hasbunallah

hasbunallah

Thursday, July 31, 2008

Muqabalah Atau Muzakarah


Sekarang isu muqabalah atau muzakarah antara Pas dan Umno merupakan yang paling hangat diperkatakan sama ada di kedai-kedai kopi, surat khabar, tv, internet dan sebagainya. Saya tertanya-tanya kenapa Umno nampaknya bersungguh-sungguh atau beria-ria sangat ingin bermuzakarah dengan Pas? Sedangkan suatu ketika dahulu mereka tidak pernah menyahut cabaran Pas untuk bermuzakarah. Sebagai orang politik, kita perlu melihatnya dengan lebih teliti supaya perkara tersebut tidak memakan diri kita sendiri.

Banyak pendapat, komen dan buah fikiran dilontarkan mengenai perkara ini. Saya bersetuju dan menyokong dengan kenyataan Dewan Pemuda Pas Negeri Kelantan serta pandangan peribadi saudara Hanipa Maidin mengenai perkara ini. Pada fikiran saya, Umno tidak lebih seperti orang yang hampir tenggelam kelemasan dalam lautan yang luas. Apa sahaja yang dapat dicapai untuk menyelamatkan dirinya akan digapai sekuat-kuatnya. Saya takut, nanti Umno akan berpaut pada Pas yang menyebabkan Pas tenggelam. Tapi Umno sempat menyelamatkan diri atas ketenggelaman Pas tersebut.

Tapi mungkin setiap orang mempunyai pendapat dan pendirian tersendiri. Namun itulah pendirian saya!


Wednesday, July 30, 2008

PTPTN Dikaji


Semalam, Majlis Fatwa Kebangsaan telah mengadakan muzakkarah di Putrajaya yang turut dihadiri oleh Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohammad Sheikh Abdul Aziz. Muzakarah tersebut telah memutuskan supaya PTPTN perlu mengubah caj perkhidmatan sebanyak 3% tersebut kepada konsep upah sejajar matlamat penubuhannya untuk membantu pelajar membiayai pengajian.

Sejak ia ditubuhkan, caj perkhidmatan sebanyak 3% tersebut telah membebankan para pelajar yang kebanyakkannya masih menganggur setelah tamat pengajian. Apatah lagi zaman ekonomi yang tidak menentu ini akan menambahkan lagi bebab para pelajar.

Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Prof Datuk Dr Abdul Shukor Husin berkata jika konsep upah ini digunakan oleh PTPTN, kadarnya mestilah berbaloi dengan kerja dan tidak membebankan pelajar. Walau bagaimanapun, Majlis Fatwa Kebangsaan tidak menetapkan kadar dan cara pengiraannya secara khusus.

Saya percaya bahawa berita ini sekurang-kurangnya boleh melegakan sedikit dada para mahasiswa yang rata-ratanya berpendapatan sederhana untuk membayar balik pinjaman tersebut. Apasalahnya jika PTPTN menggunakan kaedah pinjaman pengajian yang disediakan MARA yang tidak membebankan para pelajar untuk membuat bayaran balik.

Kadar caj perkhidmatan (kononnyalah!) sebanyak 3% tersebut amat membebankan para pelajar apatah lagi zaman ekonomi yang tidak menentu ini. Caj tersebut juga lebih tinggi berbanding faedah yang dikenakan oleh pihak bank. Seolah-olah PTPTN ini ditubuhkan untuk bertindak sebagai 'along kerajaan' seumpama lintah darat yang menghisap darah para pelajar. Kemudahan kad kredit yang disediakan oleh mana-mana bank hanya menetapkan faedah sebanyak 1.5% setahun.
Mungkin pihak kerajaan menubuhkan PTPTN ini adalah untuk mengaut keuntungan bagi menambah dana kerajaan dan bukannnya untuk membantu pelajar untuk mendapatkan pendidikan dengan lebih sempurna sebagaimana yang diheboh-hebohkan.
Sama-samalah kita doakan agar PTPTN dapat mengubah cara pengiraan dan pembayaran balik pinjaman bagi tidak membebankan pelajar. Bukan hanya asyik dok bayar bunga je.

