Umat Islam Malaysia digemparkan oleh satu video clip seorang paderi yang bernama Benjamin Stephen telah menghina Islam dan Nabi Muhammad s.a.w dalam satu ceramahnya di sebuah gereja di Bandar Kuching Sarawak. Saya telah mengikuti sebahagian ceramah yang berupa 'tuduhan jahat' paderi tersebut yang telah diposkan kepada saya.
Atas dasar kesedaran dan bagi membela Islam sebagai sebuah agama yang kita imani serta Rasulullah yang kita ikuti, saya menulis jawapan yang merupakan pembelaan terhadap tuduhan jahat Paderi Benjamin Stephen itu satu persatu. Semoga Allah s.w.t memberikan hidayah serta pertolonganNya kepada saya sekadar kemampuan saya demi membela agamaNya serta kekasihNya.
Sebuah Pembelaan Yang Benar.
Tuduhan 1
Paderi tersebut menyatakan umat Islam bersolat 5 kali sehari. Setiap kali solat umat Islam akan membacakan Surah al-Fatihah. Paderi tersebut memetik ayat 6 Surah al-Fatihah serta memberikan terjemahan ' Tunjukkanlah Kami jalan yang benar'. Dia sekali lagi menafsirkan bahawa sejak lebih 1400 tahun dahulu lagi Nabi Muhammad membaca ayat tersebut. Maka tatkala dia membaca surah tersebut, datang 'petunjuk Tuhan' bahawa ayat tersebut membuktikan bahawa Nabi Muhammad belum menemui jalan yang benar sehinggakan Baginda bermohon sedemikian. Lalu dia berkata, apakah patut kita mengikuti seseorang yang tidak pernah menemukan jalan tujuannya dengan membuat perbandingan adakah kita patut menaiki kapal terbang sedangkan juruterbangnya tidak tidak hendak kemana dan dimana hendak mendarat?
Jawapan:
Paderi tersebut dengan niat jahat telah menyeleweng dalam memberikan tafsiran terhadap ayat 6 Surah al-Fatihah. Dia yang tidak mempunyai pengetahuan mengenai pendapat para ahli mufassirin Islam mengenai tafsir surah al-Fatihah serta dengan sewenang-wenangnya memberikan tafsir mengikut hawa nafsu jahatnya.
Al- Hafiz Imaduddin Abul Fida’ Ismail bin Umar bin Kathsir al- Quraisyi al- Dimasyqi telah menyebut dalam kitab tafsirnya dalam menafsirkan ayat 6 Surah al-Fatihah tersebut serta menanggapi persoalan yang sama sebagaimana yang dikemukakan oleh Paderi Benjamin Stephen itu bahawa:-
Jika ditanya mengapa seorang Mukmin meminta hidayah pada setiap saat, baik siang dan malam hari, nescaya Allah swt akan membimbingnya kearah itu. Selain itu, setiap hamba sentiasa memerlukan Allah setiap saat dan situasi agar diberikan keteguhan, kemantapan, penambahan dan kesentiasaan keberadaan dalam hidayah sebab ia tidak kuasa memberikan manfaat atau mudharat kepada dirinya sendiri kecuali jika Allah swt menghendaki. Oleh kerana itu Allah swt selalu membimbingnya untuk sentiasa memohon agar Dia memberikan pertolongan keteguhan dan taufik kepadanya[1].
Alasan lainya, Allah swt juga telah memerintahkan orang-orang Mukmin untuk tetap beriman. Namun demikian hal itu bukan termasuk tahshilul hashil, kerana maksudnya adalah perintah untuk selalu komitmen, konssten, dan selalu melakukan amal-amal yang dapat membantu terjaganya iman tersebut.
Dengan demikian, makna firman Allah swt dalam ayat 6 Surah al-Fatihah adalah “Teruslah Engkau bimbing kami di jalan lurus itu dan jangan pernah Engkau simpangkan ke jalan yang lainnya.”[2]
Maka tafsiran yang dibuat oleh Paderi Benjamin Stephen bahawa permohonan begitu adalah dibuat oleh orang yang masih dalam kegelapan adalah terlalu jauh menyimpang dari maksud sebenar yang dikehendaki oleh para mufassirin mengenai ayat 6 Surah al-Fatihah tersebut. Maka ia bermakna bahawa Rasulullah saw dan umat Islam sememangnya telah berada diatas jalan yang lurus, cuma ayat tersebut merupakan satu doa kepada Allah swt agar mengekal Rasulullah saw dan umat Islam selama-lamanya diatas jalan yang lurus.
Tuduhan 2
Paderi Benjamin Stephen memetik ayat 32 Surah al-Isra’ yang bermaksud: “Janganlah kamu menghampiri zina,” lalu menambah tetapi Nabi Muhammad isterinya sampai 23 orang. Paling tua berumur 40 tahun dan paling muda berumur 6 tahun.
Jawapan:
Ternyata Paderi Benjamin Stephen berniat jahat untuk memburuk-burukkan Rasulullah saw semata-mata kerana kenyataannya itu adalah tidak disandarkan kepada penjelasan yang dibuat oleh ulama Islam. Malah kesemua kenyataannya itu hanyalah dibuat berdasarkan pemikiran ceteknya semata-mata.
Paderi tersebut ternyata keliru dengan maksud zina dan isteri. Mengikut Kamus Dewan Bahasa Edisi Empat, zina itu bermaksud persetubuhan yang tidak sah atau haram bukan antara suami isteri[3]. Manakala Imam al-Qadhi Abi al-Walid al-Qurthubi al-Andalusi atau lebih dikenali sebagai Ibn Rusyd menafsirkan zina sebagai setiap persetubuhan yang terjadi tanpa didasari pernikahan yang sah dan juga syubhat dalam pernikahan dan tidak pula didasari oleh pemilikan budak.[4] Manakala Kamus Dewan Bahasa Edisi Empat memberikan maksud kepada isteri sebagai perempuan yang sudah berkahwin.[5] Kahwin pula bermaksud perikatan yang sah antara lelaki dengan perempuan menjadi suami isteri.[6]
Maka perbuatan paderi tersebut yang menyamakan perkahwinan Rasulullah tersebut dengan perbuatan zina adalah suatu tuduhan jahat yang amat menyesatkan. Bagaimana seorang yang bertaraf paderi begitu dangkal dan gagal dalam membezakan antara perbuatan zina dan pernikahan!
Pada terlalu jelas perbezaan maksud dan makna berkaitan perkataan isteri dan zina. Saya percaya bahawa paderi tersebut keliru dengan ajaran agamanya yang mengamalkan pernikahan ‘monogamy’ iaitu seorang lelaki hanyalah dibenarkan berkahwin dengan seorang wanita sahaja. Sekiranya ada lelaki yang mengamalkan pernikahan lebih dari seorang isteri, bagi mereka itu menyamai dengan zina. Yang peliknya, agama mereka melarang seorang lelaki berkahwin lebih dari seorang isteri, tetapi tidak mengapa jika lelaki atau wanita mereka mengadakan hubungan sulit dengan lelaki atau wanita lain.
Sepatut dan seharusnya paderi tersebut tidak menyamakan antara fahaman agamanya dengan ajaran agama Islam kerana ia adalah berlainan. Dalam segi aqidah pun Islam dan Kristian sudah terlalu jauh berbeza apatah lagi segi hukum- hakam agama.
Entah daripada mana paderi tersebut memperolehi sumber yang mengatakan bahawa Rasulullah saw mempunyai 23 orang isteri! Syeikh Ibrahim Muhammad Hassan al-Hambal[7] mencatatkan bahawa Rasulullah pernah berkahwin dengan 14 orang wanita. Manakala Imam az-Zahabi meriwayatkan dari Said bin Arubah dari Qatadah bahawa Rasulullah SAW telah berkahwin dengan 15 orang wanita[8]. Jadi tuduhan paderi tersebut mengenai jumlah isteri Rasulullah sebanyak 23 orang itu adalah satu tuduhan bohong yang tidak mempunyai asasnya sama sekali. Malah ada tikanya paderi tersebut menuduh Rasulullah mempunyai 27 orang isteri. Jadi, pembohongan yang dikemukakan oleh paderi itu sendiri tidak konsisten 23 atau 27 yang membuktikan bahawa dia tidak mempunyai asas atau sumber yang benar-benar boleh dipercayai untuk menuduh demikian.
Antara tuduhan jahat paderi tersebut ialah dengan mengatakan bahawa Rasulullah itu adalah seorang pedofilia[9]. MasyaAllah, ini adalah satu tuduhan yang paling jahat dibuat oleh paderi tersebut untuk mengelirukan manusia.
Paderi tersebut nampaknya terlalu jahil dengan kisah Nabi SAW dan suasana semasa. Dia cuba membayangkan umur Ummul Mukminin Aisyah r.a ketika berkahwin dengan Rasulullah 6 tahun manakala tinggal bersama Rasulullah ketika berusia 9 tahun[10] dengan keadaan semasa dan bukannya mengambil kira zaman tersebut.
Sekiranya diteliti sejarah masyarakat dahulu kala, kebanyakan bentuk fizikal mereka adalah amat berbeza dan mereka lebih besar serta kuat jika hendak dibandingkan dengan masyarakat sekarang. Kebiasaan gadis pula akan mencapai umul aqil balighnya disaat usia 9 tahun. Aisyah r.a adalah satu-satunya isteri Rasulullah yang merupakan masih gadis sewaktu nikahi baginda sedang isteri-isteri Rasulullah yang lain merupakan janda[11].
Jika benar tuduhan jahat paderi tersebut yang mengatakan bahawa Rasulullah itu seorang yang sukakan seks, maka kenapa baginda memilih untuk menikahi isteri-isteri baginda yang berstatus janda? Sepatutnya baginda akan menikahi dengan para gadis yang tentunya ramai diwaktu itu.
Oleh yang demikian, tuduhan paderi tersebut merupakan satu niat jahat untuk mengelirukan umat manusia dengan fakta-fakta yang terpesong serta tidak mempunyai asas yang benar sama sekali.
Tuduhan 3:
Paderi tersebut secara jahat menuduh bahawa Rasulullah SAW melakukan pembunuhan ketika melakukan penaklukan. Sekiranya tidak memeluk Islam, maka orang tersebut akan dibunuh.
Jawapan:
Dalam sejarah Islam dua perkataan digunakan untuk menggambarkan peperangan iaitu ghazwah (peperangan yang disertai Rasulullah) dan saariyah (ekspedisi peperangan yang tidak disertai Rasulullah tetapi diketuai oleh salah seorang dari sahabat baginda)[12]. Dalam sejarah Rasulullah, telah terjadi sebanyak 28 ghazwah dan hanya 9 sahaja daripadanya yang terjadi pertempuran. Manakala yang selebihnya adalah penyerahan diri oleh pihak musuh. Saariyah pula berlaku sebanyak 38 kali.
Peperangan berlaku adalah atas arahan Allah swt sebagaimana dalam ayat 193 surah al-Baqarah.
Dan perangilah mereka itu, sehingga tidak ada fitnah lagi dan (sehingga) ketaatan itu Hanya semata-mata untuk Allah. jika mereka berhenti (dari memusuhi kamu), Maka tidak ada permusuhan (lagi), kecuali terhadap orang-orang yang zalim.
Peperangan pula berlaku bukannya disebabkan atau dimulai oleh Rasulullah atau para sahabat, tetapi ianya dimulakan oleh kaum kafir. Ia juga dinamakan peperangan mempertahankan diri dari serangan musuh[13]. Contohnya ghazwah al-Badar Kubra, rombongan tentera pimpinan Rasulullah hanyalah berniat untuk menyekat kafilah dagangan Abu Sufyan bagi mengambil kembali harta kaum Muslimin yang dirampas kafir Quraisy sewaktu di Mekah dahulu[14]. Namun Rasulullah gagal untuk menyekat kafilah tersebut tetapi pada masa yang sama telah mendapat berita bahawa tentera musyrikin Mekah diketuai Abu Jahal dalam perjalanan untuk menyerang rombongan Rasulullah. Manakala ghazwah Uhud pula berlaku apabila kaum musyrikin Mekah bertindak untuk menuntut bela diatas kekalahan mereka di medan Badar.
Manakala saariyah atau peperangan yang diketuai oleh para sahabat Rasulullah terutamanya untuk membuka kota-kota atau negeri pula adalah antara cara dakwah yang dilakukan secara damai. Para utusan membawa surat Rasulullah atau panglima mereka kepada pemerintah sesuatu kota atau negeri dengan aman menyeru kepada Islam. Rasulullah melarang angkatan tenteranya membunuh sehinggalah mereka diserang terlebih dahulu sebagaimana hadis Rasulullah SAW [15]:
Maka tuduhan paderi tersebut sekiranya orang musyrik tidak memeluk Islam semata-mata akan dibunuh adalah tidak benar sama sekali kerana Rasulullah SAW melarang para tenteranya untuk membunuh sehinggalah mereka dibunuh sebagaimana hadis diatas.
Manakala tuduhan paderi tersebut mengenai jihad dalam ceramahnya itu tidak benar sama sekali. Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani menyatakan bahawa jihad itu pada asalnya dalam syariat Islam diertikan dengan pengertian perang. Di dalam hadis-hadis Rasulullah, kata jihad adakalanya dipakai dengan pengertian sungguh-sungguh dan ada kalanya dengan pengertian perang. Kerana itu dalam penjelasan hadis-hadis berkenaan dengan jihad ini perlu kita bedakan mana jihad dengan erti perang dan mana jihad dengan erti bersungguh-sungguh[16].
Tidak dikemukakan sebarang bukti mengenai sumber bahawa membunuh seorang Kristian itu akan mendapat 7 bidadari di syurga. Sesungguhnya paderi tersebut telah berbohong sama sekali mengenai pengertian dan roh jihad dalam Islam.
Tuduhan 4:
Paderi tersebut menuduh bahawa orang Islam mempercayai bahawa malaikat rahmat itu takut anjing sebab itu orang Islam tidak boleh memelihara anjing.
Jawapan:
Paderi tersebut seolah-olah cuba untuk mengaburi mata masyarakat mengenai penemuan saintifik terhadap kuman atau virus yang terdapat pada anjing dan babi. Sebab itulah Allah mengharamkan anjing dan babi kepada umat Islam kerana kedua-duanya itu mempunyai virus yang merbahaya sebagaimana yang dinyatakan dalam Journal of Virology 1997. Allah SWT tidaklah mengharamkan sesuatu melainkan ianya mempunyai sebab-sebab tertentu yang kadang-kadang akal manusia masih belum mampu mencari jawapannya.
Tiada suatu pun kenyataan yang benar datang dari Islam yang menyatakan bahawa malaikat berkat atau rahmat itu takut kepada anjing. Maka jelaslah disini paderi tersebut telah berlaku dusta mengenainya.
Tuduhan 5:
Paderi tersebut menuduh bahawa orang Islam percaya bahawa malaikat itu rabun malam dengan mengambil kira adat orang Melayu yang kebiasaannya memasang pelita atau lampu dihalaman rumah mereka tanggal 27 Ramadhan atau 7 likur.
Jawapan:
Nampaknya terlalu cetek ilmu paderi tersebut sehingga tidak dapat membezakan antara ajaran Islam dengan adat kepercayaan sesuatu kaum. Memasang pelita atau lampu di malam 27 Ramadhan hanyalah adat orang Melayu semata-mata dan amalan tersebut tidak mempunyai asas sama sekali dalam mana-mana kitab ajaran Islam yang muktabar.
Paderi tersebut tidak memahami bahawa dalam ajaran Islam terdapat adat yang benar iaitu tidak menyalahi nas syariah dan adat fasid iaitu yang bercanggah dengan nas syariah. Islam hanyalah memperakui adat yang tidak menyalahi nas syariah sahaja untuk terus di amalkan oleh umat Islam dan bukan semua adat itu diguna pakai dalam Islam[17].
Oleh yang demikian, kefahaman paderi tersebut mengenai adat-adat dan ajaran Islam nampaknya terlalu jauh menyebabkan kata-katanya itu berupa kedustaan dan pembohongan.
Tuduhan 6:
Mengenai konsep ‘reborn’ atau dilahirkan semula dalam agama Kristian telah diadaptasi oleh Rasulullah SAW ke dalam ajaran Islam dengan penyesuaian baru.
Jawapan:
Memang Islam tidak mempunyai konsep kelahiran semula sebagaimana agama Kristian atau Hindu. Dalam agama Kristian dan Hindu, setiap manusia akan melalui kelahiran semula selepas mati yang mungkin berbeza daripada kehidupan pertama. Bagi mereka ada yang pada kehidupan pertamanya merupakan seorang lelaki atau wanita tetapi pada kehidupan selepas kelahiran semula adalah sebaliknya. Malah ada ketikanya pada kelahiran semula seorang manusia mungkin dijadikan sebagai haiwan.
Dalam Islam, setiap manusia akan menempuhi 6 alam bermula dengan alam roh, alam rahim, alam dunia, alam kubur (barzakh), alam mahsyar dan alam akhirat walaupun ada yang berpendapat bahawa roh manusia akan merentasi empat atau tujuh alam[18]. Manusia akan dibangkitkan di alam mahsyar untuk di adili oleh Allah SWT serta diberikan penghukuman terhadap semua perbuatan makhluk sepanjang hidupnya[19].
Jadi kehidupan selepas kematian itu merupakan suatu keimanan yang wajib sebagaimana yang difirmankan oleh Allah SWT dalam al-Quran dan bukannya suatu ajaran yang direka-reka oleh Rasulullah SAW sebagaimana dakwaan jahat paderi tersebut.
Sebagaimana yang dikatakan oleh paderi Benjamin Stephen, dalam Kristian terdapatnya kepercayaan mengenai ‘kelahiran semula’[20]. Namun begitu, dalam Bible juga terdapat konsep kehidupan selepas kematian[21]serta adanya pembalasan baik oleh Tuhan[22].
Oleh yang demikian, dalam kitab Injil mereka sendiri wujudnya ajaran mengenai kehidupan selepas mati serta mendapat balasan Tuhan mengenai amalan mereka. Maka, dimanakah lagi hendak dinafikan ajaran mereka sendiri tersebut?
Tuduhan 7 :
Paderi tersebut menuduh bahawa Rasulullah sengaja mendirikan Mekah dan Kaabah serta Hajarul Aswad yang diukir seperti ‘kemaluan perempuan’. Apabila pergi haji, semua orang akan memasukkan kepala kedalamnya dan apabila keluar imam akan memegang kepala lalu berkata : “Engkau telah suci. Dosa mu telah diampun!” Kemudian mereka mencukur kepala kerana seperti setiap bayi yang baru lahir semua kepalanya botak.
Jawapan :
Nampaknya paderi tersebut terlalu naïf mengenai sejarah perkembangan Kota Mekah, Kaabah dan Hajarul Aswad. Sesungguhnya Kaabah itu sebenarnya telah didirikan oleh Nabi Ibrahim Khalilullah dan puteranya Nabi Ismail a.s[23] atas perintah Allah SWT:
Maka tuduhan bahawa Rasulullah yang mendirikan Kaabah untuk itu adalah suatu pendustaan untuk memburukan nama Rasulullah SAW demi untuk mengatakan bahawa Rasulullah telah membinanya atas inisiatif sendiri.
Seterusnya paderi tersebut menggambarkan bahawa Hajarul Aswad itu dibuat seperti ‘alat sulit perempuan’ merupakan tuduhan jahat yang menggambarkan bentuk pemikirannya sendiri. Hajarul Aswad yang ada sekarang hanyalah lapan biji batu kecil sebesar biji kurma yang diletakkan pada damar yang dilingkungi dengan sebuah penutup yang diperbuat dari perak[25]. Bentuk luaran diperbuat dari perak itu dikatakan seperti ‘alat sulit perempuan’ itu menggambarkan tahap pemikiran minda paderi itu sendiri. Apakah paderi tersebut tidak pernah sedar bahawa patung yang dikatakan ‘Jesus’ itu adakalanya diukir separuh bogel pada tiang salib mereka?
Kalau ditanya pada semua manusia yang pergi mengerjakan haji atau umrah di Mekah, mereka pastinya tidak pernah melalui pengalaman tatkala selesai mencium hajarul aswad adanya seorang imam yang akan memegang kepala lalu berkata : “Engkau telah suci. Dosa mu telah diampun!” Entah dari mana paderi tersebut mendapatkan cerita dusta tersebut. Malah mencium hajarul aswad itu hukumnya sunat bagi lelaki dan harus bagi wanita[26].
Pernyataan paderi tersebut seolah-olah untuk menggambarkan bahawa ajaran Islam itu meniru ajaran Kristian yang mana paderi mempunyai kuasa untuk memberikan pengampunan kepada orang yang datang mengakui dosa-dosa kepadanya. Sepertinya paderi itu telah mengambil alih tugas Tuhan untuk memberikan pengampunan pada paderi tersebut hanyalah manusia biasa sahaja yang tentunya sama sekali turut membuat dosa! Sebagaimana dalam sejarah dunia diketahui mengenai Surat Pengampunan Dosa atau Indulgence ditentang oleh Paderi Jerman, Martin Luther. Akibatnya agama Kristian berpecah kepada dua: Satu yang asal yang mengekalkan Indulgence sebagai Katholik dan satu lagi Protestan. Amalan seperti ini sama sekali tidak ada dalam Islam.
Kemudian paderi tersebut mereka cerita bahawa mereka yang mengerjakan haji akan bercukur kepala seperti kepala kanak-kanak yang baru dilahirkan botak.
Adakah paderi tersebut terlalu cetek ilmunya mengenai kelahiran? Sekiranya dilihat pada anak-anak yang baru dilahirkan semuanya berambut lebat dan bukannya botak seperti dakwaan paderi tersebut. Mungkin paderi tersebut tidak pernah melihat kanak-kanak yang baru lahir sepanjang hidupnya. Hukum bercukur selepas mengerjakan haji atau umrah adalah merupakan pilihan dan ianya boleh diganti dengan bergunting sahaja walaupun tahallul itu merupakan rukun bagi haji dan umrah[27].
Tuduhan 8 :
Paderi itu mendustakan ibadah melontar jamrah dengan mengatakan bahawa diatas itu syurga dan dibawah itu neraka. Tiang jamrah itu digambarkan sebagai syaitan dan dilontarkan batu itu serta mengatakan bahawa batu itu terus jatuh ke neraka.
Jawapan:
Melontar jamrah itu adalah diambil sempena sejarah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail dalam peristiwa Allah SWT memberikan mimpi supaya Nabi Ibrahim mengorbankan puteranya itu. Dimana Nabi Ibrahim telah melontar iblis yang menghalang perjalanan baginda untuk menyembelih puteranya Nabi Ismail a.s. Tidak pernah pula disebut dalam ajaran Islam bahawa syurga itu berada dilangit atau neraka itu dalam bumi.
Tidak pernah pula diajarkan dalam mana-mana kitab bahawa batu yang dilontar itu jatuh terus ke neraka dan memang diketahui bahawa batu-batu yang dilontarkan oleh jemaah haji itu diangkut oleh pihak pengurusan.
Jadi, yang mereka-rekakan cerita tuduhan palsu dan jahat mengenai isu melontar ini hanyalah paderi Benjamin Stephen sahaja.
Kesimpulan
Daripada segala jawapan diatas terhadap kesemua tuduhan jahat paderi tersebut, jelas menunjukkan bahawa paderi tersebut tidak mempunyai asas pengetahuan mengenai segala tuduhan yang dilemparkan terhadap Islam dan Rasulullah. Malah kesemua tuduhan yang diperkatakannya itu tidak ada pun dalam ajaran agama Islam yang suci. Oleh yang demikian, paderi tersebut merupakan pendusta besar yang mempunyai niat jahat untuk mencemarkan nama baik Islam serta menjatuhkan martabat Rasulullah sebagai seorang Nabi yang diutuskan Allah SWT.
Semoga jawapan seadanya ilmu saya ini dapat memberikan manfaat kepada semua pembaca. Jika anda semua turut mempunyai idea lain bagi menjawab tuduhan tersebut, anda semua boleh menghantar email atau terus sahaja memberikan komen di sini.
Kepada Allah SWT jua saya serahkan segala urusan. Wallahu a’lam.
[1], Dr. Abdullah Bin Muhammad Bin Abdurrahman Bin Ishaq Alu Syaikh, Tafsir Ibnu Katsir Pustaka Imam Syafii, Indonesia . 2009. Jilid 1 m/s : 32.
[2] Ibid. m/s 33.
[3] Pusat Rujukan Persuratan Melayu di http://prpm.dbp.gov.my/search.aspx?k=Zina
[4] Ibn Rusyd, Bidayatul Mujtahid. Pustaka Azzam, Indonesia. 2007. Jilid 2, m/s 875.
[5] Pusat Rujukan Persuratan Melayu di http://prpm.dbp.gov.my/search.aspx?k=Isteri
[6] Pusat Rujukan Persuratan Melayu di http://prpm.dbp.gov.my/search.aspx?k=Kahwin
[7] Ibrahim Muhammad Hassan al-Hambal, Zaujaatun Nabi Muhammad SAW. Darul Taufiq, Mesir.
[8] Az-Zahabi, al-Hafiz al-Mu’rikh Muhammad bin Ahmad bin Uthman, As-Sirah an-Nabawiyah. Darul Kutub al-Amaliyah, Beirut . m/s 413.
[9] Pedofilia ialah sejenis gangguan psikologi di mana individu dewasa tertarik secara seksual kepada kanak-kanak yang belum baligh.[1] Orang yang mempunyai pedofilia melakukan seks dengan kanak-kanak atau menggunakan kanak-kanak untuk seks. Ini juga boleh dipanggil penderaan seks kanak-kanak. Sesetengah orang mempunyai perasaan pedofilia tetapi tidak melakukan seks atau mendera kanak-kanak secara seksual. [http://ms.wikipedia.org/wiki/Pedofilia]
[10] Az-Zahabi, al-Hafiz al-Mu’rikh Muhammad bin Ahmad bin Uthman, As-Sirah an-Nabawiyah. Darul Kutub al-Amaliyah, Beirut . m/s 183. Syeikh Muhammad al-Khudry, Nurul Yaqin. Darul Fikr, Beirut. m/s: 54
[11] Nik Abdul Aziz Nik Mat, Sirah Nabawiyyah. Nufair Street, Selangor.2006 m/s 271.
[12] Syeikh Muhammad al-Khudry, Nurul Yaqin. Darul Fikr, Beirut. m/s: 82
[13] Al-Buti, Dr. Said Ramadhan, Fiqh as-Sirah an-Nabawiyah. Darul Salam, Kaherah. m/s 155.
[14] Al-Maufiri, Abu Muhammad Abdul Malik Bin Hisyam, Perang Badar al-Kubra. Al-Hidayah Publisher, Kuala Lumpur. m/s 15.
[15] Syeikh Muhammad al-Khudry, Nurul Yaqin. Darul Fikr, Beirut. 1994 m/s: 201
[16] Al-Asqalani, al-Hafiz Ibnu Hajar (ter: Drs Muhammad Thalib) Bulughul Maram. Darul Nu’man, Kuala Lumpur. 2003 m/s: 727.
[17] Dr. Abdul Karem Zaidan, al-Wajiz fi Usul al-Fiqh. Muassasah ar-Risalah, Beirut . 2000 m/s: 252
[18] Muhammad Isa Selamat, Pengembaraan Roh Merentasi Tujuh Destinasi. Darul Nu’man, Kuala Lumpur .
[19] As-Sya’ani, Syeikh Imam Abdul Wahab, Mukhtasar Tazkirah al-Qurtuby. Jasmin Enterprise, Selangor. 2008, m/s 133.
[21] 1 Corinthians 15:12-13, The New American Bible. World Catholic Press , Canada . 1970.
[22] 1 Corinthians 2: 9, The New American Bible. World Catholic Press , Canada . 1970.
[23] Ibn Kathir, al-Hafiz ‘Imaduddin Abul Fida’ Ismail Bin Umar (Ter: Abu Hikmah al-Husni), Qisasul Anbiya’. Darul Nu’man, Kuala Lumpur . 1998, Jilid 1 m/s: 200.
[24] Al-Baqarah : 125 – 127
[25] Ibadat Haji, Umrah Dan Ziarah. Lembaga Tabung Haji, Kuala Lumpur . 2008 m/s: 214.
[26] Ibid.
[27] Ibid. m/s 50 & 184.
1 comment:
ilmu baru..
Post a Comment