hasbunallah

hasbunallah

Monday, September 7, 2015

Rehlah Ilmiah ke Fatani Darussalam (Bahagian II)

Catatan oleh Syed Nazmi bin Tuan Taufek al-Idruss & Mohd. Abd. Rashid bin Yah al-Kubrawiy.



28 Ogos 2015 (Jumaat)

“Kami telah memasuki waktu pagi dan kerajaan hanya milik Allah, segala puji hanya milik Allah, Tidak ada ilah yang berhak diibadahi dengan benar kecuali Allah yang Maha Esa, tidak ada sekutu bagiNYA. BagiNYA kerajaan dan bagiNYA segala pujian. Dialah yang Maha Kuasa atas segala sesuatu. Wahai Rabb, aku mohon kepadaMu kebaikan dihari ini dan kebaikan sesudahnya, Aku berlindung kepadaMU dari kejahatan dihari ini dan kejahatan sesudahnya. Wahai Rabb, Aku berlindung kepadaMU dari sifat malas dan kejelekan dihari tua. Wahai Rabb, Aku berlindung kepadaMU dari siksa Neraka dan siksa Kubur”. (HR. Muslim no.2723, Abu Dawud no. 5071, Tirmidzi no.3390 )

Semua ahli rombongan mula bangun seawal pukul 4.00 pagi (Thai) untuk bersiap-siap menunggu masuknya waktu subuh lebih kurang pukul 5.00 pagi (Thai). Masing-masing melakukan amalan fardiyah ketika menunggu masuknya waktu subuh.

Bacaan qasidah oleh palajar MIAH
Solat subuh kami di imamkan oleh Kiyai Haji Ali Badri Azmatkhan dengan bacaan yang mengasyikkan. Seusai solat dan wirid, atas permintaan Tuan Guru Baba Haji Sya’roni, pelajar MIAH memperdengarkan bacaan qasidah puji-pujian buat Baginda Rasul. Salah satu hiburan yang tidak melanggar syara’ dan boleh menambahkan kecintaan kepada Baginda Rasulullah kerana mencintai Allah dan Rasul itu merupakan suatu kewajipan.

قُلۡ إِن كَانَ ءَابَآؤُكُمۡ وَأَبۡنَآؤُڪُمۡ وَإِخۡوَٲنُكُمۡ وَأَزۡوَٲجُكُمۡ وَعَشِيرَتُكُمۡ وَأَمۡوَٲلٌ ٱقۡتَرَفۡتُمُوهَا وَتِجَـٰرَةٌ۬ تَخۡشَوۡنَ كَسَادَهَا وَمَسَـٰكِنُ تَرۡضَوۡنَهَآ أَحَبَّ إِلَيۡڪُم مِّنَ ٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ وَجِهَادٍ۬ فِى سَبِيلِهِۦ فَتَرَبَّصُواْ حَتَّىٰ يَأۡتِىَ ٱللَّهُ بِأَمۡرِهِۦ‌ۗ وَٱللَّهُ لَا يَہۡدِى ٱلۡقَوۡمَ ٱلۡفَـٰسِقِينَ 

Katakanlah (Wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda Yang kamu usahakan, dan perniagaan Yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal Yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara Yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk ugamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang Yang fasik (derhaka). (at-Taubah: 24)

Sambil menunggu sarapan pagi disiapkan oleh pihak Maahad, kami dibawa berjalan melihat sekitar Maahad. Menurut Baba Sya’roni, pondok tersebut juga menyediakan pondok khas untuk ibu tunggal dan orang tua. Berkebetulan ketika itu seorang ibu yang tua ada menjual manisan madu lebah. Beberapa orang ahli rombongan turut membeli madu lebah tersebut termasuklah Ustaz Abu Aswad.

Kenangan bersama Tuan Guru Baba Haji Sya'roni
Kami kemudiannya dijemput ke rumah Baba Sya’roni untuk bersarapan. Kami dihidangkan dengan menu nasi kerabu dan roti arab. Ia menarik selera saya, apatah lagi terdapatnya ulam petai. Memang menyelerakan. Banyak cerita yang dikongsikan semasa makan terutamanya pengalaman Tuan Guru Baba Haji Sya’roni dalam perjalanan hakikat. Dikatakan bahawa Tuan Buru Baba Haji Sya’roni ini merupakan seorang ahli hakikat yang mempunyai karomah.

Setelah semuanya selesai, sebelum berangkat kami sempat bergambar kenangan bersama Tuan Guru Baba Haji Sya’roni serta Ustaz Abu Aswad turut menyerahkan cenderahati tanda kenangan kepada Tuan Guru. Perpisahan kami itu ditinggalkan bersama petikan qasidah: 
 
رب فاجعل مجتمعنا ۰۞۰ غايته حسن الختام
واعطناما قد سألنا ۰۞۰ من عطاياك الجسام
واکرم الأراح منا ۰۞۰ بلقا خير الأنام

Maahad Ahmadiyah al-Islamiah @ Pondok Selor Anak Ayam
Seterusnya kami meneruskan perjalanan rehlah kami ini menuju ke Pondok Selor Anak Ayam atau Maahad Ahmadiyah al-Islamiah, Narathiwat. Kedatangan kami disambut oleh Baba Muhammad Lutfi Bin Haji Othman dan tenaga pengajar Maahad.

Dalam satu majlis ringkas, kami diberitahu bahawa pengasas Maahad ini adalah Tuan Guru Baba Haji Ahmad Bin Othman yang berasal dari Kelantan dan pernah belajar di Pondok atau Madrasah Ahmadiyah, Bunut Payong[1].

Taklimat ringkas oleh Baba Lutfi
Baba Lutfi memberitahu bahawa Maahad sekarang di pusat pengumpulan khazanah Islam termasuklah al-Quran lama dan kitab-kitab ulama dahulu. Pihak Kerajaan Turki telah datang untuk membuat kajian terhadap al-Quran lama yang terdapat disitu dan turut memberikan dana kepada Maahad untuk membina bangunan muzium bagi menyimpan khazanah berharga itu.

al-Quran tulisan tangan Syeikh Nuruddin ar-Raniry
Buat masa sekarang, tersimpan di Maahad tersebut lebih dari 30 naskhah al-Quran lama bertulisan tangan yang berusia ratusan tahun. Antara koleksi yang Quran yang terdapat disana seperti Quran tulisan tangan Syeikh Nuruddin ar-Raniri[2] yang ditulis pada tahun 1636 masihi dan Quran tulisan tangan al-Marhum a-Mukarram as-Syeikh Daud bin Abdullah al-Fatani[3] yang ditulis pada 1251 Hijriyah. Bahkan Kerajaan Turki turut menghantar beberapa naskhah Quran lama dari seluruh dunia termasuklah dari Eropah dan India ke Maahad ini untuk disimpan dan di jaga. Kesemua kos penjagaan, memeliharaan, baik pulik dan pembinaan muzium tersebut adalah ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Turki.

al-Quran tulisan tangan Syeikh Daud al-Fatani
Bukan itu sahaja, disana juga tersimpan banyak kitab-kitab lama tulisan tangan ulama-ulama terdahulu dalam pelbagai bidang ilmu yang masih belum dicetak. Kitab-kitab tersebut pada asalnya berada dalam jagaan ahli keluarga atau anak cucu penulis kitab tersebut yang kemudiannya diserahkan kepada pihak Maahad untuk disimpan dan di jaga.

Sebagaimana catatan Tuan Syed Nazmi al-Idruss, dalam ucapan balas, Ustaz Abu Aswad menyatakan tuahnya bangsa Melayu yang telah ditaqdirkan bagi menjaga Agama Islam dan ketuanan Islam di Nusantara ini. Syaikh Wan Ahmad Muhamad Zin al-Fatoni[4] salah seorang ulama Melayu yang menjawat jawatan penting di dalam Empayar Uthmaniah di kurun lalu, telah mengharumkan bangsa Melayu dengan ketinggian ilmunya. Bahkan keturunan ‘Azmat Khan telah memainkan peranan yang besar di dalam perkembangan Islam di bahagian Selatan Thai semenjak ratusan tahun lagi.  

Kitab mengenai wayang kulit
Saya berpeluang untuk melihat kitab-kitab lama tersebut yang ditulis oleh ulama dalam pelbagai disiplin ilmu seperti kitab membuat keris, kitab perubatan pembedahan, kitab membuat kapal, kitab penawar sihir, kitab pelayaran, kitab perjalanan, kitab falak, kitab pertanian, kitab wayang kulit dan banyak lagi yang tidak dapat saya sebutkan disini.

Menurut Baba Lutfi, pihak Maahad membuka kepada sesiapa sahaja yang berminat untuk membuat kajian berkaitan Quran, manuskrip dan kitab lama yang ada dalam simpanan mereka. Menurutnya lagi, pihak Universiti Malaya adalah antara universiti yang telah datang untuk membuat kajian berkaitan tersebut. Kiyai Haji Ali Badri Azmatkhan juga turut berjanji akan mendapatkan pertolongan universiti di Indonesia bagi mengkaji manuskrip lama yang tersimpan di Maahad.
Kitab mengenai perubatan sihir
Bukan itu sahaja, kami turut dimaklumkan bahawa Maahad itu juga turut menyimpan sejumlah peralatan lama tinggalan kerajaan lama yang memerintah Patani suatu ketika dulu. Antara yang menarik hati saya ialah, peralatan pembedahan ulama silam yang menimbulkan rasa kekaguman kerana ulama alam melayu juga mempunyai kitab pembedahan dan peralatan pembedahan tersendiri. Yang terbaru, pihak Maahad ada menerima sebuah meriam lama Patani yang masih dalam proses dikeluarkan dari dalam tanah.

Baba Lutfi menyatakan bahawa mereka kekurangan kepakaran dalam usaha untuk mengeluarkan barang lama dari perut bumi. Dalam perbincangan ringkas antara kami dan pihak Maahad, pada asasnya telah dapat satu persetujuan bahawa pihak MIAH akan memberikan bantuan dalam mengeluarkan meriam tersebut.

Baba Lutfi bin Haji Othman
Rasa berbunga dihati kerana berita tersebut bermakna bahawa akan ada trip seterusnya ke Patani bagi membantu pihak Maahad Ahmadiah al-Islamiah mendapatkan khazanah-khazanah lama.

Kami turut dibawa melihat kesemua khazanah yang tersimpan di Maahad tersebut. Semua ahli rombongan teruja melihat khazanah lama yang dipamerkan dalam ruangan yang terhad itu.

Sebelum berpisah, kami bergambar-gambar kenangan serta Ustaz Abu Aswad menyerahkan cenderahati kenangan dari pihak Miah kepada Baba Muhammad Lutfi. Kami akhiri pertemuan tersebut dengan doa dan petikan qasidah رب فاجعل مجتمعنا.

Bunting menyambut kedatangan kami
Kami seterusnya meneruskan perjalanan ke Maahad Tahfiz al-Quranilkarim, Bumbang, Jei-Nga yang terletak tidak jauh di Maahad Ahmadiah al-Islamiah. Tuan Guru Baba Haji Sya’roni juga turut serta bersama kami sejak kami bertolak dari pondok beliau lagi.

Kami disambut oleh Baba Sahnun Bueraheng, mudir Maahad tersebut. Maahad Tahfiz tersebut beroperasi disebuah lot kedai buat sementara waktu menantikan siap masjid yang masih dalam proses pembinaan atas sebidang tanah yang diwakafkan oleh Cikgu Zakaria. Bangunan baru adalah hasil sumbangan yang diusahakan oleh YBM Dato’ Dr Syed Salleh bin Syed Yusuf al-Zawawi dari Terengganu. Baba Sahnun Bueraheng meminta Ustaz Abu Aswad untuk meletakkan batu asas masjid tersebut. Ustaz Abu Aswad membacakan satu hadis:

ففي الصحيحين وغيرهما عن عثمان بن عفان رضي الله عنه سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول { من بنى مسجدا يبتغي به وجه الله بنى الله له بيتا في الجنة } .
Sesiapa yang membina sebuah masjid kerana Allah, nescaya Allah akan membinakan untuknya seumpamanya di syurga. (Riwayat Tirmizi)

Masjid yang masih dalam proses pembinaan
Kami seterusnya diraikan dalam satu majlis ringkas yang dimulakan dengan bacaan ayat suci al-Quran oleh dua orang pelajar Maahad tersebut yang telah mendapat tempat ketiga dalam pertandingan musabaqah. Kemudian bacaan qasidah dipersembahan oleh salah seorang tenaga pengajar Maahad Tahfiz tersebut.

Baba Sahnun Bueraheng
Dalam ucapan Baba Sahnun, beliau memberitahu bagaimana awal penubuhan Maahad Tahfiz tersebut. Beliau menyatakan bahawa Ustaz Abu Aswad adalah antara orang yang turut membantu beliau sehingga dapat membuka Maahad Tahfiz tersebut. Menurut beliau, Maahad Tahfiz tersebut membuka kelasnya hanya dua malam seminggu. Pelajarnya pula tidak menetap di Maahad Tahfiz tersebut. Bahkan mereka tinggal dirumah masing-masing dan turut bersekolah pada siang harinya di sekolah-sekolah biasa. Mereka hanya datang pada malam kelas tahfiz sahaja.

Dalam ucapan Ustaz Abu Aswad pula, beliau menjelaskan menekankan peranan keikhlasan dalam menginfaqkan jariah pada Jalan Allah swt. Sebelum seseorang berjaya mewakafkan jariahnya, dia sebenarnya telah berhasil mewakafkan perasaan, tubuh badannya dan kata masyarakat kepada Allah swt. Balasan bagi pewakaf adalah al-Jannah yang amat hebat balasannya daripada Allah swt sebagaimana firman Allah Taala:

۞ إِنَّ ٱللَّهَ ٱشۡتَرَىٰ مِنَ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ أَنفُسَهُمۡ وَأَمۡوَالَهُم بِأَنَّ لَهُمُ ٱلۡجَنَّةَ‌ۚ يُقَـٰتِلُونَ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ فَيَقۡتُلُونَ وَيُقۡتَلُونَ‌ۖ وَعۡدًا عَلَيۡهِ حَقًّ۬ا فِى ٱلتَّوۡرَٮٰةِ وَٱلۡإِنجِيلِ وَٱلۡقُرۡءَانِ‌ۚ وَمَنۡ أَوۡفَىٰ بِعَهۡدِهِۦ مِنَ ٱللَّهِ‌ۚ فَٱسۡتَبۡشِرُواْ بِبَيۡعِكُمُ ٱلَّذِى بَايَعۡتُم بِهِۦ‌ۚ وَذَلِكَ هُوَ ٱلۡفَوۡزُ ٱلۡعَظِيمُ (١١١)

Sungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan Syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual belinya itu dan (ketahuilah bahawa) jual beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar. (at-Tawbah: 111)

Menikmati hidangan
Kami dijamu dengan hidangan ringan berupa pulut berinti dan buah-buahan. Sebelum berpisah, Ustaz Abu Aswad menyerahkan cenderahati kepada Baba Sahnun dan akhiri pertemuan tersebut dengan bacaan beberapa rangkap qasidah رب فاجعل مجتمعنا.

Papan tanda Masjid Wadi al-Husein
Kami agak berkejaran menuju Masjid Wadi Hussein, Teluk Manok[5] untuk solat Jumaat di sana. Ketika kami sampai, waktu zohor baru sahaja masuk dan azan berkemundang dicorong pembesar suara. Kami bergegas mengambil wudhuk di kolah yang terletak di hadapan masjid.

Berdasarkan catatan Tuan Syed Nazmi al-Idruss, Khutbah yang disampaikan secara teks dibaca sepertimana Bahasa Melayu di Malaysia, tiada pelat daerah. Ia berkisar tentang pengharaman penagihan najis dadah dan penyalah-gunaannya di dalam masyarakat tempatan dan merayu supaya diambil perhatian dan tindakan yang sewajarnya daripada masyarakat dan ibu bapa.
Masjid Wadi al-Husein, Telok Manok

Selepas solat Jumaat, kami terus jamak Asar di Masjid Telok Manok. Kemudian Ustaz Abu Aswad memberikan penerangan mengenai sejarah Masjid Wadi Hussien Telok Manok tersebut. Saya sudah beberapa kali sebelum ini melawat masjid tersebut. Setiap kali saya ke Patani, Masjid Telok Manok adalah persinggahan wajib saya.

Wadi al-Husein
Para ahli rombongan terutamanya pelajar MIAH kelihatan teruja dengan penerangan Ustaz Abu Aswad. Mereka juga mengambil kesempatan untuk meninjau sendiri masjid tersebut termasuklah menara azan. Suatu ketika dulu, Wadi yang terdapat disisi masjid tersebut merupakan tempat saya mandi setiap kali singgah ke Telok Manok. Tapi sekarang tidak lagi kerana wadi tersebut tidak dijaga dengan baik dan agak kotor.

Bergambar kenangan di Masjid Wadi al-Husein
Setelah bergambar untuk kenangan di Masjid Telok Manok tersebut, kami bertolak ke Kampung Use (Usang/ Lama) untuk menziarahi kubur almarhum Saiyid Hussien Senawi[6] yang terletak hampir 10 km dari Masjid Wadi Hussien Telok Manok. Kuburnya terletak dipinggir kebun getah dan bas rombongan kami tidak dapat memasukinya dengan rapat kerana jalan ke sana agak sempit. Jadi pelajar MIAH terpaksa diangkut dengan Hilux.

Kami berteleku dikubur almarhum Saiyid Hussien Senawi buat seketika serta berdoa agar Allah swt letakkan roh beliau bersama dengan golongan terpilih dan juga semoga kami mengikuti jejak langkah beliau.

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ أَهْلَ الدِّيَارِ مِنَ الْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُسْلِمِيْنَ، وَإِنَّا إِنْ شَاءَ اللهُ بِكُمْ لاَحِقُوْنَ [وَيَرْحَمُ اللهُ الْمُسْتَقْدِمِيْنَ مِنَّا وَالْمُسْتَأْخِرِيْنَ] أَسْأَلُ اللهَ لَنَا وَلَكُمُ الْعَافِيَةَ.[7]
اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِسيد حسين سناوي وَارْفَعْ دَرَجَتَهُ فِي الْمَهْدِيِّيْنَ، وَاخْلُفْهُ فِيْ عَقِبِهِ فِي الْغَابِرِيْنَ، وَاغْفِرْ لَنَا وَلَهُ يَا رَبَّ الْعَالَمِيْنَ، وَافْسَحْ لَهُ فِيْ قَبْرِهِ وَنَوِّرْ لَهُ فِيْهِ.[8]
اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُ وَارْحَمْهُ وَعَافِهِ وَاعْفُ عَنْهُ، وَأَكْرِمْ نُزُلَهُ، وَوَسِّعْ مَدْخَلَهُ، وَاغْسِلْهُ بِالْمَاءِ وَالثَّلْجِ وَالْبَرَدِ، وَنَقِّهِ مِنَ الْخَطَايَا كَمَا نَقَّيْتَ الثَّوْبَ اْلأَبْيَضَ مِنَ الدَّنَسِ، وَأَبْدِلْهُ دَارًا خَيْرًا مِنْ دَارِهِ، وَأَهْلاً خَيْرًا مِنْ أَهْلِهِ، وَزَوْجًا خَيْرًا مِنْ زَوْجِهِ، وَأَدْخِلْهُ الْجَنَّةَ، وَأَعِذْهُ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ وَعَذَابِ النَّارِ.[9]
اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِحَيِّنَا وَمَيِّتِنَا وَشَاهِدِنَا وَغَائِبِنَا وَصَغِيْرِنَا وَكَبِيْرِنَا وَذَكَرِنَا وَأُنْثَانَا. اَللَّهُمَّ مَنْ أَحْيَيْتَهُ مِنَّا فَأَحْيِهِ عَلَى اْلإِسْلاَمِ، وَمَنْ تَوَفَّيْتَهُ مِنَّا فَتَوَفَّهُ عَلَى اْلإِيْمَانِ، اَللَّهُمَّ لاَ تَحْرِمْنَا أَجْرَهُ وَلاَ تُضِلَّنَا بَعْدَهُ.[10]
اَللَّهُمَّ إِنَّ سيد حسين سناوي فِيْ ذِمَّتِكَ، وَحَبْلِ جِوَارِكَ، فَقِهِ مِنْ فِتْنَةِ الْقَبْرِ وَعَذَابِ النَّارِ، وَأَنْتَ أَهْلُ الْوَفَاءِ وَالْحَقِّ. فَاغْفِرْ لَهُ وَارْحَمْهُ إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ.[11]
اَللَّهُمَّ عَبْدُكَ وَابْنُ أَمْتِكَ احْتَاجَ إِلَى رَحْمَتِكَ، وَأَنْتَ غَنِيٌّ عَنْ عَذَابِهِ، إِنْ كَانَ مُحْسِنًا فَزِدْ فِيْ حَسَنَاتِهِ، وَإِنْ كَانَ مُسِيْئًا فَتَجَاوَزْ عَنْهُ.[12]

Semoga kesejahteraan untukmu, wahai penduduk kampung (Barzakh) dari orang-orang mukmin dan muslim. Sesungguhnya kami –insya Allah- akan menyusulkan, kami mohon kepada Allah untuk kami dan kamu, agar diberi keselamatan (dari apa yang tidak diinginkan).

Kubur Sayyid Husien Senawi (Tok Teluk Manok)
Ya Allah! Ampunilah Saiyid Hussien Senawi, angkatlah derajatnya bersama orang-orang yang mendapat petunjuk, berilah penggantinya bagi orang-orang yang ditinggalkan sesudahnya. Dan ampunilah kami dan dia, wahai Tuhan, seru sekalian alam. Lebarkan kuburannya dan berilah penerangan di dalamnya.

Mendoakan kesejahteraan ahli kubur
Ya Allah! Ampunilah dia, berilah rahmat kepadanya, selamatkanlah dia (dari beberapa hal yang tidak disukai), maafkanlah dia dan tempatkanlah di tempat yang mulia (Syurga), luaskan kuburannya, mandikan dia dengan air salju dan air yang dingin. Bersihkan dia dari segala kesalahan, sebagaimana Engkau membersihkan baju yang putih dari kotoran, berilah rumah yang lebih baik dari rumahnya (di dunia), berilah keluarga (atau istri di Surga) yang lebih baik daripada keluarganya (di dunia), istri yang lebih baik daripada istrinya, dan masukkan dia ke Syurga, jagalah dia dari seksa kubur dan Neraka.

Ya Allah! Ampunilah kepada orang yang hidup di antara kami dan yang mati, orang yang hadir di antara kami dan yang tidak hadir, laki-laki maupun perempuan. Ya Allah! Orang yang Engkau hidupkan di antara kami, hidupkan dengan memegang ajaran Islam, dan orang yang Engkau matikan di antara kami, maka matikan dengan memegang keimanan. Ya Allah! Jangan menghalangi kami untuk tidak memperoleh pahalanya dan jangan sesatkan kami sepeninggalnya

Ya, Allah! Sesungguhnya Saiyid Hussien Senawi ini dalam tanggunganMu dan tali perlindunganMu. Peliharalah dia dari fitnah kubur dan seksa Neraka. Engkau adalah Maha Setia dan Maha Benar. Ampunilah dan belas kasihanilah dia. Sesungguhnya Engkau, Tuhan Yang Maha Pengampun lagi Penyayang.

Ya, Allah, ini hambaMu, anak hambaMu perempuan (Hawa), memerlukan rahmatMu, sedang Engkau tidak perlu untuk menyiksanya, jika ia berbuat baik tambahkanlah dalam amalan baiknya, dan jika dia orang yang salah, lewatkanlah dari kesalahan-nya.

Hidangan di Telok Manok
Kemudian kami dijamu dengan hidangan nasi minyak yang cukup menyelerakan bersama ulam di iringi bacaan qasidah oleh pelajar-pelajar MIAH. Ramai orang kampung yang datang menyambut kedatangan kami di situ. Satu adat dan sifat baik orang Patani ialah mereka amat memuliakan tetamu dan tidak akan membiarkan tetamu balik dengan perut kosong. Mereka mesti akan menjamu para tetamu yang datang walaupun dengan makanan yang simple sahaja. Pertemuan kami diakhiri dengan qasidah doa رب فاجعل مجتمعنا.

al- Alim al-Wara' Tuan Guru Baba Haji Ismail Bin Omar
Destinasi ziarah kami seterusnya ialah Maahad Darul Muhajirin, Spanjang untuk menemui al-Alim al-Wara’ Tuan Guru Baba Haji Ismail Bin Omar atau lebih dikenali dengan Baba Eil Spanjang[13].

Dipertengahan jalan menuju ke Pondok Darul Muhajirin, Baba Hassan menjemput kami untuk singgah ke rumah beliau terlebih dahulu. Beliau ingin memperkenalkan kami rumah tempat tinggal beliau selama ini. Kami dijamu dengan bubur, pulut dan buah-buahan.

Tepat jam 17.45 (16.45 WT) kami sampai di Maahad Darul Muhajirin sewaktu hari sudah hampir gelap. Kami terus menuju ke rumah Baba Haji Ismail dan ketika itu kami lihat Baba sedang berdiri di muka pintu rumah. Beliau menyuruh kami terus ke masjid pondok sahaja kerana perjumpaan bersama rombongan kami akan diadakan di sana. Tambahan pula, rombongan kami ini ramai. Sudah tentu terpaksa bersesak-sesak kalau perjumpaan di adakan di rumah beliau.
Tuan Guru Baba Hj Ismail memberikan tausiyah

Kami menunggu kehadiran Tuan Guru Baba Ismail Spanjang atas masjid. Ini adalah kali pertama saya datang ke pondok beliau dan kali pertama akan berhadapan secara terus dengan beliau walaupun sebelum ini saya telah lama mengikuti kuliyah beliau melalui rakaman video dan audio.

Ustaz Abu Aswad mempengerusikan majlis kemudian menjemput KH Ali Badri Azmatkhan untuk memberikan ucapan aluan sebagai wakil rombongan. Berdasarkan catatan Tuan Syed Nazmi al-Idruss, KH Ali Badri memperkatakan mengenai bagaimana keturunan Syaikh Ibrahim al-Hadrami bin Sayid Jamaludin al-Kubra yang berkawin dengan anak Raja Kemboja Rakmawati berkembang-biak di Nusantara sehigga sekarang. Kemudian majlis diserahkan kepada Tuan Guru Baba Haji Ismail bin Omar Spanjang bagi memberikan sedikit tausiyah buat kami.
Add caption
Sebagaimana yang dicatatkan juga oleh Tuan Syed Nazmi al-Idruss, dalam tazkirahnya Baba Ismail membukanya dengan wasiat bertaqwa kepada Allah swt dan mentaati pemimpin yang diamanahkan sekalipun dia berkulit hitam. Demikian juga dipinta agar dipelajari nasab keluarga sendiri untuk menghubungkan silaturrahim.

Baba Ismail memberitahu beliau hanya tahu dia dari keturunan keempat dari dalang wayang sehinggalah datangnya Syaikh Rohimuddin Nawawi al-Bentani al-Azmatkhan[14] bertemu dengannya menceritakan nasab keturunannya yang bernasabkan Azamat Khan. Beliau masih lagi mempunyai kaum kerabat dan ahli keluarga di Demak.

Baba Ismail juga berpesan, setiap pelajar hendaklah menjadi sebagai seorang “muslih” (pendamai). Ini berdasarkan ayat
( إنماالمؤمنون اخوة فأصلحوا بين أخويكم  )
dan riwayat ‘Bukanlah pendusta orang yang mendamaikan antara manusia
  ليس بالكذاب من يصلح بين الناس)  ).
Perselisihan memang tidak dapat dielakkan, bahkan dianjurkan untuk berislah, tapi perpecahan ( تفرق – افتراق ) yang juga membawa pengertian berparti adalah perkara yang tidak baik kerana ia membawa kepada usaha inginkan berpecah dan tidak bersatu. Ia dari wazan ( تكلف ) yang membawa makna usaha untuk melakukan perpecahan.

Berlainan makna ‘mazhab’ yang berasal dari sebatang pohon sahaja tetapi mempunyai banyak cabangnya. Tetapi furqah ( فرقة ) adalah dari banyak pohon, kerana itu ia amat wajib dijauhi. Untuk menjadi seorang muslih, janganlah diambil pendekatan parti.    

Nasihat dalam agama berasal dari makna menapis, kerana itu tapisan para daie hendaklah bersih lagi elok dengan diambil pendekatan ( ابدأ بنفسك  ) ‘mulakan dari dirimu’. Justeru, lawan akan menjadi kawan. Sekiranya terdapat sekatan di dalam perjalanan dakwah, ikhtiarlah jalan-jalan lain lagi yang akan membawa kepada kejayaan.

Tuan Syed Nazmi al-Idruss bersama anak saudaranya
Kemudian Baba Ismail mengucapkan selamat meneruskan perjalanan kepada kami setelah bersalaman dengan beliau sambil diiringi doanya yang mengusik kalbu. Sebelum berpisah, kami berpeluang untuk bergambar kenang-kenangan dengan Baba Ismail. Ketika itu, Tuan Syed Nazmi al-Idruss mengambil kesempatan untuk menemui anak saudara beliau yang sudah tiga tahun memondok disitu. Kami keluar dari pagar Pondok Darul Muhajirin pada jam 19.15 (18.15 WT) menuju ke pondok seterusnya untuk bermalam di sana.

Bacaan qasidah burdah oleh pelajar MIAH di Pondok Takeh
Kami meneruskan perjalanan ke Pondok al-Madrasah al-Nasiriah al-Islamiah ( المدرسة الناصرية الإسلامية ), Takeh, Fathoni atau lebih dikenali dengan Pondok Takeh. Rombongan kami sampai di sana pada jam 19.45 malam disambut  oleh pelajar Pondok dan Baba Sabri serta Baba Husain.

Setelah menunaikan solat Jama’ dan Qasar di rumah tetamu pondok, atas permintaan pihak pondok diadakan majlis Hadrah dan Burdah yang disampaikan oleh pelajar MIAH bersama kesemua hadirin dan pelajar Pondok Takeh.

Setelah itu, kami dihidangkan makan malam yang disediakan oleh pihak Pondok. Salah satu hidangan istimewa yang menarik selera saya ialah sup herba serati serta ulam.  Kami bermalam di sebuah rumah khas untuk para tetamu Pondok yang mempunyai tiga bilik besar.
«اللَّهُمَّ رَحْمَتَكَ أَرْجُو، فَلَا تَكِلْنِي إِلَى نَفْسِي طَرْفَةَ عَيْنٍ، وَأَصْلِحْ لِي شَأْنِي كُلَّهُ، لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ»
Ya Allah, hanya rahmat-Mu yang aku harapkan, maka janganlah Engkau menyerahkan aku kepada diriku sendiri meski hanya sekejap mata dan perbaikilah seluruh urusanku. Tiada Ilah Yang berhak disembah selain Engkau.[15]


[1] Haji Abdullah Tahir bin Haji Ahmad atau lebih dikenali Haji Abdullah Tahir Bunut Payong sebagai merupakan salah seorang ulama besar Negeri Kelantan yang masyhur alim dalam ilmu fiqh. Haji Abdullah Tahir dilahirkan di Kg. Sireh, Kota Bharu pada 20 Muharram 1315 bersamaan 20 Jun 1897 , bapanya Hj. Ahmad Mohd Zain yang berasal dari Kg. Chepa, Kedai Lalat pernah berkhidmat sebagai Imam Tua di Masjid Langgar , Kota Bharu (berkhidmat sehingga 1920).

Haji Abdullah Tahir merupakan pengasas Pondok Bunut Payong yang terkenal ke seluruh Semenanjung itu. Haji Abdullah Tahir merupakan ulamak seangkatan dengan Haji Ali Pulau Pisang, Haji Yaakub Lorong Gajah Mati, Haji Saad Kangkong, Haji Ahmad Batu Tiga Repek, Haji Saleh Pedada dll.

Haji Abdullah Tahir pernah berguru selama 15 tahun dengan Tok Kenali, sebelum belayar ke Tanah Suci Makkah mendalami pengajiannya . Antara lain, beliau mengikuti kuliah Tuan Mukhtar Bogor, Syeikh Said al-Yamani, Syeikh Mohd. Ali al-Maliki dan beberapa tokoh yang lain lagi.

Sekembali ke Kelantan, beliau diminta menyertai kumpulan tenaga pengajar Halaqat Kitab di Masjid Muhammadi, Kota Bharu. Bagaimanapun, khidmatnya tidak lama kerana pada 1931, beliau memulakan kegiatan keguruannya sendiri di Bunut Payong yang diberi nama Madrasah Ahmadiah. Madrasah ini kemudian terkenal ke seluruh pelosok Semenanjung Melayu sebagai pusat pengajian pondok yang berprestasi tinggi di Kelantan.

Di Pondok Bunut Payong inilah Tuan Guru Haji Abdullah Tahir mengajar kitab hingga ke akhir hayatnya. Beliau terkenal sebagai seorang tok guru yang tekun mengajar serta mengamalkan disiplin diri yang keras lagi tegas. Kerana kegigihannya yang sedemikian maka tidak peliklah jika Pondok Bunut Payong berjaya melahirkan ramai murid berilmu tinggi seperti Hj. Husian Rahimi, Hj. Nik Man Sungai Budor, Hj. Abdul Aziz Pasir Tumboh, Hj. Ismail Padang Lepai, Hj. Abdullah Kok Lanas, Hj. Omar Bemban, Hj. Abdul Rahman Slow Machang, Hj. Wook Lubok Chekok, Hj. Noor Teliar, Hj. Sulaiman Siram, Hj. Daud Bukit Bunga, Hj. Yaakub Kelong, Hj. Ghazali Pulai Chondong, HJ. Zakaria Selising, Hj. Osman Perlis, Hj. Ahmad Kodiang, Hj. Yahya Joned Gurun , Hj. Ibrahim Bongek , Hj. Abdul Wahid Sungai Udang, Hj. Husain Umbai, Hj. Ahmad Relai, Hj. Hasanuddin Berhala Gentang, Hj. Ismail Phuket, Hj. Ghazali Mundok.

Kerana ketokohannya juga beliau di lantik menganggotai Jemaah Ulama Majlis Agama Islam Kelantan beberapa penggal (seawal 1932). Kematian fuqaha ini pada pukul 7.20 pagi.  Selasa 4 Rabiulawal 1381 bersamaan 15 Ogos 1961 menyebabkan Negeri Kelantan kehilangan seorang tokoh ilmuan yang menerangi budaya ilmu dan dakwah. 
[2]  Syeikh Nuruddin Muhammad ibnu 'Ali ibnu Hasanji ibnu Muhammad Hamid ar-Raniri al-Quraisyi) adalah ulama penasihat Kesultanan Aceh pada masa kepemimpinan Sultan Iskandar Tsani (Iskandar II). Syaikh Nuruddin diperkirakan lahir sekitar akhir abad ke-16 di kota Ranir, India, dan wafat pada 21 September 1658. Pada tahun 1637, ia datang ke Aceh, dan kemudian menjadi penasihat kesultanan di sana hingga tahun 1644.

Ar Raniri memiliki pengetahuan luas yang meliputi tasawuf, kalam, fikih, hadis, sejarah, dan perbandingan agama. Selama masa hidupnya, ia menulis kurang-lebih 29 kitab, yang paling terkenal adalah "Bustanus al-Salatin". Namanya kini diabadikan sebagai nama perguruan tinggi agama (IAIN) di Banda Aceh.

Dia di katakan telah berguru dengan Sayyid Umar Abu Hafs b Abdullah Basyeiban yang yang di India lebih dikenal dengan Sayyid Umar Al-Idrus adalah khalifah Tariqah Al-Idrus BaAlawi di India. Ar-Raniri juga telah menerima Tariqah Rifaiyyah dan Qodiriyyah dari guru dia. Putera Abu Hafs yaitu Sayyid Abdul Rahman Tajudin yang datang dari Balqeum, Karnataka, India pula telah bernikah setelah berhijrah ke Jawa dengan Syarifah Khadijah, puteri Sultan Cirebon dari keturunan Sunan Gunung Jati.

Ar-Raniri dikatakan pulang kembali ke India setelah dia dikalahkan oleh dua orang murid Hamzah Fansuri pada suatu perdebatan umum. Ada riwayat mengatakan dia meninggal di India.
[3] NAMA penuh beliau ialah al-Alim Allamah al-Arif ar-Rabbani Syeikh Wan Daud bin Syeikh Wan Abdullah bin Syeikh Wan Idris (juga dikatakan Wan Senik) al-Fatani. Ibunya bernama Wan Fathimah anak Wan Salamah bin Tok Banda Wan Su bin Tok Kaya Rakna Diraja bin Andi (Faqih) Ali Datok Maharajalela bin Mustafa Datu Jambu (Sultan Abdul Hamid Syah) bin Sultan Muzaffar Waliullah bin Sultan Abu Abdullah Umdatuddin.

Beliau yang lebih dikenali dengan panggilan Tok Syeikh Daud Patani ini mempunyai lima beradik iaitu Syeikh Wan Abdul Qadir, Syeikh Wan Abdul Rasyid, Syeikh Wan Idris dan seorang adik perempuan namanya Siti Khadijah bin Abdullah al-Fathani.

Syeikh Daud al-Fathani adalah keturunan Faqih Ali. Rujukan asal yang mengatakan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani berketurunan Faqih Ali diperolehi tulisan Nik Mahmud Perdana Menteri Paduka Raja Kelantan iaitu: “Syahdan dan pada suatu masa bulan sedang mengambang di tepi langit, tersebutlah cerita anak raja Bugis lari daripada saudaranya menumpang sebuah bahtera sampai ke Johor dan tumpang duduk berkirim diri rumah Laksamana Kota Tinggi, dipanggil Andik Ali.

“Tatkala Laksamana memandang kepadanya berasalah kasihan belas dan dipeliharanya sebagai anak angkatnya sendiri. Tidak berapa tahun kemudian diperjodohkan dengan anaknya Wan Tija. Tidak berapa lama selepas itu Andik Ali serta dengan isterinya pun beredar ke Patani menumpang di rumah Mekong Damit Kampung Bira pada tahun 1049 H.

“Maka kerana lemah lembut tingkah lakunya dan berpelajaran orang di Patani memanggilnya Faqih Ali. Di situ ia beristeri kepada Ce' Dewi anak Sri Biji Diraja. Baginda sampai di Patani kira-kira tahun 1637 M”.

Berbalik kepada Syeikh Daud al-Fathani, beliau dilahirkan di Kampung Parit Marhum, Kerisek, Patani. Kota Kerisek ini terkenal dalam sejarah kerana di sinilah Maulana Malik Ibrahim iaitu salah seorang Wali Songo pernah tinggal dan mengajar, sebelum berpindah ke Jawa Timur.

Tahun kelahirannya tidak dapat dipastikan kerana terdapat perselisihan pendapat di kalangan penyelidik mengenainya. Dalam catatan-catatan beberapa keluarga Tuan Guru Wan Muhammad Saghir yang ada hubungan dengan beliau, ada yang mencatat tahun 1133 H, 1153 H dan tahun 1183 H.

Sheikh Daud al-Fathani wafat dan dimakamkan di Taif. Kuburnya bersampingan dengan kubur Saidina Abdullah bin Abbas iaitu sepupu Rasulullah s.a.w.. Tahun kewafatannya juga belum diketahui dengan pasti. Tetapi ada yang berpendapat beliau wafat sekitar tahun 1847 M, juga ada yang menyebut tahun 1265 H.

Menurut cerita ibu Tuan Guru Haji Wan Muhammad Saghir, Hajah Wan Zainab binti Syeikh Ahmad al-Fathani, beliau mendengar daripada ibunya, Hajah Wan Siti Saudah binti Abdullah bahawa jenazah beliau telah dipindahkan oleh Sheikh Nik Mat Kecik al-Fathani ke Mekah, ditanam di bawah pohon Bedara di rumahnya.
[4] Wan Ahmad bin Muhammad Zain (1856 - 1908) atau lebih dikenali sebagai Syeikh Wan Ahmad Patani merupakan salah seorang tokoh ulamak di nusantara yang terkemuka.
Wan Ahmad bin Muhammad Zain atau nama penuhnya Syaikh Wan Ahmad bin Muhammad Zain merupakan salah seorang daripada ulamak Melayu yang bertanggung jawab mengembangkan syiar Islam di nusantara.

Kedudukan nusantara diantara jalan perdagangan tanah Arab dengan negara China merupakan peluang yang membenarkan kawasan nusantara menjadi satu kuasa bertaraf antarabangsa yang dipengaruhi oleh idea dan kebudayaan daripada bangsa Arab, India dan China.

Mereka yang bertaraf ulamak biasanya pernah melanjutkan penggajian ke Semenanjung Arab seperti di Mekah, atau Universiti Al-Azhar. Di sana mereka juga terdedah kepada kebudayaan Parsi, Rom dan Turki sebagaimana yang dapat dikesan dalam sastera golongan istana seperti Hikayat Amir Hamzah, dan juga oleh kebudayaan China seperti mana yang terdapat dalam Hikayat Hang Tuah, dan Syair Siti Zubaidah.

Pengetahuan ugama dan politik dunia ini menjadikan mereka seseorang yang berpengaruh sekembalinya mereka ke nusantara ketika itu.

Dilahirkan di Kampung Jambu, Negeri Jerim, Patani pada 10 April 1856 dengan nama Syeikh Wan Ahmad bin Wan Muhammad Zain bin Wan Mustafa bin Wan Muhammad bin Wan Muhammad Zainal Abidin, Syeikh Ahmad al-Fathani disifatkan sebagai pemikir terbesar dunia Melayu dalam semua aspek merangkumi dunia dan akhirat. Kajian dan penyelidikan mendapati beliau menguasai 47 bidang ilmu termasuk politik, ekonomi, seni, budaya dan pentadbiran.

Wan Ahmad al-Fathani mempunyai sejarah berliku dan mencabar dalam usahanya untuk belajar dan menyebarkan ilmunya. Pada peringkat awal, beliau dibimbing oleh bapanya sendiri. Wan Muhammad Zain al-Fatani dan kemudian, berguru dengan bapa saudaranya, Syeikh Wan Abdul Kadir Wan Mustafa.

Pada usia empat tahun, berhijrah ke Makkah kerana mengikuti ibu bapanya ke sana untuk mencari ilmu agama. Justeru, beliau dibesarkan dalam budaya menuntut ilmu. Di Makkah, beliau berkesempatan bergaul dengan ramai alim ulama. Kecerdasan otaknya terserlah pada usia yang muda iaitu 12 tahun. Dari Makkah, beliau ke Baitulmaqdis untuk menyambung pelajaran dalam bidang kedoktoran dan seterusnya ke Mesir.

Ketika di Baitulmaqdis dan Mesir, beliau mula mengarang kitab. Pada usia belum mencecah 30 tahun, ilmu pengetahuannya begitu tinggi hingga tiada guru yang sanggup mengambilnya sebagai anak murid. Kepakarannya dalam bahasa Arab menarik minat Raja Makkah ketika lalu beliau dilantik sebagai ahli bahasa kerajaan.

Beliau mendirikan rumah tangga dengan anak saudara Syeikh Nik Mat Kecik iaitu Siti Saudah Wan Abdullah dan dikurniakan tiga anak, Wan Ismail Qadhi, Wan Fatimah dan Wan Zainab.

Wan Syeikh Ahmad al-Fathani meninggal dunia pada malam Rabu, 11 Zulhijah 1325 bersamaan 14 Januari 1908. Tahun ini genap 100 tahun, beliau meninggal dunia mengikut takwim Islam.

Pengkaji sejarah ulama Nusantara, almarhuam Tuan Guru Wan Mohd Shaghir Abdullah, berkata: Syeikh Ahmad al-Fathani mempunyai pengaruh besar dalam penggalian dan penyebaran pelbagai disiplin ilmu di Nusantara, khususnya ‘Alam Melayu’.

Katanya, hal itu tidak menghairankan kerana beliau suatu ketika dulu pernah berada pada tahap nombor dua penting di Makkah selepas ulama Arab.

“Mereka paling ramai mengajar di Masjidil Haram dan Syeikh Ahmad al-Fathani tidak terkecuali daripada senarai itu.

“Syeikh Ahmad al-Fathani mempunyai kehebatan tersendiri. Contohnya, beliau pernah dipilih oleh ulama Makkah untuk menjadi orang tengah dalam pertikaian khilafiah antara Syeikh Muhamad Abduh dengan Syeikh Yusuf Nabhani di Beirut,” kata.

Syeikh Ahmad al-Fathani hidup dalam masa peralihan antara zaman klasik dengan moden. Beliau mengajar belajar dan bergaul dengan ulama tradisional dan sempat pula hidup dalam awal dunia moden, bergaul dan berdialog atau bertukar-tukar fikiran dengan tokoh reformasi/tajdid dunia Islam.

Wan Mohd Shaghir, cucu kepada Syeikh Ahmad al-Fathani, yang juga tokoh ilmuwan dalam dunia manuksrip klasik Melayu, berkata datuknya menguasai 47 bidang ilmu pengetahuan. Katanya, antaranya adalah pemikiran dan penulisan mengenai Islam serta Melayu; penerbitan kitab dan percetakan serta politik dan pentadbiran.

Selain itu, katanya, beliau terbabit dalam pemikiran ekonomi, sains, teknologi, pendidikan, perubatan, kemasyarakatan, sejarah, geografi, sosiologi, ilmu khat, ilustrasi dan pertanian.

“Perjuangan dan keilmuan serta pemikiran datuknya bersifat kepentingan umat Islam sejagat, terutama dunia Melayu,” katanya dalam pertemuan di pejabat Persatuan Pengkajian Khazanah Klasik Nusantara, Taman Melewar, Batu Caves, Selangor, baru-baru ini.

Wan Mohd Shaghir menghabiskan keseluruhan usia hidupnya untuk mencari dan membongkar teks klasik tulisan ulama alam Melayu. Usahanya membongkar, memelihara dan menyimpan, malah menulis semula pemikiran dalam kitab itu bagi manfaat generasi hari ini.

Wan Mohd Shaghir berkata, ulama besar ini mempunyai tujuh jenis ilmu antara yang menakjubkan adalah ilmu membedah tubuh manusia (perubatan), menghasilkan emas 24 karat menggunakan bahan campuran yang bukan daripada emas (kimia) dan memperkenalkan tempat menyemai tanaman (pertanian).

Syeikh Ahmad al-Fathani juga seorang ahli fikir yang hebat dari segi politik, pemerintahan dan pentadbiran negara. Pemikirannya dalam bidang ini terserlah melalui harapan dan wasiat yang ditulisnya untuk raja Melayu kerajaan Patani, Kelantan, Terengganu, Johor dan Deli.

Antara kandungannya adalah meminta raja mengukuhkan perbendaharaan ilmu, pertandingan kepandaian dan membuka mata masyarakat untuk memandang kepada kebijaksanaan.

Tujuannya supaya bangsa Melayu menjadi bangsa paling megah dalam dunia. Begitu juga paling tinggi nama antara semua anak Adam. Ia juga untuk menjadikan ulama Melayu mampu mengatasi ulama bangsa lain di dunia serta Islam menjadi agama yang semakin nyata dan mampu mengalahkan semua agama lain.
[5] Di provinsi Narathiiwat, salah satu dari empat provinsi di wilayah selatan Thailand berdiri sebuah masjid kayu yang sudah berumur lebih 300 tahun bernama Masjid Telok Manok atau dikenal juga dengan nama Masjid Taloh Manoh, Masjid Wadi Hussein, Masjid Talok Manok, Masjid Talo Mano Mosque, Masajid Talomanoh, Masajid Vadialhussein, Vadilhusein Mosque, Masjid Wadi Al-Hussein, atau Al-Hussein Mosque. Beragam nama namun merujuk kepada satu masjid yang sama.

Masjid Wadi Hussein dibangun pada tahun 1768, menjadikannya sebagai masjid tertua yang masih berdiri di Thailand. Telok Manok merupakan nama desa tempat masjid ini berdiri, sebuah desa kecil berjarak sekitar 25 KM dari ibukota provinsi Narathiwat. Sedangkan Al-Hussein adalah ulama penyebar Islam di kawasan tersebut, dan beliau juga yang (disebut-sebut) membangun masjid kayu ini.

Desa Telok Manok merupakan salah satu desa yang berada di hujung paling selatan wilayah Thailand berbatasan dengan wilayah utara Malaysia di kawasan semenanjung. Desa ini menghadap ke Teluk Thailand, sekitar 4 km dari ibu kota Daerah Bacho dan 25 km dari ibu kota provinsi Natathiwat. Wilayah Selatan Thailand ini seringkali disebut sebagai Wilayah Patani Raya karena memang sejarahnya wilayah ini merupakan bekas wilayah kekuasaan Kesultanan Melayu Patani. Itu sebabnya hingga kini majoriti penduduk wilayah ini memiliki akar tradisi Islam dan Melayu yang sangat kuat. Sangat bertolak belakang dengan statistik Thailand secara nasional yang 97% penduduknya beragama Budha dari etnik Siam.

Wilayah Selatan Thailand dalam sejarahnya merupakan wilayah dari Kesultanan Patani yang memiliki kemiripan dan kedekatan khusus dengan Kesultanan Kelantan. Islam masuk ke wilayah ini pada abad ke 12 masihi melalui perdagangan antara India, Arab dan China. Keluarga Kerajaan Patani berubah menjadi Kesultanan Islam pada tahun 1457. Dinasti Patani kemudian berkembang menjadi satu wilayah dengan penduduk terbesar dibandingkan dengan kerajaan kerajaan lain disemenanjung Malaya sampai penghujung abad ke 17. Tahun 1688 Kesultanan Kelantan mengalami kemerosotan pengaruhnya di kawasan dan tahun 1729 Patani menghadapi perang saudara berkepanjangan. Hingga ahirnya ditakluk oleh Kerajaan Siam di tahun 1786.

Di bawah kekuasaan Siam, Sultan Kelantan dan Patani diwajibkan untuk menyerahkan ufti tahunan berupa Bunga Mas ke Kerajaan Siam, namun ketegangan budaya dan agama berakhir dengan pemberontakan dari rakyat Patani hingga hari ini. Dalam usaha untuk memecah kekuatan, Kerajaan Siam kemudian membahagikan wilayah Patani menjadi tujuh provinsi di tahun 1816 dan tahun 1906 menjadi empat provinsi yang bertahan hingga hari ini. Perjanjian antara Inggeris Raya (ketika berkuasa di Malaya) dengan Kerajaan Siam tahun 1909 ahirnya mengukuhkan wilayah Utara Semenanjung Malaya itu menjadi bahagian dari Kerajaan Thailand.

Bangunan ini selesai dibina tahun 1768 di penghujung masa kekuasaan Kesultanan Patani. Terdapat persoalan sama ada Al-Hussein atau Wadi Al-Hussein atau Wan Hussein Az-Sanawi merupakan pembangun pertama masjid ini di abad ke 18 atau beliau yang melakukan renovasi di tahun 1960-an.

Selain bahagian depannya yang dilengkapi dengan atap bersusun, bahagian lain Masjid ini sama persis dengan rumah-rumah orang melayu lainnya.

Namun demikian kesahihan sejarah bahwa Al-Hussein As-Sanawi adalah ulama terkemuka di dan memiliki sumbangan besar dalam penyebaran Islam disana sudah disepakati para sejarawan. Sosok Al-Huseiun Al-Sanawi ini disebutkan juga pernah mengembara di berbagai pulau di Nusantara termasuk beberapa tempat di Pulau Jawa hingga ke pulau Lombok hingga ke Negeri Campa (kini Vietnam) sebelum kemudiannya menetap di wilayah yang kini disebut Telok Manok di Wilayah Patani Raya, Thailand.

Tidak jauh dari masjid ini terdapat sebatang sungai membelah desa Telok Manok yang menjadi sumber air bersih utama pada masanya untuk jemaah berwudhu. Namun sewaktu saya kesana baru-baru ini, sungainya sudah tidak terjaga dan agak kotor. Di seberang sungai ini terdapat pemakaman Islam yang sudah sama tuanya dengan bangunan masjid ini. Meski sudah berusia ratusan tahun, hingga kini Masjid Telok Manok masih berfungsi dengan baik dan menjadi salah satu objek wisata rohani daerah tersebut.
[6] Wan Husein al-Fathani adalah salah seorang daripada ulama silam yang hafaz al-Quran 30 puluh juzuk dan beribu-ribu hadis Nabi s.a.w. Beliau adalah moyang saudara kepada Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Ini bererti Wan Husein as-Sanawi al-Fathani lebih jauh mendahului Syeikh Wan Daud bin Abdullah al-Fathani.

Wan Husein as-Sanawi juga digelar Tok Masjid adalah termasuk salah seorang keturunan penyebar Islam yang awal datang ke dunia Melayu. Nama lengkapnya ialah Al-Allamah Al-Hafiz Wan Husein as-Sanawi al-Fathani bin Ali. Ali disebut juga Sultan Qanbul/Qunbul bin Manshur al-Laqihi. Manshur al-Laqihi nama yang sebenarnya ialah Saiyid Ahmad Samman al-Aidrus bin Saiyid Hakim.

Saiyid Hakim digelar orang Saiyid Kuning bin Saiyid Husein. Saiyid Husein digelar Sultan Pak Tani (maksudnya Sultan Patani). Ali@Sultan Qanbul/Qunbul dan terdapat beberapa nama selain ini, diriwayatkan bahawa wafat di Campa tahun 1467 M dan jenazahnya dikebumikan di Kampung Garak Ruwain (Binjai Lima).

Dalam sebuah salasilah disebutkan bahawa daripada Wan Husein as-Sanawi dan adik- beradiknya adalah datuk nenek golongan ‘Wan’ dan ‘Nik’ di Patani, Kelantan, Terengganu dan tempat-tempat lainnya. Yang dimaksudkan dengan ‘as-Sanawi’ yang terdapat pada hujung nama Wan Husein ialah beliau berasal dari kampung dinamakan Kampung Sena.

Kampung Sena itu sangat besar dan luas, sekarang di dalamnya terdiri dari beberapa buah kampung, di antaranya; Sena Janjar, Bendang Daya, Tok Diwa, dan lain-lain.

Kampung Sena dibuka oleh datuk nenek keluarga ini ketika mereka mula-mula sampai dalam kerajaan Langkasuka yang ketika itu nama Patani belum dikenal sama sekali. Dari kampung tersebutlah asal-usul perkembangan Islam di Patani dan selanjutnya keluarga tersebut turut aktif menyebarkan Islam ke seluruh dunia Melayu bersama-sama dengan keturunan-keturunan penyebar Islam yang datang dari Tanah Arab lainnya.

Wan Husein as-Sanawi selain hafaz al-Quran 30 juzuk, sangat banyak hadis dan pelbagai jenis matan ilmu-ilmu Islam beliau juga berpengalaman dalam banyak bidang. Ilmu yang ada dalam sekujur tubuhnya bukanlah bersifat beku dan mati, tetapi adalah ilmu yang bersifat hidup sesuai dengan pergerakan fizikal tubuhnya.

Ilmu-ilmu yang dikuasai oleh Wan Husein as-Sanawi adalah seimbang dengan pengalamannya yang luas. Beliau berpengalaman dalam hidup cara berkhalwat, bersunyi diri tekun beribadat, juga berpengalaman dalam pengembaraan ke pelbagai penjuru bumi sejagat.

Wan Husein as-Sanawi pernah mengembara di pulau Jawa, pernah mengajar beberapa tahun di pulau Madura. Diriwayatkan juga bahawa beliau dan adik beradiknya bergaul mesra dengan masyarakat di pulau Sumbawa, sehingga ada pendapat yang menyebut Wan Husein as-Sanawi adalah berasal dari keturunan Arab yang telah lama datang ke pulau Sumbawa.

Dari pulau Sumbawa, pengembaraan keluarga tersebut termasuk Wan Husein as-Sanawi sendiri, meneruskan pengembaraan mereka ke negeri Cam atau Campa. Kerajaan Islam Cam itu adalah diasaskan oleh datuk nenek mereka yang berasal dari negeri Arab.

Setelah melalui proses yang lama melalui pantai-pantai dalam negeri India, persinggahan dan tempat tinggal terakhir mereka ialah dalam kerajaan Langkasuka. Proses yang lama pula setelah mereka membaur dengan masyarakat Melayu Langkasuka, maka terbentuklah Daulah Islam Fathani Darus Salam atau bagi umum mengenal sebutan Patani saja.

Dari Patani itulah mereka mengembara ke utara dengan maksud menyebarkan Islam di negeri China tetapi sebelum sampai ke negeri China mereka telah berhasil pula membentuk satu kerajaan Islam-Melayu yang dikenali dengan Kerajaan Cam.

Cita-cita mulai dari datuk nenek Wan Husein as-Sanawi untuk menyebarkan Islam ke negeri China berjalan terus sampailah ke zaman beliau. Bukan hanya itu saja, dari keturunan mereka juga telah menyebarkan Islam di Filipina, Brunei Darussalam dan akhirnya di Jawa. Beberapa orang di antara Wali Songo (Wali Sembilan) yang terkenal di Jawa adalah dari keluarga besar yang diriwayatkan ini.
[7] [HR. Muslim 2/671 dan Ibnu Majah. Lafazh hadits di atas milik Ibnu Majah 1/494, sedangkan doa yang ada di antara dua kurung, menurut riwayat Muslim, 2/671.]
[8] [HR. Muslim 2/634.]
[9] [HR. Muslim 2/663]
[10] [HR. Ibnu Majah 1/480, Ahmad 2/368, dan lihat Shahih Ibnu Majah 1/251]
[11] [HR. Ibnu Majah. Lihat Shahih Ibnu Majah 1/251 dan Abu Dawud 3/211]
[12] [HR. Al-Hakim. Menurut pendapatnya: Hadits tersebut adalah shahih. Adz- Dzahabi menyetujuinya 1/359, dan lihat Ahkamul Jana’iz oleh Al-Albani, halaman 125.]
[13] Nama asal beliau ialah Ismail bin Omar atau lebih dikenali sebagai Baba Eil Spanjang iaitu panggilan bagi seorang Tuan Guru. Dilahirkan di Kampung Dusun Spanjang Daerah Penarik, Patani kira-kira 20 km dari Bandar Patani. Merupakan anak lelaki tunggal dalam keluarga sebanyak 3 beradik.

Mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kampung Dusun Spanjang. Kemudian menyambung pendidikan di pondok berdekatan rumahnya (200 meter) pada ketika usia 14 tahun. Beliau dihantar belajar agama oleh keluarganya dengan Almarhum Tuan Guru Haji Abdul Latif. Selain itu, beliau juga berguru dengan Almarhum Tuan Guru Haji Abdul Rahman dengan mendalami pelbagai ilmu antaranya Tafser, Hadis, Feqah, Nahu dan lain-lain. Manakala tiba musim cuti semester Baba Eil pergi belajar di pondok lain pula bagi mengisi masa lapang.

Ketika umur beliau mencapai 21 tahun, beliau berpindah ke Pondok Haji Abdul Qader Sekam (Baba Der) yang terkenal dengan ilmu tauhid untuk belajar di sana sehinggalah umur beliau 30 tahun. Ketika di sana beliau bukan setakat mengajar kepada pelajar tetapi mula menerima undangan mengajar masyarakat sekitar. Antara tempat yang beliau masih mengajar hingga ke hari ini ialah Masjid Yala (21 tahun) dan Masjid Patani (22 tahun).

Ketika umur beliau 29 tahun, beliau telah mendirikan rumahtangga dengan Hajah Sabariah Binti Tuan Guru Haji Abdul Aziz (Pengarang Kitab Misbahul Munir). Hasil perkahwinan tersebut, beliau dikurniakan 5 cahayamata ( 2 lelaki dan 3 perempuan).Selepas itu ketika berumur 31 tahun, beliau telah pergi ke Mekah dan bermuqim di sana selama 7 bulan.

Pada tahun 1993, setelah kembali dari Mekah, barulah Baba Eil membuka pondok di Kampung Kubang Ikan Bandar, Narathiwat yang dikenali dengan nama Maahad Darul Muhajirin. Dalam tempoh tersebut, beliau juga selalu berulang-alik ke Kelantan untuk memenuhi jemputan mengajar. Akhirnya pada tahun 1998, pondok beliau telah berpindah ke kampung beliau sendiri di Kampung Dusun Spanjang hinggalah ke hari ini. Rutin harian beliau dipenuhi dengan mengajar agama kepada pelajar yang datang dari pelbagai pelusuk dalam dan luar negara seperti Kemboja, Malaysia dan Burma tanpa menerima bayaran.

Sehingga kini, terdapat lebih kurang 200 orang pelajar yang sedang menuntut di pondok beliau. Pengajian berlangsung sepanjang tahun melainkan pada waktu cuti iaitu 15 Sya’ban hingga 15 Syawal (2 bulan), cuti Raya Haji (seminggu) dan bulan Rabiulawal (1 bulan).

Selain itu, Baba Eil juga memberi khidmat masyarakat dengan mengajar pada setiap hari Sabtu di Masjid Patani dan setiap Ahad di Masjid Yala. Kuliah Baba Eil sering disiarkan di radio tempatan. Selain mengajar, Baba Eil memenuhi masa lapang dengan mentelaah dan mengarang kitab.

Antara kitab karangan Baba Eil ialah “Mizan ad-Durari”, “Hikam Jawi”, “Mawaiz al-Iman”, dan karangan dalam bidang tafsir,hadis dan Qawaid. Selain itu, Baba Eil telah dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Fatwa Persatuan Ulama Fathoni.

[14] Rohimuddin bin Nawawi al-Bentani al-Azmatkhan. Beliau dilahirkan pada 8hb Oktober 1965 di Bekasi, Indonesia. Dan merupakan cucu saudara kepada seorang ulama alam Melayu yang terkenal di Mekah iaitu asy-Syaikh Muhammad Nawawi bin Umar ibnu Arabi bin Ali al-Jawi al-Bentani atau Syaikh Nawawi Bentan.

Ustaz Rohimuddin mendapat pendidikan awalnya di Pesantren Cirebon Jawa Barat. Seterusnya di Pesantren Lirboyo. Beliau seterusnya melanjutkan pelajarannya ke Universitas Syarif Hidayatullah di Jakarta. Kemudian beliau ke Universiti al-Azhar, Mesir untuk meneruskan pengajiannya. Selain belajar secara formal, beliau juga belajar secara tidak formal dengan para ulama yang terkenal di Indonesia, Mekah dan Mesir.

Buat masa ini beliau adalah merupakan antara tenaga pengajar merangkap pengetua di Dar Hasani di Mesir, dan merupakankhalifah (muqaddam) kepada Sheikhuna Sidi Yusuf al-Hasani dalam thariqah asy-Syadhuliyah ad-Darqowiyah. Di samping itu, beliau juga giat memberi ta'lim kepada anak-anak Malaysia dan Indonesia yang menuntut di Mesir, di rumah-rumah dan di tempat-tempat organisasi mereka. Beliau juga sering menjadi tenaga pengajar jemputan di pelbagai pesantren dan organisasi. 
[15] (HR. Abu Daud no. 5090 dan Ahmad no. 20430. Dinyatakan hasan oleh Syaikh Syuaib Al-Arnauth dan syaikh Muhammad Nashiruddin Al-Albani.  

No comments: