hasbunallah

hasbunallah

Sunday, July 25, 2010

Adakah Rasulullah Melihat Allah s.w.t Ketika Mi’raj ?



Telah terjadi perselisihan antara para ulama mengenai masalah ini ketika Rasulullah s.a.w diangkat ke langit ‘mi’raj’.  Oleh yang demikian, saya nukilkan beberapa pendapat yang saya perolehi selepas munaqasyah saya dengan guru saya yang mulia al-Muhaddisth as-Syeikh Abdul Qadir bin Mohd. Yusuf al-Madani.

Al- Qadhi Iyad Rahimahullah berkata, para ulama salaf dan khalaf berbeza pendapat apakah Nabi s.a.w melihat Allah s.w.t pada malam Isra’. Aisyah r.a mengingkari bahawa Nabi s.a.w melihat Allah s.w.t pada malam Isra’ sebagaimana yang disebutkan pada sahih Muslim. Hal yang senada juga diriwayatkan dari Abu Hurairah dan para perawi hadis. Inilah pendapat yang masyhur dari Ibnu Mas’ud r.a, dan inilah pendapat yang dipegang oleh para muhaddithsin dan mutakallimin[1].

Al-Hafiz Imam Ibn Kathir telah memetik didalam kitab tafsirnya bahawa Imam Muslim meriwayatkan  dalam kitab sahihnya dari Ibn Abbas bahawa dia pernah berkata: “Muhammad pernah melihat Rabbnya dengan mata hatinya sebanyak dua kali.”[2]  

Imam an-Nasai meriwayatkan, Ishaq bin Ibrahim memberitahu kami dari Ibnu Abbas r.a ia berkata: “ Apakah kalian hairan dengan gelaran al-Khullah (kekasih) yang diberikan kepada Ibrahim dan al-Kalam (Pembicaraan langsung) yang diberikan kepada Musa dan ar-Ru’yah (penglihatan kepadaNya) yang diberikan kepada Muhammad s.a.w.”[3]

Diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a bahawa Nabi s.a.w melihat Allah s.w.t pada malam Isra’ dengan mata kepalanya. Hal yang senada juga diriwayatkan dari Abu Zarr, Ka’ab dan al-Hassan Rahimahullah dan dia sampai bersumpah atas yang demikian[4].

Hal yang senada juga dihikayatkan dari Ibnu Mas’ud, Abu Hurairah dan Ahmad bin Hanbal. Sementara sebahagian dari guru-guru kita tidak berkomentar terhadap hal ini, dan berkata: “Tidak ada dalil yang jelas dalam masalah ini, akan tetapi hal ini boleh terjadi.”[5]

Dasar dalam masalah ini adalah hadis Ibnu Abbas. Ibnu Umar telah merujuk Ibnu Abbas dalam masalah ini, dan bertanya melalui surat apakah Nabi s.a.w melihat Tuhannya, kemudian Ibnu Abbas menjawab bahawa Nabi s.a.w melihat Tuhannya.[6]

Al-Hafiz Imam Ibn Kathir juga ada meriwayatkan hadis dari Imam Ahmad melalui Ibnu Abbas r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:
“Aku telah melihat Rabb ku Azzawajalla.”[7]

Namun begitu terdapat satu hadis dari Aisyah yang mengingkari perkara ini yang telah diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari.

Dari Aisyah r.a katanya: Siapa yang menceritakan kepada engkau bahawa Muhammad melihat Tuhannya, sesungguhnya orang itu dusta. Kerana Tuhan telah berfirman: “Dia tidak dapat dicapai oleh penglihatan mata, sedang dia dapat melihat segala yang kelihatan; dan dialah yang Maha halus lagi Maha Mengetahui.” Dan siapa yang menceritakan kepada engkau bahawa Muhammad mengetahui ha ghaib, sesungguhnya orang itu dusta kerana Tuhan telah berfirman: “Tiada mengetahui hal yang ghaib melainkan Allah.”[8] 

Al-Muhaddist as-Syeikh Prof. Dr. Syed Muhammad Alawi mengatakan bahawa dalam hal ini tidak menjelaskan hadis Aisyah, kerana Aisyah sendiri tidak pernah mengatakan bahawa dia pernah mendengar Rasulullah s.a.w berkata: “Aku tidak melihat Tuhanku.”Akan tetapi Aisyah hanya mengatakan pendapatnya berdasarkan pentafsiran firman Allah sahaja.[9] 

Beliau seterusnya menyatakan bahawa apabila seorang sahabat mengatakan suatu pendapat, sementara sahabat-sahabat yang lain menyalahi pendapat tersebut, maka pendapat tersebut tidak boleh dijadikan hujah.

Jika riwayat-riwayat Ibnu Abbas di atas sahih bahawa Nabi s.a.w melihat Allah s.w.t, maka wajib menetapkannya sebab hal ini tidak termasuk logika dan prasangka akan tetapi diperolehi dari pendengaran. Tidak boleh seseorang pun berprasangka bahawa Ibnu Abbas bercakap tentang hal ini berdasarkan prasangka dan ijtihadnya sendiri.

Mu’ammar bin Rasyid ketika disebutkan perbezaan pendapat antara Aisyah dan Ibnu Abbas berkata: “Menurut kami, Aisyah bukanlah orang yang lebih tahu dari Ibnu Abbas, kemudian Ibnu Abbas menetapkan sesuatu yang dinafikan orang lain, yang menetapkan lebih didahulukan daripada yang menafikan.”[10]   

Di antara ulama yang mensabitkan ru’yah pada diri Baginda Nabi adalah Imam Ahmad. Hal ini seerti yang diceritakan oleh al-Khalal dalam kitab al-Sunnah daripada al-Maruzi, aku berkata kepada Ahmad: Sesungguhnya mereka berkata, sesungguhnya Aisyah berkata: “Sesiapa yang berprasangka bahawa Muhammad s.a.w melihat Tuhannya, maka dia telah membuat fitnah yang besar pada Allah. Dengan apa perkataan mereka dapat ditolak? Berkata perawi, Baginda Nabi s.a.w bersabda: “Aku telah melihat Tuhanku.” Sabda Baginda Nabi s.a.w lebih besar daripada perkataan Aisyah.[11]   

Kesimpulannya, pendapat yang lebih kuat menurut jumhur ulama-ulama sunnah adalah Rasulullah s.a.w melihat Allah s.w.t pada malam Isra’ berdasarkan hadis Ibnu Abbas dan yang lainnya, sebagaimana yang telah disebutkan.

Mereka mengatakan, untuk menetapkan hal ini adalah perkataan Rasulullah sendiri, oleh kerana itu tidak perlu diragukan lagi. Kemudian Aisyah r.a tidak pernah menafikan bahawa Nabi s.a.w melihat Allah s.w.t dengan satu hadis Rasulullah. Seandainya ada hadis dari Rasulullah yang diketahui oleh Aisyah, pasti dia akan menyebutkannya. Akan tetapi dia berpegang kepada ayat.

Kesimpulan:-

Dalam perkara ini ada tiga pendapat sebagaimana berikut[12]:-

Pertama
Nabi s.a.w tidak melihat Allah. Inilah pendapat Sayyidah Aisyah r.a iaitu riwayat yang masyhur dari Ibnu Mas’ud. Hal yang senada juga diriwayatkan dari Abu Hurairah, dan riwayat inilah yang dipegang oleh kebanyakan ulama hadis dan ulama kalam.

Kedua
Nabi s.a.w melihat Allah s.w.t. Inilah pendapat Ibnu Abbas dan Urwah bin Zaubair, iaitu riwayat yang masyhur dari al-Hassan, Ka’ab al-Ahbar, az-Zuhri dan Mu’ammar. Pendapat inilah yang dipegang oleh Abu al-Hassan al-Asyari dan kebanyakan pengikutnya.

Kemudian mereka berbeza pendapat apakah Nabi s.a.w melihat Allah s.w.t dengan mata kepala atau dengan hati? Kedua pendapat ini diriwayatkan dari Imam Ahmad. Imam Nawawi berkata: “Pendapat yang paling kuat menurut kebanyakan ulama adalah bahawa Rasulullah s.a.w melihat Allah s.w.t pada malam Mi’raj dengan mata kepalanya.”

Ketiga
Sekelompok ulama tidak menetapkan dan juga tidak menafikan, kerana dalilnya yang saling bertentangan. Pendapat inilah yang dipilih oleh Imam Abu al-Abbas al-Qurthubi. Dia menisbatkan atau membangsakannya kepada ulama-ulama muhaqqiq dan dia mengatakan bahawa tidak ada dalil yang mutlak dalam masalah ini.


Wallahu ‘Allam…


[1] Al-Maliki, Prof. Dr. Syed Muhammad Alawi (Ter: Muhammad Akhyar), Wahuwa Bil Ufuqil ‘Ala. Pustaka as-Safa, Kuala Lumpur. 2009, muka surat: 162.
[2] Alu Syeikh, Dr. Abdullah bin Muhammad bin Abdul Rahman bin Ishaq, Tafsir Ibn Kathir. Pustaka Imam asy-Syafi’I, Indonesia. Jilid 9 Cetakan Kedua 2010, muka surat: 182.
[3] Ibid. Muka surat : 183
[4] Al-Maliki, Prof. Dr. Syed Muhammad Alawi (Ter: Muhammad Akhyar), Wahuwa Bil Ufuqil ‘Ala. Pustaka as-Safa, Kuala Lumpur. 2009, muka surat: 162.
[5] Ibid.
[6] Ibid.
[7] Alu Syeikh, Dr. Abdullah bin Muhammad bin Abdul Rahman bin Ishaq, Tafsir Ibn Kathir. Pustaka Imam asy-Syafi’I, Indonesia. Jilid 9 Cetakan Kedua 2010, muka surat: 184.
[8] Sahih Bukhari. Klang Book Center. Hadis No: 1985.
[9] Al-Maliki, Prof. Dr. Syed Muhammad Alawi (Ter: Muhammad Akhyar), Wahuwa Bil Ufuqil ‘Ala. Pustaka as-Safa, Kuala Lumpur. 2009, muka surat: 163.
[10] Ibid. Muka surat: 164
[11] Al-Asqalani, Imam Ibnu Hajar, Isra’ Mi’raj. Jahabersa, Johor Bharu. 2007, muka surat: 256.
[12] [12] Al-Maliki, Prof. Dr. Syed Muhammad Alawi (Ter: Muhammad Akhyar), Wahuwa Bil Ufuqil ‘Ala. Pustaka as-Safa, Kuala Lumpur. 2009, muka surat: 165.

Thursday, July 15, 2010

As-Syeikh Dr. Mahmood Abdul Rauf al-Mirghalani


Hari ini 14/07/2010, Allah s.w.t telah memberikan kerahmatan yang begitu besar sekali dengan anugerah kehadiran seorang ulama dari Madinah al-Munawwarah iaitu Fadhilatu Syeikh Dr. Mahmoud Abdul Rauf al-Mirghalani.

Saya mengambil peluang ini untuk turut serta dalam pertemuan dan majlis bersama Syeikh Dr. Mahmoud ini yang diadakan di rumah guru kami yang mulia as-Syeikh Abdul Qadir al-Madani, Kg. Dalam Lanas, Tumpat.

Majlis dimulakan dengan tausiyah dan taujihat yang disampaikan oleh Syeikh Dr. Mahmoud al-Mirghalani kepada hadirin yang turut hadir dalam majlis tersebut. Banyak lontaran ilmu diberikan oleh ulama muda yang merupakan Syeikh Tariqat Syaziliyah ini. Beliau juga turut memberikan beberapa ijazah kitab serta sanad-sanad hadis yang diperolehi daripada guru-guru beliau terutamanya al-Alim al-Allamah al-Musnid as-Syeikh Muhammad Yasin bin Muhammad Isa al-Fadani al-Makki.

Beliau juga turut bermurah hati untuk mengijazahkan selawat tariqah As-Syaziliyah kepada para hadirin yang hadir. Saya rasa sungguh bertuah sekali kerana berpeluang untuk menghadiri majlis tersebut.

Kenikmatannya hanya boleh dirasai oleh orang yang melaluinya sahaja. Satu kata-kata yang cukup berkesan dihati saya daripada Syeikh Dr. Mahmoud al-Mirghalani ialah:-
“Walau siapa pun kita, setinggi manapun maqam dan martabat yang telah kita capai, namun dihadapan seorang guru kita tetap seorang murid!!”

Sunday, July 11, 2010

Mukhayyam Pemuda Negeri


Pada 8 -10 Julai lalu, saya telah menyertai Mukhayyam Dewan Pemuda Pas Negeri Kelantan yang diadakan di Merang Suria Resort, Terengganu. Bertolak kesana setelah pulang kerja pada hari Khamis yang memakan masa hampir 2 jam memandu kesana dengan kelajuan 120 km/j.

Mukhayyam tahunan ini disertai oleh semua Dewan Pemuda Pas setiap kawasan. Walaupun Pas Kawasan Tumpat turut mengadakan Mukhayyam Tarbawi di Pergau, Jeli, Pemuda Kawasan tetap menghantar wakil ke sini dan juga ke Pergau.

Satu program yang cukup memberi makna kepada semua peserta kerana dapat mengeratkan hubungan antara pamuda dari kawasan yang berlainan dengan penganjuran pelbagai aktiviti serta diskusi dengan pimpinan Pemuda Negeri.

Himpunan yang disertai oleh semua peserta dari pelbagai peringkat latar belakang pendidikan dan profesion. Keadaan ini memberikan peluang kepada semua peserta untuk bertukar pendapat dan idea bagi merancang aktiviti di kawasan masing-masing.

Walaupun saya agak keletihan kerana tidak mempunyai waktu rehat yang cukup serta perlu membuat persediaan untuk kes sambung bicara di Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu pada hari Ahad nanti, namun ia memberikan manfaat yang cukup baik.  

Thursday, July 8, 2010

257,000 anak tidak berbapa


Adalah satu perkara yang mengejutkan apabila Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah telah membuat pendedahan bahawa Negara kita mempunyai 257,000 anak yang tidak berbapa antara tahun 2000 hingga Julai 2009. 30,978 daripadanya adalah kelahiran yang terdaftar membabitkan bayi beragama Islam.

Mungkin ‘anak tidak berbapa’ adalah satu istilah yang agak lembut jika hendak dibandingkan dengan ‘anak zina’. Cuba kita renungkan bersama, dimanakah silapnya kita dalam masalah yang semakin memberat ini? Apakah langkah-langkah yang telah kita ambil untuk menangani masalah umat ini?

Allah s.w.t telah berfirman:-

Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)).al-Israa’: 32)

Al-Hafiz Imam Ibn Kathir rhm telah menafsirkan ayat ini bahawa Allah s.w.t melarang hambaNya berbuat zina dan mendekatinya serta melakukan factor-faktor dan aspek-aspek yang mengantarkan kepada perbuatan zina.

Mungkin secara nyata Negara kita tidak pernah menyuruh kepada berbuat zina. Namun apakah kita tidak perasan berapa banyak perkara yang Negara kita lakukan, anjurkan atau laksanakan adalah perkara yang boleh menjuruskan kepada zina.

Terlalu banyak program sosial dan hiburan yang dianjurkan kerajaan menggalakkan kepada pergaulan bebas tanpa batasan serta boleh mencetuskan kepada gejala zina! Pihak kerajaan yang kononnya ingin menarik perhatian golongan remaja dan belia daripada masalah dadah dan lepak dengan menyogokkan mereka hiburan yang melalaikan menyebabkan timbulnya masalah baru iaitu zina.

Kenapa kita lebih suka menggunakan sebutan ‘seks bebas’ berbanding perkataan ‘zina’? Sedangkan ianya membawa erti yang sama seperti ‘khinzir’ dan ‘babi’ yang mana istilah mana sekalipun ianya tidak akan menghalalkan apa yang telah diharamkan Allah s.w.t dengan jelas di dalam al-Quran.

Adalah terlalu mustahil pihak kerajaan tidak mengetahui perangkaan yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) ini. Lalu, kenapa pihak kerajaan seperti mendiamkan diri sahaja tanpa mengambil tindakan drastik bagi mengekang masalah yang kian membarah ini?

Bila ada suara-suara yang mempertikaikan Malaysia sebagai sebuah Negara Islam, para pemimpin Negara mula hendak melatah. Tapi bila pendedahan tersebut dibuat oleh Raja Dr. Nazrin Shah, kenapa tidak ada pemimpin Negara yang melatah?

Bila Negara digemparkan dengan pendedahan tersebut, pihak-pihak yang kurang prihatin dengan masalah ini masih sibuk-sibuk dengan rancangan hendak memperkenalkan pendidikan seks di sekolah! Apa tujuan sebenar mata pelajaran tersebut hendak diajarkan kepada para remaja? Adakah ianya untuk mengekang berlakunya zina atau untuk memperkenalkan cara melakukan seks yang selamat? Kalau tidak diajar pendidikan seks pun dah sebanyak ini anak zina, cuba kita fikirkan berapakah pertambahan yang akan berlaku sekiranya pendidikan seks tersebut diperkenalkan di sekolah?

Beginikah mentaliti para pemimpin Negara kita yang tercinta ini? Dimana peranan para ulama kerajaan dalam hal ini? Tidak mustahil nanti masyarakat Negara kita tidak akan memperdulikan mengenai status anak-anak yang lahir sama ada ianya melalui ikatan perkahwinan yang sah atau anak hasil perzinaan!

Wednesday, June 30, 2010

Kunjungan al-Alim al-Allamah al-Habib Hamid al-Habsyi


Bandar Tumpat telah menerima seorang ulama Palembang Darussalam iaitu al-Alim al-Allamah al-Habib Hamid bin Umar al-Habsyi bersama keluarga beliau. Beliau merupakan salah seorang murid ulama sunnah terkenal almarhum al-Alim al-Allamah al-Muhaddisth As-Syeikh Prof. Dr. Syed Muhammad bin Alawi al-Maliki al-Hasani.

Dikesempatan kehadiran beliau itu, satu majlis ilmu telah diadakan di Rumah Tetamu Kastam Di Raja Malaysia, Tumpat. Tausyiyah yang diberikan Habib Hamid al-Habsyi antaranya berkisar mengenai peristiwa isra’ dan mi’raj.

Dalam majlis ini juga, Habib Hamid al-Habsyi telah mengijazahkan beberapa sanad kitab kepada para hadirin termasuklah ijazah sanad Tafsir Imam Ibn Kathir.

Alhamdulillah, saya berpeluang untuk mengikuti majlis tersebut. Beliau yang saya kenali sejak berulang alik ke Palembang merupakan salah seorang guru saya dan merupakan mudir Maahad ar-Riyadh, Palembang.

Tuesday, June 29, 2010

Penyertaan ulama muda ke dalam UMNO


Baru-baru ini Negara kita digemparkan oleh satu berita yang mendapat liputan meluas seluruh negera mengenai sekumpulan 40 orang ulama muda telah menyertai UMNO.

Saya tidak perasan sekumpulan ulama muda tersebut sehinggalah gambar tersebut di ‘tag’ kan oleh seorang kawan dalam Facebook saya. Kemudian saya juga turut dimaklumkan bahawa dalam kumpulan tersebut terdapat sahabat lama kami.

Maka, saya ikutilah perdebatan & perbahasan kawan-kawan dengan beliau yang sebagai salah seorang ulama muda yang menyertai UMNO tersebut. Ada komen yang berbentuk natural dan tidak kurang juga komen yang mengecam tindakan beliau tersebut. Kerap kali sahabat-sahabat membuat perumpamaan dalam komen tersebut mengenai cara-cara untuk membasuh tong najis yang seharusnya dilakukan dari luar dan bukannya dengan cara masuk ke dalam tong najis tersebut.

Jawapan beliau adalah, dalam medan dakwah kita tidak perlu memilih antara parti kerana tugasan kita adalah dakwah. Tidak kira sama ada Pas atau Umno. Maka masing mengutarakan hujah bagi menyokong perbahasan tersebut. Lalu saya katakan bahawa, perdebatan kita ini masing-masing disokong oleh hujah dan nas, nah jika kita yakini bahawa jalan kita ambil ini benar silakan. Kerana kebenaran yang nyata dan sebenar-benarnya hanyalah dapat diketahui apabila berhadapan dengan Allah s.w.t sahaja nanti.   

Friday, June 11, 2010

Selamat Bermuktamar

Saya mengucapkan selamat bermuktamar kepada semua perwakilan dan permerhati yang menyertai Muktamar Tahunan PAS Ke 56 yang diadakan di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (PUTIK) bermula pada 09 Jun sehingga 13 Jun 2010.


Walaupun saya tidak menjadi perwakilan pada muktamar kali ini atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan, namun saya masih berkesempatan untuk mengikuti hampir kesemua perjalanan Muktamar tersebut bermula dengan perasmian serentak Dewan Ulama, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat oleh YAB Dato Bentara Setia Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, Mursyidul Am Pas. Muktamar Dewan Pemuda yang berlangsung di Kelantan Trade Center (KTC) serta Muktamar Pas Pusat di PUTIK.

Semoga Muktamar kali ini akan menjadi medan muhasabah kelemahan diri serta mencari kelebihan yang ada pada parti bagi meneruskan perjuangan yang terpikul.

ALLAHU AKBAR