hasbunallah

hasbunallah

Wednesday, August 27, 2008

Anwar Angkat Sumpah Esok


Selepas memenangi pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh semalam, Dato' Seri Anwar Ibrahim dikatakan akan menggangkat sumpah sebagai ahli Dewan Rakyat esok dihadapan Yang Di Pertua Dewan Rakyat sebagaimana yang dimaklumkan oleh Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia sebelum memulakan sidang dewan pada hari ini.


Semoga Anwar akan mengotakan janjinya terutama dalam perkara pemartabatan agama Islam di Malaysia kerana PAS telah melafazkan ta'liqnya kepada Pakatan Rakyat.

Sunday, August 24, 2008

Harga Minyak Turun?

Saya agak terkejut bila melihat berita TV3 sewaktu pengumuman yang dibuat oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri & Hal Ehwal Pengguna, Dato' Shahrir Samad mengenai tindakan kerajaan yang menurunkan harga minyak bermula pada 23/08/2008.

Terkejut kerana pada beberapa minggu sebelum ini, pihak kerajaan akan mengkaji untuk menurunkan harga minyak pada setiap awal bulan. Namun alih-alaih tengah bulan macam ni, pengumuman telah dibuat untuk menurunkan harga minyak! Sebagai hamba, wajib kita bersyukur atas segala nikmat kurniaan ALLAH s.w.t itu. Namun begitu, terdapat sedikit keraguan di hati mengenai kenapa penurunan tersebut dibuat sewaktu pilihan raya kecil Permatang Pauh semakin hampir???

Adakah ianya satu strategi yang telah dirancang atau sekadar kebetulan sahaja?? Semua perkara yang berlaku kelihatannya begitu hampir dengan pilihan raya kecil Permatang Pauh. Bagi saya, apa jua alasan dan jawapannya tidaklah menjadi satu masalah. Yang pasti, harapan saya ialah pengundi di Permatang Pauh mesti bijak memilih pemimpin mereka!!

Thursday, August 21, 2008

Hakikat Sebuah Kemerdekaan


Setiap tahun apabila tibanya 31 Ogos, negara kita dan seluruh rakyatnya merai dan merayakan ulang tahun kemerdekaan negara. Segenap pelusok negara digegarkan dengan laungan ’MERDEKA!’. Seluruh negara juga turut dihiasi dengan kibaran bendera ‘Jalur Gemilang’ sebagai tanda memperingati dengan penuh rasa syukur akan sebuah kemerdekaan.

Tidak kurang juga program-program yang dianjurkan kerajaan dan badan-badan tertentu bagi mengisi kemerdekaan. Pelbagai program sama ada berbentuk hiburan yang melalaikan mahupun berbentuk keagamaan bagi menjelaskan pengertian mengenai kemerdekaan. Majalah dan akhbar pula sibuk menyiarkan pendapat dan perasaan perseorangan tentang kemerdekaan.

Begitukah sebenarnya hakikat sebuah kemerdekaan? Berbaloikah dengan program sebegitu tatkala menyambut ulang tahun kemerdekaan setelah kita selusuri sejarah para pejuang kemerdekaan yang telah mempertaruhkan nyawa mereka demi sebuah kemerdekaan. Terbalaskah jasa mereka dengan meletakkan kalungan bunga di Tugu Negara yang telah difatwakan sebagai bersalahan dengan hukum syara’ itu?

Namun, apakah sebenarnya kemerdekaan di sisi Islam? Ramai ulama telah memberikan penafsiran mengenai ‘Merdeka’. Yang saya rasa lebih menepatinya ialah “ Tahrir al-Ibad min ibadatil ibad ila ibadatillah.” Yang bermaksud: Merdeka ialah kebebasan seorang hamba (makhluk) daripada perhambaan sesama hamba (makhluk) kepada perhambaan terhadap Tuhan.

Apakah mencapai maksud ‘merdeka’ dengan mengadakan perhimpunan yang mempersembahkan hiburan melalaikan kepada rakyat yang terdiri dari pelbagai golongan tanpa mengira usia, bangsa dan agama? Adakah dengan laungan ‘Merdeka’ tatkala tepat jam 12.00 tengah malam membuatkan seseorang itu benar-benar merdeka? Pada mengikut hemat saya, dengan penganjuran begitu jelas menunjukkan bahawa kita masih belum benar-benar merdeka!

Merdekakah kita apabila golangan muda-mudi terkinja-kinja menari mengikut rentak irama muzik? Merdekakah bangsa kita tatkala para muda-mudi berpakaian aneka ragam yang sedikit pun tidak melambangkan ketuanan Melayu dan jauh sama sekali mengikut panduan Islam? Merdekakah kita apabila gelanggang perhimpunan yang melalaikan atas nama sambutan kemerdekaan lebih ramai daripada majlis doa selamat di masjid yang hanya tinggal imam, bilal dan siak sahaja?

Adakah kita merdeka sewaktu mendabik dada mengatakan bahawa Malaysia adalah negara Islam sedangkan sifat Islamnya terlalu sedikit jika hendak dibandingkan dengan sifat mungkarnya? Kita selalu mengadakan forum kemerdekaan, tetapi adakah kita mengambil pengajaran dari intipati kupasan para panelis untuk diadaptasikan dalam negara kita?

Ahh..terlalu banyak persoalan yang memerlukan jawapan. Namun jawapan yang diperlukan bukanlah sekadar untuk melepaskan batuk ditangga ataupun jawapan seumpama memberikan gula-gula kepada anak-anak supaya mereka lekas berhenti menangis.

Khalifah Umar al-Khatab r.a dalam suratnya kepada gabenor Mesir, Amru ibn al-A’s ada memberikan peringatan berikut:-
“ Mengapakah engkau memperhambakan manusia padahal mereka dilahirkan oleh ibu-ibu mereka dalam keadaan merdeka?”

Menjadi hamba tidak semestinya dalam maksud literal sahaja. Namun keterikatan kepada sesuatu pemikiran atau ideologi yang menyesatkan juga adalah bentuk perhambaan atau penjajahan moden. Masyarakat kita yang mendakwa bahawa kita telah merdeka namun dari segi pemikirannya masih lagi terjajah oleh pemikiran barat yang menyesatkan. Kenapa perlu mengikut ideologi barat sedangkan tamadun barat sendiri sedang mengalami keruntuhan akibat ideologi tersebut.

Kenapa kita sebagai sebuah bangsa yang merdeka tidak berpegang dengan penuh keyakinan terhadap satu sabda Rasul junjungan yang bermaksud:-
“ Telah aku tinggalkan dua perkara dan kamu tidak akan tersesat buat selama-lamanya selagi mana kamu berpegang kepada kedua-duanya iaitu al-Quran dan Sunnah.”

Apa yang ada pada ideologi ciptaan manusia itu jika dibandingkan dengan sebuah ajaran yang ditunjukkan Tuhan? Siapakah sebenarnya yang menjadi penentu bagi baik dan buruk kehidupan manusia jika bukan Tuhan? Sekiranya kita benar-benar beriman dengan tauhid uluhiyyah dan rububiyyah, tiada sebab mengapa kita perlu mencari ideologi lain dalam kehidupan selain dari al-Quran dan Sunnah.

Allah Taala telah berfirman dalam surah an-Nisa’ ayat 44 yang bermaksud:-
“ Tidakkah engkau memerhatikan (wahai Muhammad) orang-orang yang telah diberikan sebahagian dari Kitab, mereka memilih kesesatan (dengan meninggalkan petunjuk Tuhan), dan mereka pula berkehendak kamu juga sesat jalan.”

Ironinya apabila ada pihak-pihak yang mencadangkan cara sambutan yang lebih Islamik, mereka tidak menghiraukan pandangan tersebut padahal ianya lebih baik dan berlandaskan ajaran Islam. Apa salahnya kita mengandakan sambutan ulang tahun kemerdekaan dengan majlis bacaan yasin, solat hajat, doa selamat dan sebagainya yang dibenarkan Islam. Majlis sebegitulah yang patut diadakan oleh negara kita yang dikatakan sebuah negara Islam!

Saya bukanlah hendak membincangkan sama ada negara kita ini sebagai sebuah negara Islam atau tidak. Yang pentingnya, oleh kerana kita mendakwa bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam maka penuhilah segala tuntutan dan prinsip-prinsip sebagai sebuah negara Islam.

Manakala dalam surah al-Ahzab ayat 36 pula Allah Taala telah berfirman yang bermaksud:-
“ Dan tidaklah harus bagi orang-orang beriman, lelaki dan perempuan apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara, (tidak harus bagi mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.”

Maksud firman diatas sangat jelas kepada kita sebagai panduan dan kayu pengukur dimanakah kita berada. Adakah kita berada bersama golongan orang yang beriman atau bersama orang yang sesat. Prinsipnya mudah, petunjuk telah diberikan Allah Taala dengan perantaraan rasul. Jadi sesiapa yang memilih jalan lain selain dari petunjuk tersebut maka sesungguhnya mereka adalah golongan yang sesat.

Kerajaan dan masyarakat amat perlu memahami makna sebenar maksud kemerdekaan agar ianya seiring dengan permikiran dan gerak kerja kita. Sekiranya kita benar-benar merdeka, maka bebaskanlah diri kita daripada sebarang penjajahan dan perhambaan terutamanya penjajahan fikiran dan perhambaan minda yang tidak selari dengan Islam.

Sebagai penutup, saya petik wasiat Imam Ali ibn Abi Talib k.r.w kepada anaknya:-
“ Janganlah kamu menjadi hamba orang lain sedangkan Allah telah menjadikan kamu sebagai merdeka.”

Wasallahu a’laihi wasallam, walhamdulillahi rabiil a’lamin


Sumber rujukan:

al- Asqalani, al-Hafiz ibn Hajar, Bulughul Maram. Darul Nu’man, Kuala Lumpur. 2003.

al- Qardhawi, Dr. Yusuf, Malamih al-Mujtama’ al-Muslim allazi nansyuduhu. Penerbitan Seribu Dinar. 2000.

as-Suyuti, Imam Jalaluddin, Lubaabu an-Nuquul fii Asbaabin Nuzul. Victory Agencie, Kuala Lumpur. 2000

Wednesday, August 20, 2008

Jenayah Syariah Tak Terikat Bukti Sumpah

Semenjak bekas pembantu peribadi Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd Saiful Bukhari Azlan melafazkan lafaz sumpah atas nama Allah sambil memegang al-Quran di Masjid Wilayah Perseketuan Kuala Lumpur bahawa dia sesungguhnya telah diliwat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, sehingga sekarang isu sumpah tersebut terus menjadi pebualan dan perbincangan hangat sama ada dalam masyarakat termasuklah media.

Pelbagai pendapat diberikan termasuklah para Mufti dan pemimpin parti-parti politik mengenai tindakan Saiful tersebut. Ada yang mengatakan bahawa perlakuan lafaz sumpah Saiful tersebut menepati kehendak syara' dan tidak kurang juga mengatakan bahawa tindakan tersebut sebenarnya tidak mempunyai nas serta berlawanan dengan syara'.

Perkara ini turut menarik perhatian saya untuk berkongsi sedikit pandangan. Walaupun sebenarnya bukanlah boleh dikatakan pandangan saya, namun ianya lebih menyokong terhadap beberapa pandangan yang boleh membuka minda masyarakat kita mengenai perkara tersebut. Sebagaimana artikel yang bertajuk Jenayah Syariah Tak Terikat Bukti Sumpah ditulis oleh Timbalan Presiden, Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) yang disiarkan di ruangan agama dalam akhbar Berita Harian bertarikh 20 Ogos 2008.

Saya cukup bersetuju dengan pandangan tersebut kerana dalam jenayah syariah, untuk membuktikan sesuatu jenayah telah berlaku tidak cukup dengan sekadar bersumpah sahaja. Pihak pendakwaan perlu mengemukakan bukti yang mencukupi kepada Mahkamah dan Mahkamah sahaja yang mempunyai kuasa untuk memutuskan sama ada pertuduhan tersebut mencukupi bukti dan sabit jenayah tersebut berlaku atau tidak. Kenyataan tersebut kemudian disokong lagi oleh satu kajian yang dibuat oleh Setiausaha Agong, Persatuan Peguam Syarie Malaysia yang bertajuk Sumpah Saiful Tidak Bernas Hukum Syara'.


Kenyataan Sohibus Samahah Mufti Perlis, Datuk Dr. Asri Zainul Abidin dalam Akhbar Berita Harian bahawa lafaz yang dibuat oleh Saiful adalah betul. Namun tindakan lafaz tersebut dibuat sambil memegang al-Quran serta berada di dalam masjid adalah bukannya dari ajaran Islam. Beliau juga turut menambah bahawa sumpah yang dilakukan itu juga bukan bagi menentukan pihak mana yang betul atau salah tetapi ia sekadar untuk mengelak daripada prasangka atau tuduh menuduh antara kedua-dua pihak.

Maka kesimpulannya adalah, tindakan Saiful bersumpah dengan nama Allah itu bukanlah membuktikan bahawa beliau benar kerana dalam jenayah syariah, pembuktian tidak cukup sekadar dengan sumpah. Maknanya sekarang, masih belum jelas siapakah benar dan siapakah yang salah.


Thursday, August 14, 2008

Selamat Bermuktamar


Saya ucapkan selamat bermuktamar kepada semua perwakilan terutamanya perwakilan Dewan Pemuda Pas. Semoga muktamar kali ini memberikan satu kekuatan kepada semua pejuang dalam meneruskan usaha untuk membawa panji-panji Islam. Berbahaslah dengan penuh taqwa dan janganlah terlalu beremosi. Manakala para pimpinan pula janganlah sekadar memjawab seperti melepaskan batuk di tangga sahaja atau pun seperti memberikan gula-gula kepada kanak-kanak supaya ia berhenti menangis.

Ingatlah, kita punyai amanah dan tanggungjawab yang besar untuk dipikul demi menjamin kedaulatan Islam agama yang kita imani dan yakini. Islam tidak pernah rugi tanpa kita sebagai pendokongnya, namun kita yang rugi sekiranya tidak menjadi salah seorang pendokong dan pejuang Islam

Takbir!!!!


Sunday, August 10, 2008

Majlis Pernikahan & Walimatul Urus Dun Kelaboran


Seramai enam pasangan pengantin baru selamat diijabkabul dalam satu majlis perkahwinan beramai-ramai di Dewan Bunga Raya, Pantai Seri Tujoh tepat jam 3.30 petang 08/08/2008. Pengantin-pengantin tersebut dinikahkan oleh imam besar Masjid Bandar Tumpat, Haji Azmi Mohd Zain sambil diwalikan oleh wali pasangan masing-masing.

Majlis pernikahan dan walimatul urus Dun Kelaboran '08 itu adalah julung kali diadakan yang dimeriahkan lagi dengan kehadiran lebih 1,000 tetamu dari setiap keluarga pasangan. Adun Kelaboran, Mohamad Zaki Ibrahim berkata, majlis perkahwinan beramai-ramai ini adalah bertujuan membantu pasangan yang tidak berkemampuan selain dapat mengeratkan silaturrahim di kalangan pemimpin dan rakyat dan bercadang menjadikan program ini sebagai aktiviti tahunan.

"Segala persiapan tempat, jamuan makan ditanggung oleh penganjur yang melibatkan kos sebanyak RM10,000," katanya kepada pemberita selepas upacara akad nikah dilangsungkan. Katanya, setiap pasangan dibenarkan mengundang 100 orang sahaja mewakili setiap pasangan. Sementara mas kahwin adalah ditanggung oleh pasangan masing-masing.

Bagi menghargai sokongan pasangan pengantin yang menyertai perkahwinan beramai-ramai ini, pihak penganjur menyampaikan cenderahati berupa sekeping dinar emas bernilai lebih RM100.
Turut hadir memeriahkan majlis, Ahli Parlimen Tumpat, Dato' Kamaruddin Jaafar.
Enam pasangan pengantin baru terdiri dari anak tempatan dan luar negeri. Pertama, Wan Azwandi Wan Nor, 32 seorang mekanik dan pasangannya, Rosnany Zakaria, 29 seorang jururawat. Keduanya berasal dari Tumpat dan bekerja di Johor. Pasangan Mohd Mahadzir Derahman, 25 (tentera) dan Norhidayu Razali, 24 (guru) masing-masing berasal dari Kuala Krai dan Tumpat; Mohd Zamri Md Ripin, 24 (buruh) dan isterinya Norzarina Rusli , 19 (surirumah) juga berasal dari Tumpat. Manakala Mohd Zakhi Zakaria, 23 (juruteknik ICT) dari Tumpat dan isterinya Nurul Fazilah Ahmad, 23 berasal dari Pahang.

Sementara Mohd Fithri Zainal, 25 yang berasal dari Kuala Lumpur bertemu jodoh dengan Munirah Ismail, 24 dari Tumpat. Kedua-dua mereka bertugas sebagai jurutera di Kuala Lumpur dan Selangor. Pasangan terakhir, Mohd Shahidan Daud, 32 penuntut pusat pengajian pondok memilih Hasliza Harun, 31 seorang peniaga sebagai pasangan hidup. Setiap pengantin perempuan menerima mas kahwin sebanyak RM2000 seorang daripada suami masing-masing.

Selamat pengantin baru buat semua. Semoga berkekalan hingga akhir hayat. Terkenang masa saya kahwin dulu. Seronok!!

Wednesday, August 6, 2008

KALIMAH ALLAH : BUKAN BERMAKNA ‘GOD’ SEMATA-MATA

Umum mengetahui, sensitiviti umat Islam amat tersentuh apabila kalimah Allah seakan dipermainkan. Kalimah Allah yang termaktub berulang kali di dalam al-Qur’an dan al-Sunnah itu sesuatu yang tidak pernah dipertikaikan oleh umat Islam. Ia digelar sebagai ism al-zat iaitu kata nama yang melambangkan secara langsung zat Allah SWT yang Maha Agung.

Ibn Qayyim al-Jauziyyah mengatakan bahawa nama Allah itu bersifat menyeluruh. Oleh itu dengan nama tersebut disandarkan seluruh nama-nama-Nya (al-Asma’ al- Husna) yang lain. Sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah al-A‘raf ayat 180: “Dan bagi Allah, nama-nama yang Maha Baik”.

Bagaimanapun, tidak dinafikan sesetengah agama juga mendakwa kalimah Allah sebagai panggilan kepada nama tuhan mereka. Hal ini bukanlah sesuatu yang baru dan mengejutkan di dalam agama Islam. Malah al-Qur’an sendiri pernah merakamkan konflik ini sebagai iktibar dan pengajaran buat umat Islam dan bukan Islam.

Sebagai contoh, ketika surah al-Ikhlas diturunkan, ia membicarakan soal konflik tentang siapakah sebenarnya Allah yang dituturkan oleh agama-agama lain itu. Adakah ia tepat dan benar dengan konsep “Allah” sebagaimana yang digelar dan dipanggil oleh mereka? Imam Ibn Kathir menukilkan kata-kata ‘Ikrimah tentang perihal turunnya ayat ini. Berkata ‘Ikrimah: “Ketika orang Yahudi mengatakan: Kami menyembah ‘Uzair anak Allah. Orang Nasrani mengatakan: Kami menyembah al-Masih anak Allah. Majusi pula mengatakan: Kami menyembah matahari dan bulan. Orang musyrikin pula mengatakan: Kami menyembah berhala. Lalu Allah SWT menurunkan ke atas Rasulullah SAW surah al-Ikhlas yang bermaksud: Katakanlah wahai Muhammad bahawa Allah itu Esa, Allah itu tempat bergantung segala makhluk-Nya, Allah itu tidak beranak dan tidak diperanakkan dan Allah itu tiada bagi-Nya sekutu”.
Tidak mengira apa jua agama, sekiranya mereka tidak mengerti dan mengenal siapa itu Allah? Apakah makna sebenar di sebalik nama itu? Jika itu semua tidak diketahui dan dimengerti, maka mereka sekali-kali tidak layak untuk menggunakan kalimah Allah.

Bagi membincangkan lebih lanjut isu ini, penulis bentangkan di sini hujjah-hujjah yang menjelaskan apakah sebenarnya hakikat kalimah Allah SWT menurut pemikiran dan aqidah Islam. Apakah signifikannya Allah SWT menjadikan kalimah tersebut sebagai merujuk kepada zat-Nya Yang Maha Agung? Kalimah Allah menurut satu pendapat yang lemah ialah kata nama yang kaku (jamid). Iaitu bukan berbentuk kata terbitan yang berasal daripada kata dasar tertentu. Ini kerana sesuatu kata terbitan mesti mempunyai akar perkataannya yang tertentu. Sedangkan nama Allah SWT itu bersifat sediakala (qadim). Qadim pula ialah sesuatu yang tidak mempunyai unsur asas atau asal. Ia menyerupai kesemua kata-kata nama khas yang tidak mempunyai asal tertentu serta tidak mempunyai sebarang maksud di sebalik penamaannya.

Bagaimanapun pendapat yang benar, kata nama Allah itu ialah kata terbitan yang mempunyai kata dasar tertentu. Namun para ulama berbeza pandangan tentang asal kalimah Allah tersebut. Pendapat yang tepat ia berasal daripada kalimah alahaya’lahu- uluhatan-ilahatan-ilahiyyatan . Ia membawa maksud ‘abada-‘ibadatan iaitu menyembah dan penyembahan. Daripada timbangan (wazan) ini lahirnya kalimah ilah yang bermaksud ma’luh iaitu “yang disembah” (ma‘bud). Berasaskan pendapat ini, Ibn ‘Abbas r.a. pernah berkata: “Allah yang memiliki (sifat) ketuhanan (al-ilahiyyah) dan kehambaan (al-‘ubudiyyah) ke atas seluruh makhluk- Nya”.

Di kalangan ahli nahu Arab termasyhur juga berpandangan sedemikian. Misalnya al- Kisa’i dan al-Farra’ mengatakan kalimah Allah itu berasal daripada kata al-ilah. Kemudian mereka membuang huruf hamzah dan menggabungkan (idgham) huruf lam yang pertama ke dalam huruf lam yang kedua. Kemudian terbentuk satu lam yang disabdukan (tasydid) dan dibaca dengan tebal dan berat.
Ibn Qayyim al-Jauziyyah pula berkata: “Yang benar, kalimah Allah ialah kata yang mempunyai asal, di mana asal katanya ialah al-ilah. Ini sebagaimana pendapat ahli bahasa terkenal Sibawaih dan majoriti sahabatnya kecuali beberapa orang yang berpendapat meragukan (tanpa sebarang asas). Lafaz Allah mencakup seluruh makna al-Asma’ al-Husna dan sifat-sifat-Nya yang Maha Tinggi. Orang yang mengatakan bahawa ia adalah kata terbitan, mereka mahu menunjukkan kalimah Allah itu mengandungi makna sifat bagi Allah SWT. Iaitu alilahiyyah (ketuhanan) sebagaimana al-Asma’ al-Husna yang lainnya seperti al-Basir (Maha Melihat), al-Sami‘ (Maha Mendengar), al-Qadir (Maha Berkuasa), al-‘Alim (Maha Mengetahui) dan sebagainya.

Tidak diragukan lagi bahawa nama-nama ini merupakan terbitan daripada kata dasarnya sedangkan nama-nama tersebut kekal bersifat qadim. Maksud nama-nama tersebut ialah kata terbitan, iaitu dari segi lafaz dan maknanya yang bertemu dengan kata-kata dasarnya. Bukan bererti nama atau sifat itu lahir seumpama lahirnya cabang daripada asal. Penamaan ahli nahu terhadap kata dasar dan kata terbitan itu dengan asal dan cabang bukan bermaksud salah satu daripada keduanya lahir daripada yang lain, tetapi ia memberi makna salah satu daripada keduanya mengandungi yang lain malah terdapat penambahan”.

Abu Ja’far ibn Jarir pula mengatakan: “Lafaz Allah itu berasal daripada kata al-ilah. Kemudian hamzahnya yang merupakan fa’ al-ism (iaitu sebutan dalam ilmu saraf bagi hamzah yang ada pada kata ilah, kerana wazan atau timbangan kata ilah adalah fi‘alun) digugurkan atau dibuang. Kemudian huruf lam yang merupakan ‘ain al-ism bertemu dengan lam tambahan yang barisnya mati, lalu masing-masing digabungkan kepada yang lain. Maka kedua-duanya menjadi satu lam yang disabdukan. Manakala takwilan (tafsiran) kalimah Allah pula ianya berasaskan apa yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas r.a. bahawa “Dia lah (Allah) yang mempertuhankan-Nya segala sesuatu (ya’lahuhu kullu syai’in), dan yang disembahi oleh seluruh makhluk (ya‘buduhu kullu khalqin)”.

Diriwayatkan juga sebuah hadith daripada Abu Sa‘id secara marfu‘: “Bahawa Isa diserahkan oleh ibunya kepada seorang pengajar agar dapat mengajarnya menulis. Lalu si pengajar berkata kepadanya: Tulislah dengan nama Allah. Isa berkata: Tahukah kamu siapa itu Allah? Allah ialah Tuhan bagi segala yang dipertuhankan”.

Ibn Qayyim al-Jauziyyah dalam menerangkan keistimewaan nama Allah menyebut: “Nama yang mulia ini memiliki sepuluh karakteristik lafaz…tentang karateristik maknawinya, makhluk Allah yang paling berilmu, iaitu Rasulullah SAW bersabda: Aku tidak dapat memuji Engkau sepenuh dan sesempurna yang semestinya. Engkau sebagaimana Engkau memuji diri-Mu (selesai sabda).

Ibn Qayyim kemudiannya menjelaskan lagi bahawa penamaan Allah itu menunjukkan bahawa Dia (Allah) adalah sebagai Yang dipertuhankan dan disembah. Dipertuhankan oleh semua makhluk dengan penuh kecintaan, pengagungan, ketundukan dan berlindung kepada-Nya dalam semua hajat dan musibah yang menimpa.

Inilah sebenarnya maksud di sebalik kalimah Allah SWT. Ia bukanlah satu kalimah yang sekadar menjadi sebutan atau seruan atau panggilan bagi tuhan semata-mata. Sebaliknya ia merupakan nama yang melambangkan aqidah atau agama bagi orang yang menggunakannya. Oleh itu penggunaannya amat wajar dipantau dan dipelihara oleh kerajaan demi memastikan tiada sesiapa yang terkeliru dengan nama Yang Maha Agung itu.

Oleh itu keputusan kerajaan untuk mengekalkan larangan penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan bukan Islam, sebagaimana yang telah diputuskan di dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 18 Oktober dan 1 November 2006 adalah amat bertepatan dan tidak boleh dipertikaikan sama sekali. Malah penggunaan kalimah Allah, Baitullah, Solat dan Kaabah telah pun diwartakan hanya eksklusif buat umat Islam sahaja di bawah Warta PU (A) 15/82 dan pekeliling KKDN. S.59/3/6/A bertarikh 5 Disember 1986.




Herald-The Catholic Weekly

Semalam Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah membenar lapan Majlis Agama Islam Negeri iaitu Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIAMP), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP). Majlis Agama Negeri Johor (Maij), Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan Majlis Agama Islam Negeri Kedah (Maik) dan Majlis Agama Islam Melaka sebagai pencelah bagi kes saman Titular Roman Catholic Archbishop Kuala Lumpur berhubung penggunaan nama 'Allah' dalam majalah Herald-The Catholic Weekly.
Dalam writ saman yang dikemukakan Ketua Paderi Roman Katolik Kuala Lumpur, Datuk Murphy Pakiam, selaku penerbit The Herald, menamakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebagai responden. Beliau memohon satu deklarasi bahawa plaintif berhak menggunakan istilah 'Allah' dalam penerbitan Herald-The Catholic Weekly dan bahawa arahan defendan untuk memberhentikan penggunaan istilah itu adalah salah di sisi undang-undang. Plaintif juga memohon istilah 'Allah' tidak khusus bagi agama Islam.


Sebelum ini Mahkamah telah menolak permohonan Plaintif bagi menggunakan perkataan 'ALLAH' bagi menggantikan perkataan 'God' kerana mereka mendakwa bahawa God juga bermakna 'ALLAH'. Nampaknya pihak Kristian cuma untuk mengelirukan semua pihak dengan dakyah-dakyah mereka. Saya percaya, sekiranya mereka berjaya mendapat perintah Mahkamah sebagaimana permohonan mereka, pastinya ada agenda lain yang bakal diteruskan mereka.

Pihak Jakim telah membuat kajian tersebut sama ada adakah nama 'ALLAH' terdapat dalam Bible sebagaimana yang didakwa oleh pihak mereka.




Monday, August 4, 2008

Rehlah Mahabbah DPPNK

Seluruh ajk pemuda Pas kawasan di Negeri Kelantan terlibat Dengan Rehlah Mahabbah DPPNK yang diadakan di Pulau Telok Dalam, Pangkor pada 02/08 dan 03/08. Saya turut tidak melepaskan peluang ini apatah lagi ini adalah kali pertama saya menjejakkan kaki ke Pulau Pangkor. Mungkin bunyinya agak ketinggalan dan pelik, tapi itulah kenyataannya kerana selalu sibuk dengan kerja dan tanggungjawab yang diamanahkan saya mempunyai masa yang cukup terbatas untuk mengembara menikmati keindahan alam maya ini.
Walaupun kepenatan memandu ke Lumut bersama empat buah kenderaan dari Dewan Pemuda Pas Kawasan Tumpat, namun terasa juga kegembiraan kerana dapat menghirup udara segar Pulau Pangkor. Rehlah ini berjaya mengeratkan perhubungan persaudaraan perjuangan sesama Islam di kalangan peserta.

Sebelum bertolak balik ke Kelantan, para peserta turut membuat kunjungan hormat ke kediaman rasmi Menteri Besar Perak. Kemudian sekali lagi saya dan teman-teman menempuhi perjalanan yang panjang untuk balik. Namun begitu, kami masih sempat berhenti di Gunung Reng untuk menjamu durian yang telah disediakan oleh seorang sahabat lama di sana.

Saya sampai di rumah lebih kurang pukul 11.30 malam setelah penat memandu. Namun sedikit terubat sewaktu melihat isteri tersayang tersedia menunggu di muka pintu.