Jumaat, 28/05/2010 adalah antara hujung minggu yang memenatkan bagi saya. Bermula seawal pukul 7.30 pagi saya menghadiri kuliyah mingguan tafaqquh fiddin anjuran Dewan Pemuda Pas Kawasan Tumpat (DPPKT) bertempat di Pejabat Pas Kawasan Tumpat, Berangan. Kuliyah ini disampaikan oleh al-Fadhil Ustaz Ahmad Fuad Amran, tenaga pengajar di Pondok Moden, Kandis. Beliau mensyarahkan kitab Jundullah karangan al-Alim al-Allamah Syed Hawa.
Kemudiannya pada pukul 9.00 pagi pula saya menyertai Kembara Amal DPPKT ke Dun Kelaboran dengan kerjasama YB Mohd Zaki Ibrahim (Adun Kelaboran) dan Jawatankuasa Pemuda Dun Kelaboran bertempat di Kampung Dalam Rhu, Tumpat. Dalam program ini, DPPKT menyampaikan sumbangan barangan keperluan dapur kepada penerima yang dipilih oleh Penghulu Mukim Dalam Rhu. YB Adun Kelaboran juga turut menyampaikan sumbangan peribadi kepada penerima-penerima tersebut.
Setelah itu, lebih kurang pukul 11.30 pagi saya terus bertolak ke Bachok kerana ada taklimat berkaitan Demonstrasi Membantah Judi Bola yang akan dibuat selepas solat Jumaat di Bachok. Saya dan rakan-rakan peguam lain dari Lajnah Undang-Undang & Hak Asasi Manusia (LUHAM), Dewan Pemuda Pas Negeri Kelantan (DPPNK) adalah sebagai pemerhati perjalanan demonstrasi tersebut bagi mengelakkan dari berlakunya sesuatu yang tidak diingini. Alhamdulillah, demo tersebut berjalan lancar dengan mendapat kerjasama daripada pihak berkuasa.
Kemudian saya pulang ke rumah lebih kurang pukul 3.00 petang untuk berehat dan membuat persediaan bagi menghadiri forum Belia Cakno Masyarakat malam ini yang akan diadakan di Masjid Pantai Damat, Perupok Bachok. Saya adalah salah seorang ahli penal forum tersebut bersama-sama dengan Ustaz Ahmad Fadhli Shaari (Setiausaha akhbar YAB Dato Tuan Guru) dan Cif Inspektor Hashim Mustafa (Ketua Bahagian Keselamatan, Ketenteraman Awam & Trafik IPD Bachok).
Walaupun memang kepenatan, namun disebabkan kewajipan yang perlu ditunaikan, tanggungjawab yang perlu dilaksanakan serta amanah yang mesti disempurnakan, terpaksalah saya menggagahkan diri untuk melakukan kesemuanya dengan seluruh tenaga dan kemampuan diri.
No comments:
Post a Comment