hasbunallah

hasbunallah

Sunday, September 6, 2015

Rehlah Ilmiah Ke Fatani Darussalam (Bahagian I)



Catatan oleh Syed Nazmi bin Tuan Taufek al-Idruss & Mohd. Abd. Rashid bin Yah al-Kubrawiy.

Alhamdulillah, saya berpeluang untuk mengikuti rombongan lawatan menziarahi ulama dan pondok di Patani Darussalam bersama Madrasah Islamiyah Ahbabul Mustafa (MIAH). Rombongan tersebut diketuai oleh Ustaz Abu Aswad dan turut disertai Kiyai Haji Ali Badri Azmatkhan (Lembaga Dakwah & Pesantren Al Furqon, Cirebon), Syed Nazmi Bin Tuan Taufik al-Idrus (Pegawai Bahagian Penyelidikan, Jabatan Agama Islam Terengganu) dan Habib Mohssain al-Habsyi (Khadam Dato’ Syed Omar bin Abdul Kadir Al Idrus/ Engku Kelana Diraja).

Program yang bermula pada 27 Ogos 2015 sehingga 30 Ogos 2015 disertai hampir keseluruhan pelajar MIAH. Saya teruja untuk menyertai lawatan tersebut kerana sudah lama saya tidak menjejaki Patani untuk menziarahi ulamanya serta mengambil keberkatan yang ada padanya. Tambahan pula, antara jadual lawatan tersebut adalah menzirahi kubur al-Alim al-‘Allamah al-Karamah as-Syeikh Abdul Samad al-Falimbani, pengarang kitab Siyarus Salikin yang masyhur itu. Saya teringin sangat untuk menziarahi kubur tersebut mengambil sempena khatam kitab Siyarus Salikin yang saya talaqqi daripada Tuan Guru Haji Muhammad Che Ali, Pondok Berangan Tumpat seketika dulu.

Bermula pukul 7.00 pagi 27 Ogos 2015, para peserta rombongan berkumpul di MIAH. Sesi penerangan dan pembahagian kumpulan dilakukan oleh Amir Safar Abu Aswad al-Kubra al-Husaini. Ianya melibatkan sebuah bas dan sebuah Hyundai Starex sepanjang lawatan tersebut.

Selepas semua urusan selesai, rombangan kami bertolak dari MIAH menuju ke Kompleks Imigresen Rantau Panjang. Kami memilih pintu masuk Rantau Panjang kerana bas yang membawa peserta rombongan tidak dapat menaiki feri untuk melintasi Sungai Tak Bai sekiranya kami masuk melalui Pengkalan Kubur.

Saya dan peserta VIP menaiki Starex terus ke Rantau Panjang, manakala bas terpaksa ke Kota Bharu terlebih dahulu untuk mengambil beberapa dokumen bagi urusan memasuki Thailand. Sesampai di Pekan Rantau Panjang, kami mencari kedai makan untuk bersarapan terlebih dahulu sambil menunggu bas sampai. Perut saya mula bergelora diserang gastric. Sejak lepas bulan puasa, saya diserang gastric yang agak teruk sehinggakan terpaksa ambil cuti kerja.

Selepas sarapan, kami mencari kedai tukaran wang asing untuk mendapatkan Bath Thailand. Ia menjadi kesukaran sekarang ini kerana nilai mata wang kita merundum berbanding Bath. Ketika tukaran kami buat, nilai Ringgit ketika itu RM1 bersamaan Bath 0.78.  Saya sekadar membuat tukaran sebagai persediaan sekiranya ada apa-apa keperluan luar jangka.  

Kami meneruskan perjalanan memasuki kompleks Imigresen Rantau Panjang untuk urusan passport dan dokumen keluar masuk kenderaan dari Malaysia ke Thailand. Semua urusan di pihak Imigresen Malaysia tidak mempunyai masalah tetapi kami menghadapi sedikit masalah dengan pihak Imigresen Thailand bila ramai orang beratur di hanya dua kaunter perkhidmatan. Ditambah lagi urusan masuk Starex yang ada peraturan baru iaitu perlukan daftar perniagaan atau syarikat bagi kenderaan yang di daftarkan atas nama syarikat. Abang Hazudin, pemandu Starex terpaksa berpatah balik semula ke Malaysia dengan bantuan Cikgu Lah untuk mendapatkan salinan pendaftaran syarikat. Dikesempatan tersebut, para pelajar MIAH mengambil peluang untuk makan pagi dengan nasi lemak yang dibawa bekal dari MIAH. Hampir dua jam barulah segala urusan di pihak Imigresen Thailand selesai. Kelewatan telah berlaku menyebabkan jadual asal perjalanan terpaksa berubah. Baba Hassan Bin Che Wil dan rakan-rakan merupakan guider kami sepanjang rehlah ke Patani ini.

Kami sampai di tempat lawatan pertama di Maahad Rabbani, Kampung Kulim, Kelisa Narathiwat pada pukul 1.00 tengahari. Rombongan kami disambut oleh mudir pondok, Tuan Guru Baba Ibrahim Haji Othman serta para pelajarnya yang telah sedia menunggu. Rupa-rupanya mereka turut buat sedikit kenduri dan kami dimaklumkan bahawa seekor lembu turut tumbang.  

Kami Solat zuhur dan asar [jama’ dan qasar] di surau Ma’ahad, diimamkan oleh Ustaz Abu Aswad. Selepas solat, sebelum pertemuan ringkas bermula, dibacakan qasidah (qad kafani ilmu Rabbi] dan [Ya Arham ar-Rahimin Farrij ‘ala al-Muslimin].

Berdasarkan catatan Tuan Syed Nazmi al-Idruss, tazkirah pendek oleh Ustaz Abu Aswad yang memberitahu tujuan kedatangan dan keberkatan yang dihajati dari Allah swt menerusi ziarah ini. Setiap yang datang inginkan keberkatan dari Allah swt, maka eloklah diri dijadikan seumpama gelas kosong yang diharapkan isiannya. Pengasas Baba Usman yang dipanggil Pak Cik, dikenali sebagai seorang yang kuat berzikir kepada Allah swt. Antara karamah beliau ketika berzikir, pernah terjadi lampu-lampu di sebuah masjid (Kajang Sebidang) telah pecah lantaran kehebatan suara zikir. 


Dalam ucapan aluan, Baba Ibrahim memberitahu, Pondok ini telah dibuka pada tahun 1989 yang lalu iaitu telah 20 tahun berlalu. Beliau berterima kasih atas ziarah yang dilakukan dan berharap akan ada ziarah susulan seterusnya.

Kubur al-Marhum Tuan Guru Baba Hj Othman

Jam 15.05 WM, rombongan keluar meninggalkan Maahad Rabbani sambil bersalaman dan mengambil foto kenangan bersama Baba Ibrahim dan pelajar MIAH, seterusnya menuju ke tanah perkuburan yang terletak berhampiran Masjid Kelisa untuk menziarahi kubur almarhum Tuan Guru Baba Haji Othman Bin Shamsuddin, pengasas Maahad Rabbani, Kelisa. Kami mendoakan kesejahteraan buat almarhum Tuan Guru Baba Haji Othman Bin Shamsuddin serta doa buat kami agar dapat mengikuti jejak ulama ini.  

Baba Muhammad Najib @ Munady
Seterusnya kami singgah menziarahi Pondok Pohon Tanjung ataupun Maahad al-Ulum ad-Diniyyah, Slow Ruso, Narathiwat. Kami sampai ketika itu pada pukul 16.40 WM (15.40 WT) petang dan disambut oleh mudirnya Baba Haji Muhammad Najib Bin Haji Daud atau Baba Munady serta para tenaga pengajar. Pondok tersebut telah di asaskan oleh al-Fadhil Tuan Guru Baba Haji Kamaluddin Bin Haji Daud pada tahun 1962 berorientasikan pengajian kitab kuning.



Persembahan qasidah oleh pelajar Pondok
Kami diberikan sambutan mesra dalam satu majlis ringkas yang dimulakan dengan persembahaan bacaan al-Quran dan burdah. Kemudian, kami diberikan taklimat mengenai perjalanan Pondok Pohon Tanjung tersebut oleh Baba Munady. Pada tahun 1972, pondok tersebut telah bertukar menjadi Sekolah Agama Rakyat yang ditadbir menggunakan dana sendiri serta sumbangan orang ramai. Namun begitu pada tahun 1979, operasi pondok tersebut terpaksa diberhentikan sementara kerana kekurangan dana dan sumber tenaga. Atas usaha pihak pengurusan, pondok tersebut mula beroperasi semula pada tahun 1983 sebagai sekolah swasta. Pada tahun 2001, Maahad tersebut telah menyerap aliran akdemik sebagaimana Akta Pendidikan Thailand. Sekarang Pondok Pohon Tanjung telah bertukar menjadi Sekolah Agama seperti sekolah-sekolah agama di bawah Yayasan Islam Kelantan. Maahad tersebut menyediakan pendidikan percuma kepada para pelajarnya bersumberkan dana bantuan daripada Kerajaan Thailand. Berdasarkan catatan Tuan Syed Nazmi al-Idruss, Bilangan pelajarnya seramai 637 orang (261 lelaki dan 376 perempuan), dibantu sejumlah 73 orang guru (37 lelaki dan 36 perempuan). 



Ustaz Abu Aswad & pelajar MIAH mempersembahkan qasidah
Setelah itu, Ustaz Abu Aswad al-Kubra dijemput untuk memberikan ucapan perkenalan selaku ketua rombongan. Sebagaimana catatan Tuan Syed Nazmi al-Idruss, dalam ucapan balas oleh Abuya Abu Aswad, dijelaskan bahawa Madrasah MIAH telah ditubuhkan 5 tahun lepas. Sistem pendidikan MIAH menekankan konsep ta’alim, tarbiah dan da‘wah berteraskan hadith dan tasauf. Antara khidmat sosial MIAH ialah terlibat dalam memberikan bantuan semasa banjir melanda seluruh Kelantan baru-baru ini. MIAH juga mengajarkan kemahiran memanah dan berenang kepada para pelajarnya. Pihak kami juga turut memberikan persembahan qasidah sebagai buah tangan yang indah. Kemudian kedua-dua pihak bertukar-tukar cenderahati tanda ingatan.

Akhir sekali kami dijamu dengan hidangan nasi ayam yang seakan-akan nasi kebuli di Malaysia. Bagi menghargai susah payah pihak Maahad, saya turut menjamah hidangan tersebut dan ternyata ia cukup sedap. Apatah lagi ia turut dihidangkan bersama ulam termasuklah petai yang menjadi kegemaran saya.

Tuan Guru Baba Haji Kamaluddin
Kami diberitahu bahawa Baba Haji Kamaluddin sebenarnya berhasrat untuk menyambut kami sendiri, namun begitu beliau keuzuran kerana diserang strok. Sebelum kami bertolak, rombongan singgah ke rumah Baba Haji Kamaluddin untuk menzirahi beliau serta mengutip mutiara-mutiara hikmah daripada beliau. Walaupun sudah lama tidak bertemu tetapi beliau masih lagi mengingati Abu Aswad yang pernah datang berceramah di Pondok ini suatu ketika dahulu. Dalam pertemuan singkat itu, kami diijazahkan amalan ayat Kursi sebagai pagar pendinding diri.

Kami bertolak dari Maahad al-Ulum ad-Diniyyah menuju ke Maahad Darul Ansor, Jelor Narathiwat sewaktu masuknya waktu Maghrib. Kami memutuskan untuk Jamak Ta’khir di Maahad Darul Ansor kerana kami akan bermalam di sana nanti.

Untuk sampai ke Maahad Darul Ansor, Jelor kami perlu melalui entah berapa banyak pos kawalan keselamatan tentera. Boleh dikatakan setiap 500 meter terdapat pos tentera. Jalan masuk ke Maahad agak sempit sedikit menyebabkan bas rombongan kami tidak dapat memasuki kawasan Maahad. Dengan bantuan pelajar Maahad, kami terpaksa memotong beberapa dahan pokok ketereh bagi membolehkan bas kami memasuki perkarangan pondok. Kehadiran kami disambut dengan alunan selawat oleh pelajar pondok yang berbaris di sepanjang jalan masuk pondok. Kami disambut oleh al-Fadhil Tuan Guru Baba Haji Sya’roni Bin Abdul Manaf, Mudir dan Pengasas Maahad Darul Ansor, Jelor serta dijemput ke rumah beliau untuk membasahkan tekak.

Baba Sya’roni merupakan sepupu isteri Abu Aswad telah membuka pondok ini sejak 9 tahun yang lalu. Saya difahamkan bahawa tanah untuk pondok ini adalah seluas 20 ekar dan masih banyak lagi tanah yang kosong. 

Persembahan qasidah burdah oleh pelajar MIAH
Atas permintaan Baba Sya’roni, pihak rombongan mempersembahkan qasidah dan burdah sebagai salam perkenalan pihak kami. Baba Sya’roni yang merupakan murid kepada Baba Ismail Sepanjang, dalam tazkirahnya menyebutkan kelebihan Burdah al-Busiri yang menjadi penawar bagi sakit pengarangnya dengan kedatangan Nabi saw di dalam mimpinya. Kubur Imam al-Busiri yang terletak di Iskandariah, Mesir telah dilawati oleh Baba sendiri.
           
Para pelajar Maahad Darul Ansor kelihatan teruja dengan persembahan tersebut kerana hadrah masih belum popular di Patani. Ustaz Abu Aswad dalam ucapannya menjelaskan tentang kelebihan bulan Zul-Qaedah dan juga fadilat salawat ke pada Nabi saw. Suatu ketika dahulu, sambutan maulid Nabi saw pernah disambut secara besar-besar dengan perarakan di Bandar Patani yang kini sudah tiada lagi.

Hidangan istimewa makan malam
Selepas selesai majlis burdah, kami melaksanakan solat jamak ta’khir maghrib dan isyak sebelum menikmati jamuan yang disediakan oleh pihak Maahad. Kami dimaklumkan oleh Baba Sya’roni bahawa ramai orang yang memberikan menghantar makanan ke Maahad untuk menyambut kedatangan kami. Baba Sya’roni sendiri telah menyembelih biri-biri sebagai salah satu hidangan istimewa buat kami. Menu istimewa kami malam itu ialah sup biri-biri, roti arab, acar umbuk kelapa sawit dan ulam. Sambil itu Baba Sya’roni menceritakan pengalaman beliau menziarahi makam Imam as-Syafie dan Imam Busyiri di Mesir yang menarik perhatian saya.

Setelah itu, saya dan sebahagian ahli rombongan membersihkan diri untuk berehat. Kami memilih untuk tidur di masjid sahaja. Saya juga mengambil kesempatan untuk mula menulis catatan rehlah ini. Saya sedikit gusar apabila tidak dapat menghubungi keluarga di Malaysia kerana saya terlupa untuk buat rooming nombor handphone serta terlupa untuk membeli sim kad telefon Thailand. Saya telah mintakan Baba Hassan, guider sepanjang kami di sana untuk belikan sim kad bagi membolehkan saya berhubung.

Malam dilabuhkan dengan doa dan harapan agar perjalanan esok hari akan sentiasa dalam jagaan dan peliharaan Allah swt.

Ya Allah kami memohon kepadaMu keselamatan dalam agama, dan kesejahteraan/kesegaran pada tubuh dan penambahan ilmu, dan keberkahan rizqi, serta taubat sebelum mati dan rahmat di waktu mati, dan keampunan sesudah mati. Ya Allah, mudahkanlah kami saat pencabutan nyawa, selamat dari api neraka dan mendapat kemaafan ketika amal diperhitungkan. Ya Allah, janganlah Kau goyahkan hati kami setelah Kau beri petunjuk dan berilah kami rahmat dari sisi-Mu. Sesungguhnya Engkau Maha Pemberi. 

No comments: