hasbunallah

hasbunallah

Sunday, June 29, 2008

Terima Kasih Daun Keladi

Walaupun masih kepenatan kerana memandu kereta dari Ipoh ke Kota Bharu, namun oleh kerana tugas yang diamanahkan segalanya perlu dilaksanakan sebaik mungkin. Saya dan tiga orang sahabat daripada Luham sekali lagi telah bertandang ke Ipoh, Perak bagi menghadiri perbicaraan kes petisyen pilihan raya Dun Lubok Merbau. Seperti sebelum ini, layanan orang Perak terutamanya Aminuddin dan Tim. Pesuruhjaya Pas Negeri Perak Haji Asmuni Awi membuatkan kami lebih bersedia untuk menghadapi barisan peguam Umno.
Walaupun saya masih baru dalam mengendalikan kes petisyen pilihan raya, namun tunjuk ajar yang diberikan oleh saudara Hanipa Maidin, Zulqarnain Lukman dan Aminuddin sendiri banyak mendedahkan saya mengenai teknik-teknik serta perkara-perkara yang patut dan harus diberikan perhatian dalam mengendalikan petisyen pilihan raya.
Luham telah mengambil satu inisiatif bagi mendedahkan para peguam baru kepada pengendalian petisyen pilihan raya dengan melancarkan satu projek bagi mengumpul semua petisyen pilihan raya.

Thursday, June 26, 2008

Janji Tuhan Buat Seorang Hamba

Semalam, seorang saudaraku telah meninggal dunia dan pagi ini jenazah beliau telah selamat disemadikan di tanah perkuburan Banggol, Jalan PCB. Mohd Labib bin Ahmad, bagi pelajar-pelajar sekolah arab atau agama di Kelantan mungkin Allahyarham bukanlah seorang yang asing. Banyak buku-buku yang ditulis beliau terutamanya mengenai tatabahasa Arab yang menjadi sumber rujukan. Beliau merupakan rakan seangkatan Allahyarham Dato Zaky Yaacob dan rumah beliau adalah hanya bersebelahan sahaja.
Apabila tiba janji Tuhan, tiada siapa yang dapat mempercepatkannya atau memperlewatkannya walaupun sesaat. Beliau telah menghembuskan nafasnya semalam pada pukul 5.30 petang di unit rawatan rapi Hospital Pakar Perdana. Semoga Allah mencucuri rahmat keatas roh beliau dan menempatkannya diantara kalangan para solehin.

Tuesday, June 24, 2008

Larangan Bergincu & Kasut Bertumit Tinggi

Buletin Utama TV3 semalam menyiarkan berita bahawa Majilis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) akan menguatkuasakan larangan bergincu dan berkasut tumit tinggi dikalangan Muslimah dalam kawasan pentadbiran MPKB-BRI. Sejurus selepas itu, saya mendapat banyak pertanyaan sama ada perkara tersebut betul atau tidak. Bagi mendapatkan penjelasan, saya menghubungi En. Nik Bahrum (my Boss) sebab beliau medmpunyai orang kuat dalam MPKB-BRI itu. Beliau menyatakan berita tersebut sebenarnya mengelirukan dan seolah-olah cuba untuk memutar belitkan fakta sebenar kepada penonton.
TV3 menayangkan surat arahan yang dikeluarkan oleh YDP MPKB-BRI serta pamplet yang diedarkan kepada orang ramai. Pamplet tersebut sebenarnya telah lama diedarkan sebagai kempen menutup aurat. Tidak pernah ada arahan yang dikeluarkan oleh MPKB-BRI dalam menguatkuasakan larangan bergincu dan kasut tumit tinggi.
Sebelum masuk pejabat pagi ini, saya sempat minum bersama beberapa teman-teman dari LUHAM dan turut membincangkan mengenai perkara tersebut. Ada cadangan yang dikemukakan supaya MPKB-BRI menyaman TV3 dan Bernama kerana berita yang tidak tepat itu. Sebagai sebuah kerajaan yang memerintah negeri, kita patut menjaga maruah dan kedaulatan kerajaan pentadbiran kita. Apa komen anda?
Isu ini boleh juga di dapati dalam blog al-khazaain.

Sunday, June 22, 2008

Family Day Nor Bahrum & Co.

Hampir genap setahun aku menyertai firm Nor Bahrum & Co., ini adalah kali pertama aku dapat menyertai hari keluarga yang dianjurkan dua tahun sekali oleh firma guaman ini. Program yang diadakan selama dua hari satu malam di Bukit Keluang Beach Resort itu merupakan salah satu usaha untuk merapatkan lagi hubungan antara kakitangan Nor Bahrum & Co. Seronok juga dapat menyertai hari keluarga itu sambil berpeluang untuk berehat. Sebelum balik, aku dan isteri sempat berenang di pantai Bukit Keluang. Memang agak lama aku tidak mandi laut menyebabkan hari ini badanku masih lagi rasa sakit-sakit dan letih. Manakala isteriku tidak dapat bekerja kerana demam akibat berenang di pantai semalam. Harap-harap lain kali Nor Bahrum & Co., akan menganjurkan lagi program ini di tempat yang lebih menarik.

Selamat Hari Ibu Buat Bonda


Pada hari Khamis malam Jumaat yang lepas, kaum keluarga Usrah Jamadilkubra telah mengadakan satu makan malam sempena meraikan Bonda sempena hari ibu yang diadakan di Restoran AM Tarbush. Walaupun agak terlewat daripada tarikh asal hari ibu, jamuan ini juga turut diadakan secara serentak sempena menyambut hari bapa. Walaupun isteriku masih lagi belum bergelar ibu, namun semoga meraikan Bonda sebagai ibu yang banyak berjasa dalam hidup kami diharapkan menjadi salah satu keberkatan. Walaupun juga masih belum bergelar bapa, namun meraikan abang-abang dalam majlis ini amat bermakna bagi kami.


Sabarlah sayang... semoga dengan usaha kita ini Allah turut memberikan cahaya mata yang menjadi penyejuk jiwa kita.

Wednesday, June 18, 2008

Keputusan Petisyen Pilihan Raya Dun Sanglang

Hari ini Hakim Petisyen Pilihan Raya Mahkamah Tinggi Kangar, Datuk Zainal Adzam Abdul Ghani telah mengisytiharkan bahawa kerusi Dun Sanglang dikosongkan. Oleh itu, pilihan raya kecil Dun Sanglang akan diadakan berikutan keputusan Mahkamah tersebut. Tahniah diucapkan kepada berisan peguam Pas (Legal Team) yang mengendalikan petisyen pilihan raya bagi Dun Sanglang tersebut terutamanya Tuan Haji Arif, Hanipa Maidin dan Zulmi.

Kaum Nabi Luth

Semalam saya ada membaca satu berita di MSN mengenai Mahkamah di California yang telah membuat satu perintah membenarkan perkahwinan sejenis antara lelaki dan ianya sah mengikut undang-undang negeri tersebut. Telah banyak negara di dunia yang membenarkan perkahwinan sejenis atas dasar ia merupakan satu hak bagi setiap individu yang dijamin di sisi undang-undang. Beginilah akan terjadi apabila akal fikiran menjadi panduan hidup tanpa merujuk kepada ajaran Tuhan.
Itu apa yang berlaku di Eropah sana yang mungkin bagi kita tidak memberikan kesan secara langsung. Tapi pada pagi ini sewaktu saya masuk pejabat, saya ada terbaca dalam akhbar Harian Metro mengenai kisah pengkid atau gadis yang menyerupai lelaki mengadakan hubungan sesama jenis (lesbian). Nampaknya pegangan ini telah menular masuk ke negara kita, cuma ia tidak diberikan perhatian yang serius dalam menangani perkara tersebut. Tidak mustahil suatu hari nanti, golongan lesbian dan homoseksual di negara ini akan menuntut pihak kerajaan supaya memperakui hubungan sesama jenis antara mereka itu sebagai sah di sisi undang-undang.
Masih ingat lagikah kisah kaum Nabi Luth a.s? Bagaimana asal usul terjadinya Laut Mati di Jordan itu? Mengikut pendapat ahli sejarah, Laut Mati yang berada di Jordan itu adalah tempat azab yang diturunkan Allah keatas kaum Nabi Luth yang mengamalkan hubungan sejenis sesama mereka. Allah telah mengarahkan malaikat supaya mengangkat kampung halaman mereka keudara dan kemudian diterbalik serta dihempaskan kembali ke bumi.
Apakah kita ingin melihat azab Allah itu berulang kembali di abad mellinium ini? Perkara ini tidak mustahil akan berlaku sekiranya kita tidak mencari satu langkah segera bagi menangani masalah umat ini.
"Ya Allah, jauhkanlah diri kami dari azab dan kemurkaan Mu."

Tuesday, June 17, 2008

Hukum Talqin

Talqin keatas mayat merupakan satu isu yang sudah lama menjadi topik pertikaian terutamanya buat golongan Wahabi. Mereka telah membidaa'hkan taqlin walaupun banyak ulama-ulama dan kitab-kitab yang menghukumnya harus dan bahkan ada pula yang mengatakan hukumnya sunat. Sepatutnya satu pendekatan yang lebih toleransi perlu diambil iaitu apabila terdapat adanya hujah-hujah yang membolehkan talqin, maka sepatutnya kita harus berlapang dada. Kemudian terpulanglah kepada kita sama ada untuk mengamalkannya atau tidak. Yang penting jangan mudah untuk menuduh seseorang sebagai ahli bidaah atau sesat. Ini sebagaimana yang telah difatwakan oleh Majlis Fatwa Negeri Sembilan.

Thursday, June 12, 2008

Terima Kasih

Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada pengerusi Jabatan Undang-Undang & Hak Asasi Manusia (Juham), Dewan Pemuda Pas Negeri Perak saudara Aminuddin Zulkipli dan Tim. Pesuruhajaya Pas Negeri Perak, Hj Asmawi Ani diatas layanan yang diberikan kepada semua wakil Lajnah Undang-Undang & Hak Asasi Manusia (Luham), Dewan Pemuda Pas Negeri Kelantan sepanjang berkampung di Ipoh, Perak sewaktu mengendalikan Petisyen Pilihan Raya N.06 Kubu Gajah dan P.67 Kuala Kangsar. Pada hari pertama kami sampai di Bandar Ipoh, kami telah diletakkan di Regal Lodge yang bertaraf 3 bintang. Kemudian pada hari kedua dan ketiganya kami telah dipindahkan ke Impiana Casuarina Hotel yang bertaraf 4 bintang. Walaupun kami tidak demand untuk menginap di hotel terkemuka, namun sudah memadai bagi kami jika mendapat tempat yang membolehkan kami membuat persediaan dengan selesa dan tanpa tekanan. Layanan yang diberikan oleh Juham Perak serta Badan Perhubungan Pas Negeri Perak terutamanya Tuan Haji Asmuni Awi merupakan satu layanan yang cukup istimewa buat kami. Tiada apa yang boleh kami berikan sebagai tanda ucapan terima kasih diatas layanan tersebut kecuali hanya berdoa semoga Allah Taala membalas jasa kalian sewajarnya. Semoga usaha kita untuk mempertahankan Kerajaan Negeri Perak juga diberkati Allah. Takbir!!!!!

Wednesday, June 11, 2008

PERJUANGAN


Setelah tiga hari berkampung di Ipoh, Perak bersama barisan peguam yang lain bagi mengendalikan Petisyen Pilihan Raya N.06 Kubu Gajah dan P.67 Kuala Kangsar terasa sangat kepenatannya. Perbicaraan bermula dari pagi sehingga petang di Mahkamah Tinggi Ipoh. Manakala sebelah malam pulak berdiskusi bersama barisan peguam yang terlibat mengenai strategi perbicaraan yang akan digunakan. Alhamdulillah, setelah Hakim Dato Zakaria Sam mendengar semua penghujahan pihak-pihak mengenai Notis Bantahan Awal, Mahkamah telah menetapkan 30/06/2008 untuk keputusan. Keputusan tersebut akan menentukan arah gerak kerja barisan peguam yang seterusnya. Semoga Allah menyebelahi kita. Takbir!!!!

Monday, June 9, 2008

KEPENATAN


Semua barisan peguam agak kepenatan kerana sudah seharian mengendalikan perbicaraan Notis Bantahan Awal Petisyen Pilihan Raya N.06 Kubu Gajah sejak dari awal pagi sehingga ke lewat petang. Ini dapat dilihat dari wajah-wajah yang tergambar disini.

Sunday, June 8, 2008

PETISYEN PILIHAN RAYA DI PERAK

Hari ini aku dan 3 orang teman, rakan-rakan dari Luham akan bertolak ke Ipoh, Perak petang ini kerana pagi esok ada perbicaraan petisyen pilihan raya bagi Negeri Perak di Mahkamah Tinggi Ipoh. Aku dah beritahu En. Nik (my boss) minta tolong dia take over kes aku kat Mahkamah Sesyen Kota Bharu. Nasib baik la, bos aku tu baik. Doakan kejayaan kami demi perjuangan Islam. Takbir!!!

Thursday, June 5, 2008

BN BERBOHONG KEPADA RAKYAT

Dengan pengumuman yang dibuat oleh Pak Lah semalam mengenai kenaikan harga minyak pada hari ini telah membuktikan bahawa BN telah membohongi rakyat. Dalam kempen Pilihan Raya Ke 12 (PRU 12) baru-baru ini, BN dengan sekeras-kerasnya menafikan dakwaan pihak Pakatan Rakyat bahawa harga minyak akan dinaikkan selepas pilihan raya.

Bukan sekadar mengatakan dakwaan tersebut tidak berasas, malah BN juga turut mencemuh Pakatan Rakyat tidak mempunyai modal untuk berkempen bagi memenangi hati rakyat dalam pilihan raya tersebut. Namun, hakikatnya sekarang keris telah menikam tuannya sendiri. Dengan memerintah negara hanya beberapa bulan, BN telah mungkir janjinya sendiri. Kenaikan sebanyak RM0.78 seliter bagi petrol dan RM1 bagi diesel merupakan yang tertinggi dalam sejarah negara sejak 50 tahun merdeka.

Walaupun kerajaan BN ada menyediakan insentif bagi mengurangkan beban rakyat dengan pemberian tunai sebanyak lebih kurang RM600 setahun, namun ia tidak mampu untuk menampung kenaikan harga minyak yang terlalu banyak dan membebankan itu. Minyak merupakan sumber tenaga utama, apabila harga minyak naik maka harga barangan lain juga akan turut naik. Dalam pengumuman kenaikan harga minyak semalam, Pak Lah juga turut mengumumkan kenaikan harga gas dan taarif elektrik.

Hari ini atau mungkin esok atau lusa, semua barang keperluan lain juga akan turut naik. Kerajaan tidak akan mampu untuk mengawal kenaikan harga barang kecuali Menteri Perdagangan Dalam Negeri & Hal Ehwal Pengguna, Dato Shahrir Samad mengarahkan semua kakitangannya bekerja 24 jam sehari semalam selama tujuh hari seminggu disetiap pasar raya, kedai runcit dan sebagainya bagi memantau kenaikan harga.

Kenaikan harga minyak kali ini telah menambahkan lagi beban rakyat di luar bandar yang berpendapatan rendah. Malah para kakitangan awam juga turut merungut dan tidak kurang juga yang menyumpah seranah kerajaan BN yang pembohong. Itulah buah tangan BN sebagai tanda terima kasih kepada para penyokongnya yang terkenal dengan slogan "Tradisi Membela Rakyat." Memang betul hanya tradisi BN yang membela rakyat tetapi bukannya realiti mereka untuk membela rakyat!

Saya rasa, Pakatan Rakyat perlu menasihati remaja yang membuat laporan polis terhadap Kerajaan Selangor yang kononnya gagal memenuhi manifesto pilihan raya supaya turut membuat laporan polis terhadap kerajaan BN yang secara jelas dan nyata. Agak-agak, remaja tersebut hendak buat laporan polis tak?!