hasbunallah

hasbunallah

Monday, January 4, 2016

1.0 KARPET MERAH UNTUK PEROMPAK DAN HUKUMAN REMAN UNTUK OKT?



1.1 Tulisan ini berkaitan dengan kes OKT Zulkifli. Saya mengharapkan ia tulisan terakhir, setelah tulisan pertama bersifat umum tempohari, bagi mengelakkan subjudis kepada kes.

1.2. Ia disebabkan oleh kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang digambarkan seolah-olah memberikan lesen kepada perompak. Kedua, disebabkan oleh respon balas negatif masyarakat sivil dan ketiga, timbul persoalan daripada rakan-rakan FB di status sebelum ini.

1.3. Asas penulisan ringkas ini adalah berteraskan Surah Al-Hujurat, ayat 6 yang menyuruh kita bertabayyun dan Surah Al-Maidah, ayat 8 yang menyuruh kita berlaku adil. Berlaku adil, boleh mendekatkan kita kepada ketaqwaan.

2.0 KARPET MERAH UNTUK PEROMPAK?

2.1. Nyawa adalah anugerah daripada Allah. Ini dapat dibuktikan apabila menjadi tanggungjawab manusia untuk memberikan hak dan tanggungjawab kepadanya lebih-lebih lagi menjaga nyawa (hifzun-nafs) adalah salah satu daripada tujuan pensyariatan (Maqasid Syari’ah) dalam Islam.

2.2. Namun begitu, apabila seseorang melakukan salah satu daripada 3 jenayah ini, maka nyawanya boleh dibunuh. Dari Ibnu Mas’ud R.A berkata, Rasulullah S.A.W. bersabda, “ Tidak halal darah seorang muslim yang bersaksi bahwa tidak ada Tuhan selain Allah dan bahawa aku (Rasulullah S.A.W.) adalah utusan Allah kecuali dengan 3 sebab ; Duda/janda (orang yang telah pernah menikah) yang berzina, membunuh orang lain (dengan sengaja), dan meninggalkan jamaahnya (murtad). (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim).

2.3. Jika jenayah zina dan murtad adalah di bawah tanggungjawab pemerintah untuk pelaksanaannya, jenayah bunuh pula ada boleh saja terjadi kepada sesiapa saja terutama dalam kes hak mempertahankan diri.

2.4. Seringkali dikaitkan penjagaan nyawa dengan pelaksanaan hukuman bunuh dibalas bunuh (Qisas) yang selari dengan Surah Al-Baqarah, ayat 178. Walaupun begitu, lebih awal daripada itu ialah penjagaan nyawa daripada kebinasaan wajar diberi keutamaan. Oleh sebab itu, Syeikh Tohir Ibn ‘Asyur pernah berkata, “Tidak bermakna memelihara nyawa ini dengan menetapkan hukumam Qisas semata-mata, tetapi kita dapati bahawa hukuman Qisas itu sendiri adalah kaedah yang terlemah dalam memelihara nyawa kerana menyebabkan kehilangan. Maka, kaedah pemeliharaan yang terpenting adalah dengan memeliharanya sebelum berlaku kebinasaan”. Oleh sebab itu, alim ulama’ membahagikan penjagaan nyawa kepada 2. Pertama, dari segi wujudnya iaitu dengan mensyariatkan pernikahan, memberi nafkah kepada mereka di bawah tanggungan (al-asl) dan mereka yang memerlukan (al-far’u) serta keharusan makan minum termasuk makan minum sesuatu yang haram ketika dalam keadaan darurat. Kedua, dari segi ‘adami iaitu menjaganya daripada dibinasakan dan daripada sini konsep Qisas itu tergunapakai sehingga disebut hikmah pelaksanaan Qisas itu adalah membuahkan kehidupan sebagaimana dinyatakan dalam Surah Al-Baqarah, ayat 179.

2.5. Menelusuri kenyataan asal Tan Sri Khalid (Hak pertahan diri bukan hingga membunuh, Berita Harian, 31 Disember 2015), apa yang boleh difahami adalah hak mempertahankan diri masih adalah satu pembelaan (defence) di Mahkamah. Untuk rekod, isu berkaitan hak mempertahan diri ini disebut dalam dari Seksyen 96 hingga 106 Kanun Keseksaan. Apapun, hak tersebut tidak boleh digunapakai melepasi had. Ini jelas dinyatakan dalam Seksyen 99 (4). Analoginya, jika perompak memecah masuk ke rumah kita tanpa apa-apa persenjataan, kita tidak boleh secara terus (straightaway) bunuh mereka. Jika perompak ada apa-apa persenjataan, maka ketika ini dibolehkan bunuh mereka jika nyawa terancam. Jika nyawa tidak terancam, perompak tidak boleh dibunuh walaupun atas nama mempertahan diri.

2.6. Isu-isu, antara lain dan tidak terhad kepada, sama ada ;

2.6.1 Perompak tersebut bersenjata ketika merompak

2.6.2 Perompak merompak dalam keadaan nyawa OKT terancam

2.6.3 OKT tahu atau tidak perompak tersebut bersenjata ketika merompak

2.6.4 OKT dengan sengaja menyebabkan cedera parah kepada perompak dengan menggunakan senjata atau benda-benda lain yang berbahaya

2.6.5 OKT membunuh perompak dalam keadaan nyawa OKT terancam

2.7. Maka, isu-isu sebegini biarlah ditentukan ketika perbicaraan (trial) kelak. Harus diingat bahawa, Mahkamah berhak menentukan apa jua keterangan, sama ada lisan atau dokumen, boleh diterima atau tidak (whether oral or documentary evidence is admissible or not). Selanjutnya, ia akan membentuk persoalan fakta (question of fact) yang persis lagi jitu berbanding dengan lontaran-lontaran di medan luar.

2.8. Memandangkan kes ini telah pun menjadi kes Mahkamah, maka berilah peluang kepada pasukan pembelaan (defence counsel) untuk mempersiap keterangan dan hujah tanpa wujud apa-apa elemen subjudis di luar yang boleh menganggu fokus kepada perjalanan kes.

2.9. Turut ditimbulkan ialah berkenaan dengan isu kenyataan Tan Sri Khalid apabila dibandingkan 2 kes polis menembak mati penjenayah, pertama di Tumpat (Penyamun Cuba Serang Polis Ditembak Mati, Utusan Malaysia, 20 Disember 2015) dan kedua di Bintulu (Polis Tembak Mati Empat Lelaki Disyaki Perompak Di Bintulu, Bernama.com, 1 Januari 2016).

2.10. Berbanding dengan orang awam, seseorang anggota Polis Di Raja Malaysia (PDRM) yang melepaskan tembakan dilindungi oleh Perintah Tetap Ketua Polis Negara (IGPSO) Bahagian D222 yang dibuat berdasarkan Seksyen 97 Akta Polis 1967. Berasaskan perintah tersebut, semua anggota polis dibenarkan untuk menggunakan senjata api sewaktu menjalankan tugas sekatan jalan raya atau semasa dalam operasi seperti operasi narkotik, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), trafik atau tugas am bagi hanya untuk mempertahankan diri apabila nyawanya atau orang di dalam kawalannya berada dalam keadaan boleh mendatangkan kematian atau kecederaan parah. Namun, dengan syarat anggota polis tersebut tidak sengaja atau atas sebab-sebab munasabah membunuh penjenayah dalam keadaan anggota polis ini dipercayai tidak dapat menangkap penjenayah itu hidup-hidup tanpa risiko kematian atau kecederaan parah kepada diri sendiri atau diri orang lain.

2.11. Dalam masa sama, anggota polis juga diberi kebenaran menggunakan senjata api bagi mempertahankan diri dan menembak suspek dalam kes serangan ke atas balai atau pos kawalan, serangan berbahaya, rogol, nafsu luar biasa dan culik atau melarikan orang secara salah. Begitu juga dalam kes mengurung secara salah, penggunaan kekerasan sehingga menimbulkan ketakutan, mendatangkan kematian atau cedera parah, bagi menghalang rompakan, pecah rumah pada waktu malam atau menghalang suspek melarikan diri. Dalam kes Jenain Subi v. PP [2013] 2 CLJ 92, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan anggota polis tersebut setelah berpuas hati bahawa siri tembakan dilepaskan untuk menghentikan kereta yang dipandu laju, menghimpit kereta peronda dan melanggar lampu isyarat justeru tidak berniat untuk membunuh arwah Aminulrasyid (Allahummaghfir Lahu Warhamhu Wa ‘Afihi Wa’fu ‘Anhu).

2.12. Walaupun begitu, anggota polis tidak pula boleh sewenangnya-wenangnya menggunakan senjata api tanpa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti memberi amaran terlebih dahulu dan sebagainya. Persoalan sama ada amaran diberikan atau tidak dan/atau amaran diberikan mencukupi atau tidak adalah bergantung kepada fakta kes. Oleh sebab itu, dalam kes yang jarang-jarang berlaku melibatkan ganti rugi teladan (exemplary damages), Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi dalam kes Ketua Polis Daerah Sentul & Ors v Norizan Binti Salleh (2015) unreported yang memerintahkan RM 300,000.00 dibayar kepada ibu tunggal tersebut yang menjadi mangsa tembakan anggota polis pada Tahun 2010.

2.13. Oleh itu, tidak timbul soal penjenayah seharusnya dibentangkan dengan karpet merah, dihidangkan air sirap dan dipersilakan merompak!

3.0 HUKUMAN REMAN UNTUK OKT?

3.1 Dalam masa sama, wujud dakwaan bahawa reman adalah hukuman kepada OKT dan ia satu bentuk kezaliman.

3.2 Dalam undang-undang, dakwaan ini adalah sesuatu yang aneh. Harus diingat bahawa apabila satu-satu kes melibatkan kematian, maka sesuatu yang lumrah jika seseorang itu ditahan reman. Namun begitu, terdapat 2 kes bunuh dalam negara kita yang mana Mahkamah membebaskan OKT dengan jaminan. Pertama, dalam kes Public Prosecutor v. Dato’ Balwant Singh [2002] 4 MLJ 427 dan kedua dalam kes Public Prosecutor v. Azilah Hadri & Ors. [2012] 1 CLJ 358. Dalam kes pertama, Hakim menggunakan kuasa budi bicaranya membebaskan Dato’ Balwant Singh dengan ikat jamin RM 500,000.00 atas alasan pasukan pendakwaan gagal mengemukakan sebab munasabah untuk mempercayai bahawa peguam berusia 81 tahun itu melakukan kesalahan mengikut pertuduhan yang dihadapinya. Dalam kes kedua, Hakim membebaskan salah seorang tertuduh iaitu Abdul Razak Baginda dengan bon RM1 juta dengan dua orang penjamin tanpa sekuriti setelah membenarkan permohonan peguam bela atas alasan kesihatan berikutan pemeriksaan perubatan menunjukkan bahawa tertuduh mengalami sakit bronkitis yang teruk. Apa yang jelas, kecuali dibuktikan ada kaitan langsung dengan kesihatan dan ada sebab munasabah untuk mempercayai bahawa OKT tidak melakukan kesalahan mengikut pertuduhan dihadapinya, lazimnya pertuduhan bunuh tidak boleh dijamin lalu mengakibatkan ditahan reman.

3.3 Dalam disiplin ilmu Qadha’ (Kehakiman) dibicarakan tentang penahanan atau pemenjaraan. Penahanan seseorang OKT oleh pihak berkuasa tidak semestinya disebabkan oleh sabitan jenayah oleh Mahkamah. Ada juga penahanan OKT kerana langkah berwaspada demi menjaga kebaikan (maslahah) dan mengelakkan keburukan (mafsadah) umum. Oleh itu, ‘alim-ulama’ Islam membahagikan penahanan kepada dua kategori. Pertama, penahanan untuk hukuman dan kedua, penahanan untuk waspada.

3.4 Kes OKT Zulkifli melibatkan penahanan untuk waspada. Penahanan jenis ini dilaksanakan dalam beberapa keadaan, antaranya penahanan OKT yang dituduh melakukan kesalahan. Ia dikenali dengan tahanan reman. Ia dibenarkan oleh syara’ oleh sebab tahanan jenis ini bermotifkan maslahah melebihi mafsadah, lebih-lebih lagi melibatkan kes kematian. Melainkan, pasukan pembelaan boleh membuktikan kepada Mahkamah bahawa tahanan reman ke atas OKT akan memprejudiskan kesihatan OKT dan wujud sebab munasabah untuk mempercayai bahawa OKT tidak melakukan kesalahan mengikut pertuduhan dihadapinya, maka ketika ini boleh ditawarkan ikat jamin kepada OKT lalu terpulang kepada Mahkamah untuk mempertimbangkannya sebagaimana kes-kes tersebut di atas. Dalam masa sama, walaupun ditahan reman, OKT masih berpeluang untuk mendapatkan khidmat perundangan (legal representation) dan hak ini dijamin dalam Artikel 5(3) Perlembagaan Persekutuan. Lebih-lebih lagi jika tidak disabitkan kesalahan Seksyen 302 dan hanya Seksyen 326, OKT lazimnya akan menjalani tempoh hukuman penjara bermula daripada tempoh ditangkap.

3.5 Walaupun begitu, persoalan berbangkit tentang bagaimana kebajikan keluarga OKT tidak wajar dipandang enteng. Justeru, jika ia berkaitan dengan isu kebajikan dan kehilangan tempat bergantung, maka ahli keluarga OKT yang lain boleh berperanan mengambil alih seketika beban tersebut atau meminta bantuan daripada mana-mana badan berautoriti contohnya Pusat Bantuan Guaman Pusat atau Negeri dan/atau Kerajaan Negeri sekalipun.

3.6 Oleh itu, tidak timbul soal reman adalah hukuman dan reman adalah zalim.

Muhammad Zaki Sukery
Peguambela & Peguamcara

10 comments:

Mohd Asaari Salleh said...

Masalah lening syeikh....Ustad2 pun tulung jawab etek....undang2 zolim....dok islamik La....kembalilah kepada undang2 Islam La bla bla...bla...... Siap bubuh hadis bagai....

Mohd. Abd. Rashid Bin Yah al-Kubrawiy al-Husaini said...

haa haa...hok tu kawe oyak, artikel tu adalah org hok layak bercakap pasal undang2 jenayah.

Mohd Asaari Salleh said...

Mugo dio igt ikut Islam paka lepas gitu je....dok payoh bicara....

Mohd. Abd. Rashid Bin Yah al-Kubrawiy al-Husaini said...

hok dok tulis tu reman pun boleh kata sebagai hukuman.

Anonymous Mohd Asaari Salleh said...

Demo tu ingat nok paggil bicara kes bunuh paka kad jemputan supo org bekwoh gamoknye

Mohd. Abd. Rashid Bin Yah al-Kubrawiy al-Husaini said...

lagu tu la. bila org yg bkn ahlinya bercakap pasal sesuatu hok dio tok tahu. menyesatkan org lain.

Mohd Asaari Salleh said...

Ustad2 hok berehi jwb tu demo tulun ghoyak sepatoh....buwi pencerahan....kalu dok pah ceroh demo tu dok Kate huduh ko tok Hakim...

Mohd. Abd. Rashid Bin Yah al-Kubrawiy al-Husaini said...

haa haa..kawe mano layak nok nasihat demo tuh. mugo demo taraf ustad, kawe ni loyar cabuk jah.

Mohd Asaari Salleh said...

Hahaha....

Mohd Asaari Salleh said...

Demo exco.....kawe loyar cabuk