hasbunallah

hasbunallah

Tuesday, March 5, 2013

Isu Lahad Datu: Satu Pandangan Sisi


Saya mengucapkan takziah dan bersimpati kepada keluarga anggota keselamatan yang terkorban dalam tragedi Lahad Datu, Sabah. Pengorbanan mereka disanjung tinggi sebagai pahlawan dalam mempertahankan kedaulatan Negara yang kita cinta ini. Siapa pun mereka, kita perlu terima hakikat ini bahawa mereka telah terkorban sewaktu mempertahankan Negara.

Cuma timbul seribu persoalan dalam benak fikiran saya, bagaimanakah standard operating procedure sebenar pihak kerajaan dalam menangani isu pencerobohan sempadan oleh sekumpulan orang yang mendakwa diri mereka sebagai Tentera Diraja Kesultanan Sulu?

Berdasarkan sumber-sumber internet, kemasukan kumpulan bersenjata ke Sabah dikesan sejak awal lagi. Namun tiada tindakan sewajarnya diambil oleh pihak kerajaan. Malah, Menteri yang bertanggungjawab dalam isu keselamatan Negara menafikan sekeras-kerasnya laporan yang tersebar itu. Malah Menteri tersebut memberikan reaksi yang berbeza dan bercanggah dalam setiap keadaan.

Sehinggalah kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak keselamatan termasuk Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengenai beberapa anggota keselamatan yang terbunuh dalam pertempuran dengan pihak penceroboh tersebut. Kumpulan ini diketuai oleh ‘Raja Muda’ Agbimuddin Kiram, adik kepada ‘mantan sultan’ Jamalul Kiram III dan ‘sultan’ Ismael Kiram II. Jamalul Kiram III pernah bertanding untuk jawatan senator dalam pilihanraya Filipina.

Sewaktu pengesahan dibuat bahawa terdapatnya pencerobohan oleh kumpulan bersenjata tersebut, pihak PDRM menyatakan bahawa mereka dalam proses rundingan dengan kumpulan bersenjata tersebut yang diketuai oleh waris kesultanan Sulu iaitu Datu Esmail Kiram. Pesuruhjaya Polis Sabah memaklumkan rundingan sedang berjalan dengan para anggota kumpulan itu. Sedangkan status mereka adalah pencerobohan kumpulan bersenjata!

Jika kita soroti peristiwa hitam Memali berlaku pada 19 November 1985. Insiden ini mengorbankan 14 orang dan berpuluh-puluh yang lain tercedera serta penahanan beratus-ratus orang. Kesemua yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Dalam pertempuran antara orang kampung dengan pihak polis, Ustaz Ibrahim Mahmud atau lebih dikenali dengan Ibrahim Libya telah terbunuh. Polis memanggil operasi ini sebagai 'Operasi Angkara/Operasi Hapus'. Mereka adalah rakyat warganegara Malaysia dan bukan penceroboh bersenjata!

Jadi, apakah standard operating procedure dalam menghadapi situasi seperti ini? Adakah pihak kerajaan mempunyai ‘operasi terpilih’ dalam melaksanakan tugas keselamatan Negara?

Bukan saya sahaja yang mempertikaikan perkara ini, bahkan sejumlah besar rakyat Negara kita mempersoalkan tindakan pihak kerajaan yang seolah-olah meremehkan isu pencerobohan ini sehingga menyebabkan anggota keselamatan kita terkorban. Perkara ini turut dipersoalkan oleh bekas Ketua Staf Logistik Markas Armada TLDM, Laksamana Pertama (B) Imran Abd Hamid dan bekas Timbalan Panglima Angkatan Tentera Darat, Lt Jen (B) Datuk Abdul Ghafir Abdul Hamid.

Apa yang jadi lebih pelik ialah apabila pihak kerajaan dan media pencacai sibuk menghebohkan bahawa pencerobohan tersebut ada kaitan dengan Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim. Adakah media kerajaan sudah kehabisan modal untuk mencari ‘kambing hitam’ untuk disembelih bagi menghadapi PRU 13 yang entah bila akan diumumkan oleh PM?

Hebat sangatkah individu yang bernama Anawar Ibrahim itu sehingga dia boleh mengatur semua perkara di Malaysia ini? Be gentleman wahai pencacai semua. Anak perempuan Sultan Sulu Jamalul Kiram III, Puteri Jacel Kiram, jurucakap rasmi Sultan Sulu mengesahkan bahawasanya pihak DSAI maupun Pakatan Rakyat tidak pernah ada berhubung maupun bercakap atau berunding dengan pihaknya.

Pihak kerajaan seperti cuba menyorok tangan yang melempar batu. Mereka ingin meletakkan kesalahan dia atas kepala orang lain. Mereka seperti lupa bahawa mereka tidak boleh menipu semua rakyat dan kebenaran itu pasti menjelma.
   

No comments: