hasbunallah

hasbunallah

Friday, November 11, 2011

Belasungkawa : Perginya Seorang Sahabat & Pejuang


Ramai  orang menetapkan 11/11/2011 untuk mengadakan upacara tertentu seperti perkahwinan, pertunangan dan sebagainya. Malah tarikh tersebut juga merupakan tarikh keputeran Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V, Sultan dan Yang Dipertuan Bagi Negeri Kelantan dan jajahan takluknya.

Namun begitu, tarikh tersebut juga merupakan satu belasungkawa bagi saya terutamanya, Dewan Pemuda Pas Negeri Kelantan (DPPNK) dan Parti Islam Se Malaysia (PAS) diatas pemergian saudara Kamarulzaman Bin Hj Abdullah akibat terlibat dalam kemalangan jalan raya di Paloh, Gua Musang sewaktu dalam perjalanan balik dari menyerahkan Amanat Razak kepada PM di Parlimen bagi menuntut royalti minyak untuk rakyat Kelantan. Arwah juga merupakan Pegawai Khas kepada YB. Dato Haji Husam Bin Musa, exco Kerajaan Negeri Kelantan.

Saya menerima sms dari seorang sahabat pada jam 4:00 pagi mengkhabarkan berita duka itu menyebabkan saya tidak mampu untuk melelapkan mata kerana teringatkan ‘chat’ terakhir saya dengan arwah mengenai handphone beliau yang rosak dan perlu diganti baru. Perkara tersebut turut disahkan oleh otai fotografer saudara Jeming Hassan dan Topeng Perak sewaktu selesai solat jenazah arwah di Masjid Kota selepas Jumaat tadi. Ia membuatkan hati saya semakin sayu mengenangkan arwah.

Walaupun hanya perkenalan singkat dalam DPPNK, namun ia membuahkan kemesraan. Kerjasama terakhir saya dengan beliau adalah mengenai Wacana Hudud yang dianjurkan dengan kerjasama Karangkraf di Kuala Lumpur. Pelbagai ucapan takziah dihulurkan kepada keluarga arwah dan ia juga turut memenuhi wall facebook milik arwah. Sehinggakan ada diantara sahabat yang turut mengarang puisi khas diatas pemergian arwah tersebut.

Ramai sahabat seperjuangan arwah yang hadir untuk solat jenazah dan menghantar arwah ke tempat persemadian terakhir beliau di Tanah Perkuburan Tok Panjang. Sesungguhnya saya telah kehilangan seorang sahabat dan jemaah telah kehilangan seorang pejuang.

Ya Allah, Ampunilah dia (dari beberapa hal yang tidak disukai), maafkanlah dia dan tempatkanlah dia di tempat yang mulia (Syurga), luaskan kuburannya, mandikan dia dengan air salju dan air sejuk. Bersihkan dia dari segala kesalahan, sebagaimana Engkau membersihkan baju yang putih dari kotoran, berilah rumah yang lebih baik dari rumahnya (di dunia), berilah keluarga (atau isteri di Syurga) yang lebih baik daripada keluarganya (di dunia), isteri (atau suami) yang lebih baik daripada isterinya (atau suaminya), dan masukkan dia ke Syurga, jagalah dia dari seksa kubur dan Neraka.

Ya Allah! Ampunilah kepada orang yang hidup di antara kami dan yang mati, orang yang hadir di antara kami dan yang tidak hadir ,laki-laki mahupun perempuan. Ya Allah! Orang yang Engkau hidupkan di antara kami, hidupkan dengan memegang ajaran Islam, dan orang yang Engkau matikan di antara kami, maka matikan dengan memegang keimanan. Ya Allah! Jangan menghalangi kami untuk tidak memperoleh pahalanya dan jangan sesatkan kami sepeninggalannya.

Ya, Allah! Sesungguhnya Kamarulzaman Bin Abdullah dalam tanggunganMu dan tali perlindunganMu. Peliharalah dia dari fitnah kubur dan seksa Neraka. Engkau adalah Maha Setia dan Maha Benar. Ampunilah dan belas kasihanilah dia. Sesungguhnya Engkau, Tuhan Yang Maha Pengampun lagi Penyayang.

Ya, Allah, ini hambaMu, anak hambaMu perempuan (Hawa), memerlukan rahmatMu, sedang Engkau tidak memerlukan untuk menyeksanya, jika ia berbuat baik tambahkanlah dalam amalan baiknya, dan jika dia orang yang salah, lewatkanlah dari kesalahannya.

Setiap yang bernyawa pasti merasai peristiwa mati.. Hidup adalah pentas peristiwa yang kita lakarkan, manakala kematian adalah pelengkap potret kehidupan yang kita lakarkan. Moga potret kehidupan kita menjadi kenangan abadi yang dikenangkan dengan seindah kenangan oleh para makhluk khususnya pejuang kebenaran. Al Fatihah buat sahabatku Kamaruzzaman Abdullah; berehatlah dalam pelukan kasih sayang Tuhanmu. (memetik kata-kata Dr. Rosli Allani)

Aku pasti akan menyusulmu nanti dan moga Allah pertemukan kita ditempat yang terpuji…..

8 comments:

Suzanne Nadzir said...

Alfatihah...

Lin Mohd said...

Al fatihah...

Afap Fattah said...

Al Fatihah..semoga beliau berada di kalangan org-org yang beriman...amin

Ilham MOhammed said...

Al fatihah.

Hatman Abdullah said...

ALFATIHAH...

Adleen Othman said...

al fatihah

NiknurAtikah NikAbdullah said...

al-fatihah..daripadaNya kita datang dan kepadaNya kita kembali...

Mak soo said...

11-11-11, ibuku yang dikasihi juga telah pergi menemui penciptanya pada 11.13 malam. Semoga emak damai di sana. amin.