Patani'. Menurut tulisan Jacob
van Neck pada 1604, dia melaporkan sebuah negara yang secara relatif aman dan
kaya di bawah Ratu Hijau, "seorang yang pandai berdiplomasi dengan para
saudagar". Monarki Melayu di bawah pemerintahannya menyerap pelbagai para
pedagang asing ke dalam elit poliglot disatukan oleh pemerintah beraja itu,
lingua franca bahasa Melayu, dan corak peraturan dan alat kebesaran suci yang
diwarisi dari istana seperti Melaka dan Pasai. Kebanyakan para saudagar
dikatakan saudagar Cina, yang mana termasyhur daripada mereka, seperti pegawai
dagang utama Datu Sirinara, telah masuk Islam dan mengamalkan etiket mahkamah
Melayu. Baginda digantikan oleh adik perempuannya Ratu Biru. (Sumber: https://ms.wikipedia.org/wiki/Ratu_Ijau)
[7] Ratu Biru merupakan
adinda kepada Ratu Hijau. Di dalam hikayat Pattani, Ratu Biru dikatakan telah
membuat meriam-meriam yang besar daripada tembaga kuning, kerana baginya
meriam-meriam yang dijual oleh orang Eropah tidak sesuai dengan keadaan
tempatnya.
Dalam masa
pemerintahannya rakyat jelata tidak dibenarkan memiliki tembaga dan seluruh
rakyat jelata yang ada menyimpan tembaga kuning hendaklah dibawa kepada
baginda. Serta ditegah sekelian mengirim atau menjual tembaga kuning selama 3
bulan. Barang siapa melanggar perintah ini akan dijatuhkan hukuman bunuh.
Setelah beberapa lama maka terkumpul banyaklah tembaga kuning dan dibuat meriam
besar yang menjadi sejarah dalam kerajaan Islam Pattani.
Dalam hikayat Pattani
juga menceritakan setelah beberapa bulan, Ratu Biru telah berjaya membuat 3
pucuk meriam yang terlalu besar. Dua pucuk yang lebih besar sekali panjangnya 3
depa 1 hasta sejengkal 2 jadi setengah, pelurunya besar sebelas jari bulatan
dan yang kecil sekali panjangnya 5 hasta sejengkal 9 jari, pelurunya besar tiga
jari bulatan. Dua pucuk meriam yang besar digelar oleh Ratu Biru sebagai meriam
Seri Negara dan meriam Seri Pattani dan yang kecil pula digelar meriam
Mahalela.
Ketiga-tiga pucuk meriam
raksaksa itu diletak di atas sebuah roda pedati serta dijadikan alat senjata
peperangan yang utama dalam kerajaan Pattani pada masa itu. Setelah kemangkatan
Ratu Biru, beliau digantikan oleh Ratu Ungu. (Sumber: https://www.facebook.com/HblgMelayu/posts/118837651617434)
[8] Raja Ungu menaiki takhta Patani mengantikan
kakaknya yang mangkat pada 1624 dan memerintah selama 11 tahun dan mangkat pada
1635. Beliau adalah puteri terakhir kepada Sultan Mansur Syah. Ratu ungu ini
sebenarnya puteri Patani yang dikahwinkan dengan Sultan Pahang iaitu Sultan
Abdul Ghafur lebih kurang pada tahun 1612. Perkahwinan ini adalah satu usaha
Patani untuk membina hubungan pertalian darah dengan Empayar
Johor-Pahang-Riau-Lingga.
Hasil dari perkahwinan
ini lahirlah Raja Kuning. Sewaktu era Raja Ungu, Patani pernah terlibat perang
secara besar-besaran dengan Siam bermula dengan satu serangan dari Patani ke
atas Ligor bagi membebaskan daerah itu dari cengkaman Siam pada tahun 1631.
Dalam serangan itu, Patani berjaya menawan dua kapal Siam bersama dengan dua
orang Belanda. Siam dapat merebut kembali kapal mereka, namun orang Belanda itu
tidak dijumpai. Hal ini membuatkan Belanda menyebelahi Siam dalam peperangan
dengan Patani. Pada Mei 1634, berlaku satu peperangan yang mencatatkan rekod
sebagai peperangan terbesar antara Siam dengan Patani dengan bala tentera Siam
berjumlah 60,000 orang. Angkatan tentera Siam ini telah dikalahkan oleh Patani
yang mendapat bantuan daripada Portugis. (Sumber : https://www.facebook.com/HakPertuananMelayu/posts/374908762646628
)
[9] Raja terakhir yang memerintah Patani ialah
Raja Kuning binti Sultan Abdul Ghafur Muhiuddin. Baginda ialah seorang raja
atau pun ratu yang memerintah Patani seperti mana ratu-ratu perempuan yang
dilantik sebagai Raja Patani terdahulu. Raja Kuning dilahirkan pada tahun 1613
di Pahang, kerana bondanya Raja Ungu berkahwin dengan Sultan Pahang. Setelah
kemangkatan bondanya, Raja Kuning telah ditabalkan sebagai Raja Patani pada
tahun 1635. Ketika itu Patani mempunyai 43 jajahan, termasuk Terengganu. Setelah
Raja Kuning berkahwin dengan putera Sultan Johor, maka Terengganu diperintah
oleh wakil Sultan Johor. Patani berada di bawah pemerintahan Raja Kuning selama
14 tahun. Baginda mangkat pada tahun 1649. Sebahagian catatan lain pula
menyatakan bahawa Raja Kuning mangkat pada tahun 1688 pada usia 75 tahun tanpa
meninggalkan pewaris tahta yang sah. (sumber: http://tabutjawi.blogspot.my/2012/06/sirah-patani-langkasuka-1649-1785.html)
Selepas kemangkatan Ratu
Kuning dikatakan beliau tidak mempunyai waris yang layak maka dengan itu negeri
Pattani telah diambil semula oleh kerajaan Kedah Merong Maha Wangsa. Setelah
kemangkatan baginda maka habislah raja daerah Pattani yang berketurunan dari
Merong Maha Wangsa iaitu raja awal yang membuka negeri Pattani. Maka Raja Bakar
( DYMM Sultan Syarif Abu Bakar Syah ) telah mengambil semula kerajaan Pattani
dan diserahkan pemerintahan Pattani kepada keturunan Nik iaitu Raja Long Putra
yang mana digelar sebagai Datuk Seri Raja Putra, Raja Legeh pada tahun 1199H
bersamaan dengan tahun 1778M, rujuk ms 43 Undang Undang Kedah. Maka lenyaplah
kerajaan Pattani yang digantikan dengan negeri baru yang bernama LEGEH yang
mana diperintah oleh Raja-raja Jembal yang berpusat di Ayer Lanas, Jeli,
Kelantan. (Sumber: http://kedahcybersyburi.blogspot.my/2010/02/asal-usul-kerajaan-islam-daerah-pattani.html)
[10] Diasaskan oleh almarhum
Tuan Guru Baba Haji Abdul Rahman Bin Muhammad Irsyad atau dikenali sebagai Tok
Dala pada tahun 1933. Ibu beliau bernama Mek Putih berasal dari pada Kampong
Saban manakala datuk beliau bernama Abdul Ghani berasal dari Terangganu. Beliau
meninggal pada pagi Rabu 28 Rajab 1975 (Sumber : http://ulama-patani-thailand.blogspot.my/2011/12/tuan-guru-haji-abdul-rahman-tuk-dala.html)
[11] Al-Fadhil Tuan Guru Syeikh Nuruddin Bin Hj.
Marbu Bin Abdullah Thaiyyib berasal dari Banjar Masin. Dilahirkan di sebuah
desa bernama Harus Amuntai pada 1 September 1960 M. Beliau dan keluarganya
kemudiannya menetap di tanah suci Makkah pada tahun 1974. Madrasah Shaulathiah
adalah tempat beliau menimba ilmu pengetahuan di sana. Pada tahun 1982 beliau
menamatkan pengajian di Madrasah Shaulathiah dengan keputusan cemerlang
(mumtaz).
Sepanjang di Makkah
beliau banyak mendapatkan ilmu dari tokoh-tokoh Ulama seperti Syeikh Allamah
Hasan Masshath yang digelar Syeikul-Ulama rahimahullah, Syeikh al-Allamah Mohd
Yasin Al-Fadani yang bergelar Syeikul Hadith wa Musnidud Dunya, Syeikh Ismail
Usman Zain yang digelar Al-Faqih Ad-Darrakah dan ramai lagi tokoh-tokoh ulama
di Makkah.
Pada tahun 1983 beliau
melanjutkan pelajaran ke Univ. Al-Azhar As-Syarif Mesir dalam jurusan Syariah Islamiah
hingga mendapat ijazah sarjana muda. Kemudian beliau meneruskan lagi pengajian
di Maahad ‘Ali Liddirasat al-Islamiah di Zamalik hingga mendapat diploma am
“Dirasat Ulya” pada tahun 1990.
Setelah menamatkan
pengajian di Univ. al-Azhar, beliau menumpukan perhatiannya dengan mencurahkan
ilmunya kepada ratusan pelajar yang datang dari Asia termasuk dari Indonesia,
Malaysia, Singapura dan Thailand yang menuntut di Univ. al-Azhar Mesir sehingga
beliau digelar sebagai al-Azharus Tsani ( Univ. Al-Azhar kedua). Di samping
mengajar beliau juga menghasilkan kitab-kitab berbahasa Arab serta karya ilmiah
dalam berbagai bidang. Beliau telah menghasilkan karangan dan mentahqiq
kitab-kitab muktabar tidak kurang dari 50 buah karangan. (rujuk biodata beliau
dalam kitab beliau bertajuk At-Tamassuk Bil Kitab Wassunnah edisi terjemahan
bertajuk Berpegang Dengan Kitab Dan Sunnah).
4 comments:
Dari bahagian pertama, disusuli bahagia kedua, tidak jemu membacanya, rentetan kisah perjalanan musafir yang penuh kenangan indah di setiap tempat yang dikunjungi memberikan realisasi yang telah lama diimpikan untuk berkunjung ke setiap tempat ini... Kemudian disambung lagi dengan bahagian ketiga yang lagi memuncakkan realiti perjalanan kami...
Kesinambungan coretan perjalanan musafir kami daripada bahagian I higga III ini akan diabadikan dalam kenangan TERINDAH kami dalam pengembaraan pemusafiran kami...
Alhamdulillah. Catatan begitu baik. Mudah2an bermunafaat. Nice n tahniah ya sidi
Salam tn Tanah..
Terima Kasih banyak2 kerana penulisan yang panjang. Cuma saya ingin menyentuh ttg Tn Syeikh Abdul Samad Al Falimbani. Memang banyak kisahnya akan tetapi saya amat hairan bahwa tiada kajian dibuat ttg peninggalan surau yang ditinggalkan oleh anaknya yang berada di Kemaman yang dikenali dgan Masjid Tuan. Di Beserah juga ada waris tn syeikh Abdul Samad Falimbani yang tiada siapa yang mengkaji dan teliti salasilah ini..
Jika dilihat kajian yg dibuat ttg tn Syeikh Abdul Samad namapak macam terputus ditengah jalan dan saya rasa apa yg diceritakan oleh org2 tua makam tn Syeikh Abdul Samad bukan di pattani..
Ada cerita disebalik kekalahan Pattani kepada Siam dan salah sorang anak murid tn Syeikh Abdul Samad adalah raja Pattani. Saya hanya boleh cerita kisah ini setakat ini sahaja akan perlu diingat bahwa keturunannya masih ada diBeserah dan Kemaman. Cuma tiada orang yang ingin mengkaji ttg hal ini.
Terima kasih atas maklumat tersebut. Namun sayang, Tuan komen tidak guna nama sendiri untuk memudahkan saya hubungi tuan bagi mendapatkan maklumat lanjut.
Post a Comment