Sunday, July 27, 2008

Let's Do It Yourself


Semalam, 26/07/2008 Pemuda Dun Kelaboran telah menganjurkan satu prgram motivasi untuk pelajar-pelajar PMR dan SPM di SMU(A) Mahaad Muhammadi Tumpat dengan tema "Let's Do It Yourself".

Program ini telah disertai hampir 240 orang pelajar dan telah dirasmikan oleh YB Hj. Che Abdullah Mat Nawi selaku Exco Kerajaan Kelantan merangkap Adun Wakaf Bharu. Dalam ucapan perasmian, beliau telah menasihati para pelajar supaya berusaha bersungguh-sungguh bertepatan dengan tema program motivasi. Beliau turut menambah 'Let's do it youself because nobody can do it for you.' Beliau juga turut berkongsi pengalamannya semasa belajar dahulu untuk dijadikan satu panduan kepada para pelajar semua.

Saya selaku pengarah program, amat berpuas hati dengan penglibatan dan kerjasama yang telah diberikan oleh pihak pentadbiran sekolah serta guru-guru yang tentunya mahu melihat pelajar-pelajar mereka cemerlang dalam peperiksaan.

Dikesempatan ini, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan program ini. Kita sama-samalah berdoa untuk melihat hasilnya yang cemerlang.

Sunday, July 20, 2008

Balasungkawa


Saya mengucapkan takziah kepada kakak ipar sekeluarga atas pemergian ayahandanya Arifin Awang Hamat semalam. Saya cumanya agak ralat kerana hanya disebabkan perkara kecil Allahyarham telah terbunuh.

Mengikut sumber, Allahyarham telah ditetak gara-gara anak lembu peliharaannya telah memasuki kebun jirannya. Padahal perkara sebegini sepatutnya boleh diselesaikan secara musyawarah dan tidak perlu sampai berperang begitu sekali. Kalau hendak marah sangat, tetak sahaja anak lembu itu sudahlah. Inilah akibatnya apabila marah menguasai diri, maka nafsulah yang akan menjadi raja dan syaitanlah jadinya.

Saya yang turut sama memandikan jenazah setelah dibedah siasat oleh pasukan forensik di HPRZII turut sedih melihat kesan tetakkan pada leher jenazah Allahyarham yang dikatakan punca kematian beliau. Pihak polis sudah mengenal pasti siapakah yang punya angkara dan usaha untuk menangkapnya untuk dibawa kemuka pengadilan sedang dilakukan.

Semoga Allah merahmati roh beliau dan menempatkannya bersama para solihin. Amin!!!

Kursus Kepimpinan Dun Kelaboran 2008

Pada 18/07/2008, Pemuda Dun Kelaboran telah mengadakan satu Kursus Kepimpinan Peringkat Dun Kelaboran 2008 bertempat di Sudara Beach Resort. Kursus tersebut dihadiri oleh ajk Majlis Tindakan Dun (MTD), Pemuda Dun, Penghulu dan ketua cawangan.

YB Mohd Zaki Hj Ibrahim selaku Adun Kelaboran merangkap Timbalan Speaker Kerajaan Negeri Kelantan dalam ucapan perasmian kursus telah menyebut:
Program ini memberikan kita peluang bertukar fikiran sesama kita. Mewujudkan wahdatul fikr (Kesatuan Pemikiran) antara kita serta memudahkan gerak kerja yang akan menghasilkan wahdatul a'mal (kesatuan kerja) yang dapat diperolehi daripada program ini.

Pengalaman-pengalaman sahabat-sahabat yang lama dalam politik dapat kita gabungjalinkan boleh memperkukuhkan parti kita. Sebagai hardcore parti yang akan menentukan pergerakan parti di dun kita, jika kita bermasalah maka akan menyebabkan orang bawahan kita juga bermasaalah.

Kita janganlah menghiraukan apa-apa tuduhan yang dilemparkan kepada kita. Cuma kita boleh mengambil pengajaran daripada tuduhan tersebut supaya kita tidak menjadi sebagaimana tuduhan yang dibuat terhadap kita tersebut.

Sebagai pemimpin, kita akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah s.w.t nanti. Kita telah diamanahkan oleh rakyat untuk mentadbir negeri. Tanggungjawab kita berbeza dengan sebelum era tahun 1990 iaitu sebelum kita memerintah negeri. Namun sekarang, tanggungjawab kita adalah lebih besar lagi setelah kita dapat memerintah negeri. Kita perlu menyelesaikan semua masalah yang timbul dan jangan hanya melepaskan bebanan tersebut kepada penghulu atau pejabat dun sahaja.

Kemudahan-kemudahan yang disediakan oleh kerajaan akan diagihkan kepada rakyat. Penghulu dan ketua cawangan adalah orang yang bertanggungjawab untuk menguruskan pengagihan tersebut. Setiap kelulusan memerlukan pemantauan dan pemerhatian supaya ianya diperolehi oleh orang yang benar-benar layak.

Walau banyak masalah yang dikemukakan oleh rakyat, kita mestilah bersabar dan ingatlah kepada Allah. Mudah-mudahan dengan kesabaran kita akan memudahkan lagi kita untuk membantu rakyat serta memperkuatkan lagi parti dan kerajaan kita.

Kertas kerja I bertajuk Pemimpin Dan Kepimpinan Efektif Dalam Menghadapi Perubahan Dan Peralihan Masa telah dibentangkan oleh En. Azman Ibrahim.





Kertas kerja II bertajuk Peranan Pimpinan Pas Cawangan Dalam Menggerakkan Parti dibentang oleh Timbalan Pengarah I MTD, En. Mohd Adanan Hj Hassan. Antara intisari kertas kerja tersebut ialah pimpinan Pas perlulah menjadi contoh dan tauladan kepada ahli dan masyarakat.




Kertas kerja III bertajuk Faktor-Faktor Berlaku Keciciran Dalam Gerakan Islamiyyah dibentangkan oleh Timbalan Pengarah III MTD, Ust. Abdul Aziz Yusoff. Beliau memetik buku yang ditulis oleh Fathi Yakan.


Dalam kesimpulan yang dibuat oleh Ketua Pemuda Dun selaku pengarah program, ada tiga perkara yang telah menjadi asas utama disebut oleh ketiga-tiga pembentang kertas kerja. Pertamanya, setiap pimpinan perlu menjadi contoh dan tauladan kepada orang lain. Kedua, setiap pimpinan perlu mendalami ilmu agama.Ketiga perlu ada wahdatul fikr dan wahdatul amal dikalangan para pimpinan.

Wednesday, July 16, 2008

Sister In Islam


Sister In Islam (SIS) merupakan satu organisasi bukan kerajaraan (NGO) yang kononnya ditubuhkan untuk memperjuangkan hak wanita. Saya percaya, mungkin benar prinsip asas organisasi ini adalah untuk memperjuangkan hak-hak wanita, tapi dasar perjuangan mereka tidak terikat dengan batas-batas yang telah ditetapkan oleh agama.

Kebanyakan penggerak utama SIS ini merupakan para cendikiawan atau cerdik pandai yang beragama Islam, namun banyak kenyataan yang dikeluarkan oleh SIS terang-terang bertentangan dengan Islam. Contohnya dalam isu poligami serta cara wanita berpakaian. Kenyataan mereka itu boleh dilihat dalam web rasmi SIS.

Mengenai cara wanita berpakaian contohnya, mereka berkeras bahawa itu adalah hak wanita untuk menentukan bagaimana cara mereka mahu berpakaian. Sedangkan Islam telah menetapkan garis panduan yang wajib bagi wanita dalam etika berpakaian. Bagi mereka, wanita yang berpakaian menjolokkan mata bukanlah antara sebab berlakunya jenayah seksual seperti rogol. Inilah antara kesilapan mereka. Jika berlaku jenayah seksual seperti cabul, gangguan seksual, rogol dan sebagainya, mereka akan menyalahkan golongan lelaki yang kononnya dikatakan tidak boleh mengawal nafsu mereka.

Malah mereka mendesak kerajaan untuk menggubal undang-undang mengenai gangguan seksual terhadap wanita. Pihak kerajaan juga sepatutnya menggubal undang-undang gangguan seksual terhadap lelaki. Saya yakin dan pasti sekiranya wanita berpakaian yang menjolok mata dihadapan lelali, seseorang lelaki yang normal pasti terganggu naluri seksual mereka. Nah, itukan juga gangguan seksual namanya.

Saya berharap, para pendokong SIS turut meneliti ajaran agama sebelum membuat satu-satu kenyataan, tindakan atau sebagainya supaya ianya tidak melangkaui batas-batas agama. Sekiranya ini berlaku, itulah sebenarnya 'Pelampau Agama'.

Debat Perdana


Saya percaya, seluruh rakyat negara ini menyaksikan debat perdana bertajuk Hari Ini Membentuk Kerajaan, Esok Turun Harga Minyak sama ada melalui tv atau hadir sendiri ke DBP antara Dato' Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Penerangan, Dato' Shabery Cheek semalam.

Agak menarik juga debat antara kedua-dua tokoh tersebut.Namun, kelihatannya Menteri Penerangan telah gagal untuk menjawab banyak persoalan yang diutarakan oleh Anwar. Daripada isi kandung debat tersebut, saya yakin dan percaya bahawa Anwar sama sekali tidak mempersalahkan Petronas dalam isu kenaikan harga minyak. Tetapi yang diutarakan oleh Anwar Ibrahim ialah kegagalan kerajaan dalam memenfaatkan keuntungan Petronas yang diberikan kepada kerajaan yang berjumlah berbilion ringgit itu dalam menangani masalah kenaikan harga minyak negara.

Menteri Penerangan telah gagal dalam banyak perkara untuk menjawab persoalan yang diajukan. Malah syarat debat yang tidak membolehkan mana-mana pendebat menyerang pribadi pendebat lain juga tidak dipatuhi oleh Menteri Penerangan tersebut.

Monday, July 14, 2008

Pesta Liar: Perlukan Perhatian


Semalam berita utama negara menyiarkan satu berita mengenai satu serbuan telah dibuat oleh pihak Polis terhadap satu pesta liar yang diadakan di sebuah premis di Jalan Long Yunus, Tanjung Chat, Kota Bharu. Ketua Polis Kota Bharu, Asisten Komisioner Zahruddin Abdullah, berkata serbuan dibuat jam 5.30 petang ketika kumpulan itu asyik menari diiringi kumpulan muzik dari Singapura dan Johor Bahru. Pesta itu disertai oleh 103 orang belia.

Nampaknya, ada pihak-pihak yang cuba untuk mencemarkan Negeri Serambi Mekah ini dengan program-program hiburan melampau yang bercanggah dengan Islam. Padahal kerajaan negeri telah menggubal satu enakmen hiburan yang perlu dipatuhi oleh mana-mana penganjur.

Ini adalah kejadian kejadian kedua selepas pesta liar yang telah diadakan disebuah hotel bulan lalu. Para penganjur pesta sebegini mungkin percaya bahawa penguatkuasaan tidak begitu ketat menyebabkan mereka boleh menganjurkan pesta sebegitu tanpa sebarang masalah. Namun percaturan mereka sebenarnya telah silap. Oleh itu saya sarankan kepada pihak berkuasa dan khasnya kerajaan negeri supaya mengadakan pemantauan yang lebih ketat untuk mengelakkan kejadian ini berulang lagi.

Wednesday, July 9, 2008

ALLAH: BUKAN BAHASA BIBLE


Isu berkenaan tuntutan pihak Kristian terhadap kerajaan Malaysia untuk membenarkan mereka menggunakan kalimah Allah bagi tujuan penerbitan bahan bercetak mereka masih lagi hangat diperkatakan. (Rujuk The Sun, Ruangan Herald The Catholic Weekly ) Pihak yang menuntut mendakwa bahawa kalimah Allah ialah terjemahan dari bahasa Inggeris yang mengunakan kalimah God di dalam bible Versi English mereka.

Sekiranya tuntutan ini dipenuhi kita akan melihat di dalam bible Kristian ayat-ayat berbunyi seperti berikut:-
“Engkau adalah Messias anak Allah yang hidup “ ( Matius 16 : 16 )
“..Kerana ia telah berkata :Aku adalah anak Allah.” ( Matius 27 : 43 )
“ Kasih kurnia menyertai kamu dan damai sejahtera dari Allah, bapa kita dan dari Tuhan Yesus ( Jesus Kristus). (Galatia 1 : 3 )


Serta banyak lagi ayat-ayat lain yang tidak perlu diperincikan di sini. Jelasnya, dalam menangani isu ini, kita perlu merujuk kembali kepada fakta sebenar. Iaitu, apakah bahasa asal penulisan kitab Taurat dan Holy Bible? Berdasarkan fakta, bahasa asal kitab Taurat adalah bahasa Hebrew manakala bahasa yang digunakan bagi penulisan kitab Holy Bible ialah bahasa Greek. Kalimah tuhan dalam bahasa Hebrew ialah El, Eloh, Elohim dan juga Yahweh. Ini dapat diperhatikan menerusi Perjanjian Baru, di dalam The Gospel of St. Matthew bab 27 : 46 yang menyebut :

Kira-kira jam tiga berserulah Yesus dengan suara nyaring: “Eli,Eli, lama sabakhtani?”Ertinya: Allah-Ku, Allah-Ku, mengapa Engkau meninggalkan Aku ?”
Manakala di dalam bahasa Greek pula perkataan yang membawa maksud tuhan ialah Theos. Orang-orang Rom yang menyembah Tuhan yang disepakati oleh mereka sebagai Tuhan yang sebenar memanggil Tuhan ini sebagai Hotheos. Manakala sekiranya ada di kalangan mereka yang menyembah Tuhan palsu, mereka akan memanggil Tuhan tersebut sebagai Tontheos.

Perhatikan! Bagi kedua-dua bahasa yang dijadikan penulisan bagi kedua-dua kitab suci ini, tidak terdapat satu pun yang menyebut kalimah Allah Sesetengah sarjana Kristian menyatakan bahawa alasan yang paling kukuh bagi mereka untuk dibenarkan penggunaan kalimah Allah ialah berdasarkan penggunan kalimah Allah di dalam kitab Bible versi Arabic.

Sememangnya diakui kalimah Allah digunapakai di dalam Bible berbahasa Arab. Bible versi bahasa Arab tidak dikenali sebagai Holy Bible tetapi Alkitab Al-Muqaddas. Begitu juga Bible berbahasa Melayu yang menggunakan nama yang sama? Di dalam terjemahan Bible bahasa Melayu mereka menamakannya sebagai Al-kitab berita baik.* Perlu dinyatakan bahawa kalimah Allah wujud di dalam Bible bahasa Arab adalah kerana sesetengah Kristian Arab (seperti Syria, Mesir dan lain-lain) yang wujud sebelum kedatangan Islam meyakini konsep Unity (Keesaan Allah). Ia berbeza sama sekali dengan konsep Trinity (tiga dalam satu) sepertimana doktrin kebanyakan Kristian pada hari ini termasuk mereka yang terlibat dengan tuntutan isu kalimah Allah ini.

Maka hujah yang dijadikan sandaran sebagai alasan untuk membenarkan mereka menggunakan kalimah Allah ini adalah tidak masuk akal kerana golongan Kristian Trinity sendiri mengkafirkan golongan Kristian Unity. Terdapat juga sarjana mereka yang menyatakan bahawa kekeliruan tidak akan sekali-kali timbul jika penggunaan kalimah ini dibenarkan kerana kalimah Allah yang hendak digunakan tersebut adalah merujuk kepada penterjemahan dari kalimah God dalam Bible bahasa Inggeris sedangkan kalimah Tuhan adalah terjemahan dari kalimah Lord.

Pandangan mereka ini juga mengelirukan malah bertentangan dengan apa yang dinyatakan dalam Bible mereka. Persoalannya, apakah perbezaan antara Allah dan Tuhan dalam agama Kristian? Sekiranya mereka mendakwa bahawa Tuhan adalah merujuk kepada Nabi Isa sedangkan Allah adalah merujuk kepada Tuhan Bapa di dalam syurga maka mereka perlu mengetahui bahawa ayat yang akan dinyatakan di bawah ini membuktikan bahawa kalimah Tuhan dan Allah adalah dua perkataan yang merujuk hanya kepada Allah sahaja! Perhatikan di dalam The Gospel Of St. Mark 12:29 menyebut :

Jawab Jesus : “Hukum yang terutama ialah : Dengarlah wahai Bani Israel, Tuhan Allah kita, Tuhan Yang Esa”

Saya bertanya kepada orang-orang Kristian, siapakah Tuhan Yang Esa yang dimaksudkan di dalam ayat di atas? Adakah Nabi Isa? Tidak! Lafaz Tuhan yang dimaksudkan di atas adalah merujuk kepada Allah semata-mata. Sekali lagi bertentangan dengan apa yang telah dinyatakan oleh sarjana mereka bahawa kalimah Lord (Tuhan) di dalam Bible adalah merujuk kepada Nabi Isa!

Sekiranya mereka berhujah dengan menyatakan bahawa dalil yang paling jelas menunjukkan kalimah Tuhan adalah merujuk kepada Nabi Isa sedangkan kalimah Allah adalah merujuk kepada Tuhan Bapa, iaitu seperti dinyatakan di dalam The Gospel Of St.Matius 16:22 yang menyebut :

Tetapi Petrus menarik Jesus ke samping dan menegur Dia, katanya :“Tuhan, (Jesus) semoga Allah (Tuhan Bapa) menjauhkan hal itu”.

Maka mereka perlu menyelesaikan dahulu percanggahan di antara kedua ayat yang telah dinyatakan tadi. Sama ada Tuhan itu adalah Nabi Isa sahaja ataupun Tuhan juga adalah Allah!
Di samping itu, kita juga tidak lupa untuk menyeru agar mereka memerhatikan kata-kata Jesus sendiri terhadap keesaan Allah. Perhatikan The Gospel Of St.John 20:17 yang menyebut :

Kata Jesus kepadanya: Janganlah engkau memegang aku, sebab aku belum pergi kepada Bapa, tetapi pergilah kepada saudara-saudaraKu dan katakanlah kepada mereka bahawa sekarang Aku akan pergi kepada BapaKu dan Bapamu, AllahKu dan Allahmu.”

Dalam The Gospel Of St. Matthew 22:37 :menyebut :

Jawab Jesus kepadanya: “ Kasihilah Tuhan Allahmu dengan segenap hatimu dan dengan segenap jiwamu dan segenap akal budimu.

Dalam erti kata lain Nabi Isa bukannya Allah ataupun Tuhan Yang Maha Berkuasa kerana Nabi Isa sendiri menyatakan bahawa Tuhan yang sebenar ialah Allah!

Kesimpulannya, larangan terhadap penggunaan kalimah Allah yang diwartakan menerusi keputusan kabinet yang bersidang pada 16 Mei 1986 adalah amat wajar. Empat perkataan dikhususkan hanya buat umat Islam dan sama sekali tidak dibenarkan penggunaannya oleh Non Muslim iaitu Allah, Solat, Kaabah dan Baitullah. Sesetengah negeri pula contohnya Selangor, telah menambah lagi beberapa perkataan yang dianggap mengelirukan sekiranya digunakan oleh Non Muslim.


Jelaslah di sini kewajaran kerajaan Malaysia melarang penggunaan kalimah Allah digunakan oleh Non Muslim yang bertujuan untuk mengelakkan kekeliruan di kalangan masyarakat apabila terminologi yang tidak tepat digunakan oleh mereka yang mempunyai kepentingan tertentu.

Tuesday, July 8, 2008

Himpunan PROTES


Perhimpunan anjuran Gabungan Memprotes Kenaikan Harga Minyak (Protes) di stadium Kelana Jaya Ahad lalu telah menimbulkan kekecohan yang tidak dijangka. Ini adalah kerana berpuncanya dari kumpulan Carburetor Dung yang dijemput khas oleh penganjur untuk membuat persembahan.

Para peserta Protes dikatakan tidak berpuas hati dengan seni kata lagu yang disampaikan oleh kumpulan rock tersebut serta perlakuan penyanyinya yang dikatakan menunjuk punggung sehingga nampak seluar dalam.

Inilah yang terjadi apabila prinsip-prinsip moral tidak diendahkan oleh pihak penganjur. Himpunan tersebut sepatutnya tidak memerlukan sebarang kumpulan rock untuk menarik perhatian atau penyertaan rakyat. Cukup dengan sekadar ceramah orang-orang yang hebat pidatonya.

Sebagai salah seorang ahli pemuda Pas, saya cukup kesal perkara ini berlaku.

Sunday, July 6, 2008

Selamat Belajar

Dalam kesibukan para lepasan SPM mendaftarkan diri ke pusat pengajian tinggi, tidak ketinggalan juga dua orang adik kesayangan ku Mohd Fakrul Radzi dan Siti Nur Humaira turut mendaftarkan diri di Kolej Islam, Sains & Teknologi (KIST) di Bachok dalam bidang perubatan. Itulah dua orang adik-adikku yang terakhir memasuki kolej.

Ingatlah dik pesanan arwah ayahanda serta pesanan bonda yang sudah tua. Ambillah peluang yang ada dihadapan kalian ini sebaik mungkin dan janganlah dipersiakannya. Kerana peluang yang ada dalam genggaman sekarang ini tidak mungkin akan berulang kembali.

Semoga berjaya!!!

Wednesday, July 2, 2008

Naik Motosikal Pakai Serban


Saya merasa tertarik untuk mengikuti perkembangan kes seorang pelajar pondok dari Madrasah Al-Diniah Al-Bakriah, Pusat Pengajian Islam Pondok dekat Pasir Tumboh yang bernama Ahmad Nasir Darus yang telah dikenakan saman polis akibat menunggang motosikal dengan hanya memakai serban dan bukannya topi keledar.



Banyak pro dan kontra yang perlu kita lihat dari segi kaca mata Islam dan undang-undang negara. Sejumlah besar ulama mengatakan hukum memakai serban adalah sunat kerana menteladani sunnah yang diamalkan oleh Rasulullah s.a.w. Namun mengikut Kaedah 4 dan 5(2), Kaedah Motosikal (Topi Keledar) [PU(A) 43/1973] dibaca bersama Exemption Notification 1975 [PU(B) 23/1975] menyebut sebagaimana berikut:-
4. Wearing of safety helmet
Every person, other than a person exempted under rule 5, who drives or rides on a motor-cycle on a road shall wear a safety helmet on his head fitted and securely fastened in the manner required by the nature and construction of the safety helmet.

5. Exempted person
(1) Deleted
(2) Without prejudice to the foregoing the Minister may grant exemptions in writing from the provision of rule 4, subject to such conditions as may be prescribed, in respect of any person or class of person if the Minister is satisfied that it is proper and just to do so.

Dalam Notis Pengecualian yang dikeluarkan oleh Menteri, disebutkan sebagaimana berikut:-

In exercise of the powers conferred by rule 5(2) of the Motor-cycles (Safety Helmet) Rules 1973, the Minister hereby exempts the following classes of persons from the requirement of wearing safety helmet, namely:-
(a) Hajis, Hajjahs and Lebais who wear serbans;
(b) Sikhs who wear turbans.

2. The above exemption is granted subject to the condition that such classes of persons as aforesaid are wearing serbans or turbans, as the case may, while driving or riding motor-cycles on roads.


Itulah undang-undang negara kita yang berdaulat serta termaktub. Yang menjadi isunya sekarang ialah mengenai penafsiran ‘Lebai’ sebagaimana yang terdapat dalam Notis Pengecualian tersebut. Sepatutnya seorang anggota polis yang dikatakan beragama Islam mestilah mengambil satu pendekatan yang fleksibel mengenai perkara tersebut. Walaupun OKS (Orang Kena Saman) tersebut masih lagi seorang pelajar, namun perlulah juga diambil kira bahawa OKS adalah seorang pelajar pondok dan bukannya pelajar sekolah biasa. Sudah menjadi aturan pakaian pelajar pondok yang dikehendaki berserban, maka ia seharusnya diambil kira serta menghormatinya sebagai satu sunnah yang dituntut Islam. Apatah lagi anggota Unit Peronda, Konstabel Che Sidek Omar Mat Hassan mengaku dirinya sebagai seorang Islam.

Pemuda itu didakwa mengikut Kaedah 4 Motosikal (Topi Keledar) 1973 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 119(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333/87) dan dibaca bersama Seksyen 128(1) akta sama.


Walau bagaimanapun, saya ada mendengar satu versi lain yang diberitahu oleh beberapa orang anggota polis mengenai kejadian yang berlaku sebelum pelajar pondok itu disaman polis. Apa-apa pun kita tunggu sahaja keputusan yang akan dibuat oleh YAM Tengku Amalin A’ishah Putri.