hasbunallah

hasbunallah

Wednesday, November 2, 2011

Festival Seksualiti Merdeka: Apabila Hak Mengatasi Agama


Festival Seksualiti Merdeka 2011 (Queer without fear) yang sedang berlangsung mulai semalam sehinggalah 13 Okt 2011 yang disokong oleh lebih 20 pertubuhan dan NGO telah diadakan di Kuala Lumpur.

Festival yang dianjurkan atas dasar hak asasi manusia ini memperjuangkan hak kesamarataan gender tanpa mengira sama ada lelaki, wanita, interseksual serta kecenderungan seks sesuatu kumpulan gay, lesbian, homoseks, penkid dan sebagainya. Festival yang turut dimuatkan dengan program bengkel, konferens, persembahan dan sebagainya ini bagi menuntut masyarakat agar memberikan hak yang sewajarnya kepada golongan ini sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia serta Deklarasi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu[1].

Namun demikian, penganjur dan golongan ini lupa bahawa kebanyakan agama di dunia ini melarang aktiviti seks bebas dan seks sesama jantina kerana ia bukan sahaja bertentangan dengan ajaran agama malah ia juga turut mengundang kemudharatan yang amat besar. Walaupun hak asasi setiap manusia terutamanya di Malaysia ini dijamin oleh Perlembagaan serta deklarasi tersebut, ia tetapi perlu dilihat dalam keterbatasan agama supaya kita dapat membezakan diantara martabat kita sebagai manusia dengan martabat binatang yang tidak mengerti apa-apa.

Lagi pula hak asasi manusia ini terbahagi kepada dua iaitu hak mutlak dan hak bersyarat[2]. Bagi Muslim, adalah menjadi kewajipan kita untuk memperjuangankan hak asasi manusia ini dipelbagai bidang dan sektor dengan berpandungan sunnah Rasulullah saw yang membawa wahyu Allah swt[3].

Inilah yang bakal terjadi apabila manusia mula jauh dari penghayatan agama. Mereka akan hilang arah sehinggakan tindakan mereka hanyalah berpaksikan fikiran akal semata-mata berdasarkan ilmu logik. Apa sahaja yang diterima akal walaupun ianya jelas bertentangan dengan kemurnian agama, mereka akan memperjuangkannya bermati-matian.

Pandangan saya disini adalah dalam konteks sebagai seorang Muslim yang beriman dengan lima Rukun Islam dan enam Rukun Iman yang perlu dipaterikan dalam jiwa kita yang mengaku sebagai Muslim. Jika terputus salah satu tali dari kesebelasan rukun-rukun tersebut, maka hancurlah iman kita.

Dalam memperjuangkan deklarasi hak asasi manusia, kita juga lupa bahawa Rasulullah saw sendiri telah membuat deklarasi hak asasi manusia di Padang Arafah sewaktu menyampaikan khutbah Baginda yang terakhir[4]. Rasulullah saw telah bersabda dalam sebuah hadis qudsi yang bermaksud:
Allah berfirman “Wahai hambaku, sesungguhnya aku mengharamkan kezaliman dalam diriku, dan aku juga menjadikan kezaliman diantara kalian sesuatu yang haram (terlarang), maka janganlah kalian saling menzalimi” (HR: Muslim dan Ahmad)

Prof Madya Dr Shamrahayu Abdul Aziz dalam sebuah artikel beliau menyatakan bahawa Sekiranya dilihat kepada dua dokumen induk hak asasi tajaan Barat iaitu Universal Declaration of Human Rights dan juga International Covenant on Civil and Political Rights, hak asasi yang disenaraikan dengan jelas tidak mempunyai sebarang pertalian dengan agama. Malangnya kedua-dua dokumen ini menjadi kayu pengukur kepada kedudukan hak asasi di dunia. Lebih malang lagi, masyarakat Islam sendiri menganggap dokumen ini adalah sumber kepada hak asasi sejagat.

Ajaran Islam bagaimanapun tidak dapat dipisahkan daripada ajaran Allah. Semua hak asasi hendaklah disandarkan kepada ajaran agama Islam dan Allah adalah pencipta segala hak. Istilah atau penggunaan frasa hak asasi manusia di dalam Islam saya katakan mengelirukan kerana dasar hak asasi di dalam kedua-dua sistem ini amat jauh berbeza.

Sistem hak asasi di dalam Islam tidak disandarkan kepada ideologi humanisme, individualisme dan rationalisme seperti fahaman Barat. Dasar atau sistem hak asasi dalam Islam sentiasa kukuh disandarkan kepada wahyu Allah. Seterusnya sistem hak dalam Islam digerakkan atas landasan yang disediakan oleh ajaran Islam yang sudah tentu memberi ruang kepada manusia untuk menjaga kepentingan mereka dan menggunakan logik akal dalam keadaan tertentu saja bukan di dalam segenap aspek.

Perlu juga diulas di sini bahawa Islam mendasarkan hak asasi bukan saja kepada kehendak manusia semata-mata tetapi Islam juga mementingkan kedudukan agama dan kerohanian. Keadaan ini menjadikan hak asasi dalam Islam tidak semata-mata hak asasi manusia tetapi sebenarnya merangkumi hak asasi agama itu sendiri dan meletakkan agama dan Pencipta sebagai tunggak hak asasi. Oleh itu hak asasi di dalam Islam dikategorikan sebagai hak manusia dan juga hak Allah[5].

Kebanyakan para pejuang hari ini mendasarkan perjuangan hak asasi manusia ini mengikut acuan barat semata-mata yang menyebabkan kita orang Islam yang turut serta dalam gabungan tersebut jauh tersasar dari panduan agama yang turut menggariskan hak-hak kewajipan sebagai seorang Muslim.

Oleh kerana itulah, Pertubuhan Persidangan Negara-Negara Islam (OIC) telah mengemukakan Islamic Human Rights Declaration 1990 atau lebih dikenali sebagai Deklarasi Kaherah bagi mengimbangi Universal Human Rights Declarations yang dibuat oleh PBB. Ini adalah kerana, para pemimpin Negara Islam melihat banyak artikel yang terdapat dalam deklarasi PBB tersebut bertentangan dengan konsep dan ajaran agama Islam. Deklarasi Kaherah tersebut kemudiannya telah diperakui oleh PBB pada 9 Jun 1993[6].   

Saleem Azzam mengatakan bahwa Islam telah memberikan suatu peraturan ideal tentang hak-hak asasi manusia kepada umat manusia empat belas abad yang lalu. Hak-hak tersebut dimaksudkan untuk menganugerahi manusia kehormatan dan martabat serta menghapuskan pemerasan, penindasan dan ketidakadilan[7].

Pemberian kebebasan terhadap manusia bukan bereti mereka dapat menggunakan kebebasan tersebut secara mutlak, tetapi dalam kebebasan tersebut terkandung juga hak dan kepentingan orang lain yang harus dihormati. Pada dasarnya hak asasi manusia dalam Islam terkandung dalam 5 perkara pokok yang terangkum dalam ad-Dhoruriyyat al-Khamsah atau juga disebut juga al-Huquq al-Insaniyah fi al-Islam . konsep ini yang harus dijaga oleh setiap umat Islam supaya menghasilkan kehidupan yang lebih manusiawi, berdasarkan atas penghormatan individu sesama individu, individu dengan masyarakat, masyarakat dengan masyarakat, masyarakat dengan Negara dan kumpulan agama dengan kumpulan agama yang lain[8].     

Berbalik kepada Festival Seksualiti Merdeka tersebut, pihak pengajur mahukan Negara dan masyarakat memberikan pengiktirafan kepada golongan yang mempunyai keinginan seks sesama jenis dan mereka yang membuat penukaran jantina. Atas nama hak asasi manusia, mereka menghujahkan bahawa setiap individu berhak untuk memilih cara hidup tersendiri yang mereka sukai.

Dalam menuntut hak asasi sekelompok manusia atau golongan tertentu, kita juga seharusnya ingat apakah kita perlu mengabaikan hak asasi orang lain untuk hidup dan bermasyarakat tanpa adanya perasaan tidak selesa, marah dan jijik dengan perlakuan sesetengah pihak yang menuntut hak asasi mereka.

Sebagai peguam, saya juga turut kecewa dengan tindakan Majlis Peguam Malaysia yang bertindak sebagai penyokong program tersebut. Sokongan yang diberikan oleh badan yang menaungi semua peguam di Malaysia itu sedikit pun tidak melambangkan ianya turut mendapat sokongan ahli-ahlinya terutamanya peguam Muslim. Bahkan ramai peguam Muslim yang bernaung di bawah Majlis Peguam itu membantah keras tindakan tersebut. Majlis Peguam seolah-olah tidak sensitif dengan pendirian ahlinya yang beragama Islam. Saya sendiri amat terkilan dengan tindakan Majlis Peguam tersebut yang membelakangi kehendak ahlinya yang beragama Islam.   

Oleh yang demikian, walau apa pun hak asasi yang kita tuntut maka jangan kita lari landasan agama Islam yang kita imani dalam kehidupan kita kerana kesilapan kita dalam pengabaian asas tersebut turut menjejaskan keimanan kita kepada Allah swt.



[1] Deklarasi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1948
[2] Md. Akhir Hj Yaacob, Hak Asasi Manusia Menurut Islam (satu pendekatan perbandingan). Dewan Pustaka Fajar, Kuala Lumpur. 1985 m/s: 19.  
[3] Muhammad Zafrullah Khan, Islam And Human Rights. Islam International Publication Ltd, United Kingdom. 1999 m/s 14.
[4] Husamuddin MZ, Arafah Dan Deklarasi HAM. Dipetik dari eramuslim.ubik.net/
[5] Prof Madya Dr Shamrahayu Abdul Aziz, Hak asasi dalam Islam tak sama fahaman Barat. Dipetik dari http://www.bharian.com.my/bharian/articles/HakasasidalamIslamtaksamafa
[6] The Cairo Declaration On Human Rights In Islam 1990.
[7] Prakata Saleem Azzam pada “Deklarasi Islam Universal Hak Asasi Manusia”, dalam Hak Asasi Manusia Dalam Islam, ed. Harun Nasution dan Bahtiar Effendi (Jakarta: Pustaka Firdaus, 1987) p. 157
[8] Yefrizawati, Hak Asasi Manusia Dalam Perspektif Hukum Islam. e-USU Repository 2005 Universitas Sumatera Utara. 

1 comment:

Noorazmir Zakaria said...

Saya melihat Majlis Peguam Malaysia acap kali terlepas pandang dengan bertindak tanpa mengambil kira sensitiviti ribuan ahlinya yang juga terdiri daripada Peguam-peguam yang beragama Islam.

Contoh yang terbaru adalah dalam perihal sokongan secara terbuka Majlis Peguam dalam kempen "Seksualiti Merdeka".

Agama Islam secara terang-terangan mengharamkan homoseksual, baik yang bergelar gay mahupun lesbian di mana pengamal homoseksual ini dilaknat sekeras-kerasnya oleh agama Islam.

Namun, ia bukan bermakna saya menentang hak rakyat Malaysia untuk mengamalkan agama masing-masing sepertimana yang dijamin oleh Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.

Sebaliknya, saya sedar agama-agama lain juga tidak menyokong kepada sesuatu perkara yang boleh mengharu-birukan institusi kekeluargaan dan menambahkan barah kepada moral masyarakat.

Malah, terdapat pendapat di dalam agama Kristian sendiri yang mengatakan perhubungan homoseksual adalah suatu dosa di mana ia dinyatakan di dalam ajaran-ajaran seperti Gereja Roman Katolik, Gereja Eastern Orthodox, Gereja Methodist dan lain-lain lagi.

Justeru, atas faktor apakah Majlis Peguam menyokong kempen yang sebegini tatkala banyak lagi isu moral di kalangan masyarakat yang boleh diketengahkan?

Saya sebagai salah seorang peguam yang berdaftar dengan Majlis Peguam melihat tindakan seumpama itu mencerminkan sikap tidak profesional badan berkenaan yang membelakangkan kehendak ribuan ahlinya yang beragama Islam.

Seharusnya Majlis Peguam sedar bahawa setiap tindakannya yang menyokong kempen sebegini sedikit sebanyak memberikan tempias kepada para peguam yang berada di bawah naungannya.

Tatkala keluar berita sebegini, rata-rata masyarakat akan menunding jari kepada kami sebagai peguam Islam umpamanya kami menyokong kempen sebegini dan kami tidak sensitif dengan agama Islam.

Tidakkan Majlis Peguam sedar bahawa kami malu berhadapan dengan masyarakat apabila kami turut dipersalahkan walaupun hakikatnya kami tidak bersetuju dengan tindakan mereka menyokong kempen sebegini?

Kesimpulannya, Majlis Peguam harus lebih peka dengan kehendak ahli-ahlinya dan bukannya “syok sendiri” demi kepentingan peribadi.

Majlis Peguam Malaysia harus lebih merakyat dengan peguam-peguam di bawahnya dan peka dengan kehendak para peguam secara keseluruhannya, baik yang beragama Islam mahupun yang bukan beragama Islam.

ULASAN ini adalah pendapat peribadi penulis/penyumbang dan tidak semestinya melambangkan pendirian rasmi Malaysiakini.