UCAPAN
AHLI PARLIMEN MARANG DALAM SIDANG KHAS DEWAN RAKYAT
Firman
Allah s.w.t.: “Telah zahirlah keburukan di darat dan laut dengan sebab apa yang
telah diusahakan oleh tangan manusia sendiri, supaya dirasakan kepada mereka
sebahagian daripada perbuatan mereka, mudah - mudahan mereka kembali kepada
kebenaran” (Ar-Rum: 41)
1.
Sebenarnya, pengertian Globalisasi (al-‘Awlamah) adalah hampir sama dengan
nilai Kesejagatan (al-‘Alamiyyah) yang dibawa oleh Islam, sebagaimana
disebutkan dengan jelas dalam Al-Quran: “Dan tiadalah Kami mengutus kamu
melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam” (Al-Anbiya’: 107).
2.
Namun, globalisasi dalam gambaran yang sangat ketara pada hari ini bererti
mem-baratkan dunia (Westernisation) atau meng-amerikakan dunia
(Americanisation), dengan tujuan untuk menguasai dunia di bawah satu ungkapan
yang lunak iaitu Globalisasi bagi menjayakan agenda pemaksaan pengaruh Amerika
dan Eropah ke seluruh dunia.
3.
Kini dunia hanya mengenali dua pendekatan ideologi ekonomi, sama ada dalam satu
negara atau antara negara, iaitu samada Liberal Kapitalisma atau Sosialisma.
Abad yang lalu kita menyaksikan keruntuhan ideologi sosialisma, sehingga kuasa
besar yang mendukungnya paling ekstrem seperti China dan Rusia serta negara
ikutannya melakukan pembaharuan kepada ekonomi bebas yang didukung oleh Liberal
Kapitalisma, sehingga yang dikatakan tabir besi dahulu sudah tidak ada lagi,
kerana semuanya sudah bergerak kepasaran bebas dalam aspek ekonomi.
4.
Kini kita menyaksikan tanda-tanda kegagalan liberal kapitalisma dengan krisis
ekonomi dunia yang kita juga ikut menumpang dan terpalit. Maka diciptakan
gagasan baru bernama TPPA, yang arkiteknya ialah Amerika, yang tidak boleh
diberi keyakinan dapat menyelamatkan ekonomi dunia, bahkan menjadi salah satu
punca masalah. Kalau kita menumpang bahtera ini kita akan bersama melakukan
kesilapan yang sama dan tenggelam bersama.
5.
Kita sama sama mengikuti ucapan Presiden Obama ketika menjelaskan kepentingan
TPPA kepada ekonomi Amerika. Jelasnya, TPPA akan menjadi penyelamat kepada
ekonomi Amerika dengan menjadikan peraturan perdagangan yang mereka tulis
sebagai terma yang dipaksakan ke atas Negara anggota blok TPPA bagi membantu
Amerika berdepan dengan perkembangan mendadak ekonomi negara besar China.
6.
Ini dapat dilihat berdasarkan negara anggota TPPA yang merentasi beberapa benua
bermula dari lautan Hindi ke Pasifik dan turut melibatkan negara anggota Asean
seperti Malaysia, Singapura dan Brunei. TPPA ingin mengukuhkan geopolitik dan
pengaruh Amerika di Asia Pasifik dan Laut China Selatan. Lebih-lebih lagi,
kedudukan Malaysia yang strategik amat penting untuk Amerika menguasai
sebahagian Selat Melaka dan kawasan tertentu di Laut China Selatan.
7.
TPPA adalah gagasan perdagangan berkonsepkan Liberal Kapitalisma yang diketuai
oleh barat yang pernah menjajah dengan gabungan kuasa ekonomi, politik dan
ketenteraan yang pernah membawa penderitaan ke seluruh pelusuk dunia. TPPA
adalah pembaharuan daripada Syarikat Hindia British dan Belanda yang pernah
menakluk rantau ini, menjajah tanahair, memperhambakan rakyat, dan mengangkut
hasil buminya.
