hasbunallah

hasbunallah

Sunday, September 27, 2015

Maaf, Saya Tidak Tahu!!



Adakah menjadi sesuatu yang memalukan buat kita sekiranya kita menjawab “Maaf, saya tidak tahu” tatkala ditanya mengenai sesuatu perkara yang bukan dalam bidang kita atau ilmu kita?


Adakah dengan memberikan jawapan demikian akan menyebabkan kita kelihatan bodoh di sisi manusia? Adakah dengan jawapan tersebut menyebabkan maruah kita jatuh?

Satu kisah yang masyhur mengenai pertanyaan yang dikemukakan kepada Imam Darul Hijrah iaitu Imam Malik bin Anas Rahimahullah sebagaimana yang diriwayatkan dari Al Haitsam bin Jamil, beliau berkata:

“Aku menyaksikan Malik bin Anas ditanya 48 masalah, maka beliau menjawab 32 masalah dari pertanyaan tersebut dengan jawapan “Aku tidak tahu.” (Adabul Muftii wal Mustaftii halaman 79)

Manakala ‘Abdurrahman bin Mahdiy pula berkata :

Kami pernah berada di sisi Malik bin Anas. Lalu datanglah seorang laki-laki dan berkata kepadanya : “Wahai Abu ‘Abdillah, aku mendatangimu dari daerah yang berjarak enam bulan perjalanan. Penduduk negeriku telah menitipkan satu permasalahan kepadaku untuk aku tanyakan kepadamu”.

Malik berkata : “Tanyalah”. Laki-laki itu pun bertanya tentang permasalahannya kepada Imam Malik. Kemudian Imam Malik berkata : “Aku tidak dapat menjawabnya”.

Lelaki itu bingung/tercengang kerana ia beranggapan telah menemui seseorang yang mengetahui segala sesuatu. Dia berkata : “Apa yang harus aku katakan kepada penduduk negeriku apabila aku kembali kepada mereka nanti?”. Imam Malik menjawab : “Katakan saja pada mereka bahawa Malik tidak bisa menjawab pertanyaan mereka” [Diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abdil-Barr dalam Jaami Bayaanil-‘Ilmi wa Fadhlih no. 1573].

Jika hendak dibandingkan ilmu kita dengan Imam Malik bin Anas Rahimahullah, sudah tentu ia umpama langt denga bumi ataupun seumpama malam dengan siang. Namun begitu, kita lebih mudah dan jauh lebih mengetahui dari Imam Malik Raimahullah kerana kita sering menjawab semua persoalan yang ditanyakan kepada kita walaupun sebenarnya masalah atau persoalan tersebut bukanlah dalam bidang kepakaran kita. Malah kita juga tidak mempunyai ilmu pengetahuan mengenai perkara tersebut.

Zaman sekarang ini, ramai orang yang terlalu mudah memberikan hukum atau pandangan hanya berdasarkan apa yang ia dengar atau hanya melihat gambar sahaja tanpa satu kajian atau penelitian yang betul-betul mantap. Sehinggakan jawapan ataupun hukum ataupun pandangan mereka telah jauh tersasar dari perkara yang sebenarnya. Bahkan ada juga yang menghukum berdasarkan apa yang mereka tidak ketahui atau tidak dijumpai dalil atau hujah. Maka akan terjadilah sebagaimana kata hukama:

النَّاسُ أَعْدَاءُ مَا جَهِلُوا
Manusia itu menjadi musuh terhadap apa yang tidak diketahuinya.

Perlulah kita sedar dan ketahui, bukanlah mudah untuk menghukumkan mengenai sesuatu masalah, apatah lagi sekiranya masalah tersebut mempunyai kaitan dengan niat hati seseorang. Para ulama salafusoleh amat berhati-hati dalam perkara tersebut kerana mereka takut akan amaran Allah swt:

وَلاَ تَقُولُوا لِمَا تَصِفُ أَلْسِنَتُكُمُ الْكَذِبَ هَذَا حَلاَلٌ وَهَذَا حَرَامٌ لِتَفْتَرُوا عَلَى اللَّهِ الْكَذِبَ إِنَّ الَّذِينَ يَفْتَرُونَ عَلَى اللَّهِ الْكَذِبَ لاَ يُفْلِحُون (116) مَتَاعٌ قَلِيلٌ وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ (117)

Dan janganlah kalian mengatakan terhadap apa yang disebut-sebut oleh lidah kalian secara dusta "Ini halal dan ini haram", untuk mengada-adakan kebohongan terhadap Allah. Sesungguhnya orang-orang yang mengada-adakan kebohongan terhadap Allah tiadalah beruntung. (Itu adalah) kesenangan yang sedikit; dan bagi mereka azab yang pedih. (an-Nahl: 116-117)

Maka sebagai pesanan buat saya sendiri dan sahabat semua, janganlah terlalu mudah mengeluarkan hukum atau pendapat mengenai sesuatu perkara, apatah lagi ia bersangkutan mengenai niat hati dan aqidah seseorang. 


Tidak semestinya apa yang tidak kita ketahui tidak mempunyai dalil dan hujjah kerana tidak mustahil bahawa kita hanyalah gagal untuk menemui dalil dan hujjah tersebut.



Takutlah kamu akan ALLAH SWT...

No comments: