hasbunallah

hasbunallah

Tuesday, October 14, 2008

Calon Pemimpin


Sekarang ini negara kita begitu hangat dengan isu peralihan kuasa pucuk kepimpinan negara daripada Pak Lah kepada Najib yang telah dipercepatkan. Ini adalah kerana desakan pelbagai pihak terutamanya para pemimpin dan ahli UMNO sendiri yang mungkin sudah tidak selesa berada dibawah tampuk kepimpinan Pak Lah. Kenapa yea?

Ianya merupakan satu persoalan yang perlu direnungkan bersama walaupun tidak perlu menjawabnya. Namun, jawapannya mesti ada terhadap desakan tersebut. UMNO yang dikenali sebagai sebuah parti Melayu dikatakan telah banyak berjasa kepada negara terutamanya dalam perjuangan mendapatkan kemerdekaan Tanah Melayu dari genggaman penjajah sewaktu ketika dahulu seolah-olah tidak lagi gah dan boleh dibanggakan.

Sehingga bila agenda perjuangan bangsa Melayu hendak dijulang? Sedangkan sehingga sekarang masih ramai lagi bangsa Melayu yang tidak terbela nasibnya malah turut ditindas sendiri oleh pemimpin UMNO yang kononnya ingin memperjuangkan nasib orang Melayu. Kata-kata Hang Tuah, "Takkan Melayu Hilang Di Dunia" yang pernah menjadi kebanggaan UMNO serta dilaungkannya dengan semangat oleh mereka kelihatannya luntur bersama arus zaman yang berlalu.

Apakah kelebihannya kata-kata Hang Tuah itu jika hendak dibandingkan dengan kata-kata Tuhan? Yang manakah lebih perlu di yakinkan sebagai sebuah aqidah dan dihadamkan betul-betul diantara ayat-ayat Tuhan dan kata-kata Hang Tuah tersebut? Saya bukanlah hendak mempersoalkan keramat Hang Tuah, pahlawan legenda Melayu tersebut. Tetapi saya ingin menarik anda untuk membuat penilaian sebagai seorang Islam mengenai keutamaan yang perlu anda dahulukan.

Jika hendak memperjuangkan bangsa Melayu, dimanakah jagoan UMNO sewaktu orang Melayu sendiri yang sebelumnya beragama Islam telah mengisytiharkan sebagai telah murtad! UMNO yang juga turut mengisytiharkan untuk memperjuangkan Islam seolah-olah membisu seribu bahasa. Di mana anda? Agama itu adalah lebih berhak untuk diperjuangkan jika hendak dibandingkan dengan bangsa. Sekiranya Rasulullah s.a.w lebih memilih bangsanya yang Arab sudah tentu tidak akan ada bangsa lain yang akan mendapat nikmat syurga Allah selain dari bangsa Arab. Bahkan Rasulullah telah bersabda yang bermaksud:

" Tiadalah perbezaan antara orang Arab atau orang A'jam melainkan dengan taqwa."


Kembali kepada persoalan calon pemimpin, nasihat saya kepada rakan-rakan UMNO supaya memilih pemimpin yang benar-benar layak untuk memperjuangkan Islam dan bukannya yang boleh memberikan anda manfaat keduniaan sekiranya seseorang itu dilantik sebagai pemimpin. Untuk memilih pemimpin yang sebenar tidak semestinya mendengar apa yang dikatakannya, namun perhatikanlah sikapnya dengan Tuhan. Sekiranyanya sikapnya dengan Tuhan tidak pernah terpuji, apatah lagi sikapnya di sisi manusia.

Hanya ALLAH sahaja Yang Maha Mengetahui akan segalanya....




No comments: