hasbunallah

hasbunallah

Thursday, May 7, 2015

Keputusan Kes Saman Hudud Oleh Parti Gerakan



DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI KOTA BHARU
DI DALAM NEGERI KELANTAN DARUL NAIM, MALAYSIA
SAMAN PEMULA NO: 24 NCVC-12—03 TAHUN 2015

ANTARA
1.     TUAN MAT BIN TUAN WIL
2.     SOH HOON LEE
3.     CHUNG MON SIE                                                 PLAINTIF- PLAINTIF
DAN

KERAJAAN NEGERI KELANTAN DARUL NAIM.DEFENDAN

RINGKASAN ALASAN PENGHAKIMAN

1.     Latar belakang kes

Pihak Plaintif-Plaintif melalui peguamcaranya dari tetuan N S Leong & S T Low telah memfailkan Saman Pemula beserta Afidavit menyokong Saman Pemula tersebut yang di ikrarkan oleh Plaintif Pertama, Kedua dan Ketiga serta difailkan di Mahkamah Tinggi Malaya di Kota Bharu pada 18/03/2015.

Plaintif-Plaintif memohon Perintah-perintah daripada Mahkamah sebagaimana berikut:

             (i).            Bahawa kebenaran diberi menurut Artikel 76 dan 76(A) Perlembagaan Persekutuan bagi pengisytiharan bahawa Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1993) II adalah terbatal dan tidak sah kerana bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan;

          (ii).            Sesuatu deklarasi bahawa Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1993) II yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Kelantan pada 18/03/2015 adalah menyalahi undang-undang, batal dan tidak sah bertentangan dengan Perkara 4(1) Perlembagaan Persekutuan;

        (iii).            Lain-lain deklarasi relif atau perintah yang berbangkit difikirkan wajar oleh Mahkamah Yang Mulia.

Alasan-alasan kepada permohonan tersebut telah dinyatakan bersama di dalam Notis Usul seperti berikut:

             (i).            Bahawa Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1993) II adalah menyalahi undang-undang kerana ia memperuntukan berkenaan dengan perkara-perkara bahawa Dewan Undang Negeri Kelantan tidak mempunyai kuasa untuk membuat undang-undang;

          (ii).            Bahawa Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1993) II adalah ultra vires dan tidak sah dan menjadi tidak selaras dengan Perlembagaan Persekutuan;

        (iii).            Bahawa Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1993) II adalah tidak sah kerana ia membuat peruntukan berkenaan dengan perkara-perkara yang mana Dewan Undangn Negeri itu tidak mempunyai kuasa untuk membuat undang-undang;

        (iv).            Bahawa setengah peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1993) II mewujudkan kesalahan berkenaan dengan perkara-perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan;

          (v).            Alasan-alasan dan isu-isu yang lain adalah dinyatakan dalam Afidavit Sokongan yang difailkan di sini.

Pada 25/03/2015, pihak Plaintif-Plaintif telah memfailkan satu Notis Permohonan kepada Mahkamah Tinggi Malaya di Kota Bharu yang memohon sebagaimana berikut:-

             (i).            Saman Pemula ini berkenaan persoalan Perlembagaan dirujuk oleh Mahkamah Tinggi (Reference of constitutional question by High Court) ke Mahkamah Persekutuan, Malaysia selaras dengan seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 ( Court Judicature Act 1964 berdasarkan kepada isu-isu seperti berikut:

a)    Sama ada Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1993) II Pindaan 2015 yang dibentangkan pada 18/03/2015 dan diluluskan pada 19/03/2015 oleh Dewan Undangan Negeri Kelantan adalah bertentangan dan/atau bercanggah kepada doktrin struktur asas perlembagaan berdasarkan kepada Artikel 4(1) Perlembagaan Persekutuan, Malaysia (contravenes the basic structure doctrine housed in Article 4(1) of the Federal constitution); dan

b)    Sama ada Dewan Undangan Negeri Kelantan mempunyai kuasa untuk menggubal dan meluluskan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1993) II pindaan 2015 pada 19/03/2015.

          (ii).             Keseluruhan prosiding di Mahkamah ini digantung sementara menunggu keputusan rujukan oleh Mahkamah Persekutuan, Malaysia;

        (iii).            Tiada perintah terhadap kos; dan

        (iv).            Lain-lain perintah dan/ atau relif lain yang diputuskan adil dan sesuai manfaat oleh Mahkamah yang mulia ini.

Alasan-alasan yang dinyatakan dalam permohonan Plaintif-Plaintif sebagaimana berikut:

             (i).            Bahawa perintah deklarasi yang dipohon dalam Saman Pemula ini adalah melibatkan isu-isu mentafsirkan Perlembagaan Persekutuan, Malaysia;

          (ii).            Bahawa selanjutnya, adalah wajar dan adil bahawa prosiding ini digantungkan sehingga kesemua isu-isu berkenaan dirujuk dan diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan;

        (iii).            Bahawa isu-isu yang dirujuk kepada Mahkamah Persekutuan melibatkan kepentingan-kepentingan dan hak-hak asasi jelata Malaysia; dan

        (iv).            Seperti yang dinyatakan dalam Afidavit Plaintif-Plaintif yang difailkan di sini.

2.     Bantahan awal oleh pihak Kerajaan Negeri Kelantan

Kerajaan Negeri Kelantan telah diwakili oleh YB Penasihat Undang-Undang Negeri Kelantan telah memasukkan satu Notis Bantahan Awal terhadap Saman Pemula dan Notis Permohonan Plaintif-Plaintif di Mahkamah Tinggi Malaya di Kota Bharu pada 16/04/2015 atas alasan berikut:-

             (i).            Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi tidak mempunyai bidang kuasa mendengar dan memutuskan perintah-perintah yang dipohon oleh Plaintif-Plaintif bagi mencabar kesahan Undang-Undang Negeri;

          (ii).            Permohonan yang dibuat bertentangan dengan peruntukan dalam Perkara 4(3) dan 4(4) dan Perkara 128 Perlembagaan Persekutuan.

3.     Penemuan yang dibuat oleh Mahkamah

Setelah meneliti hujah-hujah kedua-dua pihak dalam kes ini, Yang Arif Hakim Dato Azman Abdullah mendapati sebagaimana berikut:-

             (i).            Semasa Saman Pemula ini difailkan oleh Plaintif bersama-sama Afidavit Sokongan oleh peguamcara Plaintif-Plaintif, Dewan Undangan Negeri Kelantan masih lagi membahaskan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1993) II tersebut. Dengan kata lain kausa tindakan masih tidak lagi wujud pada 18/03/2015 ketika Saman Pemula tersebut difailkan. Sedangkan Kanun Jenayah Syariah (1993) II 2015 diluluskan pada 19/03/2015.

          (ii).            Pihak Plaintif hanya boleh memulakan Saman Pemula dan Notis Permohonan di Mahkamah Persekutuan terlebih dahulu dan bukannya memulakan di Mahkamah Tinggi dan baru memohon untuk dirujuk ke Mahkamah Persekutuan. Perkara 128 menyatakan bahawa hanya bidangkuasa Mahkamah Persekutuan sahaja untuk menentukan persoalan sama ada undang-undang yang digubal oleh Badan Perundangan Negeri tidak sah kerana tidak mempunyai kuasa untuk membuat undang-undang tersebut.

4.     Keputusan Mahkamah

             (i).            Dengan ini memutuskan bahawa kausa tindakan pada 18/03/2015 belum lagi wujud semasa pihak Plaintif memfailkan Notis Usul ini dan ianya seolah-olah “put the cart before the horse” dan Bantahan Awal Defendan diterima;

          (ii).            Dengan ini Notis Permohonan di Lampiran 6 Plaintif di tolak dan Saman Pemula Plaintif juga dibatalkan dengan kos perlu dibayar oleh Plaintif-Plaintif kepada Defendan sebanyak RM10,000.


Mohd. Abd. Rashid Bin Yah
Penolong Pengarah (Dasar & Perundangan),
Unit Pemantauan dan Pelaksanaan Strategik (SPARK),
Pejabat Menteri Besar Kelantan.

Bertarikh pada : 07 Mei 2015

No comments: