hasbunallah

hasbunallah

Sunday, March 8, 2020

AKU, AYAH DAN GURU


Saya perhatikan, sikap ibu bapa sekarang tidak sama dengan sikap ibu bapa zaman dahulu berkaitan penghormatan mereka terhadap para guru yang mengajar anak-anak mereka. Ibu bapa zaman sekarang seolah-olah terlalu sensitive dan protektif terhadap anak-anak mereka sehinggakan tindakan guru yang menghukum anak mereka dengan apa sahaja hukuman dilihat sebagai satu kesalahan besar.

Tulisan ini bukanlah satu-satunya contoh terbaik untuk saya kongsikan dengan para pembaca, tetapi ia merupakan satu kisah yang saya banggakan sampai hari ini kerana sikap arwah ayah saya dan juga tindakan guru yang telah mendidik saya menjadikan saya seorang ‘manusia’.

Sewaktu hari pertama saya masuk darjah satu, ayah saya telah membawa saya masuk kelas berjumpa sendiri dengan guru kelas saya.

“Cikgu, ini saya serahkan anak saya untuk cikgu didik dan ajar. Kalau cikgu nak pukul atau rotan saya benarkan dengan syarat jangan sampai buta atau patah.” Beritahu ayah pada guru kelas saya. Terkebil-kebil mata saya melihat guru kelas saya ketika itu kerana tidak menyangka ayah akan berkata begitu pada cikgu.

Kemudian ayah berpaling kepada saya sambil berkata:
“Ayah tak nak nanti kamu balik mengadu pada ayah bahawa cikgu pukul atau rotan kamu. Sebab ayah tahu cikgu tak akan pukul atau rotan kamu melainkan kamu tu nakal atau jahat.” Terkejut saya dengan amaran ayah tersebut. Ayah kemudian meninggalkan saya terkulat-kulat depan guru kelas pada masa tu. Seram sejuk rasanya hampir membuatkan saya hendak terkencing dalam seluar.

Tidak sedikit saya kena rotan dan didenda oleh guru akibat kenakalan dan kesalahan yang saya buat. Namun satu pun saya tidak pernah balik mengadu pada ayah kerana saya tahu akibat yang bakal menanti saya juga saya balik mengadu nanti.

Alhamdulillah, berkat ketegasan arwah ayah dan didikan yang guru berikan, saya terdidik sebagai ‘manusia’ bukan jadi ‘lembu’. (Memetik kata arwah ayah).

Jadi para ibu bapa perlu menilai dan memikirkan tindakan mereka yang terlalu sensitive dengan tindakan guru menghukum anak mereka, kerana ia akan memberi kesan kepada didikan anak mereka kemudian hari.

Satu pesanan hikmah dari murabbi saya, yang saya ingat sampai sekarang:

WALAU SIAPA PUN KAMU DAN TINGGINYA TAHAP PENDIDIKAN KAMU, NAMUN APABILA KAMU BERADA DIHADAPAN SEORANG GURU, MAKA KAMU TETAPLAH SEORANG MURID…

Fikirkanlah…

No comments: