hasbunallah

hasbunallah

Tuesday, February 10, 2015

Menjawab Datuk Noor Farida Ariffin




Satu pandangan telah dilontarkan oleh Datuk Noor Farida Arifin yang dikatakan sebagai jurucakap  kumpulan 25 Melayu profesional G25 berkenaan hudud yang akan dilaksanakan di Kelantan. Ketika forum “Malaysia, Kebebasan Ekonomi, dan Globalisasi” anjuran Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) bersempena kelahiran Tunku Abdul Rahman ke-112 di Kuala Lumpur beliau berkata dengan mengambil contoh kesalahan zina,  undang-undang hudud Kelantan menolak penggunaan bukti saintifik seperti sampel DNA dan cap jari, sebaliknya hanya menerima bukti 4 saksi mata kejadian zina tersebut. Oleh yang demikian, beliau membuat kesimpulan bahawa jika hudud dilaksanakan di Kelantan, pesalah laku seksual kanak-kanak sudah pasti akan berkerumun di Kelantan. Di sana mereka boleh rogol kanak-kanak atau orang dewasa, inilah dia hudud PAS.

Kesilapan besar Datuk Noor Farida adalah beliau tidak tahu bahawa  Kanun Jenayah Syariah Kelantan tidak memasukkan kesalahan rogol sebagai satu jenayah hudud malah mengekalkan kesalahan rogol tersebut dibawah kuasa Mahkamah Sivil berdasarkan seksyen 375 Kanun Keseksaan. Sudah tentu kaedah pembuktian di Mahkamah Sivil berlainan dengan hukuman hudud yang di bicarakan di Mahkamah Syariah. Mungkin Datuk Noor Farida tidak tahu atau tidak perasan bahawa jenayah rogol tidak dimasukkan dalam Kanun Jenayah Syariah sehinggakan beliau membuat contoh hukuman hudud Kelantan dengan kes rogol. Maka sekiranya keputusan siasatan menunjukkan bahawa seorang perempuan telah dirogol, maka pendakwaan kes terus akan terus dibuat di Mahkamah Sivil berdasarkan peruntukan Kanun Keseksaan dan bukannya di bawah kesalahan hudud. Maka kesimpulan yang dibuat beliau bahawa “pesalah laku seksual kanak-kanak sudah pasti akan berkerumun di Kelantan” adalah bersifat pandangan yang naïf.

Walaupun beliau memberitahu bahawa beliau seorang Islam dan memperaktik Islam tetapi saya percaya banyak perkara yang beliau tidak tahu mengenai hukum Islam. Ayat al-Quran yang menjadi sandaran kepada masalah saksi zina ini adalah bersifat qatie dilalah. Ayat 4 surah an-Nur:

وَٱلَّذِينَ يَرۡمُونَ ٱلۡمُحۡصَنَـٰتِ ثُمَّ لَمۡ يَأۡتُواْ بِأَرۡبَعَةِ شُہَدَآءَ فَٱجۡلِدُوهُمۡ ثَمَـٰنِينَ جَلۡدَةً۬ وَلَا تَقۡبَلُواْ لَهُمۡ شَہَـٰدَةً أَبَدً۬ا‌ۚ وَأُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمُ ٱلۡفَـٰسِقُونَ (٤(

Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka lapan puluh kali sebat dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasik.

Perlu di ingat bahawa DNA juga boleh di manipulasi dalam banyak keadaan. Contohnya air mani boleh sahaja di masukkan dalam kemaluan perempuan tanpa mengadakan hubungan seks. Ia boleh dimasukkan dengan menggunakan alat-alat tertentu. Oleh yang demikian, DNA pemilik air mani tersebut akan dituduh sama ada berzina atau merogol perempuan tersebut berdasarkan DNA yang ada pada air mani tersebut walaupun pemiliknya tidak berbuat demikian.

Sebab itulah al-Quran menetapkan bahawa pendakwa perlu mendatangkan 4 orang saksi yang melihat sendiri berlakunya perzinaan tersebut. Ulama pula menggariskan syarat-syarat khusus seorang saksi bagi membolehkan keterangannya diambil kira dan dipertimbangkan oleh Mahkamah dalam membuat keputusan.

Mungkin beliau tidak faham antara konsep baiyinah, syahadah dan qarinah dalam pembuktian kes. Mengatakan bahawa hudud menolak bukti saintifik seperti DNA dan cap jari adalah satu kekeliruan yang jelas. Walaupun DNA atau pun jari tidak diterima sebagai ‘syahadah’ dalam kes hudud tetapi ia masih boleh digunakan sebagai baiyinah dan qarinah bagi menyokong syahadah yang dikemukakan.

Beliau juga tidak faham konsep pendakwaan dalam Islam. Pihak yang mengendalikan pendakwaan bukanlah calang-calang orang untuk diberikan tanggungjawab. Ia mestilah daripada kalangan yang mahir serta berwibawa. Sebelum melakukan pendakwaan, kajian mesti dibuat dari pelbagai sudut termasuklah saksi serta pembuktian. Contoh yang selalu dibawa oleh golongan seperti ini adalah dalam kes rogol. Sekiranya seorang perempuan menuduh seorang lelaki telah merogolnya tetapi tidak mengemukakan bukti dengan 4 orang saksi, maka perempuan tersebut akan dikenakan hukuman had sebanyak 80 rotan. Adakah mereka fikir semudah itu hakim atau Mahkamah akan menjatuhkan hukuman tersebut. Adakah mereka fikir begitu hukum Islam? Sekiranya mereka fikir begitu, memang jelas sekali bahawa mereka sebenarnya memang tidak faham konsep pendakwaan dalam Islam.

Dalam Perundangan Islam, terdapat tiga kaedah untuk mensabitkan seseorang itu melakukan jenayah zina iaitu:

Kaedah Pertama: Ikrar atau Pengakuan. Seseorang yang telah melakukan pengakuan bahawa telah berzina maka hukuman ke atasnya ialah Hukum Hudud. Ulama berbeza pandangan dalam pemasalahan bilangan pengakuan yang perlu dilakukan oleh penzina sama ada memadai dengan sekali atau memerlukan kepada empat kali pengakuan.

Kaedah Kedua: Penyaksian oleh empat orang saksi yang adil, tidak fasiq dan melihat kejadian zina berlaku betul-betul dihadapannya. Sekiranya perkara ini berlaku maka hukuman ke atas tertuduh ialah Hukum Hudud.

Kaedah Ketiga: Qarinah. Ia bermaksud pembuktian terhadap perlakuan zina selain daripada kaedah pengakuan dan empat orang saksi. Hukuman yang dijatuhkan ke atas orang yang disabitkan zina melalui kaedah qarinah ialah Takzir bukan Hudud. Dalam Mazhab Maliki kaedah menggunakan qarinah digunapakai dalam pensabitan kes zina manakala Mazhab Hanafi, Syafie dan Hambali qarinah boleh digunakan tetapi hendaklah disiasat secara menyeluruh.

Sekiranya pembuktian berlaku mengikut kaedah pertama dan kedua, maka Mahkamah boleh mensabitkan tertuduh dengan hukuman hudud. Manakala perempuan tersebut akan dibebaskan tanpa sebarang hukuman kerana dia adalah seorang mangsa. Namun sekiranya pembuktian berlaku hanya melalui kaedah yang ketiga, Mahkamah masih boleh mensabitkan jenayah rogol tersebut tetapi tertuduh tidak dikenakan hukuman had. Hakim atau Mahkamah boleh mengenakan hukuman takzir keatas tertuduh atau pesalah rogol. Bukan bermakna sekiranya pihak pendakwaan tidak dapat mengemukakan 4 orang saksi, maka penjenayah rogol akan dibebaskan begitu sahaja. Itu adalah kefahaman yang salah!!
  



3 comments:

king said...

tulisan anta ini bagus dah. cuma apa-apa remark yg sinikal tu tak perlu masukkan. tulis dgn ilmiah sb pembaca ni pelbagai. jika masukkan unsur sinikal akan menyebabkan pembaca yg tidak gemar unsur sinikal dan politik berpolemik dgn enta.

Anonymous said...

hidup di dunia ni sekejap je..Hidup diakhirat sampai bila-bila...pasti terlalu lama. Sayangi Agama Allah. Turuti segala seruan Allah. Tuhan pencipta segala isi alam ini,Tuhan tahu atas segala termasuklah masa depan kita,masa lalu kita hinggakan selepas mati kita.

Anonymous said...

Elok kalau dapat tenguk cara dia sembahyang ... tentu tak sama dengan cara kita sebab cara kita sembahyang telah ditetapkan 1400 tahun dahulu ... tentu dia ada cara semabhyang yang baru .... begitu cara dia berpuasa ... tentu cara dia berpuasa sudah diubah sebab cara yang biasa kita buat sudah usang ... kita juga nak tahu di mana dia pergi naik haji ... mungkin dia tidak pergi ke Mekah sebab itu cara lama ... mungkin dia pergi London buat haji atau pergi Moscow ......!!!!!!!!!