8.
Hujah ini dikuatkan apabila merujuk kepada artikel 25.7 Perjanjian TPP menyebut
negara anggota TPPA perlu lebih telus dan bertukar-tukar maklumat negara. Kita
kena sedar ini satu bahaya besar terhadap keselamatan negara dan membuka ruang
kepada ancaman kuasa asing. Sejauh manakah Kerajaan Malaysia mampu mengawal
maklumat negara dari diserahkan kepada negara luar secara ‘halal’ sedangkan
negara anggota terpaksa akur dengan langkah perundangan? Benarlah TPPA akan
membuka ruang kepada kuasa asing mencampuri urusan dalaman negara dan menjajah
negara bermula dengan penguasaan ekonomi.
9.
Ideologi Liberal Kapitalisma masih menjadi ideologi yang dianut, maka
perjanjian yang dimeteraikan oleh gagasan ini tetap berkonsepkan ekonomi bebas
yang tidak beriman dan budiman, kerana konsep ekonomi bebas walau pun berpakat,
tetap berpandukan siapa cepat dia dapat, di atas nama menggalakkan kemajuan
ekonomi.
10.
Di samping itu, Langkah Perlindungan Sementara yang diperuntukkan hanya untuk
tempoh maksima 3 tahun sahaja. Selepas tamat tempoh itu, tiada lagi
perlindungan dibenarkan untuk melindungi industri tempatan dan pampasan
mestilah dibayar kepada pihak yang terjejas. Kesan daripada Perjanjian TPP ini
boleh membunuh industri tempatan.
11.
Pakatan ini, kita yang diajak, serta dengan draf perjanjian yang disediakan,
bermakna kita berpijak di atas asas landasan yang dibina oleh mereka yang
mengajak, dengan syarat-syarat dan tawaran yang mungkin sangat menarik hasilnya
pada zahir. Tetapi dalam perlumbaan berkonsepkan liberalisma ekonomi, sudah
tentu lapangannya lebih berpihak kepada mereka, kita hanya sekadar menumpang
kelajuan kenderaannya yang lebih besar dan canggih jenteranya, lebih laju
perjalanannnya dan sudah pasti kita bukan pemandunya yang asasi, apabila aset
mereka lebih besar, modal mereka lebih besar, pasaran mereka lebih besar.
12.
Ini terbukti apabila tidak semena-mena, dalam tempoh dua tahun selepas
perjanjian berat sebelah ini ditandatangani, kita terpaksa meminda tidak kurang
daripada 26 akta dan beberapa pekeliling atau aturan kerajaan di peringkat
Persekutuan dan Negeri, supaya mematuhi segala peraturan yang terkandung dalam
TPPA (patuh-TPPA). Inilah satu bentuk penjajahan undang-undang dan ekonomi yang
berselindung di balik tirai pemulihan demokrasi dan keterbukaan ekonomi, yang
wajib kita selaku Ahli Dewan Rakyat mempertahankan kedaulatan negara tercinta
ini.
13.
Ya ! , kita akan mendapat limpahan ekonomi yang kaya raya dengan sebab
menumpang, tetapi percayalah bahawa kita laksana kolam kecil yang membekalkan
air untuk kolam tasik yang besar melaut , akan menjadikan air kita surut
kering, kalau disedut, atau apabila dibuka tanpa sempadan air pasang tasiknya
boleh menggelamkan kita sehingga mati lemas.
14.
Segala-galanya berlaku nampaknya mudah di atas kertas, kerana Amerika yang
menjadi arkitek utama perjanjian ini menjanjikan gagasan ekonomi alaf baru,
berbeza dengan yang berlaku selama ini, kerana dikatakan sangat membantu negara
anggota. Pihak kita pula terus berkempen bahawa syarikat-syarikat tempatan akan
menembusi pasaran antara bangsa. Kebenarannya, percayalah bahawa ianya akan
bergantung kepada kemampuan kita berlumba dan bertanding dengan
syarikat-syarikat gergasi, kerana sifat perlumbaan adalah konsep ekonomi
liberal kapitalisma, ditambah pula dengan tidak ada akhlak.
15.
Malangnya lagi, Malaysia sudah tidak lagi boleh menentukan dasar cukai dan
duti, walaupun untuk kepentingan sendiri. Merujuk kepada perjanjian TPP, hanya
diperlukan 2 negara asing untuk memohon supaya duti Malaysia dikurangkan dan
Malaysia mesti akur dan patuh. Malaysia juga harus memberikan layanan kepada
pelabur asing setara dengan layanan yang diberikan kepada pelabur rakyat
Malaysia, sama rata dan tiada pilih kasih.
16.
Malah, hasil analisa pihak Price Waterhouse Coopers (PWC), konsultan yang
dilantik kerajaan bagi menjalankan kajian kos dan manfaat ekonomi terhadap
Malaysia mendapati kesan TPPA kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia tidaklah
terlalu signifikan – hanya menyumbang kenaikan 1.1% KDNK dan kenaikan 0.9%
eksport negara pada 2027, satu lonjakan yang sangat rendah dan tidak signifikan
kepada ekonomi negara yang perlu berkembang pada kadar 5%-7% setahun.
17.
Di samping itu, kajian PWC mendapati tiga sektor yang bakal mendapat kesan
negatif adalah industri yang menghadapi persaingan yang lebih sengit pasca-TPPA
seperti minyak & gas, minyak sawit, dan pembinaan, di mana sektor ini
merupakan penyumbang utama kepada ekonomi negara dan dikuasai syarikat
Bumiputera.
18.
Manakala, tiga sektor yang bakal mendapat manfaat pasaran terbuka di bawah TPPA
kelak adalah perniagaan yang berorientasikan eksport seperti tekstil, komponen
automotif, dan elektrikal & elektronik, di mana sektor ini kebanyakannya
dikuasai firma Amerika Syarikat dan Eropah.
19.
Semua syarat-syarat perjanjian adalah ditulis oleh mereka untuk mendapat
persetujuan kita, walaupun kita boleh tidak bersetuju, tetapi tentu sahaja
perundingan yang sebegitu besar jangkauannya itu mempunyai agenda tersembunyi
oleh kuasa besar. Kerisauan ini adalah berasas apabila meneliti perjanjian TPP
yang menyebut tentang satu entiti Penyelesaian Pertikaian Negara-Pelabur (ISDS)
akan memberi kesan dan membuka lebih ruang untuk Kerajaan Malaysia disaman
dengan alasan “keadilan dan kesamarataan”.
20.
Langkah-langkah perundangan yang terpaksa diakur oleh kerajaan Malaysia apabila
TPPA dilaksanakan juga adalah bercanggah dengan prinsip perundangan
antarabangsa yang sepatutnya bersifat sukarela dan atas dasar kontrak moral.
Ditambah pula, ianya nanti akan dikawal oleh undang-undang perdagangan antara
bangsa dan mahkamahnya adalah laksana sarang labah-labah. Akhirnya hanya dapat
menghukum syarikat syarikat kecil dari negara kecil seperti kita. Apakah
jaminan negara besar yang menjadi anggota boleh mematuhinya dan bersedia
diambil tindakkan undang-undang yang adil ?.
21.
Adalah lebih berhikmah kita membina gagasan ‘Masyarakat Madani Global’ bersama
negara serantau (Agenda 1-Asean) dan sesama negara Islam (Agenda 1-Ummah)
dengan konsep kita yang adil dan saksama. Kita bina kekuatan sendiri terlebih
dahulu dengan sumber kita, kemudian boleh bekerjasama dengan sesiapa sahaja di
seluruh pelusuk dunia, timur dan barat, bukan sahaja terikat dengan pintu TPPA
bahkan lebih banyak pintu yang boleh dimasuki dan dibuka tanpa ikatan dengan
sesiapa.
22.
Adalah lebih baik diperkenalkan konsep Islam kepada dunia, setelah kegagalan
sosialisma dan tanda kelemahan liberal kapitalisma. Di antaranya ialah penyakit
muamalah riba, senjata zionis yang sedang meruntuhkan ekonomi Amerika sendiri.
Inilah Firman Allah :
Wahai
orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah saki
baki riba, jika benar kamu orang- orang yang beriman. Oleh itu, kalau kamu
tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah
kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan RasulNya, (akibatnya kamu tidak
menemui selamat). Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya)
ialah pokok asal harta kamu. (Dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim
kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa. (Al-Baqarah:
278-279)
23.
Inilah kerja Tabung Kewangan Antara Bangsa (IMF) yang dibayangi Zionis dan
inilah juga urusan institusi kewangan yang memangkin TPPA bersama Amerika. Maka
TPPA adalah ibarat menjadikan negara anggotanya laksana tongkat untuk berdepan
dengan krisis ekonomi dan berdepan dengan gagasan kuasa besar ekonomi yang baru
iaitu China, Rusia dan kumpulannya dalam gagasannya, bukan untuk berpakat
secara saksama dan adil.
24.
Sepatutnya kerajaan kita menunaikan yang wajib terlebih dahulu daripada sumber
sendiri, iaitu mengolah hasil bumi kita dengan baik, dan bumiputera yang
menjadi sumber manusia terbesar, tetapi masih terkebelakang kerana program
pembangunan manusia yang salah, sehingga kaum bumiputera masih ketinggalan,
walaupun sudah merdeka lebih daripada setengah abad.
25.
TPPA tidak mampu menjadikan sumber kita untuk kemajuan kita sendiri, tetapi
lebih menjadi khadam atau abdi sekali lagi kepada pihak yang lebih besar dalan
konsep ekonomi liberal ini. Pembahagian kelas masyarakat dalam negara kapitalis
juga menjadi acuan dalam masyarakat antara Negara. Mereka sudah membahagikan
kepada Kumpulan Negara maju dan kumpulan yang dinamakan sedang membangun, dalam
konsep kapitalis tetap meneruskan sumber kekayaan berpusing di kalangan yang
kaya dan maju sahaja. Al Quran menyebut :
“Supaya
harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu.”
(Al-Hasyr: 7)
26.
Sepatutnya negara bekas tanah jajahan ini sedar dan insaf, betapa peranan yang
zalim daripada negara bekas penajah, sejak zaman mereka memerintah kita secara
langsung, sehinggalah selepas dikatakan kita sudah merdeka dan diletakkan di
dalam bakul bekas jajahan dengan berbagai nama yang disenaraikan dalam negara
sedang membangun yang tidak diizinkan bangun sendiri.
27.
Bersamalah kita selaku Ahli Dewan Rakyat yang bertanggungjawab ke atas
kepentingan negara, menghalang sebarang bentuk campurtangan asing dalam
menentukan urusan politik dan ekonomi tanahair, dengan menolak usul penyertaan
Malaysia ke dalam Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik ini, demi masa depan
negara dan generasi akan datang.
28.
Saya sangat yakin akan kemampuan kita untuk berdiri di atas kaki sendiri, dan
begitu optimis terhadap kebolehan yang ada di kalangan generasi muda negara,
untuk mencorak kejayaan di abad ini dan melakar kecemerlangan di masa akan
datang, mengikut acuan dan kebijaksanaan kita sendiri.
Sumber
: http://www.pas.org.my/kenyataan-berita/7442-mengapa-tppa-wajib-ditolak
1 comment:
Bukan shj TPPA wajib d tolak malah rejim Najib juga wajib d tolak. Sudah plbagai kerosakan dan kezaliman yg d lakukan olih rejim ini terhadap rakyat jelata.
Post a Comment