Sekiranya
anda pergi ke pasaraya dan mendapati ada
pihak-pihak tertentu membuka booth jualan rumah murah atau rumah mampu milik
dan sebagainya, jangan terus bersetuju untuk membelinya. Sebaik-baiknya
siasatlah dulu sama ada projek perumahan yang dijual itu sah dari segi
undang-undang dan mematuhi amalan guaman sebenar atau ianya meragukan. Jika
ianya meragukan, eloklah dielakkan.
Disini
disenaraikan 10 tips mudah untuk mengetahui sama ada projek perumahan itu sah
dari segi perundangan atau ianya satu projek perumahan atau skim yang
meragukan.
1. Syarikat Pemaju sesuatu projek perumahan
yang sah diwajibkan memaparkan nombor lesen pemajuan perumahan dan permit iklan
dan jualan dalam setiap iklan yang dibuat. Anda boleh semak dengan KPKT status
lesen dan permit tersebut . Sebaliknya, projek perumahan yang meragukan
biasanya tidak akan memaparkan nombor lesen pemajuan perumahan dan permit iklan
dalam iklan mereka.
2. Sesuatu projek perumahan yang sah
biasanya telah dikenalpasti lokasi sebenar dimana projek tersebut dibina. Ianya
juga biasanya telah mempunyai geran individu yang berasingan atau telah
mendapat kelulusan pembangunan oleh pihak berkuasa tempatan. Anda boleh minta
untuk lihat salinan geran individu projek perumahan tersebut atau semak dengan
bahagian perancang majlis daerah/ majlis perbendaran tentang kelulusan pembangunan projek
tersebut. Jika tiada, ianya mungkin satu projek perumahan yang meragukan dan
patut dielakkan.
3. Sesuatu projek perumahan yang sah
biasanya telah menetapkan harga yang seragam untuk setiap jenis rumah yang
dijual mengikut harga yang telah diluluskan oleh KPKT. Sebaliknya, sesuatu
projek perumahan yang meragukan akan menawarkan harga jualan yang mungkin
berubah-ubah antara seorang pembeli dengan pembeli yang lain.
4. Projek perumahan yang sah biasanya
terbuka kepada sesiapa sahaja untuk membelinya dan untuk membelinya,
pembeli tidak akan dikenakan
syarat-syarat menjadi ahli sesuatu kelab, persatuan, koperasi atau syarat-syarat lain yang tiada
bersangkutan dengan rumah yang dijual. Sebaliknya, projek perumahan yang
meragukan kebiasaannya menetapkan pelbagai syarat yang kadang kala tiada kaitan
pun dengan rumah yang dijual.
5. Pemaju sesuatu Projek perumahan yang sah
biasanya tidak akan meminta pembeli membayar booking atau deposit atau apa-apa
bayaran komitmen on the spot atau dengan tergesa-gesa. Pembeli biasanya akan
diberi tempoh yang munasabah untuk menjelaskan bayaran deposit. Dan bayaran
deposit hanya akan dibuat selepas perjanjian jual beli yang sah ditandatangani.
Sebaliknya, pemaju projek perumahan yang meragukan akan meminta pembeli membuat
bayaran deposit dengan serta merta dan
mungkin agak mendesak pembeli untuk berbuat demikian.
6. Pemaju sesuatu projek perumahan yang sah
akan menguruskan pembiayaan perumahan untuk pembeli di bawah skim pembiayaan
perumahan yang ditawarkan oleh bank-bank atau Bahagian Pinjaman Perumahan
Perbendaharaan Malaysia. Sebaliknya, pemaju projek perumahan yang meragukan,
akan meminta pembeli membuat pembiayaan peribadi dengan mana-mana bank tertentu
atau mana-mana koperasi tertentu atau mana-mana individu tertentu sahaja.
7. Pemaju sesuatu projek perumahan yang sah
membenarkan pembeli menggadaikan rumah yang dibeli kepada bank atau BPP sebagai
balasan terhadap pembiayaan yang diberikan. Tetapi sebaliknya, pemaju projek
perumahan yang meragukan tidak membenarkan rumah yang dibeli oleh pembeli
digadaikan. Sebaliknya segala bayaran hendaklah dibuat secara tunai sama ada
secara sekali gus atau beransur-ansur mengikut syarat yang telah ditetapkan.
8. Bayaran harga jual beli untuk projek
perumahan yang sah akan dibuat secara berperingkat-peringakt mengikut progress
pembinaan. Pembayaran hanya dibuat setelah mendapat pengesahan progress
pembinaan daripada Arkitek. Sebaliknya, projek perumahan meragukan akan
mensyaratkan pembeli membuat bayaran harga jual beli sekali gus atau
berperingkat mengikut ketetapan pihak mereka semata-mata.
9. Pemaju sesuatu projek perumahan yang sah
mempunyai kepakaran dan pengalaman dalam bidang pembinaan hartanah dan telah
mempunyai track record yang baik dalam pembinaan projek perumahan sebelum
daripada ini. Sebaliknya, pemaju projek perumahan yang meragukan mungkin tiada
pengalaman dalam bidang pembangunan hartanah atau baru sahaja ditubuhkan. Anda
boleh semak track record sesuatu pemaju perumahan dengan KPKT.
10. Sesuatu pemaju projek perumahan yang sah
kebiasaannya menggunkan pendekatan promosi yang sederhana dan biasa serta tidak
terlalu dilihat menunjuk-munjuk untuk menarik minat pembeli. Sebaliknya,
sesuatu pemaju projek perumahan meragukan akan cuba mempromosikan projek mereka
secara berlebih lebihan untuk menarik minat pembeli untuk membelinya.
Oleh;
SALKUKHAIRI ABD SUKOR
Presiden
Persatuan Guaman Hartanah Malaysia (HartaGuam)
1 comment:
Tq. Info yang baik dari hati yang tulus.
Post a Comment