hasbunallah

hasbunallah
Showing posts with label Hikam Abi Madyan. Show all posts
Showing posts with label Hikam Abi Madyan. Show all posts

Monday, August 24, 2009

Kalam Hikmah 2

al-Haq (Allah Yang Maha Besar) melihat segala rahsia dan zahir hambaNya pada setiap nafas dan keadaan. Maka mana-mana hati yang dilihat oleh Allah mengutamakanNya daripada yang lain, nescaya Allah memeliharanya daripada kedatangan – kedatangan ujian dan kesesatan- kesesatan fitnah yang memesong pandangannya kepada yang lain.

Ini adalah salah satu peningkatan perjalanan Ahli Tariqat yang dinamakan dengan Maqam Muraqabah dan Maqam Ihsan. Dia mengetahui bahawa Allah s.w.t melihatnya pada setiap ketika dan mengetahui apa yang terdapat di dalam dirinya. Maka jadilah keadaannya sentiasa bersama Allah zahir dan batin, di dalam khallwat (ketika bersendirian di tempat yang sunyi) dan juga jalwat (ketika bersama manusia di tengah orang ramai).

Dia tidak melihat pada segala perbuatannya melainkan Maulanya. Begitu juga dia tidak menghadapkan segala hajatnya melainkan kepadaNya. Dengan ini, terhasilah perkataan Syeikh Abi Madyan bahawa intipati perjalanan itu ialah:
Mengetahui orang yang salik bahawa Allah s.w.t adalah Tuhan yang melihat segala rahsianya dan zahirnya pada setiap nafas dan kelakuan.

Di petik dari Lataiful Minani fi Syarhi Hikam Abi Madyan karangan Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki.

Wednesday, August 12, 2009

Kalam Hikmah 1

Berkatalah Syeikh al-Muhaqqiq Sayyidi Abu Madyan Syu'aib ibn al-Husin al-Ansori al-Andalusi al-Tulmasani:-"Tidak patut mendengar ilmu ini melainkan orang yang telah terhasil padanya empat perkara; zuhud, ilmu, tawakkal dan yakin."
Maksudnya ialah tidak layak mendengar ilmu Tasawuf melainkan orang yang memiliki empat sifat:-

1. Zuhud

Meninggalkan mengambil yang halal secara berlebihan kerana orang yang salik itu bermusafir kepada Tuhannya. Apabila dia membawa barang berlebihan daripada keperluan perjalanannya, akan membebankan dan menghalang kelancaran perjalanannya.

2. Ilmu

Ilmu syariat yang berperanan memperbaiki zahirnya. Orang yang tidak mengetahui cara memperbaiki zahirnya, tidak akan mengetahui cara untuk memperbaiki batinnya kerana orang yang tidak berhenti di pintunya, tidak akan dapat memasuki rumah Kekasihnya.

3. Tawakkal
Memadai dengan pengetahuan Allah ke atasnya daripada bergantung hati kepada yang lain. Jika kamu mengetahui bahawa Allah adalah Tuhan Yang Maha Mengetahui segela perbuatan kamu, Maha Berkuasa untuk mencukupkan segala keperluan kamu, Maha Penyayang melebihi kasih sayangmu terhadap dirimu sendiri, nescaya hati kamu akan menghadap sepenuhnya kepadaNya tanpa menghadap kepada selainNya.

4. Yakin
Kepercayaan yang qatai' (putus dan bulat) terhadap segala yang dikhabarkan oleh Allah dan RasulNya tanpa rasa syak. Dengan demikian, segala yang ghaib itu seakan-akan dilihat di depan matanya. Maka dia mengetahu dengan perasaannya, bahawa Allah tidak menjadiakn jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepadaNya, tidak dijadikan pancainderanya melainkan untuk melakukan ketaatan kepadaNya, dan tidak dijadikan hatinya emelainkan untuk mengingatiNya dan tidak berpaling kepada selainNya.
Dipetik daripada Lataiful Minani fi Syarhi Hikam Abi Madyan karangan Syeikh Muhammad Fuad Kamaludin al-Maliki.