Selepas solat maghrib semalam, saya telah menerima sms dari Setiausaha Kerja, Dewan Pemuda Pas Negeri Kelantan (DPPNK) meminta saya menghadirkan diri ke Balai Polis Kota Bharu, Kelantan pada pukul 10.00 malam bagi membantu untuk membuat satu laporan polis berkaitan satu khabar angin bahawa hari ini akan diadakan satu perhimpunan haram di hadapan bangunan Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Kelantan, Kompleks Kota Darul Naim oleh pihak tertentu.
Saya bersama Hisham Fauzi dan Ahmad Najib Deris selaku wakil Jabatan Undang-Undang & Hak Asasi Manusia (JUHAM) Dewan Pemuda Pas Negeri Kelantan (DPPNK) telah mengiringi saudara Wan Azimin Wan Adnan, Bendahari DPPNK untuk membuat laporan polis tersebut. Turut hadir bersama sebagai tanda sokongan ialah kira-kira 30 orang pemuda Pas serta para wartawan yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkara tersebut.
Kemudiannya, satu kenyataan akhbar telah dibuat oleh saudara Hisham Fauzi selaku Naib Ketua Pemuda Pas Negeri Kelantan merangkap Pengerusi Juham. Katanya, tujuan laporan polis tersebut dibuat adalah sebagai satu langkah keselamatan dan untuk memohon pihak polis menyiasat serta menyekat agar perhimpunan haram itu tidak akan berlaku. Ini adalah kerana perhimpunan haram tersebut diadakan seolah-olah ingin mengganggu gugat pentadbiran Kerajaan Negeri Kelantan. Laporan tersebut juga dibuat supaya pihak polis mengadakan siasatan bagi mengenal pasti siapakah dalang disebalik rancangan tersebut.
Saya pulang kerumah setelah hampir pukul 12.00 tengah malam dalam keadaan hujan renyai-renyai.
No comments:
Post a Comment