hasbunallah

hasbunallah

Thursday, May 3, 2018

KEMENGARUTAN HUJAH WAJHU SYABBAH DALAM SIMILE BAHTERA NABI ALLAH NUH


Sebuah tulisan yang agak menarik dalam membahas perbandingan kisah anak Nabi Nuh as.

1. Saya berasa agak tersinggung apabila ada yang berhujah bahawa “wajhu syabbah” (perspektif perbandingan serupa atau simile) yang cuba diwujudkan dalam cerita Nabi Allah Nuh ‘alaihissalam dan anaknya yang kecoh baru-baru ini hanya semata-mata untuk mengungkapkan “ketidakbersamaan anak Nabi Nuh dengan Nabi Nuh” sahaja. Maka, disamakan dengan anak pimpinan PAS yang sudah tidak bersama dengan PAS dengan bekas pimpinan PAS yang tetap PAS sehingga akhir hayat.

2. Kemudian, dengan hujah “wajhu syabbah” ini mereka berlepas diri bahawa perumpamaan simile berkenaan tidak mengungkapkan bahawa anak pimpinan PAS itu dikatakan kafir sebagaimana anak Nabi Nuh.

3. Ini suatu kenyataan yang tidak bertanggungjawab seolah-olah aplikasi tasybih atau penggunaan simile ini terpisah daripada makna semantik apatah lagi ia membawa kepada lapikan makna yang amat berbahaya yang boleh menjurus kepada takfir (mengkafirkan Muslim lain) mahupun tanfiq (memunafikkan Muslim lain) secara halus.

4. Hakikatnya, paling tidak ada tiga sebab mengapa hujah simile (tasybih) ini wajar ditolak, atau paling tidak, tidak boleh lagi digunakan di masa mendatang terutama dalam kalangan politikus yang dikatakan membawa agenda Islam.

5. Pertama, kalau kita melakukan simile (tasybih) dalam mana-mana “figure of speech” (seni gaya bahasa), ia bertujuan untuk memberitahu tentang makna sesuatu dengan tersirat. Jika tidak, keperluan simile (tasybih) tidak diperlukan kerana apa perlu lagi perumpamaan simile (tasybih) jika sesuatu makna itu sudah tersurat.

6. Darihal itu, pengguna simile (tasybih) harus memahami kefahaman khalayak tentang kebiasaan makna tersirat yang dikaitkan dengan sesuatu.

7. Sebagai contoh, Ali kaki bangku. Kaki bangku tidak merujuk kepada literal kaki bangku tetapi kepada keadaan kaki bangku yang tidak boleh bergerak sendiri melainkan digerakkan sesuatu. Dengan itu, kaki bangku dikaitkan dengan orang yang tidak pandai bermain bola lantaran keadaan kakinya yang tidak boleh digerakkan sendiri untuk bermain bola.

8. Jika kita mengambil maksud kaki bangku sebagai kaki bangku sahaja tanpa mengaitkan keadaan kaki bangku itu bagaimana, kita tidak melakukan simile (tasybih), tetapi kita mengungkapkan secara terus sahaja. Jadi, keperluan simile (tasybih) itu gugur.

9. Maka, apabila disimilekan “ketidakbersamaan anak Nabi Nuh dengan Nabi Nuh ke dalam bahtera”, kita tidak boleh berhenti pada zahir ketidakbersamaan sahaja kerana hal itu tidak logik berhenti di situ untuk dibandingkan.

10. Jika hanya ingin membandingkan ketidakbersamaan sahaja, mengapa tidak menggunakan contoh yang lebih ringan seperti Imam Shafie yang tidak semazhab dengan gurunya Imam Malik dan seumpama?

11. Saya tidak boleh membayangkan kenyataan sebegini nanti keluar dari Pejabat Perdana Menteri Kerajaan Tenokrat untuk menguruskan perbezaan yang wujud dalam kalangan lebih 30 juta rakyat Malaysia jika bahasa yang dikeluarkan tidak jelas, malah yang kabur pula didolakdalihkan oleh peminat-peminat keliling.

12. Jadi, ketidakbersamaan anak Nabi Nuh dengan Nabi Nuh ke dalam bahtera perlu dilihat dari sudut mengapa mereka tidak bersama. Ini adalah kerana anak Nabi Nuh tetap mahu dalam kekufuran dan tidak mahu bersama beriman dengan Nabi Nuh. Hal ini sama dengan anak-anak Nabi Lut yang tidak mahu bersama Nabi Lut, ayah Nabi Ibrahim tidak mahu bersama Nabi Ibrahim dan sebagainya.

13. Asasnya, ketidakbersamaan itu tidak berhenti pada ketidakbersamaan sahaja, tetapi ia disertakan dengan makna tauhid – kufur yang tidak memilih iman. Malah, inilah inti pengajaran yang kita petik sejak dari kecil lagi ketika melazimi kisah-kisah anbiya’ yang sudah sedia maklum oleh semua orang Islam yang terdidik.

14. Jadi, hujah wajhu syabbah yang berhenti pada “ketidakbersamaan anak Nabi Nuh dengan Nabi Nuh ke dalam bahtera” tanpa huraian sebab ketidakbersamaan dari sudut fungsi simile (tasybih) adalah tidak logik.

15. Tambahan pula, fungsi tasybih (simile) ini ada enam :

1. Untuk menerangkan situasi Musyabbah - بيانُ حالِ المشبَّهِ
2. Untuk menerangkan kadar Musyabbah - بيانُ مقدارِ حالِ المشبَّهِ
3. Untuk mengukuhkan hal Musyabbah - تقريرُ حالهِ
4. Untuk menerangkan kebarangkalian Musyabbah - بيانُ إمكانِ المشبَّهِ
5. Untuk menghias Musyabbah - مدحهُ وتحسينُ حالهِ
6. Untuk memburuk-burukkan Musyabbah - تشويهُ المشبَّهِ وتقبيحُه

Tujuan kelima mesti terbatal. Kalau pun yang tinggal juga (No 1,2,3,4&6) tidak menafikan bahawa kita perlu balik kepada asbab tasybih (simile) kisah berkenaan yakni pertembungan kufur-iman.

16. Kedua, jika diteliti kisah Nabi Nuh berkenaan, anak Nabi Nuh menolak perjuangan Nabi Nuh. Soal sekarang, adakah Ustaz Nik Omar menolak perjuangan Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz (TGNA)? Adakah Ustaz Mujahid Rawa menolak perjuangan Almarhum Tuan Guru Haji Yusof Rawa? Adakah Faiz Fadzil menolak perjuangan Almarhum Ustaz Fadzil Noor?

17. Jika Ustaz Nik Omar menolak perjuangan Almarhum TGNA, mengapa Ustaz Nik Omar boleh memberikan kenyataan, “Secara peribadi pendekatan yang dibawa oleh Pakatan Harapan mirip kepada perjuangan yang dibawa oleh Almarhum TGNA.”

18. Jika Nik Omar menolak perjuangan Almarhum TGNA, sudah pasti kenyataan sebegini tidak perlu. Bahkan yang lebih afdal ditanyakan, apakah yang membuatkan Nik Omar merasakan PAS kini tidak lagi mirip kepada perjuangan yang dibawa oleh Almarhum TGNA?

19. Ketiga, jika diteliti kisah Nabi Nuh berkenaan, anak Nabi Nuh menolak perjuangan ayahandanya, Nabi Nuh ketika ayahandanya masih hidup. Jika kita perhatikan hal ini tidak berlaku bagi Ustaz Nik Omar, Ustaz Mujahid juga Faiz Fadzil.

20. Malah, kematian para pimpinan PAS yang mulia ini ‘rahimahumullahutaala wa ardohum’ ini bukan menjadi sebab mereka tidak bersama dengan PAS. Ada hal lain yang berlaku jauh daripada masa ayahanda-ayahanda mereka meninggal dunia yang menyebabkan mereka mengambil keputusan tidak bersama PAS lagi. Ini kalian tahulah masing-masing.

21. Darihal itu, saya merasakan secara peribadi dari segi ilmu alat sastera secara konvensional mahupun ilmu tasybih dalam bidang balaghah, simile kisah anak Nabi Nuh dengan Nabi Nuh itu daripada awal hanya mengusutkan keadaan, boleh membawa potensi kepada budaya takfir dan tanfiq secara halus walau apa pun hujah bahasa yang cuba dipertahankan, namun ia tidak logik secara verbal mahupun semantik.

22. Sebagai mutakallim (pengucap mahupun penulis) kita harus ingat, manusia apabila bercakap ia bukan sahaja difahami secara verbal malah juga semantik, bukan sahaja secara tersurat juga mampu difahami secara tersirat, lantas apabila sesuatu kisah para nabi difahami secara tauhidik, tidak sepatutnya kita membawakan kisah ini bagi membandingkan perbezaan wadah perjuangan sesama muslim.

23. Sebagai mutakallim, kita bukan sahaja tertakluk pada ilmu lughah, bahkan ilmu dakwah yang tidak perlu saya yang jahil ini mensyarah-syarah kepada kalian yang sudah arif dan masak.

24. Malah, saya berasakan mereka yang cuba membela tulisan simile kisah Nabi Nuh berkenaan sedar bahawa simile (tasybih) berkenaan boleh membawa kepada takfir mahupun tanfiq, kerana itulah wujud penghujahan membela dari sudut wajhu syabbah. Maka, sebenarnya dari awal lagi perkara ini boleh dielakkan jika kita tidak menggunakan kisah Nabi Nuh ini dalam perbandingan ketidakbersamaan anak pimpinan PAS dengan pimpinan PAS berkenaan.

25. Akhirnya kata, kita juga mahu seperti kata-kata Ustaz Nik Omar, “saya mahu mati sebagai orang mukmin yang beriman” bukan seperti anak Nabi Nuh, tetapi seperti Nabi Nuh ‘alaihissalam. Aameen.

Seeru ‘ala barakatillah.

Oleh : Za’im Yusoff
020518thédusoir

Dipetik dari: https://www.facebook.com/zaimyusoff/posts/10216672012779401