hasbunallah

hasbunallah

Monday, February 9, 2015

Nilai sebuah Surat Akuan Berkanun / Statutory Declaration (SD)



1.        Surat Akuan Berkanun atau Statutory Declaration atau lebih dimaklumi dengan nama SD adalah dikawal selia di bawah Akta Akuan Berkanun 1960 (Akta 13). Ada juga orang memanggilnya dengan nama Surat Sumpah atau Surat Akuan Bersumpah. Apakah nilai sebuah surat akuan  atau SD ini. Bolehkah ianya dijadikan bukti? Bolehkah ianya dijadikan asas untuk memulakan siasatan? Apakah hukuman yang dikenakan jika surat akuan itu mengemukakan fakta yang tidak tepat?

2.       Surat akuan lazim digunakan dalam proses perundangan. Banyak pejabat kerajaan menggunakan surat akuan dalam memproses permohonan tertentu daripada orang ramai. Antaranya seperti permohonan untuk memasukkan kaveat mesti dilampirkan dengan surat akuan pengkaveat yang menyatakan bahawa beliau mempunyai kepentingan yang boleh dikaveatkan di atas tanah tersebut. Pejabat Tanah juga menggunakan kaedah surat akuan dan laporan polis dalam memproses permohonan untuk mendapatkan geran hilang. Amanah Raya Berhad, misalnya menggunakan kaedah surat akuan ini yang mana mereka akan meminta pemohon yang memohon menggunakan khidmat ARB untuk membuat surat akuan dalam urusan pentadbiran harta sebelum mereka memulakan urusan pentadbiran harta pusaka si mati. Begitu juga, permohonan bagi mendapatkan surat kuasa mentadbir daripada Pejabat Pembahagian Pusaka Kecil juga menggunakan kaedah yang sama.

3.      Akta Akuan Berkanun 1960 tidak menyatakan apakah kelebihan atau manfaat yang terhasil daripada sesebuah surat akuan. Ianya hanya menyatakan kaedah atau format yang perlu digunakan dalam membuat surat akuan. Sesuatu surat akuan yang tidak mengikut formatnya boleh dicabar dan ditolak daripada digunakan. Akta tersebut juga menyatakan bahawa akuan yang dibuat menurut akta tersebut akan disifatkan sebagai akuan yang dibuat di bawah S. 199 dan 200 Kanun Keseksaan (Akta 574).

4.     S. 199 menyatakan bahawa sesiapa yang membuat kenyataan yang tidak benar kepada Mahkamah atau penjawat awam boleh diseksa sama seperti jika beliau memberikan keterangan palsu. S. 200 pula menyatakan bahawa sesiapa yang membuat keterangan atau akuan palsu secara tidak jujur boleh diseksa sama seperti seolah-olah ia telah memberikan keterangan palsu. Di bahagian Huraian S. 200 menyatakan - "Sesuatu akuan yang tidak boleh diterima sebagai keterangan semata-mata oleh sebab sesuatu yang tidak menurut peraturan, ialah akuan dalam erti seksyen 199 dan 200." Ini bermakna, surat akuan yang tidak benar mempunyai implikasi serius di sisi undang-undang.  Hukuman bagi sesiapa memberikan keterangan palsu adalah terkandung dalam S. 193 Kanun Keseksaan iaitu jika keterangan itu diberikan dalam peringkat perbicaraan kehakiman boleh dipenjara sehingga 7 tahun dan denda, manakala dalam hal-hal lain boleh dipenjara sehingga 3 tahun dan denda.

5.     Pejabat kerajaan lazimnya menggunakan kaedah surat akuan ini sebagai kaedah untuk memastikan orang awam yang berurusan dengan mereka hanya akan mengemukakan fakta yang benar. Jika ada fakta yang tidak tepat diberikan, maka orang tersebut boleh didakwa atas kesalahan jenayah atas sebab mengemukakan fakta yang tidak betul. Jika perkara tersebut diketahui, maka pegawai kerajaan itu akan membuat laporan polis dan polis akan menyiasat samada fakta yang dinyatakan di dalam surat akuan tersebut adalah benar atau palsu. Setelah itu, pegawai polis itu akan menyerahkan kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya untuk memutuskan sama ada akan mendakwa orang tersebut.

6.     Oleh sebab itu, fakta yang terkandung dalam sesuatu surat akuan itu dianggap mempunyai nilai yang lebih kuat daripada penyataan biasa kerana ianya dikawal selia oleh undang-undang. Bagi pembuat surat akuan, beliau harus berhati-hati dalam membuat surat akuan kerana jika beliau mengemukakan fakta palsu, beliau boleh direman dan seterusnya didakwa di Mahkamah kerana memberikan pengakuan palsu.

7.     Namun, ramai juga yang teraniaya dengan surat akuan palsu ini. Antaranya seperti yang dinyatakan dalam kes Boonsoom Boonyanit vs Adorna Properties Sdn Bhd yang mana dalam kes itu ada seseorang telah menyamar sebagai Boonsoom dan telah membuat pengakuan palsu bahawa geran tanahnya hilang. Bertindak atas surat akuan itu, pejabat tanah telah mengeluarkan geran tanah yang baharu dan penyamar itu telah menjual tanah itu kepada pihak ketiga. Akhirnya Boonsoom telah kehilangan tanahnya itu. Begitu juga, jika kita masih ingat kes sodomi 1 yang mana pemandu DSAI iaitu Azizan telah membuat surat akuan yang didraf oleh Umi Hafilda yang mengatakan beliau telah diliwat oleh DSAI. Semua orang telah tahu DSAI telah dibebaskan daripada kes sodomi 1 tetapi surat akuan itu telah menyebabkan kehidupan dan karier politik DSAI kucar-kacir. Dalam kes surat akuan Altantuya yang dibuat oleh PI Bala, sehingga beliau mati, tiada siasatan konkrit yang dibuat terhadap kebenaran fakta yang dibuat oleh PI Bala itu, tetapi surat akuan PI Bala itu telah mencetuskan polemik besar kepada Perdana Menteri. Kita sendiri tidak pasti kenapakah pihak polis tidak menyiasat surat akuan PI Bala ini. Dalam kes, Danaharta Managers Sdn Bhd vs Samaworld (Asia) Sdn Bhd [2006] 2 MLRH 882, Hakim Dato' Noor Azian Shaari telah menolak surat akuan yang dibuat bagi memasukkan kaveat kerana surat akuan itu tidak mendedahkan apa-apa kepentingan yang boleh dikaveatkan dan akhirnya kaveat itu dibatalkan.

8.     Oleh itu, bagi saya surat akuan bukanlah boleh dianggap sebagai bahan bukti kecuali ianya termasuk dalam pengecualian yang dibenarkan oleh undang-undang seperti 'dying declaration'. Surat akuan itu hanyalah perspektif daripada pembuatnya bahawa penegasan fakta yang terkandung di dalam surat akuan itu sebagai mempunyai merit dan beliau sanggup dihadapkan dengan pendakwaan jenayah jika fakta itu tidak benar. Sesuatu surat akuan juga bukanlah suatu justifkasi untuk memulakan apa-apa tindakan undang-undang seperti untuk memecat atau mendakwa seseorang. Tindakan pemecatan atau pendakwaan hanya akan dimulakan jika kertas siasatan dibuka. Bagi sebuah syarikat misalnya jika ada pekerja syarikat yang membuat surat akuan, maka ianya harus diteruskan dengan aduan rasmi kepada pihak HR syarikat tersebut. Pihak HR akan memanggil pengadu dan yang diadu untuk mendapatkan keterangan lanjut. Jika perlu, suatu siasatan dalaman akan dibuat untuk memanggil saksi-saksi dan untuk pengemukaaan dokumen. Bagi tindakan jenayah, selain surat akuan, suatu laporan polis atau 'first information report' perlu dibuat.

9.     Manakala, bagi yang berasa diri mereka teraniaya dengan fakta sesuatu surat akuan harus membuat laporan polis supaya pihak polis boleh membuka kertas siasatan dan seterusnya mendakwa orang itu. Selain itu, orang yang teraniaya itu juga boleh memulakan tindakan guaman seperti tindakan guaman fitnah ke atas pembuat surat akuan tersebut [Lihat PANG FEE YOON v. PIONG KIEN SIONG & ORS  [1999] 8 CLJ 383; [1999] 3 AMR 3464; Dalam kes ini, Hakim Suriyadi Halim Omar telah mengawardkan sejumlah lebih RM900,000-00 terhadap defendan-defendan kerana fitnah yang berbangkit daripada surat akuan tersebut]
  
10.    Seperkara lagi, dalam Islam, kaedah surat akuan ini tidak ada. Dalam Islam, kaedah yang digunakan adalah kaedah iqrar atau pengakuan. S. 17 Akta Keterangan Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 561) menyatakan bahawa Iqrar ialah suatu pengakuan yang dibuat oleh seseorang, secara bertulis atau lisan atau dengan isyarat, menyatakan bahawa dia mempunyai obligasi atau tanggungan terhadap seseorang lain berkenaan dengan sesuatu hak. Sesuatu iqrar hendaklah dibuat - di dalam Mahkamah, di hadapan Hakim; atau jika di luar Mahkamah, di hadapan dua orang saksi lelaki yang 'aqil, baligh dan 'adil.

11.    Bagi seseorang Islam, lebih baik jika beliau menurut kaedah yang ditetapkan dalam Hukum Syarak kerana itu lebih adil dan lebih amanah. Kaedah pembuktian dalam Hukum Syarak lebih ketat daripada kaedah undang-undang sivil. Ada hikmah yang besar daripada kaedah pembuktian yang ketat di dalam Hukum Syarak. Bagi sesuatu tuntutan yang dibuat di Mahkamah Syariah, semuanya mesti melalui proses perbicaraan supaya hakim dapat menilai bukti yang dikemukakan itu. Jika bukti itu samar-samar atau hanya bukti cakap dengar maka ianya akan ditolak oleh Mahkamah meskipun ada surat akuan.

Sekian. Wallahualam.
Dr. Zulqarnain Lukman.
Peguambela & Peguamcara
9 Februari 2015 / 19 Rabiul Akhir 1436H

Dipetik dari blog Peguam Muda

No comments: