hasbunallah

hasbunallah

Wednesday, February 10, 2010

Ranjau Sebuah Perjalanan


Sebelum ini saya ada menulis mengenai kemelut yang saya hadapi sebagai pengerusi Masjid at-Tawwabeen. Walaupun pelbagai usaha telah dilakukan, namun masih ada pihak yang tidak berpuas hati serta tidak menghormati keputusan mesyuarat. Menggunakan nama para jemaah, membuat sesuka hati tanpa merujuk kepada ajk yang telah dilantik.

Setelah berfikir panjang dan berbincang dengan beberapa pimpinan, saya mengambil keputusan untuk mengundurkan diri dari memegang jawatan pengerusi masjid. Saya serahkan kepada mereka yang telah mendesak saya untuk meletakkan jawatan sebelum ini. Bagi saya, itu merupakan tanda bahawa mereka telah hilang kepercayaan kepada saya. Tidak mengapa, kerana itu hanyalah sebahagian kecil ranjau yang perlu saya lalui untuk sampai kemuncak yang masih jauh.

Saya bukanlah hendak mengatakan saya ini benar dalam semua perkara, tapi saya tetap berdoa bahawa saya dipihak yang benar. Sebagaimana kata salah seorang pemuda, beralah tidak semestinya bermakna kita salah. Apatah lagi demi menenang keadaan yang penuh kemelut ini. Jawapan saya kepadanya mudah, memang benar beralah tidak bererti kita salah tapi orang tetap memandang kita salah.

Semasa mesyuarat akhir ajk masjid tadi, saya mengumumkan penarikan diri dari jawatan pengerusi walaupun masih ada ajk yang mendesak saya untuk terus bertahan. Jawapan saya, apa guna saya pengerusi sekiranya saya terus diperlakukan seperti tunggul. Apa sahaja yang hendak dilakukan berkaitan masjid, terus dibuat tanpa merujuk kepada saya. Saya bukan hendak mempersalahkan sesiapa, kerana ia mungkin silap saya kerana telah menerima jawatan pengerusi tersebut suatu ketika dulu.

Kalau difikirkan dengan otak yang singkat dan jiwa yang serabut, memang difikirkan terlalu tidak adil saya diperlakukan sebegini. Namun meneliti kembali dengan jiwa yang tenang dan hati yang terbuka, inilah dinamakan takdir. Ada hikmah yang tersembunyi mungkin tidak saya ketahui. Salah satunya, saya dapat menumpukan kepada tanggungjawab lain kerana amanah yang saya pikul sebagai pengerusi masjid telah saya lepaskan.

Masih ada suara yang bergema memberitahu bahawa mereka tetap berada dibelakang saya, bagi saya duduklah dibelakang saya selagi mereka mampu kerana saya tidak berhak untuk menghalang mereka. Bagi saya apa perlunya sokongan kalau ia membawa rebah. Memadailah bagi saya untuk menyakini bahawa yang benar itu tetap benar dan yang salah itu tetap salah walaupun kita melihatnya dari sisi yang berbeza. Dan sesungguhnya Allah bersama orang yang benar.


No comments: