hasbunallah
Monday, September 28, 2009
Rehlatul Kubra
Saturday, September 26, 2009
Sukarkah Untuk Memohon Maaf?
Namun daripada jumlah tersebut, berapa ramaikah yang sanggup untuk memohon maaf? Kebanyakkan kita tidak mahu menundukkan perasaan ego yang merajai jiwa kita dengan memohon maaf diatas kesalahan kita. Adakah akan berkurangan martabat kita dengan mengakui kesalahan kita dengan memohon maaf? Pepatah ada menyebut tidak hilang bisa ular yang menyusur akar. Keras sangatkah hati kita untuk berbuat demikian? Rasulullah s.a.w telah bersabda:
Sebagai seorang muslim, kita perlu ada sifat rendah diri terhadap semua mukmin yang lain dan berlemah lembut terhadap mereka. Allah s.w.t telah berfirman:
Dan rendahkanlah dirimu terhadap orang-orang yang mengikutimu, yaitu orang-orang yang beriman. (Asy- Syua'ra': 215)
Saya percaya, walau perkataan 'maaf' itu nampak suatu yang 'simple' tapi ia memberikan kesan yang besar. Memohon maaf itu umpama siraman air yang dingin keatas kepanasan hati akibat marah atau dendam yang membara di dalam hati. Rasulullah s.a.w telah bersabda:
Dan tidaklah Allah menambahkan kepada seseorang itu dengan sebab memaafkan orang melainkan ditambah pula kemuliaannya, dan tidaklah seseorang itu bertawadhuk kerana mengharapkan keredhaan Allah melainkan Dia akan mengangkat darjatnya. (HR Muslim)
Sunday, September 20, 2009
Monday, September 14, 2009
Pilihan Raya Kecil N.31 Bagan Pinang
Saya tidak pasti sama ada ianya satu kebetulan ataupun telah dirancang sebegitu. Namun kalau kita perhatikan dengan teliti, nampaknya seolah-olah ketidakadilan berlaku kerana pihak SPR mempunyai budi bicara untuk menetapkan tarikh penamaan calon dan hari mengundi. Tapi kini SPR nampaknya sudah hilang budi bicara sebagaimana yang termaktub dalam Undang-Undang Pilihan Raya. Malah tindakan SPR yang menetapkan hari mengundi khususnya pada hari bekerja menyebabkan ramai yang tidak dapat keluar mengundi dan tindakan SPR tersebut seolah-olah menafikan hak warganegara Malaysia untuk mengundi.
Saya tidak pasti apa alasan yang direka SPR untuk menjustifikasikan tindakan mereka menetapkan hari mengundi PRK Bagang Pinang pada hari cuti hujung minggu sedangkan PRK Manek Urai dan Permatang Pasir dibuat pada hari kerja? Pada mulanya saya ingin berbaik sangka terhadap SPR yang ianya adalah sebuah badan bebas dan tidak dibayangi oleh pihak pemerintah ataupun tangan-tangan ghaib untuk membuat sebarang keputusan. Namun dengan pengumuman yang dibuat SPR hari ini membuatkan saya rasa was-was dengan SPR.
Selama ini SPR selalu menyatakan bahawa mereka adalah badan bebas dan telus. Pihak kerajaan juga turut menafikan campur tangan mereka keatas SPR. Namun tindakan SPR hari ini menunjukkan cakap mereka tidak serupa bikin. Pepatah Karam Singh Walia ada menyebut: 'Baling batu sorok tangan'. Tetapi pepatah yang saya reka berbunyi: 'Kentut berbunyi, busuk tercium tapi tiada siapa hendak mengaku!'.
Saturday, September 12, 2009
Kesibukan Yang Mengekang
Tambahan pula saya juga perlu berulang-alik dari Kota Bharu ke Tumpat untuk memenuhi jadual imam terawih sepanjang Ramadhan ini. Kalau difikirkan jarak antara Kota Bharu - Tumpat tu agak jauh juga menyebabkan saya lesu sendirian. Namun apabila memikirkan amanah yang perlu ditunaikan dan akan dipersoalkan nanti, maka saya harungi juga. Doa saya, semoga Allah memberikan kekuatan untuk saya hadapinya.
Saturday, September 5, 2009
Khilaf Ulama’ Dalam Hukum Figh : Sebab Dan Adab-Adabnya
Oleh : Prof. Madya Mohd. Saleh Bin Haji Ahmad
بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين
Bersyukur kepada Allah s.w.t yang telah menghidupkan hati-hati kita dengan WahyuNya, menyelamatkan kita dari kejahilan, memberi hidayat dari kesesatan dan seterusnya menjadikan kita sebaik-baik ummah yang dilahirkan untuk faedah manusia, apabila kita beriman denganNya (wahyu) yang didatangkan kepada kita dan kita mengamalkannya sebagaimana semestinya. Selawat dan salam dituju kepada baginda Rasulullah s.a.w yang membawa rahmat untuk sekelian alam, para sahabatnya dan yang mengikut jalannya hingga hari Kiamat.
Perbahasan tajuk kertas kerja ini memang panjang kalau hendak diperincikan, tetapi untuk menyesuaikan dengan peserta yang terlibatdalam seminar ini, maka penulis terpaksa mengambil pendekatan yang mudah dengan meringkaskannya kepada beberapa noktah penting. Mudah-mudahan dengan pembentangan yang sebegini dapat memberi peluang yang banyak kepada peserta utnuk turut serta dalam sesi perbincangan yang akan menghasilkan natijah yang berfaedah untuk kita semua. InsyaAllah.
Sebelum memulakan perbincangan lebih lanjut berkenaan khilaf, sebab dan adab-adabnya, saya kira adalah lebih baik kita membentangkan dahulu pengertian fiqh dari segi bahasa dan istilah, sumber hukum dan perbahasan ruang lingkupnya serta mazhab-mazhab fiqh dalam Islam.
PENGERTIAN AL-FIQH
Perkataan fiqh adalah dari segi bahasa Arab yang memberi erti faham atau kefahaman, iaitu kefahaman seseorang secara mutlak atau mendalam yang dapat memahami tujuan perkataan yang diucapkan dan perbuatan yang dilakukan[2]. Dalilnya firman Allah s.w.t , antaranya:
Ertinya: “Dan lepaskanlah kekakuan dari lidahku, supaya mereka mengertikan perkataanku”.(Surah Taha: 27,28)
Ertinya: “Wahai Syuaib! Kami tidak faham kebanyakan dari apa yang engkau katakan itu”. (Surah Hud: 91)
Daripada perkataan fiqh dari segi istilah telah melalui beberapa tahap perubahan secara perlahan-lahan. Pada awal istilah fiqh dimaksudkan “Semua hukum-hukum agama yang dibawa oleh Syariat Islam, sama ada hukum-hukum ini berkaitan dengan aqidah, akhlak, ibadat dan muamalat”.
Kemudian berlaku perubahan penggunaan kalimah fiqh kepada “Mengetahui dan memahami hukum-hukum Syara’ yang berkaitan dengan mukallaf seperti wajib, haram, sunat, makruh, harus, keadaan sesuatu akad itu sah atau batal, keadaan ibadat itu qadha’ atau ada’ dan sebagainya”[3]. Perkembangan berikutnya fiqh dari segi istilah dimantapkan dengan maksud “Mengetahui hukum-hukumSyara’ yang Amali dengan berdalilkan dari dalil-dalil tafsili atau juz’iy”[4].
SUMBER HUKUM FIQH
Secara ringkas dapatlah disimpulkan bahawa sumber hukum fiqh ada yang disepakati ulama’ dan ada yang khilaf. Maka sumber yang disepakati ialah al-Qur’an, al-Sunnah, al-Ijma’ dan al-Qiyas. Sementara yang khilaf pula ialah al-Istihsan, al-Masalih al-Mursalah, al-’Urf, mazhab Sahabi, al-Istishab dan Syar’u Man Qablana.[5]
PERBAHASAN ILMU FIQH
Fokus ilmu fiqh tertumpu kepada segala perkara yang berhubungkait dengan perlakuan dan tindak tanduk lahiriah manusia. Maka pokok perbincangannya ialah segala perbuatan manusia dalam semua keadaan, sama ada perkara yang berhubung antara manusia dengan Allah s.w.t sebagai Pencipta, atau manusia sesama manusia dan manusia dengan haiwan dan alam sekitar, sama ada perkara yang berhubungan dengan hukum wajib, sunat, makruh, harus,syarat, sah, mani’, sebab dan batal. Justeru itu ia bukan berkisar mengenai hukum taklifi sahaja malah berhubungan juga dengan hukum wadh’iy.
Jelaslah bahawa perbincangan dan skop ilmu fiqh ini menyentuh berkenaan hukum Syara’, iaitu segala apa yang diturunkan oleh Allah s.w.t melalui wahyu matluw (al-Qur’an) atau wahyu ghair matluw (al- Sunnah). Berdasarkan luas dan syumulnya skop perbincangan ilmu fiqh ini dapatlah ditegaskan bahawa ia mencakupi hukum-hukum berikut:
1. Ibadat seperti solat, puasa, zakat dan hukum-hukum yang mengatur hubungan manusia dengan Tuhannya.
2. Sistem mu’amalat
3. Sistem kekeluargaan atau munakahat
4. Sistem kehakiman atau pengadilan
5. Undang-undang khas antarabangsa
6. Undang-undang am antarabangsa
7. Sistem pemerintahan
8. Sistem kewangan
9. Undang-undang jenayah Islam dan lain-lain lagi
MAZHAB-MAZHAB FIQH DALAM ISLAM
Ramai tokoh ulama’ mujtahidin muncul pada peringkat keempat (daripada awal kurun kedua hijrah hingga pertengahan kurun keempat) dalam sejarah perkembangan fiqh. Mereka telah memainkan peranan penting dalam mengembangkan, menyubur dan memajukan fiqh dan seterusnya mengasaskan madrasah atau sekolah-sekolah fiqh yang berjaya melahirkan ulama’-ulama’ besar dan pengikut-pengikut yang ramai. Madrasah dan sekolah inilah yang dinamakan mazhab-mazhab Islam atau fiqh bersama dengan nama pengasasnya.
Mazhab-mazhab ini walaupun banyak bukanlah bermakna ianya mengecilkan Islam dalam aliran tertentu dan bukan juga suatu proses mewujudkan Syari’at baru. Namun begitu ia merupakan manhaj atau metod untuk memahami Syari’at, cara-cara menafsir nas-nas dan mengambil hukum dari sumber-sumbernya. Mazhab-mazhab yang berkembang pada waktu itu ada yang masih berdiri teguh dan mempunyai pengikut yang ramai hingga kini dan ada di antaranya sudah lenyap ditelan zaman tanpa pengikut dan tidak diketahui adanya kata-kata atau fatwa mereka, melainkan apa yang disebut dalam kitab-kitab “al-Khilaf” (perbandingan Mazhab) dan kitab-kitab mazhab yang masih kekal[6]. Bolehlah kita bahagikan mazhab-mazhab ini kepada tiga bahagian:
1. Mazhab yang tidak berkembang lama
2. Mazhab Syi’ah dan Khawarij
3. Mazhab fiqh yang paling masyhur bagi imam-imam Ahli Sunnah wa al-Jama’ah
MAZHAB YANG TIDAK BERKEMBANG
Para mujtahid pada zaman ini sebenarnya cukup ramai, terdiri daripada tabi’in atau tabi’i al-tabi’in atau mereka yang berikutnya, tetapi kebanyakan mereka ini tidak ada orang yang mengumpul dan menyebarkan mazhab mereka di kalangan orang Islam dan mamfatwakannya.
Akhirnya mazhab ini makin lama makin mengecil. hampir pupus dan hilang fiqhnya, kecuali pandangan mereka yang ditemui bertaburan di dalam kebanyakan kitab tafsir bil ma’thur, syarah-syarah hadith dan kitab-kitab fiqh mazhab yang kekal. Di antara tokoh-tokoh mujtahid ini ialah seperti ‘Ata’ bin Abi Rabah, Sa’id bin al-Musayyib, Ibrahim al- Nakha’iy, Sufyan al-Thauri. al-Imamal-Auza’iy, Ibn Jarir al-Tabari, Daud al-Zahiri dan lain-lain lagi.
MAZHAB SYI’AH DAN KHAWARIJ
Terdapat beberapa mazhab lain yang masih hidup, kekal, berkembang dan diberi perhatian. Namun begitu ijtihad pendokong-pendokongnya telah terkeluar dari lingkungan Ahli Sunnah wa al-Jama’ah dari segi Usul (prinsip) dan Furu’. Mazhab yang terpenting sekali ialah Syi’ah dan Khawarij, kemudian yang paling masyhur sekali ialah:
1. Mazhab al-Ibadiyyah dari golongan al-Khawarij
2. Mazhab al-Imamiyyah dari Syi’ah
3. Mazhab al-Zaydiyyah dari Syi’ah juga tetapi ia lebih dikenali sebagai mazhab yang sedehana dan lebih hampir kepada Ahli al-Sunnah wa al-Jama’ah
MAZHAB-MAZHAB FIQH AHLI AL-SUNNAH WA AL-JAMA’AH
Mazhab fiqh yang termasyhur dari kalangan imam Ahli al-Sunnah wa al-Jama’ah yang masih terus menerus memberi khidmat dan mempunyai pengikut setia yang ramai mengembang, menyebar, mengajar seterusnya dipelajari ialah empat mazhab yang terkenal seperti berikut:
1. Imam Abu Hanifah (80-150H)
2. Imam Malik bin Anas (93-179H)
3. Imam al-Syafi’i (150-204H)
4. Imam Ahmad bin Hanbal (164-241H)
KONSEP IKHTILAF ATAU KHILAF
Ikhtilaf dalam bahasa Arab membawa maksud tidak sependapat atas sesuatu perkara dalam ertikata setiap orang mengambil jalan yang berbeza sama ada dalam perkataan mahu pun pendapat. Ikhtilaf juga memberi erti tidak sama, oleh itu setiap yang tidak sama dikatakan ikhtilaf. Sementara khilaf ialah pertentangan atau berlawanan مضادة (mudadah), jadi ia membawa erti yang sama dengan ikhtilaf, walaupun maknanya lebih umum[7]. Ikhtilaf menurut istilah fuqaha’ bererti berbeza tentang pendapat, agama, jalan-jalan dalam agama dan kepercayaan terhadap sesuatu yang boleh membawa kebahagiaan atau kecelakaan kepada manusia di dunia dan akhirat[8].
Al-Imam al-Syatibi berpendapat al-Khilaf ialah sesuatu yang lahir dari hawa nafsu yang menyesatkan, bukan hasil daripada mencari objektif syara’ dengan mengikut dalil-dalilnya. Oleh itu ia tidak diambilkira kerana lahir daripada hawa nafsu, sepertimana tidak mengambil kira mana-mana pendapat yang menyalahi hukum syara’ yang sabit secara qat’iy. Manakala Ikhtilaf menurut Syatibi ialah:
1. Pendapat-pendapat yang lahir daripada ulama mujtahidin dalam masalah-masalah ijtihadiyyah yang tiada nas qat’iy padanya, atau
2. Pendapat-pendapat terhadap masalah-masalah yang berlaku di antara dua pihak yang jelas bertentangan menurut pandangan mujtahidin disebabkan tersembunyi sebahagian dalil-dalil dan tidak ditemuinya[9].
Namun demikian perbezaan di antara Ikhtilaf dan Khilaf yang dikatakan oleh al-Syatibi itu hanyalah istilah sahaja yang dilihat tidak ada kekuatan sandarannya, kerana para fuqaha’ telah menggunakan al-khilaf dan al-ikhtilaf dengan makna yang sama sahaja iaitu “Sesuatu yang tidak disepakati para fuqaha’ dalam masalah-masalah ijtihad tanpa memandang betul atau salah atau ganjil pendapat yang diperkatakan itu”[10].
LARANGAN IKHTILAF DALAM ISLAM
Islam memerintahkan supaya bersatu dan bermuafakat serta melarang berpecah belah dan berselisih pendapat. Dari sini dapat difahami beberapa perkara berikut:
Pertama : Ikhtilaf adalah sesuatu yang boleh berlaku di kalangan manusia, kerana jika ia mustahil berlaku pasti syara’ tidak akan melarangnya dan tidak menuntut mukallaf meninggalkannya, kerana melarang dari melakukan benda yang mustahil adalah sia-sia.
Kedua : Apabila ikhtilaf itu sesuatu yang boleh berlaku dan lahir daripada manusia, maka ia juga boleh dicegah dan boleh dihasilkan lawannya iaitu bersatu dan bersepakat, kerana salah satu prinsip syara’ “Tidak ada taklif melainkan terhadap sesuatu yang mampu dilakukannya”, atau “Tiada taklif terhadap sesuatu yang mustahil”.
Ketiga : Apabila Ikhtilaf itu sesuatu yang dilarang dalam Syariat Islam, maka sudah tentu ia mazmum (dicela). Ini adalah kerana pada dasarnya yang dicela itu dilarang melakukannya.
Keempat : Apabila ikhtilaf dilarang atau dicela, maka sesiapa yang terlibat melakukannya akan dikenakan balasan seksa.
Oleh yang demikian timbul persoalan sejauhmanakah boleh berlaku ikhtilaf di antara manusia, dalam ertikata lain adakah ia suatu yang jarang atau sering berlaku, atau sampai kepada tahap mesti berlaku? Adakah orang Islam dikecualikan daripada berlaku khilaf di kalangan mereka atau tidak? Adakah khilaf itu satu jenis sahaja atau berbagai? Adakah celaan itu terhadap semua jenis khilaf atau sebahagian sahaja? Apakah faktor-faktor yang menyebabkan khilaf dan bagaimana menanganinya? Apakah balasan seksaan akan dikenakan ke atas semua orang yang berkhilaf dan lain-lain persoalan yang boleh dibangkitkan[11].
Sebenarnya perbincangan ini amat luas, tidak mungkin diperkatakan semuanya dalam kertas yang ringkas ini. Penulis akan memberi tumpuan kepada jenis-jenis khilaf, kaedah-kaedah menangani masalah khilafiyyah dan adab al-Khilaf.
PEMBAHAGIAN KHILAF
Sebelum dibincangkan sebab-sebab khilaf antara fuqaha’ ini, khilaf itu sendiri terbahagi kepada tiga bahagian[12]:
الخلاف المقبول . 1 (Khilaf Yang Diterima)
Perbezaan yang berlaku dalam perkara-perkara yang disyariatkan itu berbagai-bagai, cuma ulama’ berbeza pendapat tentang yang lebih afdal dan patut diutamakan sahaja seperti haji Qiran, Tamaatu’ dan Ifrad. Setiap jenis haji ini sah dilakukan walaupun mereka berselisih pendapat tentang yang lebih afdal. Demikian juga menyaringkan Basmalah dan memperlahankannya, kedua-duanya harus yakin tidak membatalkan solat walaupun sebahagian ulama’ mengatakan sunat membaca nyaring dan sebahagian ulama’ lain menganggapnya makruh.
الخلاف المذموم . 2 (Khilaf Yang Dicela)
Terdapat khilaf yang keji lagi dicela. Ini berpunca daripada empat sebab:
i. Kejahilan
ii. Kezaliman dan penderhakaan
iii. Mengikut hawa nafsu
iv. Menyalahi manhaj nabawi dalam penerimaan hukum Syara’ dan cara mengamalkannya
الخلاف الساثغ المعقول . 3 (Khilaf Yang Harus Dan Dapat Diterima Akal)
Khilaf ini ialah perbezaan yang berlaku di kalangan ulama’ mujtahidin dalam masalah ijtihadiyyah iaitu masalah yang tidak terdapat nas qat’iy. Namun demikian khilaf ini dapat diterima dengan syarat-syarat berikut:
a. Hendaklah khilaf itu berlaku di kalangan ulama’ fiqh dan orang yang berkelayakan dalam agama
b. Hendaklah ijtihad dan khilaf mereka itu dalam masalah far’iyyah yang tiada dalil-dalil qat’iy berhubung dengan hukumnya
c. Hendaklah tujuan masing-masing untuk mencapai kebenaran dan yang betul
d. Setiap orang faqih itu telah mencurahkan seluruh tenaganya bagi mencapai kebenaran
Khilaf seperti ini juga berlaku di kalangan para sahabat dan tabi’in, namun demikian tidak ada seorang pun dikalangan mereka dicela kerana perbezaan yang berlaku itu, ini disebabkan masing-masing bekerja untuk mencari kebenaran, kalau tersalah ketika menuntut dan mencari kebenaran itu mereka tidak dipersalahkan bahkan dimaafkan. Ini jelas daripada sabda baginda s.a.w :
إذا حكم فاجتهد ثم أصاب فله أجران ، واذا حكم فاجتهد ثم أخطاء فله أجر
(حديث رواه البخارى مسلم)
Ertinya : “Apabila seorang hakim hendak menjatuhkan hukuman, lalu ia berijtihd dan betul ijtihadnya, nescaya mendapat dua pahala, apabila tersalah ijtihadnya maka ia mendapat satu pahala”.
SEBAB-SEBAB KHILAF
Walaupun wujud perbezaan pendapat di kalangan ulama’ mujtahidin dan masing-masing menjelaskan hujah yang menjadi sandaran kepada setiap masalah yang dihasilkan oleh ijtihad mereka, tetapi perbezaan itu tidak sedikitpun membawa kepada pulau memulau, benci mereka tanpa mengetahui dalil-dalil sandaran hukum yang mereka ijtihadkan. Dalam pada itu mereka saling hormat menghormati antara satu sama lain dan berlapang dada serta bertolak ansur dalam masalah yang mereka tidak boleh bersatu. Ini disebabkan tabiat masalahmasalah yang dalilnya tidak qat’iy, maka pasti akan berlaku khilaf. Faktor- faktor khilafiyyah adalah seperti berikut:
Pertama : التفاوت فى العقل والفهم ولقدرة على تحصيل العلم
(Kemampuan Menguasai Ilmu Tidak Sama Dari Segi Akal Fikiran Dan Kefahaman)
Manusia berbeza sesama mereka dari segi paras rupa dan warna kulit dengan perbezaan yang nyata dan ketara. Mustahil terdapat dua orang yang serupa seratus peratus dalam semua keadaan walaupun mereka itu adalah sepasang adik-beradik kembar. Perbezaan ini sebenarnya adalah di antara tanda-tanda kekuasaan Allah s.w.t sepertimana firmanNya:
Ertinya : “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan kebijaksanaanNya ialah kejadian langit dan bumi, dan perbezaan bahasa kamu” dan warna kulit kamu. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang berpengetahuan”.
Perbezaan sesama manusia tidaklah setakat rupa paras dan warna kulit sahaja bahkan perbezaan itu menjangkau jauh lebih daripada itu kepada bakat semulajadi, persediaan, kecenderungan, aliran, akal, kecerdikan, kepintaran, tabiat, naluri dan lain-lain sifat yang membentuk hakikat batin manusia.
Perbezaan-perbezaan ini mempunyai pengaruh yang besar terhadap khilaf fuqaha’. Sebahagian fuqaha’ mempunyai kemampuan yang tinggi dari segi hafazan dan kefahaman, ada di antara mereka yang hafazannya lebih baik daripada kefahamannya. Sementara yang lain pula kefahamannya lebih baik daripada hafazannya[13].
Kedua : التفاوت فى الحصيلة العلمية (Perbezaan Dalam Pencapaian Ilmu)
Di antara faktor besar yang menyumbangkan khilaf fuqaha’ ialah perbezaan mereka dalam pencapaian ilmu, khususnya tentang al-Quran dan al-Sunnah. Apabila seorang faqih lebih pengetahuannya tentang al-Quran dan al-Sunnah, maka hukumnya lebih hampir kepada tepat.
Sementara itu ayat-ayat al-Quran terbatas bilangannya dapat dihafaz sedangkan hadis-hadis Rasulullah s.a.w pula banyak tentulah sukar dikuasai dan dihafaznya. Ini adalah kerana ketika Rasulullah s.a.w memperkatakan sesuatu atau melakukan sesuatu perbuatan tidak semua sahabat mendengar atau melihat apa yang baginda lakukan atau perkatakan.
Maka apabila baginda wafat, sunnahnya tersimpan kepada segolongan sahabat dan tidak semua sahabat yang menghimpun sunnah itu di dalam dada atau buku masing-masing. Para sahabat pula berlebih kurang tentang menghafaz al-Sunnah, ada di antara mereka yang menghafaz dua atau tiga hadis sahaja, sementara yang lain ada yang menghafaz beribu-ribu dan ada yang sederhana sahaja hafazannya. Ramai sahabat bertebaran di beberapa wilayah Islam, masing-masing menyebarkan sunnah yang dihafaznya kepada penduduk tempatan. Begitulah caranya ilmu dan sunnah Rasulullah s.a.w tersebar luas di seluruh wilayah Islam. Ulama’ setiap negeri itu akan memberi fatwa berdasarkan hadis-hadis yang ada pada mereka , jika sesuatu perkara itu tidak ada hadis pada mereka sebagai rujukan mereka akan berijtihad, kadangkala ijtihad mereka menepati hadis dan adakalanya tersalah.
Namun demikian Allah s.w.t telah menyediakan untuk umat ini beberapa tokoh yang mempunyai cita-cita yang tinggi, azam yang kuat dan niat yang bersih, mereka menjelajah seluruh dunia Islam merentasi timur dan barat bagi mengumpulkan sunnah Rasulullah s.a.w dan menyusunnya dalam kitab-kitab al-Sihah, al-Masanid dan al-Ma’ajim. Sebahagiannya masyhur dikenali ramai dan sebahagiannya tidak masyhur, kesemuanya ini memudahkan untuk mengetahui sunnah Rasulullah s.a.w.
Tetapi untuk menguasai semua sunnah itu amat sulit bahkan mustahil, kerana himpunan hadis begitu banyak. Lebih-lebih lagi arah pandangan ulama’ berbeza dalam menghukum sebahagian hadis, kerana sebahagian ulama’ berpendapat beberapa hadis itu sahih sedangkan yang lain berpendapat hadis itu daif. Ini adalah satu bab yang luas perbincangannya sehingga membawa kepada berlakunya khilaf di kalangan ulama.
Ketiga : التفاوت فى الاحاطة بعلوم اللغة العربية(Perbezaan Dalam Penguasaan Ilmu-ilmu Bahasa Arab)
Allah s.w.t menurunkan al-Quran dalam bahasa Arab. Firman Allah s.w.t
dalam surah Taha ayat 113 :
Dan Demikianlah kami menurunkan Al Quran dalam bahasa Arab, dan kami Telah menerangkan dengan berulang kali, di dalamnya sebahagian dari ancaman, agar mereka bertakwa atau (agar) Al Quran itu menimbulkan pengajaran bagi mereka.
Allah s.w.t memilih Rasul yang terakhir berbangsa Arab bahkan baginda seorang Arab yang paling fasih bahasa Arabnya. Ulama’ tidak dapat memahami al-Quran al-Karim dan al-Sunnah Rasulullah s.a.w selagimana mereka tidak memahami bahasa Arab. Perbezaan yang nyata di kalangan ulama’ dalam memahami hukum-hukum Syara’ disebabkan perbezaan mereka memahami Lisan al-Arab, penguasaan terhadap rahsia-rahsia bahasa Arab. Dari sinilah juga akan menyumbangkan khilaf di antara ulama[14].
Keempat : الاختلاف فى مدى حجية بعض المصادر الفقهية (Perbezaan Tentang Kehujahan Beberapa Sumber Hukum)
Khilaf ulama’ dalam hukum-hukum furu’, antara faktornya ialah berlaku khilaf di antara mereka tentang kehujahan sebahagian sumber-sumber yang menjadi sandaran kepada hukum-hukum furu’. Contohnya fuqaha’ telah khilaf tentang kehujahan al-Hadith al-Mursal, al-Qiyas, al-Ijma’, al-’Urf, al-Masalih al-Mursalah, al-Istihsan dan Syar’u Man Qablana.
Setiap mereka yang berpendapat satu-satu sumber itu hujjah akan mengamalkannya dalam mensabitkan sebahagian hukum Syara’. Sementara bagi mereka yang tidak menganggapnya sebagai hujjah akan menolak dan membatalkannya serta hukum-hukum yang dibina ke atasnya selagimana tidak ada dalil yang lain[15].
Kelima:الاختلاف فى الشروط التى يجب توافرها فى الحديث الصحيح الذى يجوز الاحتجاج به
(Perbezaan Tentang Syarat-syarat Yang Wajib Dipenuhi Pada Hadis Sahih Yang Boleh Dijadikan Hujah)
Al-Hanafiyyah telah meletakkan syarat bagi beramal dengan Hadith Ahad; hendaklah perawi itu tidak beramal menyalahi apa yang diriwayatkannya, tajuk hadis itu bukan daripada perkara yang umum balwa dan hendaklah hadis itu tidak menyalahi konsep al-qiyas dan dasar-dasar umum dalam Islam khususnya apabila perawi itu bukan seorang yang faqih.
Sementara al-Malikiyyah mensyaratkan Khabar Ahad itu hendaklah selari dengan amal ahl al-Madinah, kerana ianya sama seperti periwayatan daripada Rasulullah s.a.w, sedangkan riwayat orang ramai lebih berhak diamalkannya daripada riwayat seorang sahaja. Lagipu penduduk Madinah lebih mengetahui yang terakhir warid daripada Rasulullah s.a.w[16].
Jumhur fuqaha’ pula yang terdiri daripada al-Syafi’iyyah, al-Hanabilah, al-Zahiriyyah, al-Ja’fariyyah dan sebahagian fuqaha’ mazhab lain berpendapat yang pentingnya wajib beramal dengan hadith Ahad itu ialah apabila riwayatnya itu sahih dan berhubung sanadnya dengan Rasulullah s.a.w, maka hendaklah diistinbatkan hukum daripadanya serta dijadikan sebagai sumber perundangan Islam.
Sekiranya sanad hadis itu tidak berhubung dalam ertikata hadis mursal, mazhab Syafi’i menerima pakainya dengan syarat ianya daripad mursal kibar al-tabi’in seperti perawinya Sa’id bin al-Musayyib dan mempunyai sanad daripada riwayat lain atau hadis itu selaras dengan kata-kata sahabat atau difatwakannya oleh kebanyakan sahabat. Namun begitu bagi mazhab Ahmad bin Hanbal pula hadith mursal tetap diambil dan diterima pakai apabila tidak ada pada bab yang berkenaan hadis yang berhubung sanadnya[17].
Keenam : الاختلاف فى القواعد الأصولية (Perbezaan Tentang Beberapa Qawa’id Usuliyyah)
Qawa’id Usuliyyah ialah prinsip-prinsip, metod, manhaj, cara dan kaedah- kaedah yang digubal oleh para mujtahidin sebagai panduan untuk melakukan istinbat hukum-hukum Syara’. Para ulama’ fiqh akan iltizam dengannya bagi mengambil hukum-hukum Syara’ daripada dalil-dalilnya yang tafsili. Khilaf dalam Qawa’id Usuliyyah adalah di antara faktor-faktor yang menyumbangkan khilaf dalam hukum-hukum furu’.
Qawa’id Usuliyyah ini sebahagian merujuk kepada bahasa Arab dan sebahagian yang lain merujuk kepada akal. Di antara contoh-contoh khilaf tentang Qawa’id Usuliyyah adalah seperti berikut:
· الاختلاف فى تحديد معنى اللفظ المشترك
· الاختلاف فى حمل الأمر على الوجوب أو على الندب
(Khilaf Tentang Qiraat Dalam al-Quran al-Karim)
Kelapan : الاختلاف بسبب تعارض الادلة
(Khilaf Disebabkan Percanggahan Dalil-dalil)[18]
KAEDAH MENANGANI MASALAH KHILAFIYYAH
Suatu perkara yang perlu diketahui bahawa hukum-hukum fiqh ada yang disepakati para imam mujtahidin, ada yang hanya disepakati di kalangan ulama’-ulama’ mazhab berkenaan sahaja, ada yang berlaku khilaf di antara imam-imam mujtahidin dan ada juga berlaku khilaf di kalangan ulama’-ulama’ dalam mazhab yang sama.
Oleh yang demikian, umat Islam harus menerima kenyataan di atas kerana khilaf dalam perkara ijtihad dan hukum yang berasaskan kepada dalil-dalil zanni adalah suatu perkara yang tabi’iy bahkan pasti berlaku sebagaimana yang dinyatakan dalam sebab-sebab khilaf sebelum ini. Seruan untuk menyatukan mazhab-mazhab fiqh adalah suatu yang lucu, justeru memaksa orang lain meleburkan atau mengorbankan pandangan ijtihadnya untuk berada dalam satu mazhab sahaja. Ini tidak mungkin bahkan ianya bercanggah dengan konsep dan tuntutan ijtihad kerana seorang yang mampu berijtihad dan beramal dengan hukum yang dihasilkan oleh ijtihadnya bahkan tidak harus ia bertaqlid atau berpaling dari mazhabnya kepada pendapat orang lain. Sementara orang awam pula wajib bertaqlid kepada mana-mana mazhab dan pendapat ulama’ mujtahidin yang menjadi pilihannya.
ADAB AL-IKHTILAF
Sebagai seorang muslim, kita perlu menghayati akhlak-akhlak Islamiyyah dalam semua keadaan sebagaimana yang diajar kepada kita oleh Islam dalam al-Quran dan al-Sunnah. Adapun adab atau etika dalam berhadapan dengan masalah-masalah khilafiyyah khususnya bagi kita yang bukan ulama’ mujtahidin perlu sekali diberi penekanan agar tidak menimbulkan porak peranda dan kecelaruan dalam masyarakat.
Justeru itu penulis merasakan penting perkara ini diberi perhatian sewajarnya. Setiap orang mesti membersihkan dirinya dari sebarang sentiment ta’asub mazhab secara buta tuli kerana mazhab bukanlah sebagai faktor memecahbelahkan Islam dan bukan sebagai agama-agama yang menasakhkan Syariat Islam, bahkan ia merupakan sebagai aliran pentafsiran dan pemahaman Syariah. Ia juga merupakan metod dan kaedah dan kaedah penyelidikan dan kajian ilmiah dalam mengistinbat hukum. Kesemuanya bertujuan untuk mengetahui hukum-hukum yang diturunkan oleh Allah s.w.t.
Kita tidak harus merasa sempit dada dengan sebab wujud perbezaan mazhab kerana perbezaan dalam pemahaman dan istinbat adalah suatu perkara lumrah dan tabi’iy bagi akal manusia, maka sudah pasti akan berbeza dalam istinbat dan fahaman. Bahkan kita boleh berbangga dengan perbezaan ilmu fiqh yang ditinggalkan kepada kita sebagai suatu perbendaharaan fiqh yang amat berharga. Ia juga merupakan sebagai bukti betapa berkembang subur dan hidupnya fiqh, betapa luasnya pemikiran para fuqaha’ kita yang agong dalam melaksanakan kewajipan mereka memberi khidmat kepada Syariat Islam yang mulia.
Kita wajib menghargai segala usaha yang dicurahkan oleh ulama’-ulama’ mujtahidin dalam berbagai mazhab ini. Kita menghormati dan beradab dengan mereka dan kita percaya bahawa mereka akan diber pahala sama ada betul ataupun salah, seterusnya kita berdoa untuk kebaikan mereka[19].
Kita tidak harus memaksa orang lain menerima pandangan kita dalam masalah khilafiyyah. Kita tidak harus menentang amalan-amalan khilafiyyah yang tidak sesuai dengan pandangan mazhab yang kita anuti. Sebaliknya kita hendaklah menentang amalan-amalan yang bercanggah dengan hukum- hukum yang disepakati para ulama’. Ini berdasarkan kaedah fiqhiyyah:
“ لاينكر المختلف فيه وإنما ينكر المجمع عليه “
Kita mesti beradab dengan ulama’ yang berbeza pandangan dengan kita, jangan celupar mulut melempar tuduhan kalimah bid’ah dalalah ke atas amalan-amalan yang khilafiyyah. Jangan menuduh orang yang mengamalkan amalan yang kita tidak sependapatnya sebagai sesat, pembuat bida’ah, khurafat dan sebagainya kerana masing-masing ada hujah dan alasan yang perlu kita hormati.
Kita jangan terpengaruh dengan pendekatan sebahagian anak muda yang berlagak alim besar menghentam ulama’-ulama’ silam yang tidak sealiran dengan mereka, sambil menyeru masyarakat menentang amalan-amalan yang sudah mantap dalam masyarakat sedangkan amalan itu khilaf ulama’ padanya. Lebih dahyat dari itu terdapat sebahagian mereka yang biadap menyeru supaya membakar kitab-kitab tua atau jawi lama kerana menurut pandangan mereka kitab-kitab tersebut menyesatkan. Subhanallah.
Kita sebagai seorang pendakwah, guru atau imam harus bijak dalam menangani masalah khilafiyyah. Amat bodoh kalau seseorang pendakwah membangkitkan perkara yang remeh-temeh dan khilafiyyah dalam ceramah-ceramahnya kerana ini boleh menimbulkan perpecahan dalam masyarakat dan tuduh-menuduh antara satu sama lain.
Sebagai seorang pendakwah, kita perlu memfokuskan syarahan dan pengajaran kepada persoalan pokok yang perlu kita berganding bahu dalam membangun atau meruntuhnya. Sepertimana yang diungkapkan oleh Syaikh Abd al-Rasyid Ridha:
“ نتعاون فيما اتفقنا عليه ويعذر بعضنا بعضا فيما اختلفنا فيه “
Mengelak dari melakukan masalah yang dipertikaikan memang digalakkan berdasarkan kaedah fiqhiyyah الخروج من الخلاف مستحب( Keluar dari khilaf itu digalakkan)
Prof. Dr. Yusuf al-Qaradawi telah menggariskan beberapa panduan dalam menghadapi masalah khilafiyyah dengan mengatakan seperti berikut[21]:
الدعائم الفكرية فى فقه الاختلاف
· الاختلاف فى الفروع ضرورة ورحمة وسعة
· اتباع المنهج الوسط وترك التنطع فى الدين
· التركيز على المحكمات لا المتشاهات
· تجنب القطع والإنكار فى المسائل الاجتهادية
· ضرورة الاطلاع على اختلاف العلماء
· تحديد المفاهيم والمصطلحات
· شغل المسلم هموم أمته الكبرى
· التعاون فى المتفق عليه
· التسامح فى المختلف فيه
· الكف عمن قال لا إله إلالله
الدعائم الفكرية فى فقه الاختلاف
· الإخلاص التجرد من الأهواء
· التعصب للأشخاص والمذاهب والطوائف
· إحسان الظن بلآخرين
· ترك الطعن والتجريح المخالفين
· البعد عن المراء واللدد فى الخصومة
· الحوار بالتى هى أحسن
BEBERAPA CONTOH MASALAH KHILAFIYYAH
1.Membaca doa Qunut.
2. Sembahyang sunat qabliah Maghrib.
3. Sembahyang sunat qabliah Jumaat.
4. Talqin mayat setelah dikebumikan.
5. Bacaan al-Qur’an dan tahlil dihadiahkan pahalanya kepada si mati.
6. Fidyah sembahyang.
7. Berwirid secara jama’ah selepas sembahyang fardhu.
8. Batal wuduk dengan sebab sentuhan lelaki dengan perempuan yang harus dikahwini.
9. Membaca Usalli atau melafazkan niat sebelum takbir.
10. Bilangan rakaat sunat tarawih 20 atau 8
11. Membaca surah Yasin pada malam Jumaat
12. Maulid al-Rasul s.a.w.
13. Membaca Sayyidina dalam Salawat.
14. Imam berdoa lepas solat jama’ah dan makmum mengaminkannya.
15. Aqiqah dengan kambing sahaja.
16. Menyapu muka selepas memberi salam dan membaca:
“ أشهد أن لا إله الاهو الرحمن الرحيم، اللهم أذهب عنى لهم والحزن “
“ بسم الله الذى لا إله الاهو الرحمن الرحيم، اللهم أذهب عنى لهم والحزن “
SIKAP ULAMA’ TERHADAP MASALAH KHILAFIYYAH
Ulama’-ulama’ kita di kalangan rumpun bangsa Melayu di Malaysia, Patani, Kemboja, Singapura, Brunei Darussalam, Indonesia dan Selatan Filipina umumnya pengikut mazhab Syafi’i semenjak Islam mula mengembangkan sayapnya di daerah ini dan mereka amat arif tentang masalah khilafiyyah bersikap cukup terbuka dan sederhana sekali.
Para ulama’ kita dari Seberang Perai, Pulau Pinang yang terkenal dengan kealimannya seperti al-Marhumin Syeikh Zain al-’Abidin bin Muhammad yang lebih dikenali sebagai Tuan Minal dari Permatang Sungai Dua, Kepala Batas, Syeikh Tuan Husin al-Banjari Pokok Sena, Syeikh Abdullah Fahim Kepala Batas, Syeikh Tuan Haji Othman Jalaluddin al- Kelantani dan Tuan Haji Muttalib, Pondok Kubang Hulu, Penanti, Syeikh Tuan Haji Saleh al-Masri dan Haji Ahmad al-Masri, Masriyyah Tanah Liat, Bukit Mertajam, Syeikh Haji Ahmad Tuan Husin Pokok Sena, Tuan Syeikh Haji Adnan, Mufti Pulau Pinang dan Tuan Haji Yusuf Sungai Bakap.
Di negeri Perak pula ulama’ terkenal seperti al-Marhumin Tuan Guru Syeikh Zubair Mudir al-Madrasah Idrisiyyah Kuala Kangsar, Tuan Gur Haji Muhammad Saman Kati, Tuan Guru Haji Adb al-Samad Nuh Padang Rengas, Dato’ Tuan Haji Ghazali Haji Arsyad Batu 26 Bagan Datuk, Tuan Haji Ahmad Haji Yunus Malim Nawar, Ustaz Abu Bakar al-Baqir Gunung Semanggol, Tuan Haji Ahmad Haji Yunus Sungai Petani, Bukit Gantang dan mufti-mufti Perak yang telah meninggal dunia.
Sementara di Kedah, tokoh-tokoh ulama’ dan tuan-tuan guru yang telah melahirkan ribuan ulama’ dan pendakwah antaranya dari daerah Pendang yang terkenal ialah Tuan Guru Haji Wan Ibrahim Wan Abdul Kadir (Pak Cu Him) Pondok Gajah Mati, Haji Ahmad Rubab Pondok Chegar, Tuan Haji Ibrahim Pondok Batu Hampar dan Tuan Haji Abdul Aziz Haji Ibrahim Pondok Pendang. Di daerah Alor Star pula, Tuan Haji Abd Rahman Syeikhul Islam Kedah, Dato’ Mursyid DiRaja Haji Tajuddin Pondok Melele, Tuan Haji Itam Pondok Tanjung Bedil, Tuan Haji Abu Bakar Pelastin Pondok Air Hitam dan Tuan Haji Abdullah Saghir Pondok Langgar. Ulama’ daerah Guar Cempedak pula ialah Tuan Haji Othman Madrasah al-Nahdah, Bukit Besar, Tuan Haji Yahaya Junaid Madrasah Taufiqiyyah, Batu 16, Tuan Haji Abd Majid dan Tuan Haji Husin Che Dol, Guar Cempedak. Ulama’ Sungai Petani yang terkenal ialah Tuan Haji Yahaya Pondok Kampung Pisang, Kupang dan Tuan Haji Umar Pondok Lanai. غفرلله لهم ولنا أجمعين
Saya yakin mereka ini kesemua amat memahami masalah khilafiyyah dan tidak sedikitpun menimbulkan ketegangan dalam masyarakat pada zaman mereka, malah saling memahami dan sering melakukan muzakarah dalam suasana mahabbah dan kasih sayang kerana Allah s.w.t. Oleh kerana mereka amat faham adab dan akhlak dalam masalah khilafiyyah inilah, maka mereka amat dihormati, disanjungi dan dipelajari ilmu Islam dari mereka. Walaupun kemungkinan ada masalah yang mereka tidak setuju kerana berbeza pandangan dan pendapat tetapi mereka tetap saling hormat-menghormati antara satu sama lain.
PENUTUP
Perbahasan masalah khilafiyyah ini tidak wajar diperbesarkan dan saling menyalahkan antara satu sama lain, lebih-lebih lagi menghukum bid’ah, khurafat dan kafir. Ini kerana khilaf dalam masalah furu’ suatu yang tidak dapat dielakkan. Apa yang penting bagi umat Islam ialah berganding bahu menegakkan Syariat Islam dalam diri, rumahtangga, masyarakat dan negara. Seterusnya memerangi kemaksiatan dan kemungkaran yang disepakati dan bekerja keras menegakkan yang ma’ruf yang diijma’ ulama’ di samping berlapang dada dan bertolak ansur ketika menghadapi perkara-perkara khilafiyyah dalam semangat persaudaraan Islam dan kesatuan ummah.
والله أعلم بالصواب
_____________________________________________________________________
[1] Kertas kerja ini dibentangkan di Seminar Pengembangan Ilmu anjuran Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang dengan kerjasama Institut Pengajian Ar-Razi, S. Prai Selatan bertempat di Perbadanan Produktiviti Negara (NPC) Wilayah Utara, Kepala Batas, S. Prai Utara pada 31.7.2004
[2] Wahbah al-Zuhaili (Dr.), (1986) Damsyik, Dar al-Fikr “Usul al-Fiqh al-Islami”, jld : 1, hal : 8
[3] al-Ghazali, “al-Mustasfa”. jld : 1, hal : 4-5
[4] Abu al-Karim Zaidan (1994), Beirut, Muassasah al-Risalah, “al-Wajiz”, hal : 8
[5] Boleh dirujuk kepada kitab-kitab “Usul al-Fiqh”.
[6] Abd al-Karim Zaidan (1969), “Madkhal Li Dirasah al-Syari’ah al-Islamiyyah”. Baghdad, Matba’ah al-’Ani. hal : 155
[7] Kerana khilaf itu sebahagian daripada (al-did) dan tidak semestinya setiap dua benda yang berbeza itu berlawanan, walaupun dua benda yang berlawanan itu berbeza. Lihat Ibn Manzur (t.t) “Lisan al-Arab”, Matba’ah al-Dar al-Arabiyyah Lial-Ta’lif wa al-Tarjamah. Kaherah. jld :1, hal : 430
[8] Al-Syatibi, Abu Ishaq Ibrahim bin Musa al-Lakhmi al-Gharnati (t.t), “al-Muwafaqat”, Kaherah. Matba’ah ‘Ali Subaih Wa Auladihi. jld : 4, hal : 110
[9] Ibid
[10] Dr. Abd al-Karim Zaidan (1982), “Majmu’ah Buhuth Fiqhiyyah”, hal : 275. Lihat juga Ibn Taymiyyah (1326H), “Majmu’ al- Fatawa”, Matba’ah Kurdistan. Kaherah. jld : 20. hal : 42
[11] Dr. Abd al-Karim Zaidan, Op cit, hal : 275-277
[12] Umar Sulaiman al-Asyqar dan Muhammad Othman Syabir (1996), al-Urdun. Dar al-Nafais, “Masail fi al-Fiqh al-Muqarin”, hal : 10
[13] Umar Sulaiman al-Asyqar dan Muhammad Othman Syabir Op cit, hal : 20. Abd al-Karim Zaidan, Op cit, hal : 277. Perhatian : Setiap faktor-faktor khilaf ini ada contoh-contohnya, namun untuk mengelak daripada terlampau panjang kertas ini penulis tidak memasukkannya.
[14] Ibid. hal : 30
[15] Ibid. hal : 31
[16] Ibid, hal : 31-32
[17] Ibid.
[18] Ibid, hal : 33-40
[19] Abd al-Karim Zaydan, Op cit, hal : 413
[20] Al-Suyuti (1998) Beirut. Dar al-Kitab al-’Arabi, “al-Asybah wa al-Nazair”, hal : 292
[21] Al-Qaradawi (1992), “al-Sahwah al-Islamiayyah Bayna al-Ikhtilaf al-Masyru’ wa al-Tafarruq al-Mazmum”. Dar al-Wafa’. Kaherah. Hal : 57 dan 189