hasbunallah

hasbunallah

Sunday, March 15, 2020

Fatwa Terperinci Berkenaan Hukum-Hakam Berkaitan Penyebaran Wabak Virus Korona (Covid-19)


Daripada: Fadhilatussyeikh Dr. Ali Muhyiddin Al-Qarahdaghi,
Setiausaha Agung Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia


Banyak persoalan yang diajukan berkenaan hukum-hakam dalam mendepani wabak virus baru yang semakin tersebar dan boleh mengancam nyawa ramai manusia melalui penyebarannya yang amat pantas.

Apakah hukumnya untuk menutup masjid-masjid dan meninggalkan solat Jumaat dan solat berjemaah atas dasar takut akan penyebarannya?

Apakah doa-doa dan perkara yang dituntut daripada seorang Muslim dalam menghadapi sebarang waba’ dan penyakit seperti ini?

Segala puji bagi Allah, Solawat dan Salam dipanjatkan buat Baginda Rasulullah Sallahu Alaihi Wasallam yang diutuskan sebagai rahmat buat sekalian alam, buat pada para Keluarga dan Sahabat Baginda, Ridhwanullahi Alaihim Ajmain.

Pertama: Sesungguhnya sebarang wabak dan virus adalah sebuah qadar ketentuan Allah dan tanda nyata akan qudrah (kekuasaan) Allah dalam menghancurkan sesuatu yang ingin dihancurkannya melalui tenteranya yang dilihat lemah.
وَمَا يَعْلَمُ جُنُودَ رَبِّكَ إِلَّا هُوَ
Tidaklah yang mengetahui tentera-tentera tuhan-Mu kecuali Dia (Allah)
(Surah Al-Muddathir: ayat 31)

Ia juga adalah sunnatullah dimana Allah timpakan buat hamba-hamba yang diingininya (dikalangan Muslimin atau yang lainnya) dan dengannya Allah mendidik hamba-hambanya yang diingininya. Namun bagi seorang Mukmin yang diuji dan bersabar dengannya, bagi mereka pahala syahid.

Telah diriwayatkan di dalam Sahih Bukhari bahawa Saidatuna Aishah Radhiallahu Anha bertanya kepada Baginda Rasul Sallahu Aialihi Wasallam tentang ‘Taun’ (الطاعون), Baginda memberitahu bahawa ia merupakan azab yang yang diturunkan buat yang diingini, maka Allah menjadikannya sebagai rahmah buat golongan Mukminin.Baginda Sallahu ‘Alahi Wasallam bersabda:
فليس من عبد يقع الطاعون فيمكث في بلده صابرا يعلم أنه لن يصيبه إلا ما كتبه الله له إلا كان له مثل أجر الشهيد
Tidaklah seorang hamba itu ditimpa Taun dan kemudiannya bertahan di tempatnya dalam keadaan sabar mengetahui bahawa tidaklah menimpanya kecuali apa yang tidak ditetapkan oleh Allah; kecuali baginya ganjaran seorang syahid. (Sahih Al-Bukhari: 5734)

Kedua: Islam mewajibkan dua perkara:
1. Bertawakkal kepada Allah tentang tawakkal yang sebenar benarnya dan mempercayai bahawa seluruh yang berlaku adalah dengan kekuasaan Allah.
قُل لَّن يُصِيبَنَا إِلَّا مَا كَتَبَ اللَّهُ لَنَا
Tidaklah menimpakan kami kecuali sesatu yang telah ditetapkan oleh Allah
(Surah At-Taubah: ayat 51)

2. Mengambil Asbab (mematuhi hukum sebab musabbab), diantaranya mengambil langkah penjagaan , rawatan dan kuarintin dan segala yang digariskan oleh pasukan pakar kesihatan. Perkara inilah yang dipamerkan daripada pendirian dan perilaku Saidina Umar Radhiallahu ‘Anhu apabila beliau enggan memasuki Syam setelah mengetahui bahawa wabak penyakit telah tersebar di kawasan tersebut hingga Saidina Abu Ubaidah telah mengatakan kepada Saidina Umar:
أفِرارا من قدر الله
Adakah engkau lari dari qadar (ketentuan) Allah
Maka dijawab oleh Saidina Umar:
نعم نفرُّ من قدر الله إلى قدر الله
Benar, kami lari dari satu qadar Allah kepada qadar Allah yang lain (Sahih Al-Bukhari: 5729)

Disinilah terletaknya Fiqh Mizan (memahami neraca sebenar sebuah perkara). Menurut neraca ini, ‘timbangan kanan’ terletak padanya iman yang teguh kepada Allah manakala ‘timbangan kiri’ pula terletak padanya usaha mengambil semua asbab yang disyariatkan kerana Allah sendiri yang memerintahkannya.

Ketiga: Penyakit taun itu sesuatu yang dikenali namun ia (الطاعون) sebenarnya merupakan bentuk wabak yang lebih umum daripada penyakit yang dikenali tersebut sepertimana yang dibincangan oleh ahli bahasa (Lughawiyyun) diantaranya Khalil bin Ahmad yang mengatakan; Wabak itu adalah Taun maka ia merujuk kepada semua penyakit berjangkit yang berleluasa. Di dalam bahasa Arab disebut:
أصاب أهل الكورة وباء شديد
Masyarakat sebuah tempat ini telah dtimba wabak yang dahsyat
وأرض وبئة
Bumi/ Kawasan yang berwabak

Keempat: Tidak syak lagi bahawa wabak-wabak yang turun adalah salah satu bentuk azab daripada Allah bahkan Allah menamakannya sebagai ‘Rijzun’ (رجز) /azab dari langit. Lafaz ini diulang sebanyak 10 kali di dalam Al-Quran diantaranya firman Allah Taala:
وَالَّذِينَ سَعَوْا فِي آيَاتِنَا مُعَاجِزِينَ أُولَٰئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ مِّن رِّجْزٍ أَلِيمٌ
Dan mereka yang berusaha mencabar ayat-ayat kami merekalah yang ditimpa dengan azab yang pedih (Surah Al-Saba’ : ayat 5)

Mereka adalah orang-orang zalim dan melampaui batas yang berusaha dengan segala kemampuan mereka untuk menafikan ayat-ayat Allah; dan menyangka bahawa mampu menentang ayat-ayat Allah dan akan memenanginya. Bahkan mereka berusaha melawan kekuasaan Allah, maka bagi merekalah azab berbentuk ‘rijzun alim’ (seperti di dalam ayat).

Perkataan Rijz ditafsirkan oleh sebahagian (Mufassirin) sebagai wabak-wabak yang berleluasa yang memedihkan di dunia dan akhirat.
Menurut sunnatullah, apabila sebuah azab itu turun, maka ia akan mengenai semua termasuklah yang tidak melakukan kezaliman, seperti firmannya:
وَاتَّقُوا فِتْنَةً لَّا تُصِيبَنَّ الَّذِينَ ظَلَمُوا مِنكُمْ خَاصَّةً
Takutlah ujian yang tidak hanya ditimpakan hanya untuk mereka yang melakukan kezaliman. (Surah Al-Anfal: ayat 25

Begitulah sunnatulah apabila merebak sebarang wabak, ia tidak membezakan yang zalim, kafir ataupun Mukmin namun keatas orang Mukmin mereka mesti mengambil seluruh asbab yang sepatutnya seperti digariskan oleh syarak, ilmu perubatan dan akal yang sihat.

Kelima: Islam mewajibkan ketika berlakunya wabak yang besar (seperti virus-virus yang boleh membunuh) agar menuruti perkara-perkara berikut:

1. Kuarantin: Iaitu tidak harus (haram) keluar daripada negara/negeri yang ditimpa dengan wabak tersebut dan tidak boleh juga memasuki ke dalamnya. Diriwayatkan di dalam Sahih Muslim bahawa Baginda Rasulullah Sallahu Alaihi Wasallam bersabda:

الطاعون آية الرجز ابتلى الله عز وجل به ناسا من عباده فَإِذَا سَمِعْتُمْ بِهِ ، فَلَا تَدْخُلُوا عَلَيْهِ ، وَإِذَا وَقَعَ بِأَرْضٍ وَأَنْتُمْ بِهَا ، فَلَا تَفِرُّوا مِنْهُ
Taun adalah tanda azab yang dengannya Allah menguji sebahagian dari hambanya. Maka jika kamu mendengar wabaknya di sebuah tempat, maka janganlah kamu memasukinya dan jika kamu berada di tempat tersebut maka jangalah kamu keluar daripadanya. (Sahih Muslim:4226)

Para Ulama’ kita telah menjelaskan bahawa antara hikmah daripada kuarintin ini adalah:

i. Larangan keluar daripada tempat yang terkena Taun tersebut adalah supaya wabak penyakit tidak terus merebak hingga menjadi sebab ianya menyakiti orang ramai dan jika dilakukan ia sebuah dosa kerana menyebabkan kemudharatan. Rasulullah sallahu alahi wasallam bersabda:
لا ضرر ولا ضرار
Dilarang memulakan kemudharatan dan membalas kemudharatan (dengan cara yang mudharat) (Sunan Ibnu Majah)

Maka tidak boleh seorang insan menyebabkan kemudharatan kepada orang lain samada pada agamanya, dirinya, akalnya, hartanya atau pada apa pun, samada kemudharatan itu secara fizikal atau maknawi. Bahkan berkaitan perkara ini para Ulama silam menegaskan pengharaman seseorang menyebabkan jangkitan penyakit.

ii. Larangan memasuki Kawasan berwabak adalah didasarkan pengharaman mencampakkan diri ke dalam kebinasaan atau perkara-perkara yang boleh menyebabkan kebinasaan. Ini kerana memelihara tubuh badan, kesihatan dan akal adalah diantara tujuan Syariah (Maqasid Syariah) yang dharuri.

iii. Bagi mengelak mengedut udara yang mengandungi virus wabak tersebut.

iv. Tidak mendekati orang yang sakit supaya mengelak jangkitan kecuali mendekatinya demi tujuan mengubat pesakit dengan mengambil segala langkah pencegahan yang sewajarnya. Baginda Sallahu Alaihi Wasallam besabda:
وفر من المجذوم كما تفر من الأسد
Larilah kamu dari seorang yang kusta seperti mana berlarinya kamu dari singa. (Sahih Bukhari: 5707)

Ini tidak bercanggahan dengan hadith Baginda:
لا عدوى
Sesuatu penyakit itu tidak berjangkit (Sahih Al-Bukhari: 5770)

Hadith ini bermaksud bahawa sesuatu penyakit itu tidak berjangkit seperti difahami oleh orang-orang Jahiliyah yang menyandar sesuatu perbuatan itu kepada selain Allah yang menyakini bahawa penyakit itu berjangkit kerana penyakit itu sendiri (tanpa menyandarkannya dengan kekuasaan Allah). Ini perlu difahami dari neraca iman kepada Allah dan tidak mempersukutukannya. Adapun gesaan melarikan diri daripada penyakit berjangkit adalah daripada neraca mengambil sebab musabbab yang dijadikan oleh Allah sebagai sesuatu yang boleh memberi kesan dengan izinnya. Perkara ini dikuatkan lagi dengan sebuah hadith:
لا يورد ممرض على مصح
Janganlah pemilik unta yang sakit memcampurkan untanya dengan yang sihat (Sahih Muslim: 4235)

v. Penting bagi mengambil langkah berhati-hati, berjaga-jaga dan mengelakkan diri daripada terdedah kepada perkara-perkara yang membinasakan bersama dengan menyerahkan diri secara bulat kepada Allah dan bertawakkal dengan sebenarnya, tanpa perlu risau dan rasa berkecamuk. Ibn Al-Athir menyatakan di dalam kitabnya ‘Al-Nihayah fi Al-Kamil fi At-Tarikh’ bahawa pernah ketika kaum Muslimin diuji dengan Taun ‘Amwas, ‘Amru bin Al-‘As telah keluar bersama para pesakit ke kawasan perbukitan kemudian membahagikan mereka kepada beberapa kumpulan dan mengelakkan mereka daripada saling bercampur antara satu sama lain. Mereka berada disitu selama satu tempoh hingga ramai yang syahid meninggal dunia dan Amru bin Al-‘As kemudian pulang bersama denan mereka yang selamat daripada wabak tersebut.

2. Antara yang ditekankan dalam ajaran Islam adalah kewajipan keatas setiap individu bagi mengubat diri dan kewajipan keatas masyarakat dan negara untuk berusaha dengan sebaik mungkin untuk mengubati penyakit-penyakit terutamanya penyakit berjangkit. Bagi individu yang tidak mengubati dirinya daripada penyakit, itu dikira sebagai berdosa berdasarkan dalil-dalil yang banyak dan jelas seperti mana kami jelaskan di dalam kitab ‘Fiqh Al-Qadhaya Al-Thibbiyah Al-Muasirah’.

3. Wajib seseorang itu membuat pengakuan, iaitu seseorang yang mendapati bahawa mereka dihinggapi wabak ataupun dia berada di kawasan berwabak dan keluar daripadanya kerana satu dharurat, maka mereka wajib melaporkan kondisi mereka kepada pihak yang bertanggungjawab. Jika mereka menyorokkan perkara tersebut, mereka telah melakukan dua jenayah; pertama kesalahan menyorokkan maklumat dan menipu, kesalahan kedua adalah mengakibatkan kemudharatan kepada orang ramai dan menyebarkan wabak. Bagi setiap yang kemudiannya berjangkit kerana mereka, maka mereka akan menanggung bahagian dosa dan jenayah yang disebabkan oleh mereka. Baginda Rasulullah Sallahu Alaihi Wasallam bersabda:
المسلم من سلم المسلمون من لسانه و يده
Seorang Muslim itu adalah apabila para Muslimin merasa selamat daripada lisan dan tangannya. (Sahih Muslim: 86)

Seorang Muslim yang hakiki adalah yang mencintai bagi saudaranya seperti mereka mencinatai sesuatu bagi dirinya dan membenci sesuatu bagi saudaranya seperti dia membencinya buat dirinya.

Keenam: Merasa takut daripada penyebaran wabak dan penyakit-penyakitnya.
Sesungguhnya Islam adalah agama fitrah yang tidak menghalang penganutnya agar merasa takut/risau akan penyakit-penyakit seperti ini selagi mana seseorang itu beriman kepada Allah Pencipta yang Maha Esa. Allah telah menjadikan bagi setiap perkara itu ada sebabnya dan merasa risau dengan perkara seperti ini wajib. Al-Hafiz Al-Manawi menyatakan ‘Diantaranya adalah rasa takut terhadap penyakit yang berjangkit dan kesan daripada seorang yang berpenyakit kusta.’ Didalam sebuah hadith, Baginda Sallahu Alaihi Wasallam besabda:
وفر من المجذوم كما تفر من الأسد
Larilah kamu dari seorang yang kusta seperti mana berlarinya kamu dari singa. (Sahih Bukhari: 5707)

Maka memelihara nyawa, diri, tubuh badan, harta dan kehormatan daripada perkara-perkara yang boleh membahayakannya adalah wajib.

Diantara dalil yang mensyariatkan bahkan mewajibkan rasa takut terhadap perkara-perkara seperti ini adalah seperti yang diriwayatkan di dalam Sunan Ibn Majah bahawa
كانَ في وفدِ ثقيفٍ رجلٌ مجذومٌ ، فأرسلَ إليهِ النَّبيُّ صلَّى اللَّهُ علَيهِ وسلَّمَ ارجِع فقد بايعناكَ
Bersama sekumpulan daripada Bani Thaqib ada seorang yang mengalami kusta, Baginda Rasul mengutuskan seseorang menemuinya lantas berkata, Pulanglah, sesungguhnya kami telah mengambil baiah kamu.
(Sahih Muslim: 2231,Sunan Ibnu Majah: 3544)

Begitulah juga terdapat hadith yang banyak tentang memelihara makanan dan minuman daripada sesuatu yang boleh merosakkannya yang memberi gesaan kewajipan berhati-hati dan sentiasa berjaga-jaga. Ini seperti hadith suruhan Baginda agar menutup bekas-bekas air dan makanan yang terbuka serta menjaganya, kewajipan berubat, membasuh tangan dan mulut, larangan buang air kecil dan besar dan kawasan jalan, dibawah pokok dan tempat-tempat yang boleh memberi kesan kepada orang ramai.

Agama Islam ini adalah agama yang menitik beratkan kebersihan dalaman dan luaran seperti firman Allah:
وَثِيَابَكَ فَطَهِّرْ
Dan buat baju-bajumu bersihkanlah ia (Surah Al-Muddathir: ayat 4)

Allah Subhanahu Wataala juga berfirman:
إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ
Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang bertaubat dan yang sentiasa mensucikan diri mereka. (Surah Al-Baqarah: ayat 222)

Dari perintah-perintah ini dapat difahami betapa Islam menitik beratkan amalan seperti berwudhu’, mandi, memastikan kebersihan bangunan dan tempat lapang dan lain-lain lagi.

Diantaranya sepertimana yang direkod di dalam Sahih Muslim bahawa Saidina Abi Zar berkata bahawa Rasulullah Sallahu Alaihi Wasallam bersabda:
عُرِضَتْ عَلَيَّ أَعْمَالُ أُمَّتِي حَسَنُهَا وَسَيِّئُهَا ، فَوَجَدْتُ فِي مَحَاسِنِ أَعْمَالِهَا الْأَذَى يُمَاطُ عَنِ الطَّرِيقِ ، وَوَجَدْتُ فِي مَسَاوِي أَعْمَالِهَا النُّخَاعَةَ تَكُونُ فِي الْمَسْجِدِ ، لَا تُدْفَنُ
Aku dipertontonkan dengan amalan-amalan umatku; kebajikan dan keburukan yang dilakukan oleh mereka. Maka aku dapati diantara amalan baik yang dilakukan oleh mereka adalah menyingkirkan daripada jalan sesuatu yang boleh menyakiti orang ramai. Dan aku dapati antara kejahatan yang dilakukan adalah kahak yang dibuang di dalam masjid dan tidak ditanam. (Sahih Muslim: 902)

Ketujuh: Perkara/ tuntutan yang tergugur akibat penularan wabak

Tidak syak lagi bahawa Allah Azza Wa Jalla telah menetapkan bahawa diatara Maqasid utama bagi Syariah adalah pemeliharaan agama, nyawa dan yang lain serta menggesa keduanya (pemeliharaan agama dan nyawa) diperbedayakan demi tujuan tersebut. Secara prinsip, tuntutan memelihara keduanya perlu dilakukan secara seiring tanpa tidak dipandang sebagai bercanggah. Oleh kerana itu, wajib keatas kita memelihara kewajipan agama seperti mana kita wajib memelihara tubuh badan , akal dan yang lain-lain. Namun kadangkala terdapat kesukaran dalam mengimbang keduanya dan disinilah kita dapat melihat kasih-sayang Allah, rahmatnya buat para hambanya dan bagaimana Allah mengambil berat terhadap orang-orang yang dhaif. Maka oleh itu Allah berikan beberapa kelonggaran buat kita dalam bentuk dibenarkan meninggalkan beberapa bentuk ibadah ataupun dibenarkan buat kita bagi meninggalkan sesuatu yang asalnya fardhu atau wajib. Berkaitan dengan perkara ini dapat difahami bagaima Allah memberi rukhsah bagi seseorang menuturkan ucapan yang kufur ketika dalam situasi dipaksa, seperti firman Allah:
إِلَّا مَنْ أُكْرِهَ وَقَلْبُهُ مُطْمَئِنٌّ بِالْإِيمَانِ
Kecuali bagi mereka yang dipaksa (menuturkan kalimah kufur) sedangkan hatinya tetap dengan iman (Surah An-Nahl: ayat 106)

Para Ulama telah mengambil hukum daripada ayat ini, ayat-ayat yang lain dan daripada sirah nabawiyyah bahawa ketakutan merupakan salah satu keuzuran yang diterima dalam syarak bagi meninggalkan sebahagian jenis kefarduan dan kewajipan apabila lengkap syarat-syaratnya. Diantara yang yang berkaitan dengan perkara ini adalah:

Keharusan meninggalkan solat Jumaat dan solat berjemaah kerana takut akan penyebaran wabak dikalangan mereka yang menunaikan solat.

Para Fuqaha menyatakan bahawa ketakutan seperti ini adalah kezuran yang membenarkan kita meninggalkan solat Jumaat dan solat berjemaah dan ia terbahagi kepada tiga jenis:

i. Seorang itu takut bahawa sesuatu boleh membinasakan dirinya atau memudharatkan anggota badannya, menyakitinya atau dengan hadir menunaikan solat tubuhnya akan dipukul dengan pukulan yang mencederakan, atau dia akan ditawan, diserang haiwan buas, maka dalam keadaan-keadaan seperti ini harus baginya meninggalkan masjid yang boleh mengakibatkan mudharat seperti yang disebut.

ii. Seseorang itu takut bahawa hartanya boleh binasa dengan sebab menghadiri solat Jumaat atau solat berjemaah. Bahkan para fuqaha’ menyatakan bahawa bahawa harus meninggalkan solat Jumaat jika seseorang itu risau bahawa haiwan buas akan memakan haiwan tunggangannya atau seumpanya.

iii. Seseorang itu takut akan keselamatan isteri dan anak-anaknya (keluarga), seperti seorang yang mempunyai anak kecil di rumah yang tiada orang lain yang dapat menjaganya dan dia risau anak itu boleh terdedah kepada situasi bahaya, atau dia takut bahawa jika dia pergi menunaikan solat maka suadara rapatnya akan meninggal dunia kerana tiada yang pergi mengubatinya atau tidak sepat mentalqinkan kalimah Syahadah untuk saudaranya atau seumpama dengannya.

Sungguh banyak dalil-dalil yang menerangkan bahawa kewajipan solat Jumaat disyaratkan dengan ia tidak mengakibatkan kemudharatan buat seorang insan berkaitan dengan dirinya, hartanya mahupun keluarganya. Berkaitan dengan perkara ini Allah berfirman:
وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِي الدِّينِ مِنْ حَرَجٍ
Tidaklah aku jadikan sesuatu kewajipan keatas kamu untuk menyebabkan kamu berada didalam kesusahan (Surah Al-Haj: ayat 78)

Begitu juga firman Allah:
يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ
Bahawa Allah menginginkan buatmu kemudahan dan tidak menginginkankan kepayahan (Surah Al-Baqarah: ayat 185 )

Imam Ibnu Qudamah menyatakan: “Diberi keuzuran buat seseorang yang dalam ketakutan untuk meninggalkan solat berjemaah dan solat Jumaat sepertimana sabda Baginda Sallahu Alaihi Wasallam:
من سمع المنادي فلم يمنعه من اتباعه عذر قالوا وما العذر قال خوف أو مرض
Sesiapa yang mendengar seruan solat dan tidak mempunyai sebarang keuzuran, para sahabat bertanya: Apakah keuzuran itu: Baginda menjelaskan: Ketakutan atau kesakitan. (Sunan Abi Daud)

Ketakutan itu ada tidak jenis; pertama keatas dirinya kedua keatas hartanya dan ketiga keatas ahli keluarganya.

Maka berdasarkan hujah-hujah yang dihuraikan, maka harus untuk kita untuk tidak menunaikan solat Jumaat dan solat berjemaah ketika wabak penyakit seperti Korona-19 ini tersebar luas kerana ia boleh dikategorikan sebagai ketakutan (seperti dihuraikan sebelum ini) namun disyaratkan bahawa ketakutan daripada wabak seperti ini benar-benar sesuatu yang pasti dan tidak cukup sekadar dibina atas sangkaan. Kerana kewajipan itu boleh ditinggalkan dengan zhan (kepercayaan) yang kuat atau permintaan dari pihak berkuasa dan pakar-pakar berkaitan.

Berkaitan dengan menutup masjid, saya berpandangan bahawa ia tidak wajar dilakukan kecuali wabak benar-benar tersebar luas dan telah diwartakan penutupannya daripada arahan pemerintah. Maka neraca perkara ini bergantung kepada arahan pemerintah kerajaan dan agensi-agensi kesihatan untuk menutup operasi sekolah dan universiti maka ketika itu haruslah bagi masjid sesuatu bandar itu ditutup begitu juga kawasan-kawasan dimana yang mempercayai bahawa wabak ini sedang menular secara luas dan telah arahan perintah pusat-pusat seperti ini ditutup.

Adapun kawasan-kawasan yang mana sekolah dan universitinya belum ditutup maka masjid-masjid juga tidak wajar ditutup

Larangan Menunaikan Umrah dan Haji Akibat Wabak

Tidak pernah dicatat di dalam sejarah (berdasar pengetahuan saya), bahawa kefardhuan haji pernah tidak dilakukan secara kesuluruhan akibat Taun dan wabak sepertinya namun haji pernah tidak dapat ditunaikan kerana fitnah golongan Qaramithah selama beberapa tahun kerana mereka telah menghalangnya dikala pemerintahan mereka yang tertegak dengan dendam dan kebencian sepertimana juga tercatat dalam sejarah beberapa negara yang penduduknya tidak pergi menunaikan haji akibat Taun dan wabak yang lain buat beberapa ketika. Ibn Kathir menyatakan di dalam kitabnya ‘Al-Bidayah Wa An-Nihayah’ bahawa pada sekitar tahun 357 Hijrah, penyakit Masyiri (satu wabak yang merebak) telah tersebar di Mekah dan mengakibatkan ramai yang meninggal dunia. Diantara yang mati juga adalah unta-unta para Hujjaj (mereka yang pergi menunaikan haji) di perjalanan akibat kehausan. Tidaklah mampu sampai ke Mekah kecuali jumlah yang sedikit bahkan kebanyakan dari mereka juga meninggal dunia selepas selesai menunaikan haji.

Pada tahun 2009 ketika tersebarnya virus yang berasal dari khinzir iaitu H1N1, berlegar beberapa fatwa yang melarang perlaksanaan ibadah haji namun Kerajaan Arab Saudi telah mengkaji perkara ini dengan mendalam dari sudut fiqh dan juga perubatan dan didapati bahawa kemudharatan itu adalah sesuatu yang tidak kuat dan belum dapat dipastikan, oleh sebab itu mereka mengambil keputusan tidak melarang ibadah haji pada tahun tersebut. Namun mereka telah memperketatkan pemeriksaan dan kajian ilmiah serta meminta agar mereka yang lanjut usia dan mempunyai penyakit tidak pergi menunaikan haji pada tahun tersebut.

Maka pada tahun ini 1441 Hijrah (Februari 2020), telah diwartakan arahan dari kerajaan Saudi agar ziarah Umrah disekat hinggalah kesuatu tempoh yang belum dimaklumkan ekoran daripada wabak Korona sebagai satu langkah pencegahan.

Usaha Melarang Ibadah Haji Akibat Tersebarnya Wabak Kolera dari Perisik-Perisik Penjajah Perancis

Musim haji adalah suatu waktu yang dianggap merbahaya pagi para penjajah. Ini kerana kesemua para hujjaj akan bertemu dengan para Ulama’, pemikir dan penyeru kepada gerakan Pan Islamisme. Oleh sebab itu, perisik-perisik Perancis berusaha untuk menghalang orang Islam yang berada di kawasan jajahan mereka untuk menunaikan haji dengan cara menakut-nakutkan mereka dengan wabak Kolera. Sayyid Muhammad Rashid Redha ada merakam pendirian Kerajaan Mesir ketika itu dengan berkata:

“Jemaah Menteri (Majlis An-Nuzzar) ketika itu mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan cadangan larangan menunaikan haji yang dicadangkan oleh Majlis Kesihatan sebagai satu langkah yang penting bagi menghalang wabak berpindah dari kawasan Hijaz ke Mesir. Disebabkan larangan menunaikan haji melibatkan suatu perintah di dalam rukun Islam, maka Majlis An-Nuzzar tidak mampu membuat keputusan maka Ketua Majlis An-Nuzzar mengutus agar beberapa Ulama’ besar Mesir agar turut hadir di dalam mesyuarat tersebut. Maka Sahib As-SaSamahah Qadhi Mesir, Syeikh Al-Azhar, Mufti Mesir , Syeikh Abdul Rahman Al-Nuwawi Mufti Al-Haqqaniah, Syeikh Abdul Qadir Al-Rifaie Pengerusi Al-Majlis Al-Ilmi yang lepas hadir bersama di dalam mesyuarat untuk membincangkan cadangan tersebut bersama Majlis An-Nuzzar. Setelah bersurai, para Ulama’ berkumpul sesama mereka untuk membincangkan perkara ini dan mereka sepakat untuk menulis fatwa bersama untuk diutuskan kepada Majlis An-Nuzzar yang teksnya adalah:

‘Segala puji bagi Allah tuhan yang Esa… Tidak pernah dinyatakan oleh seorang pun dikalangan para Imam bahawa antara syarat wajib bagi Haji adalah tiada sebarang penyakit yang menjangkiti ramai orang di bumi Hijaz. Maka terdapatnya sebarang wabak di Hijaz tidak menghalang kewajipan menunaikan haji keatas mereka yang mampu. Adapun larangan memasuki kawasan berwabak, itu sekiranya tiada pada kewajipan yang lebih kuat seperti menunaikan perkara yang wajib seperti yang difahami daripada pandangan para Ulama’.
Fatwa ini ditulis pada 2 Zulqaedah 1316 Hijrah

Allah lebih mengetahui dan baginya segala bentuk pujian Tuhan sekalian alam’ ”
Namun menurut saya, pandangan yang lebih kuat adalah jika wabak penyakit telah tersebar secara pasti atau menurut kepercayaan yang kuat (berdasarkan pandangan pakar-pakar berkaitan) bahawa para Hujjaj atau sebahagian daripada mereka boleh dijangkiti wabak penyakit akibat suasana padat musim haji, maka adalah harus untuk menyekat/ melarang ibadah umrah dan haji dalam tempoh yang sementara demi tujuan menolak mafsadah/ kemudharatan yang boleh berlaku.

Para fuqaha’ telah bersepakat bahawa harus meninggalkan ibadah haji jika takut kemudharatan yang timbul di dalam perjalanan (Khauf Al-Thariq). Bahkan seseorang dikira masih tidak berkemampuan (Istitha’ah) jika tiada perjalanan tidak aman. Oleh sebab itu, penyakit berwabak bolehlah dikira sebagai keuzuran untuk tidak menunaikan ibadah haji dan umrah dengan syarat ia dibina denga kepercayaan yang kuat (Ghalabah Az-Zhan) bahawa wabak itu berlaku atau ia akan merebak akibat ibadah umrah dan haji yang dilaksanakan. Ini perlu dinilai dan diukur dengan kadarnya oleh pakar-pakar dikalangan para doktor perubatan.

Jika ia berkaitan sekatan menunaikan haji dan umrah ia perlu diwartakan oleh Kerajaan Arab Saudi dan jika umrah dan haji diizinkan, ia keatas negara yang berwabak melarang warganegaranya untuk tidak pergi menunaikan haji dan umrah bagi mengelak penularan wabak penyakit kepada para hujaj dan yang pergi menunaikan umrah berdasarkan pertimbangan pakar-pakar berkaitan dari setiap negara.

Kelapan: Memperbanyakkan Berdoa dan Merendahkan Diri (Tadharru’) Kepada Allah Azza Wa Jalla

Disamping berubat seperti yang dituntut dari aspek kesihatan, seorang Muslim dikala penularan wabak penyakit disunatkan untuk memperbanyakkan doa-doa dibawah:
 1. قُل لَّن يُصِيبَنَا إِلَّا مَا كَتَبَ اللَّهُ لَنَا هُوَ مَوْلَانَا ۚ وَعَلَى اللَّهِ فَلْيَتَوَكَّلِ
2. بِسْمِ اللَّهِ الَّذِي لَا يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ، فِي الْأَرْضِ، وَلَا فِي السَّمَاءِ، وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ 
Zikir ini dibaca sebanyak tiga kali atau lebih, diriwayatkan di dalam hadith bahawa sesiapa yang membaca doa ini sebanyak tiga kali maka dia tidak akan ditimpa dengan ujian secara tiba-tiba sehinggalah waktu pagi, dan sesiapa yang membacanya ketika pagi maka tidak akan ditimpa ujian secara tiba-tiba hinggalah petang.
 3. أَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللَّهِ التَّامَّاتِ مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ
Di dalam hadith yang sahih diriwayatkan bahawa jika kamu membacanya maka kamu tidak dimudharatkan oleh kejahatan para makhluk.

4. Membaca Surah Al-Ikhlas sebanyak tiga kali begitu juga Al-Mu’awwizatayn (Al-Falaq dan Al-Ikhlas) dibaca sebanyak tiga kali ketika waktu pagi dan petang. Telah thabit dalam hadith yang banyak bahawa sunat bagi kita mengamalkannya.

 5. اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ، اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِينِي وَدُنْيَايَ وَأَهْلِي وَمَالِي، اللَّهُمَّ استُرْ عَوْرَاتي، وآمِنْ رَوْعَاتي، اللَّهمَّ احْفَظْنِي مِنْ بَينِ يَدَيَّ، ومِنْ خَلْفي، وَعن يَميني، وعن شِمالي، ومِن فَوْقِي، وأعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أنْ أُغْتَالَ مِنْ تَحتي
6.   لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنْتُ مِنَ الظَّالِمِينَ
Diriwayatkan bahawa sesiapa yang berdoa dengannya, pasti akan 
diperkenankan permintaannya.

7. اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ زَوَالِ نِعْمَتِكَ، وَتَحَوُّلِ عَافِيَتِكَ، وَفُجَاءَةِ نِقْمَتِكَ، وَجَمِيعِ سَخَطِكَ
8. اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْبَرَصِ، وَالْجُنُونِ، وَالْجُذَامِ، وَمِنْ سَيِّئِ الأَسْقَامِ

9. Memperbanyakkan bacaan Al-Quran, zikrullah, tasbih dan berselawat keatas junjungan Baginda Rasulullah serta ahli keluarga dan sahabat Baginda.

Wallahu A’lam

Ditulis oleh Al-Faqir Ila Rabbihi
Dr. Ali Muhyiddin Al-Qarahdaghi
Awal Rejab 1441

*Diterjemah oleh Al-Faqir Ahmad Firdaus bin Kadir
Dipetik dari Akademi Nunji.


No comments: