hasbunallah

hasbunallah

Wednesday, December 31, 2008

Sambutan Tahun Baru Melalaikan


KEPUTUSAN kerajaan untuk tidak mengadakan sambutan tahun baru 2009 sememangnya bertepatan dengan keadaan semasa. Namun, lebih elok sekiranya acara sambutan itu dibuang terus daripada agenda tahunan kerajaan kerana ia ternyata membazirkan duit rakyat dan lebih banyak mengundang masalah berbanding manfaat. Alasan mengatakan penangguhan sambutan itu berlaku kerana fenomena kemelesetan ekonomi dunia, bencana alam di Bukit Antarabangsa, menghormati Maal Hijrah dan serangan Israel terhadap Palestin sebenarnya alasan sementara yang mungkin berguna untuk menangguhkan sambutan itu tahun ini, akan tetapi tidak lagi relevan pada tahun mendatang. Apa yang pasti budaya konsert dan menunggu detik loceng jam pada waktu tengah malam sebenarnya bertentangan dengan Islam dan fitrah manusia. Sambutan itu tidak banyak memberikan impak positif kepada perkembangan rakyat kerana kebiasaannya selepas majlis itu kadar jenayah, tahap kebersihan dan masalah moral akan meningkat dengan mendadak.

Penganjuran acara itu juga bertentangan dengan galakan kerajaan agar rakyat mengamalkan gaya hidup sihat. Mana mungkin mendapat hidup sihat sekiranya waktu tidur terganggu dengan pesta sedemikian. Selain itu, budaya berjaga malam untuk berpesta juga bertentangan dengan fitrah malam yang dijadikan khusus untuk manusia berehat seperti firman Allah: "Dialah yang menjadikan malam bagi kamu supaya kamu berehat padanya dan menjadikan siang terang-benderang (supaya kamu berusaha). Sesungguhnya, perubahan malam dan siang itu mengandungi tanda-tanda (yang menunjukkan kekuasaan Allah) bagi kaum yang mahu mendengar (keterangan-keterangan yang tersebut dan mengambil pelajaran daripadanya)" (Yunus:10.67). Firman Allah lagi; "Dan di antara rahmat pemberian-Nya, Ia menjadikan untuk kamu malam dan siang (silih berganti supaya kamu berehat padanya dan supaya kamu berusaha mencari rezeki daripada limpah kurnia-Nya dan juga supaya kamu bersyukur" (al-Qasas: 28.73).

Juga firman Allah: "Allah yang menjadikan malam untuk kamu supaya kamu berehat padanya, dan menjadikan siang terang-benderang (supaya kamu berusaha). Sesungguhnya Allah sentiasa melimpah-limpah kurnia-Nya kepada manusia seluruhnya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur" (Ghafir: 40.61).
Sambutan itu yang rata-ratanya berakhir selewat jam tiga pagi sudah pasti akan melahirkan anggota masyarakat yang sakit, tidak produktif, malas dan dimurkai Allah kerana terbabit dengan budaya mungkar seperti pergaulan bebas dan meninggalkan solat fardu subuh pada keesokan harinya. Peningkatan masalah ini ternyata merugikan negara dalam segenap aspek. Bayangkan masa dan tenaga kerja membabitkan polis, Kementerian Kesihatan, hospital, klinik dan pihak berkuasa tempatan untuk mengurus masalah jenayah, kesihatan dan kebersihan akibat daripada majlis itu.

Untuk itu intelektual negara dalam semua bidang perlu tampil memberikan buah fikiran bernas mengenai kaedah menyambut tahun baru, sekiranya berasakan sambutan itu satu tuntutan yang amat diperlukan negara. Namun, biarlah sambutan itu dalam acuan kita sendiri bersesuaian dengan status negara Islam.


ABDULLAH BUKHARI ABDUL RAHIM AL-HAFIZ,
Jabatan Tilawah al-Quran Pusat Bahasa,
Universiti Islam Antarabangsa.


Dipetik dari Berita Harian

No comments: