Telah
berlaku pertembungan dua pandangan diantara YB Dato Dr Hassan Ali dengan Prof.
Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin mengenai isu pemberian ‘Solar Powered Handheld Talking Bible’.
Dr.
Hassan Ali selaku exco agama Negeri Selangor semasa menjawab soalan Adun Sungai
Burung, Mohd Shamsudin Lias menjelaskan bahawa Jabatan Agama Islam Selangor
(JAIS) berkata pihaknya telah mengesan lapan cara yang dilakukan oleh pihak
Kristian bagi mendakyahkan orang Islam.
Antaranya
dengan menggunakan sejenis radio rakaman menggunakan tenaga solar yang
dimuatkan dengan cerita-cerita Kristian atau disebut ‘Solar Powered Handheld Talking Bible’.
Katanya, cara lain termasuk menubuhkan pelbagai pertubuhan kebajikan atau
persatuan bagi tujuan memberi bantuan berbentuk kewangan terhadap mereka yang
mempunyai kesempitan hidup seperti ibu tunggal, orang miskin, warga emas dan
lain-lain. Selain wang tunai, tarikan lain termasuk pemberian keperluan harian,
modal perniagaan dan pelbagai lagi.
Dr.
Asri membidas bahawa kenyataan Dr Hassan Ali itu seolah-olah menghina umat
islam kerana dianggap begitu mudah terpengaruh dengan injil tersebut. Beliau
menyatakan bahawa tiba-tiba dihebohkan kononnya ada yang masuk Kristian kerana
mendapat alat kecil yang membaca Bible. Alangkah hinanya umat Islam dan
agamanya. Seakan-akan orang Islam yang sekian lama mendengar al-Quran, terus
berubah kerana terdengar atau mendengar bacaan Bible. Tindakan ini seakan kuasa
ataupun pengaruh Bible mengatasi al-Quran.
Bagi
saya, kenyataan Dr. Hassan Ali itu ada kebenarannya dan tulisan Dr. Asri juga
ada betulnya. Saya percaya, orang islam yang kuat dan kukuh aqidahnya serta
patuh pada ajaran al-quran dan sunnah tidak akan terpengaruh dengan sebarang
dakyah agama lain. Namun begitu adakah kita fikir semua masyarakat Muslim di
negara kita ini mempunyai simpulan iman sekuat Dr. Asri?
Contohnya,
seramai 152,182 anak luar nikah direkodkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita,
Keluarga dan Masyarakat dari 2008 hingga 2010. Jika kita teliti dengan sebaik
mungkin, adakah Muslim yang kukuh iman dan aqidah mereka akan terjebak dengan
gejala zina ini?
Berapa
ramai orang Islam sendiri yang tidak suka pihak masjid atau surau memasang
bacaan al-Quran menggunakan pembesar suara? Bahkan mereka bertindak membantah
tindakan pihak masjid atau surau tersebut. Sebagai Muslim kita mesti beriktiqad
bahawa al-Quran itu Kalamullah yang suci dan juga mukjizat terbesar tinggalan
Rasulullah saw kepada kita. Namun begitu berapa ramai orang yang mengaku Islam
tetapi kehidupan mereka jauh dari ajaran al-Quran sendiri. Kejauhan mereka
dengan al-Quran itu akan membuatkan mereka lebih mudah dipengaruhi oleh
dakyah-dakyah yang tidak benar kerana yang boleh membezakan kebenaran dalam
Islam itu hanyalah al-Quran dan Sunnah sahaja.
Jadi
sebagai exco yang bertanggungjawab dalam hal ehwal agama Islam, maka tidak
salah Dr. Hassan Ali membuat kenyataan demikian bagi memberikan peringatan
kepada masyarakat Islam mengenai dakyah kristian tersebut. Lagi pun tindakan
tersebut juga adalah merupakan salah satu cara untuk menjaga dharuriyat
khamsah yang telah digariskan dalam maqasid syariah. Malah dalam kaedah
fiqh ada menggariskan satu kaedah iaitu saddu zara'i dengan cara
pencegahan itu menutup jalan-jalan yang boleh menuju kepada keburukan.
Pun
begitu, cadangan Dr. Maza juga perlu diambil berat dan tidak boleh
dikesampingkan kerana dalam Islam setiap tegahan disediakan Allah suatu
alternatif untuk kemudahan manusia. Oleh itu, pihak berkuasa agama perlu
menyediakan alternatif bagi masyarakat Muslim yang memerlukan agar tidak
terjebak kedalam dakyah agama lain.
Sebagaimana
hujah Dr. Maza, kita tidak mahu dengan mendedahkan tindakan pihak musuh Islam
sebagai salah satu cara untuk menutup kelemahan pihak kita. Malah banyak
kelemahan pihak berkuasa agama perlu diperbaiki demi kepentingan Islam dizaman
moden dan serba canggih ini. Contohnya berkaitan tauliah mengajar. Bagi saya
majlis agama negeri tidak sepatutnya menjadikannya satu isu yang besar. Pihak
majlis agama seharusnya hanya perlu memantau dari segi kandungan kuliyah yang
disampaikan sama ada ia bertepatan dengan ajaran Islam atau tidak sahaja.
Majlis agama perlu memastikan tiada ajaran sesat yang disampai atau diajarkan
kepada masyarakat. Melarang mana-mana orang untuk menyampaikan ilmu atas dasar
tidak mempunyai tauliah adalah sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku.
Oleh
yang demikian, pendapat Dr. Hassan Ali dan Dr. Maza tersebut perlu dimurnikan
kerana kedua-duanya mempunyai kebenaran yang wajib direnungkan bersama.
Kedua-dua pandangan tersebut tidak seharusnya dilihat sebagai bertentangan
antara satu sama lain. Semoga kita bersama mengambil manfaat untuk diamalkan
demi agama Allah swt.
1 comment:
Ada juga kebenaran pendapat Dr Hassan Ali. Sebagai seorang guru kaunselor yang bertugas dipinggir bandar Kuala Lumpur, berhadapan dengan pelajar2 dari keluarga2 yang 'miskin bandar',pada pandangan saya memang ada kebarangkalian benda2 ni berlaku. Ramai orang kita yang miskin, jahil, dan sangat bermasaalah, tidak dapat berfikir dan bertindak dengan bijak. Saya berpandangan begini hasil daripada interaksi saya dengan pelajar dan ibubapa mereka.
Post a Comment